Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
42,703
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 6

Bab 6

“Mama kan dah cakap balik cepat. Kita ada tamu. Datin Maznah, Datuk Hazim dan Natalia. Kamu ni kalau mama pesan mesti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” marah Amira dalam nada suara yang terkawal, takut kalau-kalau didengari tetamu mereka yang sedang duduk di meja makan.

“Hash bukan sengaja lambat. Sufi ni, bersiap pun berjam-jam, takut nak jumpa mama,” luah Hashir sambil menolak daun pintu depan yang dikuak hanya sedikit tadi, menunjukkan yang dia tidak berseorangan.

“Siapa ni, Hash?” soal Amira.

“Mama, kenalkan... ni girlfriend Hash, Sufi. Sufi, yang vogue ala diva ni, mama Hash, Datin Amira,” luah Hashir.

Jelas dari riak yang terlukis di wajahnya, Sufi terkejut. Dia tak pernah tahu ibu Hashir berstatus datin. Sewaktu mereka berpacaran dulu, Hashir selalu merungut yang poketnya kering. Katanya, kereta mewah yang selalu dipandu ke sana sini adalah kereta kawan serumahnya yang selalu outstation.

“Salamlah,” suruh Hashir sambil pura-pura berdehem apabila Sufi hanya berdiri tegak bagaikan baru disampuk momok.

Sufi menghulurkan tangan, bersalaman dengan Datin Amira. Jantungnya terasa bagaikan hendak melompat keluar dari juntaian urat-urat darah. Wanita dalam usia 50-an itu memasamkan muka.

“Apa khabar, mak cik?” sapa Sufi.

Amira hanya mengangguk kepala sekali sebagai jawapan bisu. Dia menghampiri anaknya.

“Hash, kenapa buat macam ni kat mama?” soal Amira.

“Buat apa, mama?” soal Hashir, pura-pura tidak mengerti apa yang diperkatakan Datin Amira.

Bagi Hashir, dia tidak berdosa. Mama yang mahukan menantu. Dia sudah membawa bakal menantu mama ke rumah. Bukankah itu yang mama mahukan selama ini? Mengapa sekarang mama kelihatan marah? Kalau benar mama hanya mahu dia berkahwin, mama sepatutnya memberi kebebasan kepada dia untuk memilih calonnya. Yang akan berkahwin nanti dia, bukannya mama.

“Masuk bilik bacaan papa,” suruh Amira.

“But, ma... Hash laparlah. Jomlah, kita makan dulu!” luah Hashir dalam nada mengada. Dia sengaja mahu Natalia bertembung dengan Sufi. Untung-untung Natalia sendiri yang akan tarik diri.

“Now, Hash!” gesa mamanya.

Hashir dan Sufi melangkah naik ke tingkat atas rumah, mengikut jejak Amira sampai ke sebuah bilik yang dipenuhi dengan rak buku. Pelbagai jenis buku motivasi, programming, keagamaan, travelog dan ensiklopedia tersusun kemas di atas rak-rak di sekitar bilik. Ada seorang lelaki bercermin mata yang sedang duduk selesa di dalam, menghadap komputer ribanya berjenama Lenovo.

“Kenapa ni?” soal Hadzi.

“Anak awak bawa balik girlfriend,” jelas Amira.

Hadzi memandang Sufi dari atas ke bawah. Gadis itu tampak takut-takut, bagaikan si kancil yang sedang dijeling Pak Belang.

“Apa masalahnya?” soal Hashir.

Hadzi memandang Amira semula.

“Iyalah, Amira... Apa masalahnya kalau Hash bawa balik girlfriend nak kenalkan pada kita?” soal Hadzi, mengulangi soalan anak lelakinya.

“Isy, awak ni!” keluh Amira.

Amira menjeling ke arah suaminya, geram. Bapak borek, anak rintik. Dia pening kepala untuk memahami perangai lelaki-lelaki dalam rumahnya. Mereka selalu ambil mudah semua perkara.

“Masalahnya, kalau dia dah ada girlfriend, kenapa tak beritahu saya awal-awal? Kenapa bawa balik semasa kita dah jemput keluarga Natalia. Malulah Natalia kalau macam ni,” keluh Amira.

Hashir melangkah ke belakang ayahnya. Bahu ayahnya diurut-urut, mengharapkan ayahnya menyuarakan sokongan. Mungkin Hadzi tidak memegang veto dalam rumah itu. Namun, setidak-tidaknya dia boleh menyuarakan pendapat. Almaklumlah, ayahnya memiliki IQ yang tinggi. Pasti dia mampu melontarkan butir bicara bernas untuk menangkis kemarahan Amira. Kalau mama membantah juga, barulah Hashir pula yang akan tunjukkan keras kepalanya.

“Come on, pa,” luah Hashir dalam nada perlahan.

Hadzi tersenyum.

“Ada kita janji nak kahwinkan Hash dengan Natalia? Tak ada, kan? Sebelum ni kita hanya cakap pada Hash, kalau dia tak ada pilihan, kita sarankan supaya dia terima Natalia sebagai calon isteri. Apa yang nak dimalukan? Bukannya kita dah pergi rumah mereka meminang Natalia,” ujar Hadzi.

“Takkanlah mereka tak salah faham kalau kita asyik tanyakan Natalia. Awak ni pun satu, tak fikir tau malu yang kita dapat nanti. Tak baik buat kawan kita terasa hati, bang,” keluh Amira.

“Tak ada apa yang nak dimalukan, Amira. Kita hanya tanya-tanya. Bukannya dah confirm,” balas Hadzi.

Hashir tersengih.

“Betul tu,” sokong Hashir.

“Kau diam, Hash!” tengking Amira sehingga menyebabkan air muka Hashir berubah.

Hadzi tertawa.

“Manjakanlah anak awak tu! Manjakan!” marah Amira.

Hadzi pula yang terdiam kali ini.

“Pening kepala saya dengan orang lelaki rumah ni!” rungut Amira sambil mengusap dada. Mujurlah dia tak ada penyakit lemah jantung.

“Eh, awak yang berkehendakkan menantu! Nak salahkan orang lain pulak,” balas Hadzi.

Amira melepaskan nafas keras, marah.

“Natalia tu dah mengharap. Kalau Hashir ada pilihan, kenapa tak beritahu saya awal-awal? Tak payah kita bersusah payah sebelum ni!”

Daun pintu bilik bacaan dikuak.

“Mama, Datin Maznah cari,” luah Adelia. Dia tercengang sekejap, melihat gadis yang berskirt labuh yang sedang berdiri di sebelah Hashir.

“Siapa ni?” soal Adelia.

“Girlfriend Hash,” jawab Hadzi.

Adelia melopong. Dia cepat-cepat menutup mulutnya dengan tangan. Fikirannya tajam. Dia masih ingat wajah yang dilihatnya di paga facebook tempoh hari. Gadis itu Sufi, bekas teman wanita Hashir.

Mengapa Hashir membawa bekas teman wanitanya ke rumah mereka? Bukankah dia yang meninggalkan Hashir sampaikan adiknya itu mengamuk, marahkan semua perempuan sehingga berbulan-bulan lamanya? Sejak bila mereka menyambung semula perhubungan mereka?

“Dia ni..?”

“Shut up, Kak Lia. Jangan masuk campur urusan Hash!” luah Hashir dalam nada garang, melarang dari kakaknya bersuara.

Ayat Adelia dibiarkan tergantung, tidak dihabiskan kerana amaran Hashir. Diamnya bukan kerana takut tetapi malas untuk berdebat panjang. Nanti tak fasal-fasal tetamu mereka terdengar.

“Okay,” balas Adelia.

“Both of you wait here. Papa, jom turun bawah, minum kopi dengan keluarga Natalia,” luah Amira.

Dia menarik suaminya keluar dari bilik bacaan. Daun pintu tidak ditarik, membiarkan ia ternganga.

“Semuanya okay. Mama Hash suka Fi,” luah Hashir.

“Okay? Suka Fi?” luah Sufi, terkejut dengan kenyataan selamba yang dibuat Hashir tanpa berfikir panjang.

Bukankah Amira marah dengan kehadirannya tadi. Adakah Hashir merasakan dia buta, tak dapat melihat kenyataan yang sudah ada depan matanya? Atau mungkin Hashir yang rabun. Hashir hanya mahu mempercayai apa yang diingininya meskipun ia sekadar harapan palsu semata-mata.

Sufi sedar siapa dirinya kalau nak dibandingkan dengan Hashir. Lelaki itu miliki segala yang diidam-idamkan seorang wanita kalau ditolak dengan sifat buruknya. Apalah yang dikejarkan dengan Sufi? Sufi hanya gadis biasa, plain jane yang tak punya kelebihan apa-apa untuk dibanggakan.

“Trust me, Fi... Kalau mama tak suka Fi, dia dah halau kita keluar tadi. Dia suruh kita tunggu, maknanya dia suka Fi.”

“Hash dah gila!” tuduh Sufi.

“Boleh tak berhenti cakap Hash dah gila,” marah Hashir.

“Oh, dulu... hari-hari Hash cakap Sufi gila tak apa pula. Kalau orang kata Hash, marah,” tempelak Sufi kembali.

“Hah, berdendam!” sindir Hashir.

Sufi menarik muka masam.

“Buatlah muka masam tu. Buat! Macam asid,” ejek Hashir.

“Kalau tak cakap, tak boleh? Menyakitkan hati aje! Lagi senang kalau Hash tutup aje mulut,” marah Sufi.

Tangan Sufi meraba ke sebelahnya, mencari handbagnya. Oh, tidak! Dia tertinggal handbagnya di rumah. Dia berlenggang kosong ke sana. Handphone dan pursenya tertinggal di atas katil. Dia menampar dahi sendiri.

Bodohnya kau, Sufi! Cetus hatinya. Barangkali Izam sedang cuba menghubunginya sekarang. Dia tidak sempat memberitahu lelaki itu yang dia tidak dapat untuk pergi menonton dengan dia dan ibunya. Ia pasti meninggalkan impresi buruk di mata ibu Izam. Sufi sudah berjanji tetapi tidak pula menepatinya.

“Kau kenapa macam cacing kena bakar ni?” soal Hashir.

“Lupa handphone,” keluh Sufi.

“Nak pinjam handphone?” soal Hashir.

Sufi memuncungkan bibir, mengalihkan pandangan ke arah yang lain. Dia tak mahu memandang Hashir.

“Tak payah!”

“Takut Hash dapat nombor telefon ex-boyfriend Fi?” soal Hashir.

Mata Sufi membulat, terkejut dengan soalan Hashir. Dasar muka tak malu! Berani benar dia memanggil Izam ex-boyfriend Sufi. Mereka belum sampai ke status kekasih, sudah digelar bekas kekasih. Sedarkah Hashir yang dia yang sebenarnya bekas kekasih Sufi, bukan Izam. Izam masa depan Sufi sedangkan Hashir hanyalah sejarah.

“Boyfriend! Bukan ex!” marah Sufi.

“Tak lama lagi, exlah,” sindir Hashir.

Sufi menjeling.

“Jangan mengarut, boleh?” balas Sufi.

“Bukan kau perempuan yang macam tu? Perempuan murahan. Sekejap nak, sekejap tak nak. Semua orang kau main-mainkan. Masa dengan aku pun, lima kali kau mintak putus kan? Sebab tu kau ada banyak ex. Sebab cinta kau tu murah sangat. Dasar perempuan gila. Perangai macam hampeh,” tuduh Hashir.

“Kalau aku hampeh, yang kau cintakan aku dulu kenapa? Yang kau kejar aku kenapa?” soal Sufi kembali, bengang.

Hashir membalas jelingan Sufi.

“Sebab aku bodoh!” luahnya dalam nada marah. Hanya orang bodoh yang akan menyukai Sufi.

“Hah, sedar pun!” tempelak Sufi.

Hashir terdiam.

Mereka duduk bertentang, membelakangi antara satu sama lain. Di hati mereka disumbat benci. Hashir melangut ke siling. Sufi menundukkan muka ke lantai. Masing-masing mati bicara. Mereka tertanya sendiri, mengapa mereka masih berpijak di lantai yang sama, berteduh di bawah siling yang sama?

Adakah arahan Amira yang menyekat mereka ataupun sebenarnya mereka sendiri masih keliru untuk mencerna situasi yang pelik itu? Mereka tak tahu apa reaksi Amira selepas dia kembali ke sana nanti.

“Fi nak kena balik sekarang juga,” luah Sufi, bagaikan baru tersedar dari mimpi panjang.

Sufi tak mahu berada di sana. Dia tak boleh berada di sana. Hatinya sudah disauhkan pada Izam. Dia mengharapkan hubungan mereka kekal sehingga ke jinjang pelaminan yang indah. Sufi tak mahu kecundang lagi. Dia takkan membiarkan Hashir melunyaikan mimpi-mimpi indah yang baru hendak dibinanya.

“Tunggu!” tegah Hashir.

“Apa lagi?”

“Kau kena tolong aku. Kau kena tunggu sampai kita boleh yakinkan mama yang kau teman wanita aku. Aku tak mahu kahwin dengan Natalia. Dia sama spesies dengan kau. Mati aku nanti,” cetus Hashir.

Sufi menahan geram.

“Kalau dia sama spesies dengan aku, kau nak risau apa? Nanti dia tinggallah kau. Kau benci sangat kat aku kan, bagilah aku balik,” balas Sufi.

“Memang aku benci. Tapi, tak boleh! Kau tak boleh balik sekarang! Kau kena tolong aku sampai semua ni selesai.”

Sufi duduk semula. Dia mengengsot ke sebelah meja, bersandar pada kaki meja kayu jati Hadzi. Ada air jernih yang merembes keluar dari kolam matanya. Dia sebak menahan tuduhan Hashir.

Adakah hanya dia yang bersalah? Kalau benar Hashir tidak sanggup melepaskannya dulu, mengapa Hashir tak pernah cuba meyakinkan dia? Mengapa Hashir membiarkan dia berlalu pergi?

Suara tersedu-sedan Sufi membuatkan Hashir tak senang duduk. Dia mencapai kotak tisu dari atas meja. Dia mengambil sehelai darinya dan mengengsot, menghadap Sufi yang sedang mencebik sedih. Tisu tadi mahu digunakan untuk mengesat air mata Sufi yang sudah mahu luruh bersama eye-liner coklatnya.

“Jangan sentuh Fi!” marah Sufi.

Hashir menarik balik tangannya. Matanya membulat, terkejut melihat rupa marah Sufi. Gadis itu kelihatan bengang.

“Janganlah!” marah Sufi sewaktu Hashir menempekkan jua tisu tadi ke pipinya. Air mata Sufi dikesat sampai habis sambil Sufi mengelak-ngelak.

Kasihan pula rasanya apabila melihat Sufi menangis. Macam manalah dia hendak membalas dendam kalau melihat Sufi menangis sedikit sudah melumpuhkan semangatnya. Dendam ke mana. Benci ke mana. Walhal dia juga yang beriya-iya mengakui yang sudah tidak cintakan gadis itu lagi.

Ah, ini kerja gila! Dia tidak boleh tunduk pada Sufi! Dia tidak boleh mengalah. Sufi berdosa kerana mencalarkan perasaannya, memusnahkan cinta mereka. Perbuatan jahat Sufi perlu dibalas dengan jahat juga. Biar Sufi tahu langit itu tinggi ataupun rendah. Kalaupun rendah, pasti tidak serendah Sufi, cetus hati hangat Hashir.

“Fi, tak payah nangis, boleh? Nampak macam katak kembung muka tu. Menyampah aku,” ejek Hashir.

Makin galak Sufi menangis sewaktu mendengar ejekan Hashir. Dia menangis semahu-mahunya bagaikan anak kecil. Hashir mulai menggelabah. Dia memandang ke pintu, takut kalau mama dan papanya muncul dan menuduh dia cuba mengapa-apakan Sufi. Kalau Adelia nampak, buruk juga natijahnya. Pasti kakaknya yang bermulut laser itu akan mencanang satu dunia kisah peribadinya dan Sufi.

“Syyhh...”

“Jangan sentuh aku!” marah Sufi sewaktu Hashir cuba menyentuh tangannya, mahu memujuk dia berhenti menangis.

Secara drastik, Hashir memasukkan tisu yang dipegangnya ke dalam mulut Sufi. Cari pasal, salah. Pujuk pun salah. Apa sajalah yang Sufi mahukan? Nak kata tolol, berpelajaran tinggi. Tetapi, apabila menangis, tak ubah seperti budak hingusan yang belum layak masuk ke sekolah tadika. Apalah yang digilai sangat pada gadis itu?

Sufi meluahkan tisu itu kembali sambil terbatuk-batuk. Hashir memang kejam, tuduh Sufi di dalam hati. Sudahlah lelaki itu menyakitkan hatinya, sekarang cuba menyumbat tisu ke anak tekaknya pula.

“Kau nak bunuh aku ke?” soal Sufi.

“Tak ada orang mati sebab tercekik tisu,” balas Hashir, yakin sungguhpun dia sendiri tidak pasti dengan fakta itu. Banyak kejadian pelik di dalam dunia yang kekadang susah untuk dicerna fikiran waras.

Sufi menjeling.

“Kenapa kau minta break-up dengan aku sampai lima kali? Teruk sangatkah aku ni?” soal Hashir, ingin tahu.

Soalan itu tak pernah diajukan kepada Sufi sebelum ini. Dia ego untuk mencari jawapannya. Kerna itu, dia tidak pernah bertanya. Tetapi, entah mengapa hari ini, dia rela menundukkan egonya sedikit. Semangat ingin tahunya mengatasi egonya yang berlapis-lapis. Hashir memilih untuk bertanya.

Sufi berhenti menangis sekejap. Nafasnya rasa tersekat-sekat dek kerana hidung yang sudah bersumbat hingus.

“Memanglah Hash teruk. Kalau Hash tak teruk, takkanlah Fi nak mintak break-up... Fi benci Hash! Benci sangat-sangat!” cetus Sufi sambil menahan sebak. Dia kecewa kerana ditemukan dengan lelaki bernama Hashir itu. Kerana enam puluh dua hari itu, dia hidup tertekan sehingga sekarang.

“Hash? Sufi?” panggil Adelia, terkejut melihat gelagat mereka berdua.

Amira dan Hadzi menyusul di belakang. Barangkali tetamu mereka sudahpun pulang ke rumah.

“Kenapa nangis?” soal Amira.

Hashir menelan air liur. Kalau tersilap langkah, pecah tembelangnya. Si Adelia bukannya boleh diharap. Nanti tak pasal-pasal dia terlepas cakap kalau Hashir mengajak dia berkomplot sama. Hashir perlu melakonkan drama itu sendiri, tanpa bantuan Adelia mahupun kawan baiknya, Azhan. Dia perlu memastikan rancangan yang direncanakan dalam otak dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Lebih sedikit jumlah orang yang tahu, lebih rendah risiko perkara sebenar sampai ke pengetahuan mamanya. Amira seorang yang teliti dalam serba-serbi. Kalau dia dapat menghidu idea jahat Hashir, entah-entah disuruhnya Hashir kahwin dengan Natalia esok. Tidak! Hashir tak mahu!

“Sebab mama tak restu hubungan kami. Sebab itulah Sufi nangis. Hashir penat-penat pujuk dia datang sini, mama kurung dia dalam bilik, tak bagi dia keluar. Mama kejam,” rungut Hashir.

Sufi terkedu. Sungguh dramatis ayat Hashir. Sufi tidak sangka dia mempunyai bakat hebat dalam bidang lakonan. Barangkali dia boleh terjun ke bidang lakonan kalau dia malas untuk bekerja di pejabat. Kalau? Bukan kalau. Hashir sememangnya pemalas. Tetapi, sebenarnya berlakon sendiri memerlukan kerja keras.

“Ala, kesiannya,” luah Amira sambil melangkah ke arah Sufi. Dia menghulurkan tangan, membantu Sufi bangun dari bersimpuh atas lantai.

“Sufi, mama ni bukan marahkan Sufi. Cuma mama tadi terkilan sebab Hash tak beritahu mama dulu. Hash malukan mama sebab mama dah jemput Natalia ke sini sebab nak rapat dengan keluarga dia. Kalau Hash berterus-terang dari awal yang dia dah ada girlfriend, tak adalah timbul masalah ni,” jelas Amira.

“Mama ni macam-macamlah,” keluh Hashir.

Amira menarik anak rambut Sufi yang jatuh ke depan muka. Manis wajah itu. Wajah yang melembutkan pandangan mata. Mungkin kerna itu anaknya terjerat hati menyintai gadis bernama Sufi itu.

“Dah berapa lama kenal Hash?” soal Amira dalam nada lembut.

“Tiga... tiga tahun,” jawab Sufi dalam suara yang terketar. Dia takut untuk memandang tepat ke mata Amira. Takut dia tidak sampai hati untuk berbohong. Mamanya mengajar dia selalu bercakap benar sejak kecil. Walaupun kebenaran kekadang tidak sedap untuk didengar, ia lebih baik dari menipu. Kata orang, honesty is the best policy biarpun sepahit mana terpaksa menelan sakit.

“Uish... dah lama tu. Pandai Hash sorokkan dari mama ya,” luah Amira sambil mengerling ke arah Hashir.

“Bukan dia ni...” luah Adelia tetapi dihentikan jelingan geram Hashir. Ayatnya tergantung lagi.

Adelia memandang Hadzi dengan seribu satu soalan yang bersarang dalam fikiran. Mungkinkah papanya tahu yang Hashir sedang berdusta? Adiknya memang banyak ragam dari kecil, suka menyusahkan semua orang. Tetapi mereka sekeluarga tetap menyandarkan harapan tinggi terhadapnya.

Hadzi hanya membalas dengan menjongket bahu. Dia tidak tahu apa-apa tentang hubungan Hashir dan Sufi. Hashir seorang perahsia. Takkanlah dia hendak menceritakan soal cintan-cintun dengan orang tuanya.

“Sufi sayangkan Hash?” soal Amira meskipun dia tahu ia soalan bodoh apabila ditanyakan kepada dua anak muda yang sedang dibuai asmara. Dia sendiri pernah berapa berada dalam posisi itu suatu ketika dulu.

Sufi memandang Hashir yang sedang memberikan isyarat mata agar dia menjawab. Dalam keadaan serba salah, dia menganggukkan kepala.

“Macam mana kenal Hash?” soal Amira.

“Tiga tahun lepas, Sufi makan kat satu kedai makan ni. Masa tu, Hash datang tegur Sufi. Sufi takut. Sufi tak cakap dengan dia dan lepas makan terus lari pergi kat kereta. Tapi, Hash tunggu depan kereta, dia cakap dia nak berkenalan...” jelas Sufi.

“Lepas tu kamu berdua berkenalan?” soal Hadzi.

Sufi menggelengkan kepala.

“Lepas tu saya report polis,” jawab Sufi dengan jujur.

Adelia ketawa besar tetapi cepat-cepat menahan tawa apabila menyedari Hashir sedang menjeling. Oh, dia tidak menyangka yang Hashir segila itu. Cerita Sufi lebih realistik dari cerita Azhan. Almaklumlah, Sufi saksi utama.

“Lepas tu?” soal Amira, terkejut.

“Lepas tu, Hash kena tahan dengan polis sekejap. Azhan jamin Hash dari lokap. Kemudian, dia datang cari saya, pujuk saya gugurkan tuduhan pada Hash,” cerita Sufi dengan panjang lebar.

“Lepas tu, kamu berdua berkenalan?” soal Hadzi lagi.

“Tak, lepas tu... Hash tunggu depan pejabat saya. Sampai saya takut nak balik rumah. Mula-mula tu saya ingat dia serial killer. Tapi, dia tak ada buat apa pun pada saya. Dia cuma, selalu ajak saya berbual, teman saya jalan ke kereta.”

Amira menelan air liur.

“Lepas tu, kamu berdua mula berkawan?” soal Amira.

Sufi menggelengkan kepala.

“Lepas tu, saya marah dia. Saya suruh dia jangan tunggu saya depan office lagi,” jawab Sufi.

“Habis, bilanya kamu berdua mula berkawan?” soal Hadzi.

“Dua tiga hari lepas tu, kereta saya rosak. Lepas tu Hash tolong. Lepas tu baru kami berkawan,” tambah Sufi.

“Betul tu, mama. Sayalah yang rosakkan kereta si Sufi sebenarnya,” umum Hashir tanpa berselindung.

Hashir tersengih, bangga mengumumkan kenyataan itu. Ya, dia telah berjaya memperdayakan Sufi dengan mudah. Sufi menyangkakan yang bateri keretanya sudah lumpuh padahal Hashir yang menanggalkan wayar yang menghubung bateri keretanya. Hashirlah dalang segala-galanya.

“What?!” luah Sufi. Membulat mata sepetnya.

Hashir memandang dengan wajah selamba. Baginya, tak ada sebab untuk Sufi berang. Perkara itu sudah lama berlalu. Lagipun, Sufi yang salah kerana mempercayainya bulat-bulat. Sufi sepatutnya mendapatkan penjelasan dari seorang mekanik bertauliah, bukan seorang kaki lumba yang sanggup berbuat apa saja untuk mencapai matlamatnya. Dia sendiri tahu Hashir sedang berusaha keras untuk memikatnya.

“You did what..? Hash yang rosakkan?!” tengking Sufi.

Hadzi dan Amira sama-sama melopong dan berpandangan antara satu sama lain. Adelia pula menyambung tawa, terasa kelakar mendengar insiden itu. Ia bukan sesuatu yang mustahil. Adelia sudah lama tahu yang adiknya hanya separa waras. Dia sanggup melakukan apa saja asalkan berjaya memenuhi hajatnya.

Pang! Satu tamparan hinggap ke pipi Hashir. Merah pipinya dengan kesan cap tangan yang tidak dapat ditempah khas di mana-mana kedai cop. Ia cop mohor besar Sufi. Cop mohor yang tak pernah dihadiahkan kepada mana-mana lelaki sebelum ini. Hashir adalah lelaki yang pertama.

“What is that?!” jerit Hashir sambil mengusap pipi.

“Idiot!” tengking Sufi.

Tanpa menanti bicara Hashir, Sufi terus bersalaman dengan Amira dan Adelia. Hashir seolah-olah tidak ada di sana. Wajah yang tadi berang dimaniskan sekejap ketika sedang bersalam dengan keluarga Hashir.

“Saya minta diri dulu, uncle, aunty, kak,” luah Sufi, kontra dengan gadis yang baru menengking Hashir sebentar tadi. Dia terus berlari keluar.

Amira dan Adelia sama-sama tergamam. Bagaimana gadis yang menjerit, menengking Hashir bagaikan orang terkena histeria boleh berbicara dalam nada sopan secara tiba-tiba? Sufi berubah wajah dalam sekelip mata. Dia bagaikan seorang pesakit psikologi yang mempunyai masalah dua perwatakan.

“Mama, dia calon yang paling sesuai untuk Hash. No wonder Hash sayang sangat dengan dia. Adik aku gila, bakal adik ipar pun gila jugak,”cetus Adelia sambil menepuk-nepuk bahu Hashir.

“Shut up, Kak Lia!” tengking Hashir yang masih mengusap-usap pipinya yang berdenyut sakit.

“Dah malam ni. Hash tak nak hantar dia balik?” soal Hadzi sambil menjuihkan bibir ke pintu.

Sebetulnya, Hadzi masih celaru dengan insiden tadi. Masih belum mampu mencerna kisah melodramatis yang dipertontonkan di depannya.

Sekejap menangis. Sekejap menengking. Sekejap sopan. Apa nak jadi anak muda zaman sekarang? Banyak sangat ragamnya. Agaknya sudah terlebih makan ajinamoto sampaikan mengganggu sel-sel otak. Kasihan.

Zamannya dulu senang. Kalau sudah suka, berkawan sekejap dan kemudian hantar rombongan meminang. Tak payah tunggu sehingga tiga tahun. Kahwin bukan saja menyatukan dua insan dan dua keluarga tetapi jua menjauhkan mereka dari menjadi fitnah mulut-mulut celopar.

“Tak nak,” jawab Hashir ringkas.

“Hash, dia kan girlfriend kau. Kau tak risaukah dia balik seorang malam-malam buta ni?” soal Amira pula.

“Pandai-pandailah dia cari jalan balik sendiri. Sesuka hati aje nak tampar-tampar orang. Ingat anak patung ke apa? Sakit pulak tu. Tangan kecik, tapi berbisa,” luah Hashir yang masih bengang.

“Eh, dia marah sebab kau yang cari pasal dulu! Yang kau rosakkan kereta dia kenapa?” soal Amira.

“Kalau saya tak rosakkan kereta dia, ingat dia nak ke berkenalan dengan saya?” soal Hashir.

Amira menggelengkan lemah. Dia tak dapat menerima kelakuan anak lelaki tunggalnya itu.

“Sufi tu lain macam sikit. Dia tak pandang pun kad kredit saya, kereta Merz yang mama dan abah belikan. Kalau saya tak buat macam yang saya buat, sampai bila pun saya tak dapat kawan dengan dia,” tambah Hashir.

“Pergilah pujuk dia, Hash,” suruh Amira.

Hash menarik muka masam.

“Tak naklah! Tak kuasa saya nak layan perempuan meroyan. Biarlah dia sejuk sikit. Esok-esok baru saya pergi. Saya nak masuk tidur,” cetus Hashir sambil melangkah ke biliknya. Daun pintu dihempasnya kuat.

“Hash!” panggil Amira keras.

“Tak payahlah pedulikan si Hash tu, ma. Bukannya dia nak dengar pun nasihat orang,” celah Adelia.

“Tengoklah anak awak tu, bang!” rungut Amira.

Hadzi tersengih.

“Iyalah, kalau dia buat baik, anak awak. Time dia buat perangai, anak saya,” balas Hadzi acuh tak acuh.

Amira memuncungkan bibir.

“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” luah Hadzi sambil memikirkan sikap keras kepala isterinya sejak muda.

“Apa awak cakap?” soal Amira sambil memulas daging pejal di lengan suaminya.

Hadzi tersengih.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.