Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
90,440
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

SITI Maisara mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil. Telefon bimbit yang sudah bertahun-tahun dibelinya. Rasanya sudah masuk tahun ketujuh agaknya. Rupa bentuk telefon bimbitnya itu pun sudah lari dari bentuk asal. Atas bawah diikat dengan getah rambut halusnya itu.

Bagi Siti Maisara, itulah harta yang dibanggakannya sehingga kini. Walau warna rangka telefon bimbitnya itu sudah terhakis, terkopek sana sini, janji dia boleh membuat panggilan dan menerima panggilan. Itu lebih penting!

Lagipun, itulah harta pertama yang dia beli hasil daripada titik peluhnya sendiri. Seingat Siti Maisara, itu adalah hasil duit simpanan daripada wang gaji dan upahnya ketika bekerja sambilan di kedai runcit Pak Karim dan ketika dia menolong mak sunya berniaga ayam percik di pasar malam.

Walaupun jenamanya mungkin sudah tiada lagi di pasaran dan kalau dilihat fizikalnya, memang sudah boleh dicampakkan sahaja di Sungai Klang, namun itulah juga sentimental value buat Siti Maisara.

Siti Maisara menghenyakkan tubuhnya ke atas katil. Bengang betul rasa hatinya bila berpuluh kali panggilan dan berbelas pesanan ringkasnya tidak mendapat sebarang respons daripada teman baiknya, Ina.

“Apa kenalah dengan perempuan sorang ni? Tak pernah-pernah dia merajuk macam ni. Dia marah kat aku ke? Apa yang aku dah buat?” Siti Maisara tertanya-tanya.

Siti Maisara cuba mengingati semula apa yang menyebabkan kawan baiknya itu tersentap dan terus tidak mahu bercakap dengannya.

Siti Maisara sedang membelek ikan tenggiri di Kedai Pak Kasim apabila dia terpandangkan Ina, sahabatnya itu sedang berlenggang-lenggok membawa beg duit kecil menuju ke Kedai Pak Kasim.

“Wei, Ina! Meh sini. Aku ada berita nak beritahu kau ni!” jerit Siti Maisara selamba ke arah Ina.

Dua tiga orang mak cik-mak cik yang sedang memilih sayur dan ikan-ikan pula pura-pura sibuk membelek-belek ikan dan sayur, padahal dalam masa yang sama sedang memasang telinga. Busy body sungguh! Mengalahkan wartawan hiburan, mencari skop gosip sahaja mak cik-mak cik ni. Ina pula mempercepatkan langkah kakinya menuju ke arah Siti Maisara.

“Hah, apa dia yang beria-ia benar nak cerita kat aku ni?” tanya Ina sambil cuba mengawal nafasnya yang agak tercungap-cungap sedikit.

Ina baru terasa badannya agak berat sedikit semenjak kerja menanam anggur ni.

Siti Maisara tersengih-sengih memandang Ina. Sengaja dia membuatkan Ina tertanya-tanya.

“Yang kau tersengih-sengih ni apasal pulak? Cakaplah! Kau nak kahwin eh?”

“Bertuahlah siapa yang dapat kahwin dengan aku nanti kau tahu tak!” balas Siti Maisara selamba.

“Eii... perasannyaa minah ni! Cakaplah apa benda yang kau nak beritahu aku tu.” Ina sudah mula meninggikan suara.

Sementara itu, Siti Maisara terkekeh-kekeh ketawa geli hati.

“Alah, kau ni, aku nak buat adegan suspens pun kau nak tangkap serius apasal? Relakslah...” jawab Siti Maisara.

Ina menjeling geram. Malas dia mahu melayan Siti Maisara itu. Ina terus masuk ke dalam Kedai Pak Kasim, mencari barang-barang yang diminta ibunya tadi. Siti Maisara mengekorinya dari belakang.

“Wei, aku dapat call dari bank tempat kita interview hari tu.” Siti Maisarah memberitahu.

Ina menoleh ke arah Siti Maisara. Dia terperanjat dengan berita itu.

“Ha? Kau dapat call? Eh, kau dapat ke?” tanya Ina.

Siti Maisara tersenyum sebelum dia mengangguk.

“Haah, dia orang kata, interview aku berjaya dan aku akan mula bekerja awal bulan Februari ini,” jawab Siti Maisara jujur.

Namun, lain pula reaksi Ina. Mukanya berubah merah padam dan masam mencuka. Serentak itu, Ina terus mencampakkan bungkusan garam halus yang dipegangnya itu ke atas rak semula. Dia mula bergerak keluar dari Kedai Pak Kassim.

“Wei! Kau nak pergi mana pulak tu?” jerit Siti Maisara kehairanan.

Apa kena pulak perempuan ni? Angin tidak, ribut pun tidak, tiba-tiba nak blah macam tu aje! Rungut hati kecil Siti Maisara.

“Aa... aku sakit perut! Aku balik dulu eh!” jerit Ina pula.

Dia sudah berlari keluar meninggalkan Siti Maisara yang terpinga-pinga kebingungan.

“Hmm... tu nak datang senggugutlah agaknya tu,” keluh Siti Maisara sendirian.

“Hai, belum mula kerja, dah berangan dah?” Tiba-tiba suara Mak Odah menerjah gegendang telinga lantas mematikan menungan panjang Siti Maisara.

Siti Maisara cuma tersengih memandang emaknya.

“Hmm... jadi ke kau terima tawaran kerja kat KL tu? Kerja kau kat tadika tu macam mana?” tanya Mak Odah sambil duduk di birai katil anak gadisnya itu.

“Hmm... rasanya jadi kot. Macam sayang pulak kalau tak terima tawaran tu. Bukan senang tau, mak, nak dapat kerja tu. Lebih-lebih lagi kat bank antarabangsa yang terkenal tu. Rugilah kalau Sara tolak!” jawab Siti Maisara.

“Tapi, kau kena kerja kat KL! Tu yang mak bimbangkan,” kata Mak Odah, melahirkan rasa bimbang.

“Apasal pulak mak? Apa kena-mengena orang kena kerja KL pulak?” tanya Siti Maisara, hairan.

“Kau nak berulang dari Klang ke KL ni tiap-tiap hari? Larat ke kau?” tanya Mak Odah melahirkan bimbangnya.

“La, apa pulak larat tak laratnya. Susah-susah, orang sewa aje rumah kat KL tu. Habis cerita. Senang orang nak pergi kerja,” jawab Siti Maisara.

“Amboi, banyak cantik muka! Kau nak duduk menyewa kat KL tu? Ha, jangan harap! Dengan kos duduk menyewa kat KL tu yang tinggi, keselamatan kau tak menentu, tak payah! Elok dan bagus lagi kau kerja kat tadika tu. Tempat kerja dekat, kau pun depan mata mak dan ayah. Berapa banyak kau boleh jimat kalau kau bekerja kat sini?” Mak Odah sudah memulakan leterannya.

Siti Maisara menarik muncungnya. Baru berangan nak jadi orang KL. Macam yang selalu disebut-sebutnya kepada Ina suatu waktu dahulu. Dia teringin juga merasa duduk menyewa di Kuala Lumpur bersama teman-teman. Merasai susah payahnya hidup sendiri dan jauh daripada keluarga. Merasai kehidupan hiruk-pikuk kota metropolitan.

Tambahan pula, Siti Maisara teringin benar untuk merasai bekerja dalam suasana pejabat yang dingin, suasana yang formal dan pembahagian kerja yang teratur. Dia teringin benar untuk pergi bekerja dengan pakaian yang kemas dan cantik serta bergaya. Walaupun Siti Maisara sendiri tidak pasti perlukah dia terus mengubah imejnya yang sekarang kepada seorang gadis yang manis dan bergaya.

Siti Maisara kembali dalam dunia fantasinya. Tersengih-sengih seorang diri membayangkan dirinya manis berkebaya dan berkasut tumit tinggi. Dia membayangkan dirinya berjalan teratur memasuki ruang pejabatnya. Di kiri-kanannya, kelihatan pemuda-pemuda yang segak terhenti melangkah bila dia lalu di sebelah mereka. Siti Maisara hanya melemparkan senyuman sambil melambai-lambai ala-ala Miss Universe ke arah mereka.

“Astaghfirullahalazim... Hoi, anak dara! Sudah-sudahlah tu berangan! Bila nak masak tengah hari ni? Nanti balik ayah kau, bukan lambaian ratu yang kau dapat, tak pasal-pasal kau dapat penampar Jawa daripada dia!” jerit Mak Odah dari muka pintu.

Siti Maisara yang sedang asyik meneroka alam fantasinya terlompat kerana terkejut apabila disergah begitu oleh emaknya. Baru dia perasan yang dia sedang berjalan cat-walk sambil melambai-lambai ke arah Mak Odah.

“Mak ni! Potong stimlah!” rungut Siti Maisara.

Dia berlalu ke dapur sambil menghentak-hentakkan kakinya. Proteslah tu! Nasib baik lantai rumahnya simen, kalau papan, dah lama roboh.

Mak Odah hanya memandang anak daranya sambil menggeleng.

Baiknya Siti Maisara, dalam keadaan protes dan merajuk begitu, tangannya masih lincah dan cekap memasak masakan tengah hari untuk keluarganya. Yang sebenarnya, dia malas nak bersoal jawab dengan ayahnya. Dia tidak tahan untuk mendengar leteran panjang dan ceramah percuma serta motivasi daripada ayahnya nanti.

Siti Maisara faham benar sikap ayahnya itu bila marah. Siap dengan sejarah hidupnya sejak lahir nanti ayahnya akan ungkit.

Siti Maisarah melangkah keluar dari dapur. Sementara menunggu ayam karinya mendidih, lebih baik dia mengangkat baju-baju yang sudah kering di jemuran. Siti Maisara memandang ke langit. Keadaan panas terik, dia pasti baju-bajunya hanya mengambil masa dua jam sahaja untuk kering.

“Baru balik ke Bang Ramli?” tegur Siti Maisara ramah kepada Ramli, jirannya yang tinggal selang dua buah rumah sahaja dari rumahnya.

Ramli yang sedang berjalan kaki dan masih berpakaian uniform pengawal keselamatan itu tersenyum sambil mengangguk-angguk. Tidak ada suara Ramli yang keluar. Barangkali keletihan yang amat sangat.

Siti Maisara tersenyum. Dia begitu faham dengan keadaan yang dialami Ramli bila pulang daripada bekerja. Terasa letih, lemah, lesu, malah mengantuk juga. Kalau bekerja ikut syif, lagi bertambah letih. Ditambah pula kalau terpaksa bekerja lebih masa, silap-silap berjalan pulang pun dalam keadaan mata tertutup dan mamai. Tahu-tahu sahaja, sudah sampai rumah.

Eh, poyo aje Siti Maisara ni! Semuanya dia tahu. Macamlah dia pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Eh, siapa kata aku tak pernah kerja sebagai security guard? Siti Maisarah bermonolog sendiri.

Ah, sudah! Pernah bekerja sebagai security guardlah pulak! Cer cerita. Cer cerita.

Siti Maisara masih ingat, dia diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika dia sedang menunggu keputusan SPMnya. Sudah menjadi kebiasaan, Siti Maisara memang tidak pernah duduk diam walau seminit sekalipun.

Dia lemas duduk lama-lama goyang kaki di rumah. Daripada dia mendengar ceramah percuma Pak Musa dan Mak Odah, lebih baik dia keluar bekerja.

Tidak ada istilah malu dalam dirinya. Apa yang nak dimalukan? Berdosa ke kalau bekerja sebagai pengawal keselamatan? Hinakah kerjaya itu? Itu yang selalu Siti Maisara jawab setiap kali orang kampung bertanya Siti Maisara bekerja sebagai apa dan di mana. Mak Odah memang tidak banyak soal. Sejauh mana sekalipun Siti Maisara bekerja, janji anak daranya itu tinggal bersamanya dan keluarga.

Janji, bulan-bulan dia dapat juga merasa ganjarannya bila anak daranya itu menerima gaji. Walaupun sedikit, ia lebih baik daripada tiada langsung.

Mak Odah sebenarnya banyak bergantung harap kepada Siti Maisara. Jika tiada Siti Maisara, sukarlah dirinya menguruskan rumah tangga seorang diri. Hendak mengharapkan suaminya, jangan haraplah!

Begitu juga kepada dua orang anak lelakinya itu. Walaupun Abdul Muaz dan Abdul Muin sudah bekerja kilang, tetapi sehingga kini, satu sen pun Mak Odah tidak pernah menerima apa-apa daripada mereka berdua.

Bukan mahu mengungkit mahupun mengharapkan pemberian anak-anak, tetapi Mak Odah juga teringin kalau-kalau anak-anak lelakinya itu dapat membantu sedikit bagi meringankan beban perbelanjaan untuk keluarga mereka. Maka, hanya pada Siti Maisara Mak Odah harapkan.

Siti Maisara memang suka dan enjoy bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang elektronik berhampiran kampungnya itu. Bukannya apa, baginya, kerjanya sangatlah mudah. Masuk kerja pukul 7.00 pagi. Setiap satu jam, Siti Maisara akan membuat rondaan di persekitaran kawasan kilang, sama ada di luar mahupun di dalam kawasan kilang.

Biasanya, Siti Maisara akan bekerja berdua dengan teman sejawat yang lain. Dan dia akan bergilir-gilir dengan teman sejawatnya membuat rondaan.

Namun, kebiasaannya Siti Maisara paling suka membuat rondaan pada pukul 11.00 pagi kerana satu jam berikutnya, dia akan terus berhenti rehat untuk makan tengah hari. Di waktu beginilah Siti Maisara sekali-sekala akan skip daripada membuat rondaan, sebaliknya akan melencong ke bilik stor untuk tidur. Bukan sekali-sekala, tetapi selalu!

Bukan sekali dua Siti Maisara kantoi dengan teman sejawatnya, malah berkali-kali. Siti Maisara siap berpesan dengan teman sejawatnya itu agar tolong cover line untuk dia. Bagi Siti Maisara, tugas rutinnya meronda sambil mengawal, amat membosankan.

Namun, dia tidak mempunyai banyak pilihan selain meneruskan kerjaya pilihannya itu sementara menunggu keputusan SPMnya yang dijangka akan diumumkan dalam satu bulan lagi.

Siti Maisara sudah berkira-kira, jika keputusannya bagus, dia nekad untuk melanjutkan pelajarannya ke universiti. Jika ayahnya menghalang dan tidak mahu mengambil tahu tentang impian dan hasratnya itu, dia tidak peduli. Tentangan dan sikap tidak mahu mengambil tahu ayahnya tentang apa jua urusan anak-anak perempuannya itu sudah Siti Maisara jangkakan.

Siti Maisara sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Siti Maisara yakin yang wang tabungan yang disimpannya hasil bekerja dan mendapat upah itu sudah cukup untuk menampung pembiayaannya semasa di universiti nanti.

“Hai, sedang beristirahat nampak! Tengah cari ilham ke kat bawah meja tu?” tegur satu suara.

“Saya boringlah Encik Hasbullah. Asyik-asyik buat kerja yang sama aje tiap-tiap hari. Lagipun, saya baru aje buat rondaan. Dah tak ada apa lagi nak buat, saya berehatlah,” jawab Siti Maisara dengan selamba.

“Amboi... baru jadi security guard dah demand ya. Esok-esok kalau pegang jawatan tinggi entah macam mana perangai awak ni. Okey, awak nak berehat sangat, kan? Ha, pergi tukar uniform, pack barang, lepas tu jumpa saya kat ofis,” arah Encik Hasbullah, penyelia di kilang itu dengan tegas.

“Ha? Encik Hasbullah nak bagi saya kerja tambahan ke?” tanya Siti Maisara dengan gembiranya.

Dalam hati berasa bersyukur kerana selepas ini tidaklah dia merasa bosan dengan rutin kerja yang sama.

“Bukan kerja tambahan, tapi saya akan bagi masa tambahan untuk awak. Mulai hari ini, awak dipecat! Ambiklah sebanyak mana masa tambahan yang awak suka untuk berehat kat rumah awak tu!” jawab Encik Hasbullah dengan nada selamba sambil berpaling menuju ke pejabatnya.

Siti Maisara terkedu tidak bersuara.

“Sara! Sara!” jerit Mak Odah dari dalam rumah.

Siti Maisara tersedar daripada lamunannya sambil terlompat dek terkejut mendengar jeritan lantang lagi nyaring suara Mak Odah memanggil namanya. Terdengar suara bebelan Mak Odah dari dalam rumah.

Segera Siti Maisara berlari mendapatkan emaknya. Masuk sahaja ke ruang dapur rumahnya itu, dia terbau sesuatu yang hangit dari periuk di atas dapur.

“Masya-ALLAH, kari ayam aku!” jerit Siti Maisarah pula sambil berlari menuju ke arah dapur.

Namun, segalanya sudah terlambat. Kari ayamnya sudah kering-kontang di dalam periuk. Sudahnya, dia terpaksa mendengar ceramah khas daripada Mak Odah hampir dua jam. Kari ayam tidak menjadi, akhirnya hidangan tengah hari bertukar menu kepada sambal sardin!

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.