Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
90,350
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

STESENKomuter Padang Jawa ialah sebuah stesen kereta api KTM yang terletak di Padang Jawa, Selangor, dalam laluan Sentul-Pelabuhan Klang. UiTM, tempat Siti Maisara belajar dahulu hanya terletak kira-kira dua kilometer sahaja dari stesen ini.

Dari stesen ini, Siti Maisara dan Ina menaiki Komuter yang menghala ke Kuala Lumpur.

“Wei, aku nervouslah!” kata Siti Maisara.

Mereka berdua duduk di koc wanita.

“Aku pun sama, tapi jangan difikirkan sangatlah. Kalau ikutkan pengalaman bekerja, kaulah lebih advance. Kau banyak pengalaman bekerja. Macam aku, nilah first time aku nak merasa pergi interview,” kata Ina pula.

Ina memiliki Diploma Pengurusan Pentadbiran, sama seperti Siti Maisara, tetapi dia berkelulusan dari Politeknik Shah Alam. Mereka berdua memang berkawan baik semenjak kecil lagi. Bermain bersama-sama, bersekolah rendah dan menengah di sekolah yang sama. Cuma Siti Maisara agak bernasib baik kerana dapat melanjutkan pelajaran di UiTM, manakala Ina pula di Politeknik.

Namun begitu, mereka tetap meneruskan impian mereka bersama untuk mengambil bidang Pengurusan Pentadbiran walaupun di tempat yang berlainan.

Politeknik Shah Alam dan UiTM, tidaklah jauh mana, namun atas kesibukan masing-masing, mereka berdua hanya berkesempatan berjumpa pada waktu cuti semester sahaja.

Kehidupan Ina sekeluarga agak mewah jika mahu dibandingkan dengan keluarga Siti Maisara. Ina merupakan anak tunggal di dalam keluarganya. Maka, pergerakan Ina agak terbatas kerana dikawal sepenuhnya oleh Pak Cik Mansur dan Mak Cik Senah.

Ina tidak bebas keluar ke sana ke mari sesuka hati. Jika dia mendapat keizinan keluar pun adalah kerana ada Siti Maisara yang menemani. Ibu bapa Ina hanya mengenali Siti Maisara sebagai kawan sekampung dan teman yang paling rapat sekali dengan anak mereka.

“Hisy, semua pengalaman kerja aku tu, bukannya boleh pakai sangat. Tu semua tak masuk listlah. Tak ada value pun!” sanggah Siti Maisara.

“Alah, yang penting, kau pernah bekerja dan dibayar gaji. Ha, tu semua dikira pengalaman bekerjalah. Macam aku ni, pengalaman bekerja, tanam anggur, mana dapat gaji! Tanaman yang tak dapat-dapat hasilnya!” kata Ina.

Mereka berdua ketawa mengekek. Namun, cepat-cepat menutup mulut apabila melihat penumpang di sekeliling mereka memandang semacam ke arah mereka berdua.

Bagi Siti Maisara, apalah sangat dengan pengalaman bekerjanya itu. Nak ditulis di dalam borang ruangan pengalaman bekerja nanti pun terasa malu. Namun begitu, Siti Maisara cuba mengingati apakah kerja-kerja yang pernah dilakukannya sejak dari bangku sekolah lagi.

Bukan Siti Maisara yang begitu beria-ia benar ingin bekerja di kala umurnya begitu muda. Apatah lagi rakan-rakan sebayanya yang ketika itu masih lagi leka bermain dan gembira dengan dunia mereka sendiri.

Semuanya ini adalah kerana terpaksa! Siti Maisara masih ingat dia mula bekerja ketika umurnya baru menginjak ke usia 13 tahun, masih dalam tingkatan satu. Pada waktu itu adalah ketika cuti sekolah. Kerja pertamanya ialah sebagai pembantu kedai runcit.

Masih dia ingat lagi kata-kata ayahnya dahulu.

“Kalau kau sibuk sangat nak pakai baju raya yang cantik-cantik, kau kerja dan cari duit sendiri. Belajar macam mana susah orang nak cari duit. Jangan ingat senang-senang kau boleh mintak itu ini daripada mak bapak kau!”

Walau umurnya ketika itu masih muda, namun Siti Maisara amat terasa dengan kata-kata tajam lagi berbisa ayahnya itu.

“Kalau ya pun nak menasihat dan mengajar anak, takkanlah awak nak suruh budak tu cari kerja. Budak tu baru 13 tahun. Mana dia tahu semua tu...” bela Mak Odah.

“Awak diam! Apa yang awak tahu pasal cari duit ni? Yang awak tahu, menghabiskan duit adalah! Jangan awak pandai-pandai nak bela dia. Nanti naik lemak pulak. Esok-esok dah pandai, pijak kepala mak bapak!” bebel Pak Musa. Penuh dengan prejudis terhadap anak sendiri.

Akhirnya, Siti Maisara nekad untuk mencari kerja. Kalau setakat sepasang baju kurung yang diidamkannya untuk dipakai di hari raya, dia harus menerima sindiran dan tengkingan daripada ayahnya sendiri, Siti Maisara lebih rela meminta atau mencari duit sendiri demi memenuhi apa yang diidamkannya.

Lebih menyakitkan hatinya lagi apabila dia mendapat tahu, kedua-dua orang abangnya dengan riang dan bangga telah menunjukkan baju-baju baru untuk dipakai di hari raya yang mana baju-baju itu telah dibeli ayahnya sendiri. Ayah memang tak adil! Jerit hati kecilnya.

Demi anak-anak lelakinya, ayahnya tidak pernah berkira. Mintalah apa sahaja, semuanya ayahnya akan tunaikan. Namun, jika Siti Maisara mahupun anak-anak perempuan yang lain minta sesuatu, pasti ada sahaja soal jawab daripada ayahnya.

Pernah suatu ketika, hari hujan lebat pada waktu pagi. Siti Maisara meminta ayahnya menghantarkannya ke sekolah. Kebiasaannya Siti Maisara akan menaiki bas ke sekolah. Namun, hari itu dia terlepas bas kerana terlewat keluar dari rumah akibat hujan.

Merayu bagaimana sekalipun, ayahnya buat tidak peduli. Malah, dia menyuruh Mak Odah meneman dan menghantarkan Siti Maisara hingga ke perhentian bas. Maka berpayunglah kedua-dua beranak itu berjalan kaki ke perhentian bas.

Namun, selang 10 minit ketika sedang menunggu bas di perhentian bas, Mak Odah dan Siti Maisara masing-masing terkedu bila ternampak kelibat Pak Musa sedang memandu kereta Proton Saga lamanya yang berwarna merah itu. Di dalam kereta kelihatan kedua-dua orang abangnya, Abdul Muaz dan Abdul Muin.

Siti Maisara tidak faham mengapa ayahnya bersikap pilih kasih sehingga sebegitu rupa. Apa bezanya anak perempuan dan anak lelaki di mata Pak Musa? Rasa tidak puas hati itulah yang dipendamkannya sekian lama sehingga kini ia menjadi barah yang menjadikannya seorang pendendam kepada ayahnya sendiri.

Siti Maisara tahu dan faham, emaknya tiada kuasa untuk bersuara mahupun memberikan pandangan. Apatah lagi mahu menunaikan kehendaknya. Emaknya itu terlalu naif dan terlalu jujur serta setia dengan suaminya. Paling tidak pun, kalau emaknya melawan kata-kata ayahnya, alamatnya pipi emaknya pasti jadi sasaran pelempang ayahnya. Paling teruk sekali, emaknya pernah disepak terajang ayahnya berkali-kali.

Itu sebabnya emaknya jarang bersuara jika ayahnya sudah naik berang. Malas mahu melayan sikap panas baran ayahnya itu. Tidak bersuara pun dia kena, bersuara apatah lagi!

Siti Maisara pula sudah terbiasa dengan fenomena pergaduhan antara ibu bapanya itu. Malah, jiran sekeliling juga sedia maklum tentang sikap Pak Musa yang panas baran terhadap Mak Odah. Mereka juga tidak pernah mahu masuk campur dalam hal rumah tangga suami isteri itu.

Bukan setakat gaduh-gaduh begitu sahaja, malah mereka berdua suami isteri sebenarnya sudah dua kali bercerai dan kemudian dua kali rujuk semula. Cuma sekarang ini, Pak Musa seperti sudah pandai mengawal sikap panas barannya. Mungkin sudah sedikit insaf atau barangkali kerana had talak yang ada untuk Mak Odah hanya tinggal satu sahaja. Wallahu’alam...

Apa yang Siti Maisara risaukan ialah tentang adik-adiknya, Siti Musliha dan Siti Mariam. Mak Odah dan Pak Musa jika sedang bergaduh, seperti lupa diri masing-masing dan tidak peduli tentang keadaan sekeliling. Terjerit terpekik di dalam rumah bagai mahu roboh rumah dibuatnya.

Penyudahnya, Siti Maisara adik-beradik menjadi mangsa. Segala kata-kata makian dan ayat-ayat yang tidak elok disebut, dihambur keluar ke atas mereka. Bagi Siti Maisara, biarlah dia seorang sahaja yang menerima semua itu, namun tidak kepada adik-beradiknya.

Siti Maisara amat menyayangi kesemua adik-beradiknya walaupun kedua-dua abangnya seakan-akan berlagak kerana mereka tahu yang ayah mereka amat menyayangi mereka berdua melebihi adik-adik perempuan mereka. Namun begitu, walau apa jua yang buruk pada kedua-dua abangnya, Siti Maisara rela berkorban apa sahaja untuk mereka.

Disebabkan itu Siti Maisara secara senyap-senyap cuba memujuk Pak Karim yang mempunyai kedai runcit itu agar menerima dia bekerja di situ sepanjang cuti sekolah.

“Alah, bolehlah Pak Karim. Saya tolong Pak Karim masa cuti sekolah ni aje. Upah, suka hatilah Pak Karim nak bagi berapa,” rayu Siti Maisara apabila Pak Karim seperti berat hati ingin mengambilnya bekerja.

“Bukan aku tak nak, tapi nanti ayah kau marah! Dia tu kan pembengis. Tak pasal-pasal dengan kedai aku sekali nanti roboh kalau dia dah mengamuk nanti!” balas Pak Karim.

“Alah, Pak Karim, ini pun dia yang suruh Sara cari kerja. Dia suruh Sara cari duit sendiri kalau nak beli baju raya tahun ni,” jelas Siti Maisara dengan lurusnya.

“Ha? Si Musa tu suruh kau cari kerja semata-mata sebab nak beli baju raya? Eh, bukan ke tu tanggungjawab dia? Hisy, bapak apa macam ni? Pelik betul aku tengok perangai Musa ni!” keluh Pak Karim.

Kasihan pula dia melihat Siti Maisara yang begitu bersemangat ingin bekerja.

“Bolehlah, Pak Karim,” rayu Siti Maisara lagi, tidak berputus asa tanpa menghiraukan bebelan Pak Karim itu.

“Hmm... yalah, kau datanglah esok. Start kerja pukul 8.00 pagi sampai 5.00 petang. Boleh tak?” tanya Pak Karim memastikan yang Siti Maisara sanggup bekerja atau tidak.

“Eh, boleh, boleh, boleh,” jawab Siti Maisara riang.

Betapa bangga dan gembiranya Siti Maisara ketika itu. Maklumlah, dia bakal bekerja dan bakal menerima wang yang banyak nanti. Di kepalanya, pelbagai perancangan yang difikirkannya jika dia sudah dibayar gaji nanti. Siti Maisara pulang dengan penuh kelegaan dan tersenyum kepuasan.

“Sara! Sara! Hoi, Sara!”

Siti Maisara hampir melompat dek terkejut dengan sergahan Ina itu. Dia memandang Ina di sebelah.

“Kau kenapa? Berangan eh? Kau berangan dah dapat kerja eh?” tanya Ina sambil tersengih.

“Eh, dah sampai ke?” tanya Siti Maisara, tidak peduli dengan pertanyaan Ina itu.

“Lagi satu stesen aje lagi nak sampai. Amboi, jauh betul mengelamun kau ni! Dah, get ready. Kita dah nak sampai dah ni,” kata Ina sambil membetulkan baju kurungnya yang agak berkedut.

Siti Maisara memandang ke luar tingkap Komuter itu. Dari situ, dia dapat melihat bangunan-bangunan tinggi yang mencakar langit. Kenderaan yang bertali arus dengan jalan raya yang bersimpang-siur.

Siti Maisara terfikir, jika dia dapat kerja di Kuala Lumpur itu, bolehkah dia hidup di tengah-tengah arus pembangunan kota metropolitan itu? Bolehkah dia menangkis segala macam dugaan di kota besar itu? Adakah dia juga akan turut terjerumus dengan segala macam godaan dan maksiat di Kuala Lumpur itu sepertimana rakan-rakannya yang lain ketika berhijrah ke kota metropolitan itu?

Siti Maisara mengeluh perlahan. Dia berserah kepada yang ESA. Tidak yakin mahupun pasti adakah hatinya sekuat dan seteguh itu untuk menempis segala macam dugaan yang mendatang.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.