Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
42,693
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 13

Bab 13

“Hash!” panggil Sufi sewaktu Adelia menarik daun pintu depan dan mahu melangkah keluar. Dia hampir terlanggar Adelia yang kelihatan terburu-buru. Amira tidak kelihatan di mana-mana.

“Aunty Amira?” soal Sufi.

“Hospital,” jawab Adelia.

“Kenapa?”

Adelia mengeluh.

“Hash masuk hospital. Mama suruh Kak Lia tunggu Fi datang kat sini. Mama nak Kak Lia bawa Sufi tengok Hash di hospital,” jelas Adelia sambil mengangkat beg tangannya yang baru sekejap tadi dilabuhkan atas meja teh di ruang tamu. Dia menggenggam segugus kunci yang bersatu bersama keychain kereta F1.

“Jom!” ajak Adelia sewaktu melihat Sufi masih tercegat di tempat yang sama. Entah apalah yang difikirkan gadis itu. Seolah-olah hanya jasadnya yang masih berada di sana sedang yang fikirannya sudah melayang jauh.

Sufi terkelu. Kakinya terasa berat, bagaikan terpaku di tempat yang sama. Dia teringatkan Izam dan ugutan lelaki itu. Adakah ia pengakhiran kisah cinta mereka yang baru hendak mula bercambah. Mungkinkah dia sudah kehilangan Izam kerana simpatinya pada Amira dan Hashir?

Ya Tuhan. Baru sekejap tadi, sesudah sujud menyembah yang Esa, dia berangan-angan untuk menjadi isteri Izam. Dia membayangkan yang lelaki itu adalah calon yang cukup sempurna, yang mampu membimbingnya di dunia dan akhirat. Sekarang, segalanya sudah menjadi angan-angan kosong.

“Fi okay?” soal Adelia.

Sufi mengangguk lemah.

“Fi tak mahu jumpa Hash?” soal Adelia.

Sufi tidak menjawab.

“Jomlah kita pergi hospital, Fi,” ajak Adelia, memujuk dan mengharap. Wajahnya tampak kerisauan, tidak serupa dengan wajah Adelia yang Sufi jumpa dulu. Sewaktu kali pertama dia ke sana, Adelia tampak berbeza. Adelia tampak seperti seorang kakak yang garang. Tetapi, kini dia tampak penyayang.

Simpati mengulit hati Sufi. Kalau tadi buat Amira, kini buat Adelia pula. Lalu kakinya mengatur langkah, mengekori jejak Adelia. Gadis itu memandu sementara Sufi hanya duduk di sebelah, tercangak keluar cermin tingkap yang bertinted.

Malam sudah berlabuh, menemani sepi tanpa suara. Adelia hanya diam. Begitu juga dengan Sufi. Kedua-duanya hanyut berfikir. Adelia memikirkan soal Hashir yang tadi terpengsan sewaktu dipaksa turun untuk menjamah bubur. Sufi pula perihal ugutan yang disuarakan Izam tadi.

“Fi,” panggil Adelia, membunuh sepi.

“Ya,” sahut Sufi.

“Hashir tu mungkin degil, kejam... tak bertimbang-rasa, muka tak malu, malas dan suka memerintah macam dialah raja...” kutuk Adelia.

Mata Sufi membulat. Sebenar-benarnya, Adelia bersimpati atau marahkan Hashir? Riak wajahnya sedih. Tuturnya seolah-olah adiknya itu memang sudah banyak melakukan dosa. Sufi tahu deskripsinya benar tetapi untuk mengiyakan seperti kejam pula. Nanti tak pasal-pasal Adelia meraguinya.

Sufi keliru. Terkelu lidahnya untuk membalas bicara Adelia. Adakah dia patut menambah lagi ciri-ciri yang sudah Adelia sebutkan? Atau barangkali dia sepatutnya menidakkannya? Kalau diikutkan geramnya pada Hashir, sudah pasti dia mahu menokok tambah. Tetapi, dia disuruh meyakinkan keluarga Hashir yang mereka pasangan kekasih sejati. Sufi sepatutnya melindungi lelaki itu dan menidakkan tuduhan Adelia. Ah, dia bingung sekejap. Mungkin, dia patut diam saja.

“Tapi, Kak Lia tau Hash sayangkan Fi. Akak perlu tau...”

Air mata Adelia tertumpah.

“Fi sayangkan Hash ataupun tidak?” soal Adelia.

Sufi menelan air liur.

“Erm...” hanya itu yang terlontar keluar dari anak tekak Sufi. Menipu seorang gadis sebaik Adelia membuatkan Sufi rasa bersalah. Dosa apa yang Adelia lakukan sampaikan dia perlu ditipu? Tidak! Adelia berhak mengetahui kebenaran.

Bagaimana pula janjinya pada Hashir? Bukankah si gila itu sudah mengugut akan memusnahkan hubungannya dengan Izam kalau lakonan itu tidak diteruskan? Tetapi, barangkali hubungan yang mahu dilindunginya itu sudahpun musnah sendiri tadi. Izam sudah memberi kata dua.

“Kak Lia tak pernah tengok Hash jadi gila sebab seorang perempuan. Hash gilakan Fi. Masa mula-mula Hash pikat Fi, semua orang ingat Fi ni rebound dia. Tapi, tak... Dia ikhlas sayangkan Fi. Dia jadi separuh gila sebab Fi, menangis, meraung macam orang tak betul,” luah Adelia.

Menangis dan meraung? Terasa sukar untuk Sufi percaya. Barangkali Hashir hanya berlakon. Kalau tidak, mustahil dia tidak mahu menjawab panggilan Sufi. Dia keras hati apabila dipujuk. Pandang muka Sufi pun dia tak mahu ketika itu. Dia mengatakan dia bencikan Sufi. Dia tak boleh terima Sufi semula. Apa itu namanya cinta? Bukankah cinta sepatutnya memujuk Hashir menerima dirinya kembali?

“Fi?” panggil Adelia.

Sufi tidak membalas.

“Hash sayangkan Fi. Dulu, mungkin dia buat salah pada Fi. Dia tu lambat matang, akak tau. Tapi, lepas dia hilang Fi, dia macam hilang separuh diri dia. Dia jadi lain,” tambah Adelia.

Sufi menelan air liur. Sukar untuk dia mempercayai dakwaan Adelia. Tanpanya, barangkali tak ada sekelumit pun kesal dalam diri Hashir. Mungkin perubahan sifat Hashir yang diceritakan Adelia hanya kerna dia ego.

“Ya, Fi sayangkan Hash,” tutur Sufi dalam nada lemah.

Air matanya tertumpah sama, berulit dengan sejalur simpati. Dia rasa berdosa yang teramat kerana terpaksa menodai kepercayaan Adelia. Besar sangatkah penangannya dalam hidup Hashir? Bukankah dulu, Hashir meluahkan benci yang teramat. Sehingga sekarang, dia masih dapat merasakan aura benci Hashir.

Lelaki itu takkan mudah melupakan. Apatah lagi memaafkan ketelajurannya dulu, mencalarkan perasaan lelaki itu. Walaupun Hashir sendiri adalah penyumbang ke arah keretakan hubungan mereka, lelaki itu takkan sesekali mengaku salah. Baginya, semua dosa itu milik Sufi.

“Welcome to our family, Fi,” ucap Adelia.

Sufi mengukir sekuntum senyum paksa. Dia rasa terharu dan berdosa dalam masa yang sama. Fikirannya celaru. Dia cuba untuk tidak berfikir tika itu. Impuls yang diterimanya melalui gelombang bunyi dimatikan gegendang telinga tanpa dihantarkan ke otaknya untuk ditafsirkan.

“Jom!” ajak Adelia selepas memberhentikan keretanya di sebuah ruangan pakir kereta berdekatan bangunan KPJ Petaling Jaya, hospital yang di bawah pimpinan grup hospital swasta terbesar di Malaysia dengan kapasiti yang kian meningkat.

Grup KPJ Healthcare juga sudah mengukir nama di luar negara dengan memiliki dua hospital di Indonesia, rakan niaga sebuah hospital di Thailand dan mempunyai sebuah age care centre di Australia. Grup KPJ Healthcare, IHH Healthcare dan Colombia Asia merupakan tiga nama yang memegang market share terbesar di Malaysia.

Kesihatan ada salah satu sektor yang kukuh dalam apa jua keadaan ekonomi, sektor yang seringkali diminati oleh pelabur tempatan dan pelabur asing. Tak hairanlah ramai pelabur membeli saham-saham sektor kesihatan seperti KPJ dan IHH yang tersenarai di Bursa Malaysia. Analis sektor kesihatan di pejabat Sufi sendiri mempunyai BUY recommendation untuk saham-saham sektor kesihatan.

Mereka mengatur langkah menuju ke bangunan besar yang dikawal oleh beberapa orang petugas di kaunter depan. Adelia mengetuai jalan. Dia menuju ke arah lif yang terletak di belakang kaunter penyambut tetamu yang lokasinya agak tersorok sedikit. Lif terbuka. Agak kecil saiznya kalau dibandingkan lif yang selalunya dinaiki Sufi. Menurut Adelia, ada lif lain yang letaknya di belakang sikit yang selalunya digunakan oleh pesakit. Lif yang dinaiki mereka adalah lif pelawat.

“Assalammualaikum,” luah Sufi sebaik saja ternampak Amira yang sedang duduk atas bangku di luar wad.

“Waalaikummussalam. Sampai pun bakal menantu mama. Kenapa lambat sangat ni, Fi,” balas Amira yang kedengaran umpama keluhan. Dia bersalaman dengan Sufi sebelum mengucup pipi gadis yang disangka akan menjadi menantunya itu. Ada raut sabar di wajahnya. Tak ada sekelumit marah.

“Fi minta maaf,” ucap Sufi.

“Hash dah sedar, ma?” soal Adelia.

“Dah. Sampai aje, dia terus sedar. Tak sempat doktor nak periksa dia dah celik mata. Lepas tu tak mahu makan ubat, tak mau terima injection. Ikut kepala batu dia tu. Degil,” jawab Amira.

“Bagilah Sufi jumpa Hash dulu. Manalah tau kalau-kalau dia lembut hati nanti,” luah Adelia.

Amira mengangguk.

“Pergilah. Dia cakap dia tak mau diganggu. Nak tidur katanya. Tapi, takkanlah dia nak marah Fi. Kalau dia marah, beritahu mama. Nanti mama piat-piat telinganya,” luah Amira sambil menarik pintu.

Sufi melangkah masuk.

“Assalammualaikum,” luah Sufi.

“Waalaikummussalam,” jawab Hashir sambil membuka mata sedikit, memandang si sepet yang tampak takut-takut sewaktu menapak ke dalam.

“Hash okay?” soal Sufi.

“Okay aje,” jawab Hashir, bertemankan ego melampaunya. Dia mengagahkan diri bangun, bersandar di kepala katil berlapikan bantal.

Sufi mempersilakan diri untuk duduk atas bangku kosong di sebelah katil Hashir. Kalau nak mengharap Hashir menjemputnya duduk, berangan sajalah. Hashir takkan peduli sama ada dia penat atau tidak. Kalau dia masih ada sisa kudrat, pasti sudah dibulinya Sufi cukup-cukup.

“Ada aku suruh kau duduk?” soal Hashir.

Baru saja terfikir, Hashir sudah mula membuat onar. Seperti yang dijangka Sufi, Hashir akan membulinya kalau dia masih mampu. Sufi bangun semula, tertegak di sebelah katil Hashir.

“Kau lambat sangat kenapa? Sibuk dengan buah hati baru kau sampai lupakan aku?” soal Hashir.

Sufi tidak menjawab.

“Ambilkan aku air,” suruh Hashir.

Terkumat-kamit bibir Sufi memarahi diri sendiri kerana kebodohannya datang ke situ sewaktu menuangkan air ke dalam gelas Hashir. Dia tak sepatutnya datang. Hashir tak pernah menghargainya. Bertemankan rasa tidak puas hati, Sufi menghulurkan gelas air yang dituangnya kepada Hashir. Mukanya masam mencuka.

“Tengok muka kau, bertambah sakit hati aku. Dahlah, nampak sangat kau tak ikhlas datang sini. Kalau nak sangat, pergilah balik!” halau Hashir setelah mengambil gelas air yang dihulurkan Sufi.

“Memang nak balik pun,” balas Sufi.

“Pergilah! Pergi! Tak siapa jemput datang pun!” tempelak Hashir.

“Fine,” balas Sufi.

“Tunggu!” suruh Hashir.

Sufi melepaskan tombol pintu.

“Apa lagi?” soal Sufi, marah dengan layanan Hashir. Sekejap suruh dia balik. Sekejap suruh dia tunggu.

“Aku ni sakit tau,” balas Hashir.

Sufi memandang muka Hashir yang kelihatan kemerahan. Rambutnya tidak digelkan spikey seperti selalu, duduk rata bagaikan permukaan bata. Kelakar juga rupa Hashir dengan potongan rambut itu. Kulit hidungnya tampak mengelupas. Bibirnya kekeringan dan merekah. Ada jerawat di pipi kirinya yang membusut dan seakan-akan meletup tak lama lagi. Menakutkan.

“So?” balas Sufi.

“Aku demam teruk tadi,” luah Hashir tampak diminta.

Entah apa motifnya? Hendak dikatakan cuba menagih simpati, bukan main sombong wajahnya. Hendak dikatakan sedih dengan nasib diri, tak ada pula riak hendak menangis. Baru sekejap tadi dia cuba menghalau Sufi. Sekarang, tiba-tiba dia mahu Sufi menunggu di situ untuk mendengar cerita sadisnya yang tidak berapa sadis. Walaupun Sufi tahu dia benar-benar sakit, entah mengapa susah pula hendak Sufi menaburkan rasa simpati.

Berapa ramai orang yang dijangkiti demam panas dalam setahun? Ramai. Berapa ramai orang demam panas yang masih bertenaga untuk marah-marah dan menghalau orang? Tidak ramai. Maka, Hashir salah seorang dari khalayak yang tidak ramai. Barangkali kenyataan itu lebih sadis dari kenyataan yang Hashir dijangkiti demam panas yang dilabelkannya sebagai ‘teruk’.

Adakah Sufi bersimpati? Tadi ya dan sekarang hanya sipi-sipi. Dia hanya menyerigai giginya dan menyumpah-nyumpah dalam hati kerana berkemungkinan akan kehilangan ‘soulmatenya’ Izam kerana Hashir. Nyata sekali tidak berbaloi.

“Aku pengsan, Fi.”

Hah, satu lagi kenyataan yang dijadikan modal untuk menuntut simpati. Adakah ia berjaya? Masih sipi-sipi. Konklusinya, marah Sufi pada Hashir melampaui rasa simpatinya. Jadi, kebarangkalian untuk dia memaafkan Hashir atas bicara kasarnya tadi adalah kosong. Seumpama lagu nyanyian Najwa Latiff, Kosong.

“Aku tau,” balas Sufi.

“Habis?” soal Hashir.

“Habis apa?” soal Sufi kembali.

“Kau rasa?” soal Hashir.

Sufi menjongket bahu.

“Aku tak rasa apa-apa pun,” jawab Sufi, melanjutkan perbualan ganjil yang tidak bererti itu.

“Kau kejam,” tuduh Hashir.

Sufi menunjukkan air muka tak punya perasaan. Siapa sebenarnya yang kejam? Sufi atau Hashir sendiri? Dia yang menyebabkan Sufi tidak yakin dengan hubungan mereka dulu. Dia yang memaksa Sufi mengundur diri. Dia yang memaksa Sufi menipu Amira dan Adelia. Dia juga barangkali akan menjadi punca Sufi kehilangan Izam.

Jadi, siapa yang kejam? Bukankah Hashir sepatutnya memperbaiki kesilapan sendiri sebelum menuding jari kepada Sufi seakan-akan Sufi cuba membunuhnya? Hidup Sufi aman sebelum dia muncul kembali.

“Aku ingat kau dah lama tau,” sindir Sufi, bertemankan ego yang kian menebal meski tidak setebal ego Hashir.

“Aku bodoh sebab cintakan perempuan macam kau, separuh gila kejar kau dulu,” luah Hashir.

“Okay, aku bersetuju dengan statement yang kau bodoh. Tapi, bukan sebab cintakan aku sebab terlalu cintakan diri sendiri. Pernah tak fikirkan tentang orang lain selain diri kau, Hash? I’m doing fine without you. In fact, I’m doing great until you came into the picture. Semuanya tentang kau, kau dan kau! Kau tak fikir perasaan orang lain!” tempelak Sufi semula, menzahirkan perasaannya melalui bicara.

“Kau kejam, Fi,” luah Hashir, sekali lagi menuduh.

“Kau yang nak aku jadi kejam. Berapa kali kau tuduh aku itu dan ini. Kau nak aku kejam! Fine, aku boleh jadi lagi kejam dari kau! Jangan salahkan aku sebab kau yang paksa aku jadi macam ni,” balas Sufi.

“Jangan ugut aku, Fi! Kau kenal aku. Ini Hashir! Aku boleh musnahkan semua impian kau kalau aku nak,” ugut Hashir.

Daun pintu terkuak.

“Sufi? Hashir?”

Amira terkejut mendengar bunyi bising dari luar meskipun dia tidak tahu apa yang sebenarnya dibicarakan oleh Sufi dan anaknya. Dia dan Adelia melangkah masuk ke dalam. Masing-masing diracun curiga. Apatah lagi apabila melihat riak tertekan yang terlukis di wajah Sufi. Hashir pula melontarkan pandangan ke arah yang lain.

“Kenapa ni?” soal Amira.

Hashir mahukan drama? Fine! Sufi akan berikan dia drama yang melodramatik. Hashir mahu dirinya lolos dari paksaan mamanya agar menikahi calon pilihan keluarga? Fine! Sufi akan memastikan calon lain tak terlintas langsung dalam fikiran Amira. Biar Hashir yang tanggung akibatnya kelak.

Mahu atau tidak, Hashir kena terima kenyataan yang drama itu takkan ada kesudahan yang indah. Satu hari nanti, biar dia yang menelan akibat pahit kerana drama lakonannya sendiri. Penipuannya akan memakan diri. Hadzi dan Amira akan rasa tertipu. Adelia mungkin akan naik darah.

Sufi menguntum senyuman.

“Hash ni, aunty. Degil sangat. Orang suruh dia duduk hospital, bising-bising nak balik,” luah Sufi.

Air muka Hashir berubah.

“Hash degil sangat kenapa? Sufi ni risaukan kesihatan Hash. Mama nak Hash duduk diam-diam kat wad ni,” suruh Amira.

“Betul. Kalau duduk kat wad seminggu lagi elok. Demam panas ni bahaya, aunty. Takut kena sawan. Tak pun boleh jejaskan fungsi otak. Kesian,” celoteh Sufi sesuka hatinya tanpa disokong oleh fakta yang bernas.

“Hah?” luah Hashir.

Jejaskan fungsi otak? Sawan? Adakah dia sedang mengeluarkan fakta sahih atau sedang berdoa supaya Hashir menerima malapetaka itu. Entah, apalah yang Sufi merepek. Seminggu? Bukan main lama tempoh yang disarankan Sufi. Sejak bila dia mendapat status doktor bertauliah? Setahu Hashir, Sufi yang dikenalinya meminati subjek Matematik dan bahasa. Kalau ditanya tentang anatomi tubuh manusia, pasti dia akan tercengang-cengang untuk mencari jawapan.

“Hash tak maulah duduk sampai seminggu kat hospital ni. Bau ubat kuat. Lepas tu makanan tak sedap,” tolak Hashir.

“Kalau macam tu cepat-cepatlah baik,” sampuk Adelia.

Hashir menarik muka masam.

“Hashir ni suka buat orang risau. Menyusahkan betul. Dahlah, mama. Jom kita pergi minum dulu,” saran Adelia.

Amira mengangguk. Dia mengekori langkah anaknya ke luar.

“Kau ni, kenapa?” soal Hashir sebaik saja bayangan Adelia dan Amira menghilang di sebalik daun pintu.

“Suka hati akulah. Yang kau nak emo sangat ni kenapa. Kau kan hebat, tak payah makan ubat boleh baik,” balas Sufi.

“Eh, mengada!”

Sufi menjongket sebelah kening, tiba-tiba saja berlagak bagaikan Ziana Zain meskipun dia bukan artis popular, hanya setakat penulis lirik sambilan, bekerja di sebalik tabir. Tak siapa mengenali dirinya. Namanya mungkin pernah didengari ramai memandangkan nama penulis lirik seringkali tercatit dalam album dan video muzik. Tetapi, kalau dia berselisih bahu dengan peminat lagu yang ditulisnya sekalipun, mereka takkan mengenalinya.

Sufi mengerling ke arah Hashir sebelum melemparkan pandangan keluar tingkap.

“Kau tak nak makan ubat, ada aku peduli? Of course tak! Kau tak nak ambik injection, ada aku peduli? Memang taklah! Kau duduk sini seminggu, dua minggu atau tiga minggu sekalipun, ada aku peduli? Bukan setakat tak peduli, aku bersyukur sebab kau tak ada kat luar untuk menyusahkan hidup aku. Baguslah, kau duduk aje kat sini senyap-senyap!” ejek Sufi, berlagak kejam.

“Hei, perempuan gila!”

Sufi menjegilkan mata sepetnya biarpun ia tidak timbul sebulat mana. Mata Sufi memang sepet secara semulajadi.

“Apa?” soalnya.

“Kau ni dah melampau! Kau takut aku susahkan kau! Kau memang doakan aku sakit, kan? Entah-entah kau bomohkan aku! Kau yang sebabkan aku jadi macam sekarang ni!” marah Hashir.

“Indecisive pulak! Sekejap tuduh aku doakan supaya kau sakit! Sekejap cakap aku bomohkan kau! Tolonglah, Hash! Tak kuasa aku nak melayan kau! Fitnah orang lagi dahsyat dari bunuh orang. Berdoalah aku hidup sampai raya depan supaya kau boleh minta ampun,” sindir Sufi.

Sufi mengatur langkah ke pintu.

“Hah, nak ke mana tu?” soal Hashir.

“Perempuan gila ni nak pergi join mak mertua dengan kakak ipar dia pergi minum kat bawah sebelum dia betul-betul jadi gila. Kau tu, duduk sini diam-diam! Don’t be naughty!” ejek Sufi.

“Sufi!” panggil Hashir.

Sufi memekakkan telinga.

“Shit!” jerit Hashir sewaktu Sufi menolak daun pintu dengan kasar.

Hashir terus menekan punat di sebelah katil, meminta agar jururawat yang bertugas segera ke sana.

“Ya, encik?”

“Bagi saya semua ubat, injection, vaksin... Apa saja supaya saya boleh keluar dari hospital cepat. Kalau boleh, saya nak keluar malam ni jugak!” luah Hashir, bersungguh-sungguh.

“Tapi...”

“Pergilah panggil semua doktor yang kerja kat sini. Saya nak sembuh sekarang!” luah Hashir.

Jururawat tadi tercengang.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.