Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
42,701
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 11

Bab 11

Seminggu kemudian...

Bau aroma sup ayam menusuk ke rongga hidung Akma, menyebabkan dia tak senang duduk. Matanya masih difokus pada kaca televisyen meskipun hatinya merayu-rayu agar dia melangkah ke dapur. Ah, dugaan itu maha hebat! Kalau imannya tidak kuat, pasti dia sudah berhenti melakukan senam aerobik.

Sufi melangkah keluar ke meja makan sambil membawa bekalan yang tidak ditutup rapat. Hidangan yang masih berasap itu membuatkan Akma mengeluh panjang. Dia pasrah juga akhirnya. Video senam aerobik yang ditontonnya dipausekan.

“Nak juga,” luah Akma.

“Kat dapur banyak,” luah Sufi.

Akma menjuihkan bibir ke arah sup ayam yang sudah disenduk ke dalam tupperware yang diletakkan atas meja.

“Yang ni?” soal Akma.

“Untuk Izam,” jawab Sufi sambil mengukir senyuman. Dia menekan penutup tupperware dan memasukkannya ke dalam beg kain.

Akma menjungkit kening.

“Kenapa kau masak untuk dia?”

“Mak Izam call tadi. Dia cakap Izam demam panas, sampai tak boleh bangun. Aku nak pergi tengoklah ni,” balas Sufi.

“Sayangnya kau kat dia,” sindir Akma.

Sufi senyum lagi.

“Bakal suami aku kan?”

“Hey!” tempelak Akma. Dia mencuit lengan Sufi yang dirasakan mengada. Tak pernah dia mendengar Sufi menggedik seperti itu.

“Belum jadi suami lagi. Tak payah nak melebih,” ejeknya.

Sufi menunjukkan air muka mengejek, tidak hairan dengan tegurannya. Dia tahu Akma tidak memaksudkannya. Akma yang gembira benar apabila mendapat tahu dia akan menamatkan zaman bujangnya. Akma yang beriya-iya menawarkan diri untuk menjadi pengapit. Sufi tahu Akma merestui hubungannya dengan Izam. Sahabat baik merangkap teman serumahnya itu sememangnya prihatin.

“Fi, telefon,” luah Akma apabila melihat skrin handphone Sufi yang ditempatkan atas meja menyala. Agaknya Sufi memilih mode silent. Sebab itulah, nada deringnya tak dapat ditangkap telinga.

Sufi memandang muka skrin.

“Siapa Aunty Amira?” soal Akma, menyibuk seperti selalu.

“Mama Hash,” jawab Sufi.

Amira tercengang.

Sufi terus mengangkat handphone dan melangkah ke dapur, mencari privasi. Walhal Akma mengekorinya sampai ke ruangan belakang. Akma mahu tahu apa yang akan dibualkannya dengan mama Hashir.

Pelik. Bukankah Sufi dan Hashir sudah berpisah? Kenapa dia masih berhubung dengan ibu lelaki kurang siuman itu? Apa hubungan Sufi dan Hashir sekarang? Bukankah Sufi sudah memilih Izam sebagai calon suaminya? Mungkinkah ada sesuatu yang dirahsiakan Sufi dari pengetahuan Akma?

“Assalammualaikum,” luah Amira sewaktu panggilannya berjawab.

“Waalaikummussalam,” jawab Sufi, serba salah. “Aunty apa khabar? Sihat?” soalnya ramah.

“Fi kat mana? Banyak kali mama suruh Hash bawa Fi ke rumah. Kenapa lama tak datang rumah mama?” soal Amira.

“Fi kat rumah. Maaf, aunty. Fi sibuk sikit.”

“Boleh tak Fi datang sini?” soal Amira.

Sufi terdiam sekejap.

“Err.. Sebenarnya, Fi nak ke rumah kawan. Kawan Fi tak sihat. Fi nak pergi melawat,” jawab Sufi.

“Fi, sebenarnya Hash pun tak sihat juga. Dia demam panas. Mama dengan Lia nak bawa pergi hospital tapi dia degil. Dia tak bangun langsung dari pagi tadi. Dari semalam dia merungut sakit kepala dan sengal belakang. Tak sangka pula melarat sampai jadi demam. Sebab tu mama ingat nak suruh Fi datang, pujuk dia,” jelas Amira.

“Aunty, Sufi tak berani janji. Sebab belum lagi bertolak ke rumah kawan. Tak tau nanti pulang pukul berapa,” jawab Sufi.

“Oh, macam tu...” luah Amira dalam nada kecewa. “Tapi, boleh tak Sufi datang sekejap lepas balik nanti. Sekejap pun jadilah.”

“Kalau Fi balik awal, Fi singgah ya. Fi minta maaf sangat-sangat. Sebab Fi dah janji dengan keluarga kawan nak ke sana,” jelas Sufi.

“Tak apalah. Kami tunggu. Nanti kalau Sufi dah on the way, call beritahu mama ya,” pinta Amira.

“Okay, kalau Fi jadi pergi, Fi call dulu,” luah Sufi meskipun dia tahu ada hati yang terguris dengan jawapannya.

Apa dayanya. Sufi sudah terlebih dahulu menabur janji pada wanita lain untuk melawat anaknya. Sufi mahu mendahulukan janji itu dulu sebelum yang lain. Wanita itu bakal bergelar mertuanya, harus dilayan bagaikan ibu sendiri suatu hari nanti. Sedangkan Amira pula ibu kepada bekas kekasihnya, lelaki yang akan dipadamkan terus namanya dari kotak fikiran satu hari nanti.

“Kenapa ni, Fi? Kenapa mama Hash call kau?” soal Akma selepas Sufi mengucapkan selamat tinggal kepada Amira.

“Hash demam panas juga. Aunty Amira suruh aku ke sana pujuk Hash ke hospital,” jelas Sufi.

“Kau nak pergi?” soal Akma.

Sufi menggelengkan kepala.

“Kalau dia teruk macam mana?” soal Akma, menyibuk.

Sufi terdiam sejenak.

“Takkanlah aku nak pergi pujuk Hash. Bakal suami aku sendiri tengah sakit sekarang,” jawabnya.

Sufi mengangkat beg kain tadi selepas memasukkan satu lagi tupperware berisi bubur. Kunci keretanya dicapai dari atas rak buku di ruang tamu. Ada picisan rasa dalam hati yang masih merisaukan Hashir. Tetapi, dia menidakkan rasa itu. Sufi perlu memilih antara dua. Dia tak mampu berada di dua tempat dalam satu masa. Ah, tubuhnya tak boleh dipotong dua tanpa memisahkan ia dengan nyawanya!

“Aku dah nak pergi ni,” luah Sufi.

“Betul kau tak nak tengok ex gila kau tu dulu? Manalah tau kalau-kalau dia lagi teruk dari Izam?” soal Akma.

Sufi menggelengkan kepala.

“Okaylah kalau macam tu. Jangan menyesal pulak nanti,” balas Akma. “Aku habiskan ya nanti, baki bubur dan sup ayam ni.”

Sufi tersenyum.

“Makanlah, Akma. Tak ada orang larang pun,” balas Sufi sambil melangkah ke pintu, meninggalkan Akma yang dilihatnya sedang mencedok sup ayam ke dalam mangkuk putih yang diambil dari rak di sebelah sinki.

Beberapa minit kemudian, deruman enjin kereta Sufi kedengaran. Kereta Myvinya membelok ke jalan utama, berlari dalam kelajuan sederhana meredah MRR2 yang dipenuhi kereta. Fikiran Sufi terbang sekejap walau matanya masih difokuskan ke depan sana, mengenang detik bersama Hashir dulu.

“Fi demam,” luah Sufi.

Hashir menunjukkan muka selamba.

“Oh..” ucapnya sepatah sambil memerhatikan kereta Peugeot edisi terbaru yang dipamerkan di ruang legar sebuah pasar raya terkemuka.

“Fi tak larat nak jalan jauh,” luah Sufi.

“Hash rasa macam nak belilah satu kereta ni, Fi. Tapi, tak ada duitlah,” luah Hashir tanpa mempedulikan bicaranya.

“Hash, Fi nak balik,” luah Sufi.

“Fi, sakit ni, kita tak boleh layan sangat. Lagi dilayan, lagi teruk jadinya. Fi jalan aje macam biasa, pura-pura macam tak sakit. Nanti lama-lama eloklah tu,” luah Hashir sambil membelek bronchure kereta yang baru diambilnya. Matanya tampak teruja melihat gambar-gambar contoh model kereta dalam gambar yang datang dalam beraneka warna. Sport rim yang dibekalkan sekali untuk model special edition membuatkan matanya terpaku pada bronchure.

“Hash, Fi betul-betul tak larat dah,” luah Sufi, mengharapkan pengertian. Dia sudah terlalu letih untuk melangkah. Kalau dia dipaksa jalan lagi, barangkali dia akan jatuh terduduk di situ.

“Fi tunggu sinilah. Hash pergi tengok kereta. Kejap lagi Hash datang balik,” luah Hashir. Dia menoleh sekejap, memandang Sufi. Kemudian, dia terus melangkah pergi, meninggalkan Sufi sendirian di sana. Dia memilih Peugeot dari gadis yang beriya-iya dipikatnya bulan lepas.

Dalam diam, Sufi memandang lelaki yang tampak sangat obsess dengan kereta yang sudah menapak jauh di depannya. Adakah kereta-kereta itu lebih penting dari Sufi sendiri? Kereta itu hanya mesin ciptaan manusia. Tak kiralah bagaimana rupanya atau berapa harganya, fungsinya adalah untuk membawa manusia dari satu point ke point lain. Dia manusia, punya hati dan perasaan yang lebih rapuh. Tak bolehkah Hashir melebihkan dia? Sufi menahan sebak. Dia tahu dia tak punya masa depan dengan lelaki itu.

“Gila! Kenapa aku nak rasa bersalah kat mamat tu? Dulu, dia layan aku macam sampah! Kenapa aku perlu risau? Come on! Wake up, Fi! Cukuplah dia perbodohkan kau dulu,” luah Sufi kepada dirinya sendiri, mematikan kenangan lama mereka yang berputar dalam kotak fikirannya. Dia cuba mengejutkan dirinya, menyedarkan dirinya agar tidak tertipu lagi.

Keretanya dibelokkan ke arah Puchong. Dia masuk ke persimpangan Saujana Puchong. Beberapa orang kulit hitam sedang berdiri di bahu jalan, berbicara dengan seorang perempuan warga tempatan. Ia bukan sesuatu yang pelik. Sudah banyak orang Malaysia yang berkahwin dengan orang Afrika. Kata mereka, warga asing lebih sensitif tentang perasaan kaum wanita dari lelaki Melayu.

Kata orang cinta itu buta. Ada pula yang berpendapat orang yang bercinta itu yang buta. Sufi merasakan sebaliknya. Manusia celik, sebab itulah kita berupaya untuk jatuh cinta. Ada yang celik dengan kecantikan atau gaya seseorang itu. Ada yang celik dengan duit ringgit orang itu. Ada pula yang celik dengan kebaikan seseorang itu. Cinta bagaikan bongkah yang mempunyai banyak permukaan. Ia terlalu subjektif.

Satu yang pasti, cinta boleh membawa kemudaratan kalau tidak dikawal otak yang waras. Boleh jadi, cinta juga jadi penyebab penyakit sosial manusia kini sudah semakin melarat. Pemikiran manusia sudah semakin sakit. Cinta duit. Cinta kuasa. Cinta nafsu. Cinta membawa kepada obsesi yang melampau.

Mungkinkah kesilapannya, warga Malaya sudah berfikiran terlebih terbuka. Berfikir terbuka baik untuk perkembangan negara. Tetapi, apabila rakyat berfikiran terlebih terbuka, ia mengundang masalah. Terlebih itu tidak sentiasa membawa kebaikan.

Pelik kalau difikirkan kembali. Pada zaman sekarang, individu yang terlibat dalam kes pornografi boleh diangkat menjadi pemimpin. Orang yang menghina negara sendiri mendapat tempat di sisi masyarakat, mendapat dana untuk menjadi pengarah filem dan gah mendapat nama melalui media massa. Sukan yang dulunya dipopularkan untuk mempromosikan cara hidup sihat dan persaingan sihat kini mengundang bahaya. Sifat obses manusia terhadap sukan boleh mengundang kejadian tumbuk-menumbuk.

Fikiran Sufi berhenti memikirkan kisah-kisah pelik itu. Sampai sahaja di sebuah rumah teres bernombor 20 di Saujana Puchong, Sufi terus mematikan enjin kereta dan melangkah keluar. Beg kain yang ditempatkan atas seat belakang dibawa keluar bersamanya sebelum menekan controller untuk mengunci pintu secara automatik.

“Assalammualaikum,” ucap Sufi sambil membuka selak pagar. Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah.

“Waalaikummussalam,” jawab Rahmah.

“Mak cik apa khabar?” soal Sufi sambil menyalami tangan Rahmah dengan penuh hormat. Dia dihadiahkan dengan satu pelukan mesra dan kucupan di pipi.

“Sayangnya, bakal menanti mama ni,” luah Rahmah.

Muka Sufi merah padam.

“Zam, Sufi dah sampai,” jerit Rahmah.

Derap bunyi kaki kedengaran. Izam melangkah turun dari tingkat atas. Dia mengukir senyuman. Dahinya bertampal koyok dengan lingkaran hitam yang mengelilingi matanya. Bibirnya tampak kering.

“Ala..kesian dia demam. Dah dua hari MC pun nampak tak sihat lagi,” ucap Sufi sambil mengukir senyuman.

“Kesian aje?” soal Izam sambil duduk atas sofa, bertentangan dengan Sufi. Wajah Sufi menyejukkan hati. Terbang sekejap rasa sakitnya.

“Sup ayam ada. Bubur ada. Buah pun ada,” luah Sufi sambil mengeluarkan bekas-bekas makanan yang dibawa bersamanya.

Izam tidak memandang. Matanya tersangkut pada wajah Sufi.

“Sufi pun ada,” ucapnya.

“Ngada,” ejek Sufi. Dia mengekori Rahmah ke dapur, mengambilkan mangkuk dan sudu untuk Izam.

“Jemput makan Encik Izam,” pelawa Sufi. Dia menghulurkan bubur yang sudah dipindahkan ke dalam mangkuk kepada Izam.

“Terima kasih, Cik Sufi,” balas Izam. Dia mengintai ke belakang sekejap, melihat kalau-kalau mamanya akan keluar semula.

“Sayang awak,” ucap Izam apabila menyedari Rahmah masih berada di dapur.

Sufi tertunduk malu.

“Awak sayang saya tak?” soal Izam.

Sufi memuncungkan bibir.

“Tak tau,” jawabnya.

“Sayang kan? Kan?” soal Izam, mengharap.

Sufi menjongket bahu.

“Kalau tak sayang, takkanlah awak masak semua ni. Susah-susah datang sini, hantarkan...” luah Izam, meneka-neka sendiri.

Sufi mencebik.

“Perasan,” usiknya.

Izam tersengih lebar.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.