Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
90,328
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 17

ZAIMmenghenyakkan tubuhnya ke sofa. Mengeluh sambil merungut-rungut, namun tidak jelas butir rungutannya itu.

“Stres aku macam ni tahu tak!” jerit Zaim seorang diri di ruang tamu apartmennya.

“Hmm... nak buat apa ya hari ni?” Zaim menyoal dirinya sendiri, cuba memujuk hati.

Terasa bosan pada pagi minggu begini tanpa ada apa-apa aktiviti. Biasanya, pada pagi-pagi minggu ini, dia akan ke spa kecantikan untuk lelaki. Meluangkan masa pada hari minggu dengan memanjakan dirinya di spa kegemarannya itu.

Sebagai lelaki metroseksual, itulah gaya hidupnya yang sanggup berhabisan duit demi untuk berpenampilan menarik. Daripada penjagaan wajah hingga keseluruhan tubuh anggotanya. Itu jugalah caranya dia menghilangkan rasa stres setelah memberi sepenuh penumpuan pada kerjanya.

Namun, semuanya itu nampak pelik di mata masyarakat sehingga menuduhnya yang bukan-bukan. Helo, aku lelaki metroseksuallah, bukan homoseksual! Jerit hati Zaim.

Zaim tidak faham pandangan masyarakat terhadapnya. Suka memandang dan menilai seseorang dari luarannya sahaja tanpa mengenal dan menyelidiki dari sudut dalaman. Teringat Zaim tentang kejadian dia terserempak dengan salah seorang lembaga pengarah di bank tempat Zaim bekerja iaitu Dato’ Zack. Ketika itu, Zaim baru sahaja mahu pulang setelah berjumpa dengan Dolly di kelab yang biasa dikunjunginya.

Tidak disangkanya, di sudut yang agak kelam dan tersorok di kelab itu, kelihatan Dato’ Zack sedang berpeluk mesra dengan seorang wanita. Zaim cuba mendekati pasangan itu untuk memastikan adakah benar apa yang dilihatnya. Zaim kenal wanita itu. Dia pasti wanita itu bukan isteri Dato’ Zack.

Wanita itu adalah salah seorang pelanggan korporat bank tempat Zaim bekerja. Yang pastinya, wanita itu adalah merupakan isteri kepada salah seorang ahli perniagaan yang disegani yang juga pelanggan korporat bank. Skandal apakah ini?

Memang benar, Dato’ Zack yang terkenal dengan sifat pemurahnya dan disangka seorang family man di mata masyarakat rupanya lebih teruk daripada apa yang disangkakan. Zaim seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Namun, bila memikirkan orang-orang kaya yang hidup penuh dengan hipokrit demi untuk mengejar nama dan status, Zaim tidak hairan.

Dalam dia tercangak-cangak di situ untuk mempercayai apa yang dilihatnya sebentar tadi, Dato’ Zack datang menghampiri.

“Zaim, apa you buat kat sini?” tanya Dato’ Zack selamba.

Di wajahnya tiada nampak perasaan bersalah pun. Dato’ Zack mengenali Zaim kerana sering bertemu dalam setiap mesyuarat antara lembaga pengarah dan para juruaudit bank.

Well, I yang patut tanya Dato’, kenapa Dato’ ada kat sini,” jawab Zaim sambil tersenyum sinis.

Dalam masa yang sama, terdengar wanita itu memanggil Dato’ Zack dengan panggilan sayang dari mejanya. Dato’ Zack memberi isyarat tunggu sebentar kepada wanita itu. Zaim pasti, wanita itu tidak mengenalinya.

Zaim tersenyum sinis. Wajah Dato’ Zack agak berubah dan cuba mengawal rasa gabranya di hadapan Zaim yang sedang tersenyum mengejeknya.

“Bukan sepatutnya masa macam ni, masa untuk famili Dato’? Like what you have said to all staffs, we must have a work life balance!” sindir Zaim, pedas.

Dato’ Zack menarik nafas dan cuba berlagak tenang.

Well, everybody have their own business. I tak rasa you ni jenis yang suka jaga tepi kain orang, kan? Err... kalau tengok kain you pun, I tak rasa ia sempurna. Orang dah nampak lubangnya di sana sini. You rasa, orang boleh percaya ke cakap-cakap you kalau you insist sangat nak kompang cerita yang you nampak ni kat semua orang?” balas Dato’ Zack, berani.

Kali ini Zaim terkedu. Secara tidak langsung, Dato’ Zack menggunakan pengaruhnya sebagai amaran kepada Zaim agar tidak berbuat macam-macam untuk menjatuhkan kredibilitinya di mata umum.

Zaim tertunduk. Dia sedar siapa dirinya dan dengan siapa dia berhadapan sekarang. Orang yang berada di hadapannya itu bukan calang-calang orang. Pengaruhnya sangat kuat. Dengan duit, segala cerita busuk dapat ditutup segera. Apa yang buruk, semuanya dipandang sebelah mata sahaja. Sedangkan dia, hanya berpenampilan jambu begitu, pun orang sudah menganggapnya yang bukan-bukan. Memang kuasa duit sangat besar pengaruhnya!

“Okeylah, Dato’. Have a great nite. By the way, Dato’, saya sudah biasa dengan kain saya yang memang sedia ada berlubang di sana sini. Sekurang-kurangnya, saya tahu di mana letak lubangnya dan saya cuba tampal mana yang boleh. Cuma saya takut, kain Dato’ yang sempurna cantik pada pandangan orang takkan selamanya mampu menutup lubang besar yang disembunyikan. Okey, Dato’, selamat malam!” kata Zaim penuh makna sambil tersenyum sinis sebelum berlalu pergi meninggalkan Dato’ Zack yang terkulat-kulat menahan geram.

Zaim mengeluh lagi. Terasa bosan yang amat sangat, namun terasa malas untuk ke mana-mana. Tiba-tiba Zaim teringatkan sesuatu. Dia mengambil semula telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja kopi di ruang tamu rumahnya itu. Zaim tercari-cari sesuatu di dalam memori telefon bimbitnya.

Tiba-tiba, Zaim tersenyum sendiri. Zaim membelek gambar-gambar Siti Maisara yang diambil curi olehnya ketika Siti Maisara sedang tidur dalam keadaan duduk di hadapan komputer di pejabatnya minggu lalu.

Tersengih-sengih Zaim seorang diri di situ sambil membelek gambar-gambar Siti Maisara. Ada ketikanya, dia ketawa berdekah-dekah. Entah apa yang lucunya dengan gambar Siti Maisara, hanya Zaim sahaja yang tahu.

Kau suka dia ke? Tiba-tiba hati kecil Zaim bertanya. Zaim terdiam. Memikirkan sesuatu sambil termenung panjang. Kau masih ingatkan Haryati, kan? Hati kecilnya terus bertanya.

“Entahlah, aku tak pasti! Aku sendiri pun tak tahu kenapa aku rasa asyik nak marah dia aje. Pantang nampak muka dia, ada aje benda yang aku tak berkenan. Aku cepat naik angin bila dengan dia. Entahlah, kadang-kadang kesian, tapi selalunya kalau terpandang aje muka dia, memang dia jadi bahan akulah!” akui Zaim.

“Kesian kau, Sara. Sorrylah. Aku... aku...” Zaim terhenti.

Masih keliru mengapa dia berperasaan begitu pada Siti Maisara. Dalam diam, Zaim terpaksa mengakui bahawa Siti Maisara sebenarnya merupakan pekerja merangkap pembantu yang sangat bagus. Siti Maisara ternyata cekap mengendalikan urusan pejabat dan cepat belajar sesuatu benda baru.

Semua orang di pejabat memuji Siti Maisara. Siti Maisara rajinlah, peramahlah, kerjanya teratur dan cepat menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan. Sehinggalah big bossnya sendiri, Mr. Sean Lionel, memuji kecekapan dan kerajinan Siti Maisara. Semua orang suka Siti Maisara, hatta staf di unit lain juga memuji Siti Maisara yang pandai membawa diri dan sangat bekerjasama dengan mereka jika mereka meminta sesuatu.

Zaim tidak tahu mengapa dia sukar benar mahu rapat dan mesra dengan Siti Maisara. Di mata Zaim, Siti Maisara seorang gadis yang kurang menarik. Dengan spek mata tebalnya dan tudung senget-benget yang tidak pernah kena dengan tema bajunya, membuatkan Zaim lemas memandangnya!

Mahu sahaja dia make over Siti Maisara itu. Namun, bila melihat Siti Maisara yang memang tidak ambil peduli langsung tentang penampilannya, Zaim rasa menyampah.

“Apa kes aku nak sibuk-sibuk nak make over si UglyBeauty tu? Dia sendiri pun tak ambil kisah dengan diri dia sendiri. Aku pulak yang nak menyibuk!” gumam Zaim sendirian.

Kau sebenarnya masih marah pada Haryati sebab tolak cinta kau mentah-mentah, kan? Dan kebetulan wajah Siti Maisara ada sedikit iras-iras Haryati dan kau lepaskan marah dan dendam kau pada Siti Maisara. Kau masih tidak boleh melupakan Haryati. Betul, kan? Mengaku sajalah Zaim. Kau sebenarnya tidak adil pada Siti Maisara. Tak pasal-pasal gadis itu kena tempiasnya!

Zaim mengeluh lagi. Dia mengakui segala apa yang dikatakan hati kecilnya itu adalah benar belaka. Memang dia tidak boleh melupakan Haryati kerana Haryatilah gadis pertama yang membuatkan hati lelakinya bergetar dan jantungnya berdegup kencang. Apatah lagi Haryati pula seolah-olah memberi respons yang positif.

Pada saat itu Zaim merasakan bahawa dialah lelaki yang sempurna segala-galanya. Zaim kembali yakin pada dirinya sendiri bahawa dia bukanlah lelaki separuh atau lelaki lembut seperti ejekan teman-teman.

Namun, kebahagiaannya tidak kekal lama. Sewaktu Zaim meluahkan isi hatinya kepada Haryati, bukan sahaja ketawa sinis yang diterimanya daripada Haryati, malah kata-kata Haryati itulah yang membuatkan hatinya bagai dihiris-hiris dengan pisau belati. Kata-kata Haryati itu jugalah yang membuatkan Zaim seolah-olah seperti bersumpah tidak akan mencintai kaum Hawa lagi selagi hayatnya dikandung badan!

“Kau nak bercinta dengan aku, Zaim? Kau hilang akal ke apa?” Haryati bertanya dalam nada sinis.

Zaim cuba bertahan dan bersabar.

“Kenapa kau tanya aku macam tu pulak? Salah ke aku ada perasaan begitu kat kau? Kan normal bila lelaki suka perempuan,” balas Zaim berani.

Haryati ketawa lagi sambil menggeleng-geleng.

“Zaim, aku rapat dengan kau tak bermakna aku nak bercinta dengan kau. Aku suka berkawan dengan kau sebab kau pun lebih kurang sama dengan kawan-kawan perempuan aku yang lain. Aku tak nampak bezanya kau dengan mereka. Aku selesa berkawan dengan kau sama seperti aku selesa berkawan dengan kawan-kawan perempuan yang lain. Bila bersama kau, aku tak ada sedikit pun rasa malu-malu atau berdebar-debar dibandingkan kalau aku terserempak kat tengah jalan dengan head boy kita si Nazrul tu. Ha, kau nampak tak beza kau dengan lelaki lain?” jelas Haryati.

Walaupun dengan nada yang biasa, tetapi gerak tubuh dan tawa sinis Haryati benar-benar menyakitkan hati Zaim.

“Cubalah cermin sikit diri kau tu, Zaim. Kau tu jambu sangat. Eh, perempuan tak berapa suka bercinta dengan lelaki jambu ni tau! Sekadar suka nak berkawan aje, bolehlah,” kata Haryati sambil tersenyum sinis.

Zaim cuba menahan geram.

“Lagi satu, jangan kau ada terdetik pun rasa nak bercinta dengan perempuan kalau kau masih belum sedar siapa diri kau.”

Itulah ayat terakhir yang berbisa yang diluahkan Haryati yang akan Zaim ingat sampai mati. Zaim benar-benar rasa terhina dengan kata-kata daripada Haryati itu.

Semenjak itu memang Zaim benar-benar menyisihkan diri dengan mana-mana kawan-kawan perempuan. Bukan membenci, tetapi lebih kepada rasa tercabar dengan kata-kata Haryati itu. Tambahan pula, Zaim selepas itu mudah benar didekati oleh rakan-rakan lelaki yang boleh dikatakan hot di sekolahnya.

Zaim mudah mendapat perhatian dan tarikan lelaki melebihi daripada kebiasaan seorang perempuan mendapat tarikan dan perhatian. Zaim bangga dengan dirinya sendiri. Jika hanya sekadar ingin mendapatkan cinta daripada seorang perempuan, dia terpaksa menerima sindiran dan hinaan, dia lebih rela mengikut sahaja perasaannya walau menyimpang jauh dari landasan lurus yang sebenarnya.

Apa lagi yang dia perlu risau jika tidak menerima mana-mana cinta daripada seorang perempuan kerana dirinya sendiri pun dengan mudah sahaja mendapat cinta dan sayang daripada kaumnya sendiri. Malah, dia juga boleh mengalahkan kaum perempuan dalam perebutan cinta! Fikir Zaim.

Namun, kehadiran Siti Maisara benar-benar menggoyahkan perasaannya yang selama ini amat tepu sekali daripada dikaitkan dengan cinta dengan seorang perempuan. Sekian lama, dia membekukan hati dan perasaannya daripada meminati seorang perempuan, kehadiran Siti Maisara mula mencairkan semula hati lelakinya.

Cintakah dia pada Siti Maisara? Oh, tidak! Mungkin perasaanku terkeliru kerana wajahnya seiras wajah Haryati.

“Memang, aku tak boleh melupakan Haryati sampai bila-bila walau dia rejectaku beribu-ribu kali!” kata Zaim seorang diri.

Akhirnya, Zaim merumuskan perasaannya mungkin sedikit terganggu dan terkeliru dengan kehadiran Siti Maisara. Sesungguhnya, Zaim masih lagi trauma dengan penolakan cinta daripada seorang perempuan.

Namun, dalam masa yang sama, Zaim masih tetap bersyukur, perasaan yang menyimpang terhadap kaum sejenisnya itu hanya berlaku sewaktu pada usia remajanya sahaja. Zaim bersyukur dia dapat menepis konflik remaja yang dialaminya walau amat payah untuk dia melaluinya sendirian tanpa sokongan dari mana-mana ahli keluarganya.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.