Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
42,694
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 10

Bab 10

Adelia memandang Sufi. Sufi memandang Adelia. Panahan mata mereka menusuk, bagaikan halilintar dari dua hala yang berbeza bertemu di tengah-tengah. Mereka saling memandang tetapi tidak bersuara, menimbulkan suasana pelik yang dingin. Kedua-duanya seolah-olah sedang berbicara tanpa suara.

Zas! Bagaikan ada letupan kuat apabila Hashir muncul di halaman depan rumah dan melambaikan tapak tangan lebarnya di depan mereka berdua. Sufi dan Adelia seakan-akan baru terjaga dari alam mimpi. Sufi terus menguis-nguis hujung rumput dengan kaki manakala Adelia mencangak mukanya ke atas langit, kononnya sedang melihat gumpalan-gumpalan awan di langit cerah.

“Apasal Kak Lia dan Sufi ni pelik sangat? Dari tadi duduk kat sini, tak bertegur-sapa, tak bercakap. Asyik pandang each other macam nak terkam,” sindir Hashir sambil mengalih-alihkan daging salai atas BBQ set.

“Hash tanya akak?” soal Adelia.

“Tak, tanya beruk,” sindir Hashir lagi, lebih pedas bahasanya. Dia mengerling Adelia yang menarik muka masam.

“Ni, macam mana ex-girlfriend boleh jadi girlfriend balik? Dulu, bukan main benci lagi. Tak mahu dengar namalah. Tak suka kalau orang sebut-sebutlah. Sekarang ni, couple balik. Drama apa pula ni, Hash?” soal Adelia selepas menyindir.

Kakaknya tampak manis, lembut dalam kebaya pendek berwarna putih dan kain batik berjahit. Pakaian yang tidak cocok dipakai di rumah. Menurutnya tadi, dia baru pulang dari majlis akad nikah kawannya yang berlangsung seawal jam sembilan pagi. Sebab itulah, dia mengenakan kebaya yang penuh kerawang.

Peliknya, mengapa sampai sekarang dia belum menyalin pakaiannya. Adakah dia selesa mengenakan kebaya penuh kerawang dalam rumah? Selesakah? Kain batik jawa itu tampak sendat, menyukarkan Adelia untuk berjalan laju. Kalau Sufi, pasti dia akan menyalin pakaian itu sebaik tiba di rumah.

“Drama apa? Apa akak nak? Cerekarama? Cerekapilihan? Semua ada. Cakap aje akak nak mana satu,” gurau Hashir.

“Tak kelakar,” ejek Adelia.

“Ada Hashir cakap kelakar? Ada? Ada?” soal Hashir kembali.

Hashir menoleh sekejap, memandang Sufi yang kelihatan gelisah. Barangkali Sufi tidak selesa dengan gelagat kakaknya yang suka serkap jarang. Bukan mudah membohongi Adelia. Kakaknya itu suka menjaga tepi kain orang. Kalau diberikan jawapan A, dia akan bertanya penjelasan sampai ke Z.

Kalau Adelia dapat tahu tentang rancangan Hashir, sudah tentu ia akan sampai ke telinga mama. Kemudian, mama akan berang. Sudah pasti dia akan memaksa Hashir menikahi Natalia tanpa memberikan kata dua. Adelia mungkin seronok dengan keputusan itu. Dia sudah banyak kali menyuarakan saranan yang mereka naik pelamin serentak.

Entah apa yang hendak diriuhkan sangat tentang dua beradik yang kahwin sekali. Bukankah sudah banyak orang buat begitu untuk menjimatkan kos. Hashir merasakan ia idea yang sudah lapuk.

“I love you, Fi,” luah Hashir, meluahkan sebaris ayat yang tak pernah terpancul di bibirnya sewaktu mereka berpacaran dulu.

Matanya dan Sufi saling bertemu.

“Okay,” jawab Sufi. Hashir sudah gila! Apa Hashir fikir dia akan mengeluarkan ayat romantis untuk menyedapkan hati Adelia dengan sewenang-wenangnya. Lain kali, kalau dia mahu Sufi mengeluarkan ayat balasan yang memualkan, dia perlu menulis skripnya dulu.

“Okay?” soal Hashir, pelik melihat reaksi Sufi. Bukankah Sufi sepatutnya meluahkan sepotong ayat manis jua, menjadikan suasana itu semakin melodramatik sehinggakan Adelia termuntah.

Tetapi, tidak! Gadis itu hanya menyebut okay. Perkataan yang membunuh terus rasa romantik yang cuba diperap Hashir.

Hashir menjeling sambil menjuihkan bibir ke arah Adelia yang sedang duduk bersandar, mengharapkan Sufi akan meluahkan sesuatu.

“I love her too much to let her go,” luah Hashir, mengharapkan Adelia akan mempercayai kata-katanya.

“Saya sayangkan Hash juga,” balas Sufi tanpa perasaan. Dia bagaikan patung di supermarket yang mempunyai punat di perut dengan arahan ‘press me’. Suara rakaman kemudian akan diputarkan berulang-kali meskipun reaksi patung itu statik.

“Obviously, berlakon,” tuduh Adelia. Dia bangun dari kerusi, melangkah mendekati Sufi. Wajah lembut Sufi ditatapnya, menuntut penjelasan. Apabila Sufi hanya berdiam diri, dia mengambil keputusan untuk bersuara dulu.

“Berapa dia bayar kau?” soal Adelia dalam nada selamba.

Sufi tersentak.

“Apa masalah kamu semua dengan duit? Ingat aku kebulur dengan duit kau?” tempelak Sufi dalam nada kasar.

Putus sudah rasa sabarnya. Sejak dari dua hari lepas dia membengkung rasa sakit itu, sewaktu teman Azhan yang mabuk menanyakan berapa nilai dirinya dari dalam kereta. Dia merasakan dirinya hina, murah. Buat seketika, dia rasa geram dengan teman Azhan, geram dengan Adelia. Geram dengan semua orang di sekelilingnya yang membuatkan dia terasa murah, yang melabel dirinya dengan nilai ringgit.

Sufi mahu melangkah jauh tapi Hashir cekap menangkap lengannya.

“Tunggu,” pinta Hashir.

“Kak Lia ni dah kenapa? Saya ada girlfriend salah. Tak ada girlfriend salah. Kak Lia nak apa sebenarnya? Dulu, tuduh saya stalk Sufi. Dah terang-terang Sufi dan saya masih bersama sekarang, apa lagi tak puas hati?” marah Hashir sambil menolak Sufi agar duduk di kerusinya semula.

Hashir tidak mengizinkan gadis itu meninggalkan kediamannya. Sekejap lagi mama dan papanya akan pulang dari supermarket. Dia mahu mereka nampak Sufi di sana. Sama ada Adelia suka atau tidak, tak penting. Yang penting sekarang, mama perlu percaya yang dia dan Sufi saling menyintai.

“Okay... Akak minta maaf, Sufi,” luah Adelia.

Sufi mengangguk sekali, cuba mendinginkan semula hatinya yang hangat. Dia tahu yang dia tidak sepatutnya berkasar dengan Adelia. Gadis itu kakak Hashir. Sudah tentu dia dapat menghidu kalau adiknya berbohong. Dia membesar dengan Hashir dari kecil. Sufi yakin yang Adelia lebih memahami Hashir dari dirinya.

“Kau nak ke kat mamat gila ni, Sufi? Kau serius ke boleh terima dia? Sengsara hidup kau dengan dia nanti,” ugut Adelia yang baru sekejap tadi memohon maaf.

Pandangan Sufi jatuh pada Hashir. Kalau diikutkan rasa hati, memang dia tak mahu hidup dengan Hashir. Lagipun, dia memang takkan berkahwin dengan Hashir, sebaliknya Izam. Cuma, masalahnya sekarang, apa yang perlu disuarakan pada Adelia untuk membuatkan wanita itu mempercayainya?

Ah, come on, Sufi! You can do this! Cuba fikir apa kebaikan Hashir.

“Memang dia gila, perengus dan degil...” luah Sufi, mengiyakan kata-kata Adelia. Tidak dinafikan yang Hashir memang buruk sifatnya. Mampukah dia mencari sesuatu yang putih di dalam segumpal hitam?

Mata Hashir membulat, marah. Kurang ajar punya perempuan, ada hati kau kutuk aku secara terang-terangan ya? Cetus hati Hashir.

“...tapi, dia selalu ada apabila saya perlukan dia. Dia sanggup terima saya walau apa jua keadaan saya. Apabila Hashir cakap dia sayang, dia betul-betul sayang. Dia akan lindungi orang yang dia sayang dengan nyawa,” sambung Sufi, persis ayat dalam drama televisyen yang pernah ditontonnya sebelum ini.

Meskipun, dia masih belum layak menjadi pelakon berbayar, dia gembira dengan pencapaian kecilnya menyuarakan dialog itu tanpa memegang skrip. Hebatnya! Barangkali kalau dia tidak mempunyai darah gemuruh tiap kali berdepan dengan kamera, dia akan mempertimbangkan profesyen impian Akma itu. Tetapi, Sufi masih sedar diri.

Sufi memaksa bibir ketarnya menguntum senyuman buat Adelia. Kemudian, dia memandang pula Hashir yang sedang tersengih bangga. Menyampah pula dia melihat muka Hashir. Harap-harap Hashir tidak menganggap ayatnya tadi datang dari hati yang ikhlas. Ia lakonan semata-mata.

Loya pula memikirkan ayat tadi. Hashir betul-betul sayang? Hashir? Sayang? Oh, tidak! Jangan tertipu.

Muka yang kacak dan berlagak bagus itu hanya sayangkan dirinya sendiri. Dia tidak pernah peduli kalau ada hati yang terluka kerananya. Mulutnya lancang menutur kata. Rasa sukanya boleh terjun dari seorang selebriti ke selebriti cantik yang lain seperti Neelofa dan Nera. Ah, mereka berdua calon kegilaannya! Sampaikan Sufi acapkali merasakan dirinya diperlekehkan.

Tambah menipu kalau ada yang menganggap Hashir boleh menerima diri Sufi seadanya. Sejak dulu, Hashir suka mengejek, menyelar dirinya pendek. Tak cukup dengan itu, dia akan memanggil Sufi dengan gelaran gila dan buruk sesuka hatinya di khalayak ramai. Dia selalu mengingatkan Sufi tentang kekurangan dan kelemahannya, membuatkan Sufi berasa segan untuk berdampingan dengannya. Tiap kali keluar dengannya, Sufi akan merasakan dia adalah perempuan yang paling hodoh dalam dunia. Hashir akan mengkritik tentang segala-galanya yang Sufi lakukan.

“Really?” soal Adelia sambil menjongket sebelah kening, memandang tepat ke muka resah Sufi.

Sufi tersengih, menampakkan sederet gigi putih yang tidak disentuh nicotine. Kepalanya dianggukkan beberapa kali bagaikan anak kecil yang dipelawa makan aiskrim. Ah, pelik! Tetapi, Alhamdulillah, cukup untuk membuatkan Adelia membisu dan kembali ke kerusinya. Barangkali Adelia percaya. Barangkali tidak. Tetapi, sekurang-kurangnya dia tak lagi menyoal.

“Kak Lia, nak barbeque sauce dengan sos thousand island,” pinta Hashir sambil mengalihkan kedudukan ayam atas grill.

“Iyalah,” balas Adelia sambil melangkah masuk ke dalam rumah, menuju ke dapur untuk mendapatkan sos barbeque untuk ayam dan thousand island untuk salad yang akan menjadi hidangan makan tengah hari mereka.

“Uuu...” luah Hashir dalam versi beberapa harkat. Dia sengaja memanjangkannya untuk memancing perhatian Sufi.

“What?!” balas Sufi, garang.

“Tu deskripsi Sufi yang paling sweet pasal Hash.”

“So?” soal Sufi.

Hashir senyum lebar. Dia bersandar dekat meja, memandang muka Sufi yang masih tampak resah.

“Do you love that much, Fi?” soal Hashir.

Sufi tercengang.

“Kalau tak melalut, boleh?” balasnya dalam nada kasar.

“Do you?” soal Hashir, mengulang.

“Of course not!” balas Sufi sambil membelakangi Hashir. Dia melangkah bangun, mengangkat jug air dan menuangkan air limau ke dalam gelasnya yang masih kosong. Hashir mengikutnya bagai bayang-bayang. Apabila dia melangkah ke swimming pool bersama gelas air orennya, Hashir menapak sama. Apabila dia berundur, Hashir berundur juga. Dia jadi bengang.

“Hash nak apa?!”

Hashir senyum.

“Nak Fi,” jawabnya.

Sufi menggenggam penumbuk.

“Nampak ni?”

“Tak takut! Tak takut!” ejek Hashir sambil menunjukkan mimik muka yang lucu di hadapan Sufi.

“Mengada!” marah Sufi.

“Fi ni kalau marah, macam kartun tazmanian devil dalam televisyen tu. Buruk!” balas Hashir.

Sufi mencebik.

“Biarlah! Tazmanian ke? Apa ke? Yang Hash nak sibuk kenapa?” marah Sufi dalam nada kasar.

Hashir ketawa.

Sliding door depan terbuka semula. Adelia muncul kembali dengan botol-botol sos yang diambilnya dari kabinet dapur. Matanya membulat apabila terpandang asap dari grill barbeque mereka.

“Hey, hanguslah ayam tu!” jeritnya.

Hashir terus bergegas ke arah grill semula. Dia cuba mengangkat ayam yang sedang dibakar. Secara tidak sengaja dia terpegang besi yang melapik di bawah grill. Hashir terus terjerit.

“Aduh!”

Hashir berlari ke swimming pool. Tangannya yang kemerahan direndam ke dalam air pool berklorin.

Sufi mengangkat grill ayam, memindahkan ketulan-ketulan ayam yang sudah terlebih masak ke atas pinggan correll yang sudah tersusun atas meja.

“Gila tau mamat ni! Bercinta sampai tak ingat dunia! Padanlah dengan muka, tangan kena bakar!” bebel Adelia yang kedengaran lebih kepada marah dari mengambil berat dan risau.

Tetapi, hanya mulutnya yang menuturkan marah. Jauh di sudut hatinya, Hashir tahu kakaknya risau. Adelia menarik pergelangan tangan Hashir, memeriksa keadaan tapak tangan adiknya yang melecur. Kepalanya digelengkan, kecewa.

“Tunggu kejap,” pinta Adelia.

Adelia menghilang lagi. Tak sampai lima minit, dia muncul semula dengan segelas air suam dan beberapa tea bag. Tea bag tadi dimasukkan ke dalam gelas air suam.

“Black tea ada tannic acid, bagus untuk lecur,” luah Adelia.

Sufi memandang Adelia dan Hashir dari jauh. Adelia menekan uncang teh yang sudah dibasahkan tadi ke kawasan lecur Hashir. Tiba-tiba sahaja Sufi teringatkan abangnya. Hatinya dicengkam rindu pada abangnya, Shauki.

Sihatkah Shauki? Adakah Shauki juga merinduinya seperti dia merindui Shauki? Dia tidak mempunyai adik-beradik lain selain Shauki. Tetapi, abangnya itu bukanlah jenis yang suka menelefon bertanya khabar atau mengutus berita melalui email apatah lagi surat. Apabila bersua muka sekalipun, Shauki tidak pernah menunjukkan kasih sayangnya pada Sufi secara terang-terangan.

Bunyi deruman enjin kereta kedengaran di depan pagar utama. Auto gate terbuka dan sebuah kereta volkswagen lama lolos ke dalam. Ia kereta tua yang sudah diubahsuai sehingga tampak klasik. Pemandunya tak lain tak bukan adalah Datuk Hadzi yang terkenal dengan sifat sederhana dan perwatakan yang mesra dan mudah didekati.

Di ruangan sebelah pemandu adalah Datin Amira, wanita yang selalu diselar Hashir sebagai kepala batu. Tetapi, dia selalu melayani orang-orang di sekitarnya selain anak-anaknya sendiri dengan mesra. Di kalangan anak-anaknya, dia dilabel sebagai ibu yang garang dan suka memerintah bagaikan raja.

“Mama dah balik,” luah Hashir sambil melepaskan uncang teh yang ditekap Adelia ke tapak tangannya.

Hashir bangun berdiri dari mencangkung di sebelah swimming pool. Langkahnya disusun ke arah meja barbeque semula.

“Eh, Sufi!” luah Amira dalam nada gembira, pura-pura terkejut. Walhal dia yang beriya-iya menyuruh Hashir menjemput Sufi semalam. Malahan dia sudah mengingatkan Hashir lebih sepuluh kali pagi tadi.

Sufi tunduk, menyalami tangannya dengan penuh hormat. Selesai saja Sufi menyalami tangannya, Amira menghadiahkan satu pelukan kepadanya. Dia gembira sungguh dapat menemui Sufi semula selepas kejadian malam itu. Sebenarnya, Amira takut Sufi akan jauh hati dengan keluarga mereka. Almaklumlah, Sufi sudah tahu yang Hashir memulakan persahabatan mereka dengan menggunakan tipu daya.

Sangka Amira, Sufi itulah bakal menantunya, bakal isteri yang sudah dipilih Hashir. Itulah wajah yang akan menemaninya keluar membeli-belah dan memasak di dapur kelak. Rumah mereka akan bertambah meriah selepas Hashir dan Adelia bernikah dengan pasangan masing-masing nanti. Sayang sekali, dia tertipu dengan sandiwara palsu mereka. Yang dizahirkan itu bukanlah kenyataan sebenar.

“Kami dah bakar ayam,” luah Hashir sambil menjuihkan bibir ke meja.

Hadzi tergelak.

“Ni bukan ayam bakar. Ni ayam rentung,” sindirnya.

“Hah, jangan pandang Lia! Ni semua salah si Hashir. Dia tu tadi patut jaga ayam. Tapi, dia biar sampai hangus,” ngomel Adelia.

“Ah, bukan sengaja!” marah Hashir sambil menyorokan tangannya ke belakang, tak mahu mama menyedari kecuaiannya tadi.

“Hashir terbakar tangan?” soal Amira sewaktu terlihat air teh pekat atas meja, tinggalan uncang yang sudah dicampakkan Hashir.

Adelia menjongket bahu.

“Hash?” panggil Amira.

“Mana mama tau?” soal Hashir.

Amira menggelengkan kepala.

“Kau ni, Hash. Kalau masak, tak lecur, tak terpotong jari atau lebam, memang tak sah. Kau ni memang tak boleh masuk dapur langsung,” bebel Amira.

“Betul tu! Betul!” sokong Adelia sambil memeluk pinggang ibunya dari belakang, manja.

“Diamlah, Kak Lia!” jerit Hashir.

Mereka mengetawakan Hashir beramai-ramai, membuatkan dia bertambah bengang. Sufi turut ketawa sama.

Suasana meriah itu membuatkan Sufi rasa tenang. Dia tidak berasa asing di rumah yang kaya dengan gelak tawa itu. Seolah-olah dia sudah menjadi sebahagian dari keluarga Hashir.

Hashir menyusup di belakang Adelia, berdiri tegak di sebelah Sufi yang seronok mengetawakan dirinya.

“Gelak! Gelak!” marah Hashir.

Sufi memekakkan telinga.

“Suka sangat aku kena kutuk kan?” soal Hashir dalam nada perlahan tetapi masih dapat ditangkap telinga Sufi yang hampir dengannya.

“Memanglah,” balas Sufi.

Mata Hashir membulat.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.