Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
90,362
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 19

SITI Maisara meletakkan gagang telefon ke tempat asal setelah memastikan si pemanggil sana sudah mematikan talian. Wajah Siti Maisara masih terkejut dan keliru. Memikirkan perbualannya tadi dengan si pemanggil yang baru pertama kali bercakap dengannya, namun si pemanggil itu benar-benar tahu latar belakang diri Siti Maisara. Seolah-olah si pemanggil itu sudah kenal lama dengannya.

Suasana di pejabat sunyi. Hanya Siti Maisara sahaja yang berada di pejabat. Zaim dan kumpulannya bekerja di luar daerah. Kali ini di Kota Kinabalu. Akmal dan kumpulannya pula berada di Kuching. Big boss mereka, Mr. Sean Lionel, menghadiri seminar di Langkawi.

“Huh! Best jugak kerja yang selalu out station ni. Dapat melihat banyak tempat orang dan taklah stres sangat terperuk kat ofis! Tapi, lagi best kalau kerja aku macam ni. Buat kerja tak ada orang yang ganggu. Tak ada pressure. Aman aje kat sini. Kalau ada pun, timedia orang masuk ofis. Itupun bukan selalu! Tapi, janganlah kalau si mamat gebu tu masuk ofis. memang tak amanlah kerja aku dibuatnya! Ada sahaja perkara yang dia nak komplen. Ada sahaja kerja yang tak kena di matanya.” Siti Maisara membebel sendirian di situ.

“Hmm... tak sangka ya, lembut-lembut, gebu-gebu mamat tu, rupanya ada kes ek! Skandal bagai! Eii... geli-geleman aku dibuatnya. Tapi, betul ke apa yang Datin tu cakap? Entah-entah dia tipu aku. Entah perempuan mana yang menyamar jadi Datin, tiba-tiba call aku suruh aku jadi spy dia. Hisy, tak pasal-pasal aku kena tukar profesion pulak!” kata Siti Maisara.

“Eh, tapi betul ke Datin Kay tu wife Dato’ Zack?” tanya Siti Maisara pada dirinya sendiri.

Serentak itu dia teringatkan Nora, setiausaha di Unit Legal. Dia mengenali Nora sewaktu mereka berdua bersama-sama mengikuti kursus induksi di bank itu. Selepas kursus itu, mereka berdua semakin rapat dan selalu juga makan tengah hari bersama. Terus sahaja dia mendail nombor sambungan Nora. Tidak sampai tiga kali deringan, Nora sudah menjawab panggilan Siti Maisara.

“Wei, Nora. Aku ni, Sara!” Siti Maisara memulakan perbualan.

“Ha, kau Sara! Apa hal ni? Tak ada kerjalah tu. Sorry eh, aku banyak kerja nak buat ni, tak larat nak join mesyuarat tingkap dengan kau!” jawab Nora.

Di akhir ayat, Nora ketawa mengekek dengan kata-kata usikannya tadi.

“Wei, aku bukan nak ajak kau bukak mesyuarat tingkap. Aku nak tanya beberapa soalan dengan kau ni!” ujar Siti Maisara serius.

“Wah, lain macam aje soalan kau ni. Ha, apakah beberapa soalan kau tu?” tanya Nora.

“Err... siapa nama wife Dato’ Zack ya?” tanya Siti Maisara.

“Ha? Siapa Dato’ Zack tu?” tanya Nora kembali.

“Eh, buat-buat tanyalah pulak! Big boss kaulah! Takkan dah tak kenal? Takkan big boss aku pulak!”

Terdengar ketawa Nora kuat di hujung talian.

“Helo, kau ingat aku buat lawak ke? Aku serius ni! Nama wife Dato’ Zack apa?” tanya Siti Maisara kembali.

Bengang pulak hatinya bila Nora mempermainkan pertanyaannya itu.

“Alah, kau ni... orang bergurau aje, kau dah nak sentap. Hmm... Datin Kay! Kenapa kau tanya?” jawab Nora sekali gus bertanya Siti Maisara pula.

“Oh, jadi wife dia Datin Kaylah ya. Okey, okey... Thank you, Nora!” kata Siti Maisara sambil ingin meletakkan semula telefon.

Namun, terdengar suara Nora menjerit di hujung talian. Siti Maisara yang tidak jadi berbuat begitu, kembali melekapkan gagang telefon ke telinganya.

“Wei, perempuan! Ini yang aku tak suka ni! Dah tanya macam pegawai CSI bagai, lepas tu blah gitu aje! Apa sebenarnya kau nak tau ni?” marah Nora dalam masa yang sama ingin tahu mengapa Siti Maisara begitu beria-ia bertanyakan siapa nama isteri big bossnya.

“Yalah, nanti aku cerita kat kau masa lunch nanti. Sekarang aku nak sambung kerja. Kau pun tengah sibuk jugak, kan? Ha, jumpa nanti masa lunch ya. Bye!”

Siti Maisara terus meletakkan gagang telefon. Tersenyum Siti Maisara kerana berjaya menyakat Nora sehingga naik angin begitu.

Siti Maisara menyambung kerjanya semula. Namun, perbualan antara dia dan Datin Kay pagi tadi benar-benar mengganggu konsentrasinya bekerja.

“You ni Siti Maisara, kan?” tanya Datin Kay bernada serius.

“Ya, saya. Siapa ni ya? Boleh saya bantu puan?” tanya Siti Maisara lembut.

Well, call me Datin Kay. Hmm... I pun memang nak sangat mintak tolong kat you ni,” jawab Datin Kay dalam dialek Melayu terlebih mat salih itu.

“Apa dia Datin?” tanya Siti Maisara lembut, namun dalam masa yang sama tekaknya terasa loya bila mendengar Datin Kay bercakap bahasa Melayu slang Inggeris itu.

Terdengar suara keluhan Datin Kay di hujung talian.

“I nak you tolong perhatikan Dato’ Zack!”

“Ha? Dato’ Zack, Ketua Senior Legal and Compliance tu?” Siti Maisara bertanya untuk kepastian.

Yes! He is my husband!” jawab Datin Kay lembut.

Terdengar lagi keluhan di hujung talian.

“Dato’ Zack dengar khabarnya ada skandal dengan staf kat department you. So,. I just nak mintak you perhatikan tingkah laku mereka. I mean, staf yang bekerja kat department you tu. Dan kalau ada apa-apa yang mencurigakan, tolong call I!” Tegas Datin Kay memberi arahan.

Siti Maisara sudah terlopong mendengar arahan Datin Kay. Belum sempat dia bersuara, Datin Kay sudah mencelah.

“You jangan bimbang. I bukan mintak apa-apa information pasal bank atau maklumat pelanggan bank. Memang tak ada kena-mengena pun dengan urusan kerja. I pun faham bank staf terikat dengan akta bank. I cuma nak you tolong update kat I apa-apa aktiviti antara staf department you tu dengan Dato’ Zack. Itu saja. You jangan bimbang, nanti I bagi nombor telefon I. You cuma setuju aje. Tentang upahnya pun akan I arrangekan.” Begitu panjang lebar Datin Kay menerangkan maksudnya.

“Bu... bukan begitu, Datin! Saya musykil ni. Kat department saya ni, staf perempuan cuma saya sorang aje. Takkan saya pulak yang ada skandal dengan Dato’ Zack!” ujar Siti Maisara, menyampaikan rasa musykilnya.

Pelik, macam mana aku boleh tak tahu ni. Fikir Siti Maisara. Dalam masa yang sama, Siti Maisara terasa berdebar-debar jantungnya itu. Takut dia dituduh ada skandal pula dengan Dato’ Zack!

“Yes, I know! Kalau skandal dengan you, tak payahlah I suruh you siasat. I sendiri akan settlekan dengan you directly! Ini skandal sesama jenislah!” jawab Datin Kay separuh berbisik.

Sekali lagi Siti Maisara terlopong. Skandal sesama jenis? Siapa pulak jantan kat dalam department aku ni yang berskandal-skandal ni?”

“Siapa dia Datin?” Siti Maisara tidak sabar ingin tahu.

“Zaim!” Ringkas sahaja Datin Kay menjawab, namun lain pula respons daripada Siti Maisara.

“Encik Zaim mamat gebu tu?” tanya Siti Maisara, separuh menjerit.

Namun, cepat-cepat dia menutup mulutnya dan memandang sekeliling. Walaupun hanya dia seorang sahaja yang berada di dalam pejabat itu, Siti Maisara masih tetap berhati-hati. Manalah tahu, tiba-tiba ‘hantu raya’ Zaim muncul di hadapannya. Kes naya aje!

“Kenapa? You tak percaya? Well,I tak suruh you percaya cakap I pun. I cuma nak mintak tolong you perhatikan gerak-geri mereka dan laporkan kepada I. Itu sahaja. Lagipun, I bukan buat tuduhan melulu. I ada bukti. Cuma, I perlukan beberapa bukti lagi sebelum I buat perhitungan dengan husband I tu,” kata Datin Kay.

Kali ini suaranya bernada perlahan dan sayu.

Kasihan pula Siti Maisara mendengarnya. Sebagai manusia biasa, Siti Maisara faham bagaimana perasaan seorang isteri bila mendapat tahu tentang perbuatan curang suaminya. Siti Maisara mula berasa meluat kepada Dato’ Zack. Hilang sudah rasa hormatnya kepada Dato’ Zack. Selama ini, dia amat berbangga melihat kejayaan besar yang ditempa seorang lelaki berbangsa Melayu seperti Dato’ Zack di dalam dunia perniagaan yang majoritinya dimonopoli oleh bangsa atau kaum lain.

Apatah lagi bila melihat kebahagiaan keluarga Dato’ Zack yang selalu dipaparkan di media-media. Malah, secara peribadi, Siti Maisara melihat Dato’ Zack seorang lelaki yang baik hati, pemurah dan seorang bapa serta suami yang penyayang. Rupa-rupanya, semua itu sekadar lakonan semata-mata.

Tiba-tiba, Siti Maisara teringatkan emaknya di rumah. Dia cukup trauma bila berhadapan atau mendengar kes-kes isteri teraniaya, ditipu suami mahupun didera suami. Contoh terdekat sudah ada di depan mata. Selama bertahun-tahun dia menjadi saksi utama penganiayaan ayahnya terhadap emaknya, membuatkan dia tidak mahu berfikir panjang bahawa dia rela menjadi penyelamat kepada emaknya atau kepada sesiapa sahaja yang mengalami nasib yang sama seperti emaknya itu.

Dek kerana kasihan dan bersimpati, Siti Maisara akhirnya bersetuju dengan permintaan Datin Kay itu. Niatnya sekadar untuk menolong seorang isteri mempertahankan haknya.

Namun, kasihan... Siti Maisara masih hijau dalam dunia sandiwara manusia-manusia seperti Dato’ Zack dan Datin Kay dan juga Zaim. Hati Siti Maisara terlalu lurus dan luhur tanpa sedikit pun rasa prasangka kepada orang lain. Dalam ketulusan hatinya, dia tidak sedar bahawa dia sebenarnya dipergunakan demi kepentingan diri masing-masing.

DATIN Kay menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam beg tangan yang terletak di atas katil. Dia tersenyum sendiri.

“Taklah susah mana pun nak memujuk budak kampung yang lurus bendul macam budak Siti Maisara tu!” kata Datin Kay sendirian sambil tersengih.

Mulanya risau juga Datin Kay bila memikirkan jika Siti Maisara tidak mahu bekerjasama dengannya. Dia perlu tahu segala aktiviti suaminya yang membabitkan Zaim. Datin Kay perlu mengumpul bukti secukupnya sebelum dia membuat perhintungan dengan suaminya itu.

Sebelum Datin Kay menghubungi Siti Maisara, dia pastikan agar suaminya tidak berada di pejabat. Kebetulan, Dato’ Zack ada urusan perniagaan di Indonesia. Lega hati Datin Kay kerana ketiadaan Dato’ Zack akan menyenangkan segala perancangan yang telah diatur berjalan lancar.

Selama ini, Datin Kay tidak mengesyaki apa-apa terhadap suaminya itu. Bagi Datin Kay, tiada yang berubah pada Dato’ Zack. Perkahwinan yang dibina selama 20 tahun walaupun atas pilihan keluarga, ia tetap bahagia dengan kehadiran sepasang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga mereka.

Dato’ Zack masih seorang suami yang bertanggungjawab dan bapa yang penyayang kepada anak-anaknya. Sama seperti Dato’ Zack 20 tahun yang lalu. Sehinggalah suatu hari, Datin Kay terdengar perbualan Dato Zack dengan seseorang.

Ketika itu, mereka sekeluarga sedang bercuti di Kota Kinabalu. Datin Kay berada di dalam bilik air. Manakala anak-anak masih berada di kolam renang di tingkat bawah hotel di situ. Mungkin Dato’ Zack tidak menyedari yang Datin Kay masih berada di dalam bilik air atau mungkin juga ALLAH hendak tunjukkan sesuatu kepada Datin Kay, Dato Zack dengan selambanya melayan perbualan melalui telefon itu dengan begitu mesra sekali.

“I tahu you kat KK sekarang. I pun kat KK jugak ni.”

Terdengar suara Dato’ Zack bernada romantik kepada seseorang di hujung talian. Sementara itu Datin Kay merapatkan telinganya lebih dekat lagi dengan pintu bilik air untuk mendengar lebih jelas perbualan suaminya itu.

“Hmm... siapa kata tak rindu. Rindulah!”

“Okey, nanti I fikirkan jalannya macam mana kita boleh jumpa ya, baby. Okay, baby, miss you too. Love you.”

Datin Kay yang mendengar dari bilik air perbualan suaminya itu mula rasa tidak sedap hati. Nalurinya sebagai isteri begitu kuat mengatakan bahawa suaminya ada perhubungan sulit dengan seseorang di luar sana. Dalam rasa menggigil menahan marah, Datin Kay cuba bertenang dan bertahan.

“Relaks, relaks... Aku perlu tahu siapa perempuan tu.”

Datin Kay cuba menenangkan dirinya. Bagaikan ALLAH memberi restu dan memperkenankan doa Datin Kay, Dato’ Zack kemudiannya keluar dari bilik hotel tanpa membawa telefon bimbitnya. Apa lagi, tanpa menunggu sesaat pun, cepat-cepat Datin Kay menyemak telefon bimbit suaminya.

Datin Kay cuba mencari di paparan skrin telefon bimbit suaminya siapakah orang yang terakhir yang dihubungi suaminya. Ternyata nama yang tertulis adalah ‘Zaim’. Datin Kay berasa pelik dan cuba memikirkan siapakah Zaim itu. Cuba mengingatkan sama ada Zaim itu adalah pekerja atau kenalan perniagaan suaminya. Namun, Datin Kay tidak dapat mengingati sesiapa pun yang bernama Zaim.

“Aku dengar tadi macam bercakap dengan kekasih. Siap miss youlah. Love youlah. Takkan dengan jantan pulak!” Datin Kay tertanya-tanya sendiri.

“Huh, ini saja nak cover line ni. Entah-entah nama Zaim tu yang sebenarnya Zakiah. Tak pun Ziana. Atau, Miza. Orang tua ni, bukannya boleh percaya sangat! Banyak helahnya.” Datin Kay membuat andaian sendiri.

“Hmm... tak apa. Aku akan siasat siapa perempuan ni!” kata Datin Kay lagi sambil jarinya lincah menyalin nombor telefon Zaim.

Namun, sewaktu Datin Kay cuba mendail nombor yang disalinnya itu untuk beberapa kali, talian yang dihubunginya tidak dapat dihubungi.

“Pelik jugak ni! Macam tahu-tahu aje panggilan ini bukan daripada suami aku. Hisy, nampak gayanya aku kena mintak bantuanlah ni!” rungut Datin Kay sendirian.

Mempunyai rangkaian butik pakaian di beberapa buah bandar besar di seluruh Malaysia, memberi peluang kepada Datin Kay menambah kenalan yang rata-ratanya terdiri daripada Datin-datin, Puan Sri-puan sri dan ada juga mereka di kalangan kerabat diraja.

Atas nasihat dan bantuan Puan Sri Salwa, Datin Kay telah mengupah perisik persendirian untuk mengetahui identiti sebenar wanita yang mempunyai skandal dengan suaminya itu. Dan apabila perisik itu melaporkan bahawa suaminya ternyata mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita korporat, Datin Kay menjadi tidak tentu arah. Lebih membuatkan Datin Kay seperti mahu pitam apabila dia dikhabarkan oleh perisik itu bahawa suaminya itu mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

Tempat pertemuan mereka biasanya adalah di kelab-kelab eksklusif yang kebanyakannya terdiri daripada golongan mak nyah dan gay bagi mengaburi mata umum akan skandal rahsia mereka.

Lemah lutut dan seluruh anggota badannya bila mendapat tahu perkhabaran tentang suaminya itu. Hatinya berbelah bahagi sama ada ingin mempercayai keseluruhan cerita yang disampaikan atau tidak. Namun, bila Datin Kay ditunjukkan bukti tentang gambar-gambar suaminya selalu mengunjungi kelab eksklusif itu bersama wanita yang dimaksudkan, barulah dia mula mempercayainya.

Perisik upahan itu menambah, terdapat kemusykilan berkenaan Dato’ Zack. Disebabkan Dato’ Zack sering berkunjung ke kelab seperti itu, tidak mustahil Dato’ Zack juga adalah salah seorang ahli kelab itu. Semua itu boleh disiasat secara terpeinci lagi.

Perisik upahan itu mendapat maklumat bahawa nama Zaim adalah merupakan salah seorang staf bank di tempat Dato’ Zack bekerja dan merupakan pengunjung yang sering singgah di kelab itu.

Datin Kay masih belum dapat mengumpul bukti secukupnya tentang apa kaitan suaminya meletakkan nama Zaim sebagai menggantikan nama skandal suaminya itu. Setakat ini, Datin Kay hanya mengetahui Zaim bekerja di Audit Department sebagai juruaudit. Untuk itu, setelah disiasat, Datin Kay percaya hanya Siti Maisara sahaja yang dapat menolongnya. Di dalam fikirannya sudah terencana beberapa perancangan untuk memerangkap suaminya itu.

“Sayang! Cepatlah!”

Terdengar satu suara garau dari bilik air hotel yang didiami Datin Kay memanggilnya dengan nada lembut.

Datin Kay tersentak. Kembali sedar bahawa dia sedang berada di dalam bilik hotel.

Yes, darling. I’m coming,” jawab Datin Kay.

Serentak itu Datin Kay terus bangun daripada perbaringannya. Datin Kay segera menuju ke arah bilik air.

Tak berapa lama kemudian, terdengar suara Datin Kay ketawa dan terjerit-jerit dengan diselangi ketawa seorang lelaki. Tapi, siapa lelaki itu? Bukan Dato’ Zack masih di Indonesia?

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.