Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
42,702
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 5

Bab 5

“Dia rebound kau lepas kau sakit hati dengan Edora. Dia keputusan yang paling teruk yang pernah kau buat.”

“No. Hubungan kami bukan rebound. Aku pilih Sufi sebab aku nakkan Sufi. Bukan sebab aku marahkan Edora,” cetus Hashir sewaktu Azhan mempersoalkan tentang keputusannya dulu.

Azhan menggelengkan kepala.

“Kau yang tak faham perasaan sendiri,” tempelak Azhan.

“Apa pulak tak fahamnya? Hati aku, aku yang rasa. Bengong sangat kalau aku tak tau apa aku rasa,” balas Hashir.

“Kau ni dah gila tau tak, Hash? Apa yang susah sangat kau nak lepaskan si Sufi tu? Dia tu bukan baik sangatlah, bro. Cantik pun tidak. Kau dengan dia couple tak sampai dua bulan pun...”

“Enam puluh dua hari!” tegas Hashir membetulkan tanggapan Azhan. Hubungan mereka melangkaui dua bulan.

“Dan...siapa cakap aku tak boleh lepaskan dia? Aku nakkan dia sebagai tiket supaya aku tak payah kahwin dengan Natalia. Of course, aku tak cintakan Sufi lagi. Dia tu ex aku yang paling gila. Satu-satunya ex aku yang berani minta putus dengan aku. Selama aku couple, aku yang selalu minta putus,” tambahnya.

“Kau ni memang kaki temberanglah. Siapa aje awek kau sebelum Sufi? Edora kan? Setakat dua ex tu, mana boleh kau guna ayat kau yang selalu minta putus. Kau pernah minta putus sekali dengan Edora. Sufi minta putus dengan kau. So, equallah. Tak payah kau nak jadikan alasan dia minta putus sebab tu kau tak boleh lupakan dia,” balas Azhan.

Azhan tidak suka apabila Hashir membangkitkan cerita tentang Sufi. Perkara yang lepas, biarkanlah berlalu. Apa yang diharapkan lagi? Takkanlah ludah sendiri hendak dijilat kembali. Adalah Hashir tidak malu? Dulu, dia yang beriya-iya mengatakan yang dia sudah bencikan Sufi. Pandang muka Sufi pun dia tak mahu.

“Kau ni pelik! Aku tak faham! Senang benar dulu kau nak lepaskan Edora, nak lupakan Edora. Dengan Sufi, macam-macam alasan kau. Masalahnya pada kau, bukan Sufi. Dia dah lupa pun kat kau,” ungkit Azhan.

“Bukan sebab aku tak boleh,” sangkal Hashir.

“Habis?” soal Azhan yang datang bersama keluhan.

Sebab aku... Aku yang tak nak lepaskan Fi,” ucap Hashir, bersungguh.

Mata Azhan membulat.

“Habis? Kau nak buat apa? Kau nak kahwin dengan Sufi? Kau ingat dia nak kahwin dengan kau?”

Hashir tertawa.

“Kalau dah jodoh...”

“Kau gila!” tuduh Azhan.

“Baru tau ke?” soal Hashir sambil meletakkan not dua puluh ringgit atas meja untuk minuman mereka.

“Dengar, Hash. Kalau betul kau cintakan Sufi, tak apalah juga kalau kau nak balik pada dia. Tapi, kalau setakat nak balas dendam, aku tak setuju. Aku akan beritahu Lia kalau kau berani nak tipu Aunty Amira,” ugut Azhan.

Entah mengapa, dia pula cuba menegakkan keadilan bagi pihak Sufi. Hatinya berasap tiap kali dia mendengar Hashir mempermainkan gadis itu. Hashir tak serik-serik menyusahkan hidup Sufi. Walhal Sufi sudah lama melepaskan Hashir. Barangkali dia sudah ada pengganti baru.

“Penyibuklah kau ni! Aku tak pernah bocorkan apa-apa rahsia kau pada Kak Lia! Kau asyik menyibuk hal aku. Lepas satu, satu! Semua nak report!”

Azhan tercengang. Mulutnya terkunci, tidak terkata apa-apa. Kalau Hashir dah naik minyak, tak ada gunanya mencelah. Tak ada ayat manis yang mampu memujuk hatinya yang sekeras kelikil.

“Sampai bila kau nak faham? Apa yang aku buat, tak ada kena mengena dengan family aku. Reti?” luah Hashir.

Hashir terus bangun dari kerusi, mencapai kunci kereta dan terus melangkah laju ke keretanya tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada kawan baiknya merangkap bakal abang iparnya, Azhan.

“Kau nak ke mana?” soal Azhan.

“Cari bini,” jawab Hashir sambil memecut kereta Mercedeznya. Lima belas minit usia perjalanannya pada had laju 180 km per jam. Dia memberhentikan kereta di depan sebuah rumah teres tiga tingkat.

Door bell depan dibunyikan. Akma berlari ke pintu depan dengan donat yang dibelinya dari Dunkin Donut, gerai yang digemari. Inti donat yang dibelinya juga adalah dari perisa yang digemarinya sejak dulu, jem blueberry dan bersalut gula halus.

Daun pintu depan ditarik Akma. Dia memandang ke arah pagar. Tak ada orang menanti di depan sana.

“Boo!”

“Aaaahhh!” jerit Akma sewaktu dikejutkan dengan seorang lelaki yang sedang menyembunyikan diri di sebalik pintu. Donat di tangannya terjatuh ke atas lantai rumah yang baru disapu.

“Kenapa tak pasang alarm dekat pagar depan tu? Kalau perompak nak masuk rumah ni senang aje. Dahlah pagar tu pendek macam si Sufi, dua minit pun aku dah dapat panjat,” bebel Hashir.

Menyirap darah Akma melihat donat yang diidam-idam untuk dikunyah sejak tadi terjatuh atas lantai. Sudahlah dia hanya membeli satu. Tak dapat dia melepaskan kempunannya.

“Kau ni siapa hah?! Kurang ajar betul! Walaupun aku setuju yang tembok pagar tu sama pendek dengan Sufi, tak ada siapa yang gila sangat nak panjat. Bukannya ada harta berharga dalam rumah low cost ni. Kau ni betullah menyusahkan orang! Habis, donat aku! Kempunan aku nak makan!” jerkah Akma.

“Alah, donat aje pun,” balas Hashir.

Akma menjegilkan bola mata.

“Donat aje? Ni bukan sekadar donat, tau! Ni donat blueberry yang paling sedap! Hee! Biadap!” jerkah Akma.

Hashir tidak membalas. Dia langsung tidak kisah dengan tanggapan Akma. Ia bukan pertama kali dia dimarahi hawa. Hashir sudah menelan jutaan cemuhan tiap hari kerana kelakuan buruknya.

“Mana Sufi?” soal Hashir.

Akma memandang Hashir, dari atas ke bawah dan kemudian ke atas semula. Siapa pula lelaki ini? Dia terlupa hendak bertanya tadi. Otaknya dihantui insiden donatnya sehinggakan terlupa untuk menyelidik. Bahaya juga. Manalah tahu lelaki yang sedang berdiri di hadapannya sekarang pembunuh, perompak atau perogol.

“Kau siapa?”

Hashir mengangkat kening.

‘Fulamak! Macam muka pelakon Criminal Mind!’ cetus hati Akma.

“Kenapa kau nak tanya aku siapa? Kenapa kau sibuk sangat nak tau aku siapa? Apa kena-mengena aku siapa dengan kau? Kalaupun kau tau aku siapa, kau boleh dapat apa? Ada aku tanya kau siapa? Tak ada, kan?” soal Hashir semula.

“Eee...” ucap Akma dalam nada geram. Dia melangkah ke anak tangga bawah dan mendongak ke atas.

“Sufi! Ada lelaki gila nak jumpa kau!” jerit Akma. Seperti biasa, Akma tidak memerlukan mikrofon atau speaker untuk membuat pengumuman kepada Sufi. Suaranya sudah cukup kuat. Dia yakin Sufi akan mendengar suaranya dengan terang dan jelas. Tambahan pula telinga kawan serumahnya itu memang terlebih peka.

Sufi yang ketika itu sedang mengenakan anting-anting dikejutkan dengan panggilan lantang Akma. Dia mengangkat sedikit kain skirt labuhnya dan berlari turun ke tingkat bawah dalam keadaan kalang-kabut.

“Awal pula mamat ni sampai,” rungut Sufi sambil melihat jam tangannya. Dia tidak sangka yang Izam akan datang seawal itu.

“Alamak, beg kat atas,” luah Sufi lagi apabila dia tersedar yang dia tertinggal tas tangannya di atas.

“Cepatlah, Fi!” jerit Akma sekali lagi apabila Sufi hendak berpatah balik ke atas, mahu mengambil begnya yang tertinggal.

“Tunggulah kejap,” pinta Sufi.

“Turun sekarang!” gesa Akma sambil menghentak kaki. Bebal lagaknya. Rasa marah sudah membuak dalam dada.

“Okay,” jawab Sufi sepatah, meneruskan langkah ke bawah. Entah apa yang digesakan Akma. Barangkali Sufi patut menyuruh Izam menunggu di dalam kereta dulu sebelum dia naik ke atas semula untuk mengambil begnya dari atas katil. Pasti Akma tak selesa dengan kehadiran lelaki itu di depan rumah mereka.

“Zam?” panggil Sufi sewaktu hampir tiba di depan pintu.

Mata Sufi membulat tatkala wajah itu muncul di depannya. Dia tidak menyangka Hashir akan datang lagi. Sangkanya, pertemuan di pejabat tadi sudah cukup untuk menoktahkan langkah Hashir. Sufi fikirkan tadi Izam yang sampai lebih awal ke rumahnya dari waktu yang dijanjikan.

“Hash,” panggil Sufi dalam nada terkejut.

Hashir tersenyum sementara Sufi mengeluh.

“Kau mungkin dah lupakan aku. Kau mungkin tak nak jumpa aku lagi. Atau mungkin kau dah benci nak dengar suara aku pun. Tapi, kau hanya ada dua pilihan untuk hilangkan aku dari pandangan kau, Fi,” luah Hashir.

Sufi mengeluh.

“Anything, Hash. Name it! As long as aku tak payah tengok muka kau lagi,” luah Sufi dalam nada marah.

“Satu, kau bunuh aku,” luah Hashir dalam nada tenang.

“Kau dah gila?!” marah Sufi. Benci apabila Hashir bercakap soal bunuh. Dia bukan pembunuh upahan. Kalau Hashir berminat untuk mati awal, dia perlu berikhtiar dengan cara lain. Antaranya adalah memecut seperti pelesit yang selalu dilakukannya tetapi kali ini dengan memejamkan mata.

“Satu lagi pilihan kau, tolong aku, Fi. Aku perlukan pertolongan kau. Aku janji lepas kau tolong aku, aku takkan kacau hidup kau lagi,” pohon Hashir.

“Tolong apa? Tolong bunuh kau?” soal Sufi.

“Kau pekak ke, gila? Bunuh tadi option pertama. Tu bukan tolong. Tu menjahanamkan,” balas Hashir.

“Nak orang tolong lepas tu nak marah-marah pulak,” balas Sufi, menyampah dengan kesombongan Hashir.

“Kau nak tolong ke tak nak?” soal Hashir.

Sufi meraba belakang pintu, berdekatan rak kasut hitam. Di situ terbaring kayu besbol milik Akma.

“Aku pilih opsyen yang pertama,” jawab Sufi.

Hashir tersentak.

“Kau nak bunuh aku?” soal Hashir.

Sufi mengangguk.

“Serius?”

Sufi mengangguk lagi.

“Kau yang cakap aku hanya ada dua pilihan,” ungkit Sufi.

“Habis, pilihlah nombor dua,” suruh Hashir sambil cuba merampas kayu besbos yang digenggam Sufi.

“Isy!” jerit Sufi geram sewaktu Hashir berjaya merampas kayu besbol tadi dan mencampakkannya ke luar rumah. Ia hampir-hampir terkena bumper Kancil kesayangan Akma.

Akma hampir terjerit. Dia menutup mulutnya dengan tapak tangan.

“Kalau macam tu, baik kau bagi aku satu pilihan aje. Dah kau bagi dua, bila aku dah pilih, kau tak bagi. Kau ni dah kenapa?” balas Sufi.

“Fine, kau tak ada pilihan. Kau kena tolong aku. Aku tarik balik pilihan tadi,” luah Hashir, berubah fikiran.

“Mana boleh macam tu!” luah Sufi dalam nada bebal.

“Tolong ajelah. Bukan susah sangat pun.”

Sufi mengeluh.

“Tolong apa?”

“Ikut aku, aku akan jelaskan semuanya pada kau. Tolong ikut aku, Fi,” rayu Hashir, mengharap.

“Aku dah janji dengan...”

“Ni soal hidup dan mati,” tegas Hashir.

Sufi terdiam sekejap.

“Jom!” ajak Hashir.

Sufi mengekori langkah Hashir, menuju ke arah keretanya yang dipakir di laman depan. Dia masuk ke dalam.

“Tak boleh ke kita cakap kat sini aje?” soal Sufi.

“Tolonglah, Fi. Kalau aku ada pilihan lain, aku takkan bawa kau dari sini. Aku perlukan kau. Anggaplah ni untuk balas apa yang kau dah buat pada aku dulu,” ucap Hashir, mengungkit.

“Boleh tak kau berhenti salahkan aku pasal apa yang jadi dulu! Benda tu dah lepas, Hash. Dah tiga tahun. Bohong sangat kalau lelaki yang perasan bagus macam kau tak boleh lupakan hal kita dulu,” cetus Sufi.

“Boleh, kalau kau tolong aku yang satu ini. Lepas kau tolong aku, aku akan lupakan semuanya,” janji Hashir.

“Fine,” balas Sufi. Dia masuk ke ruangan sebelah pemandu, duduk di sebelah Hashir yang terus memecut keretanya.

Deras kereta yang dipandu Hashir bergerak. Melangkau had limitasi 150 km per jam. Dia tidak sekalipun menoleh memandang Sufi. Matanya tertala ke depan. Hanya ke depan. Manakala Sufi tidak senang duduk, asyik-asyik memandangnya. Manalah tidak risau, Sufi perempuan. Kalau Hashir cuba membunuhnya barangkali dia tak punya kudrat untuk melawan. Jasad kakunya barangkali akan dibuang dalam lombong lama ataupun dalam semak-samun.

“Kau nak bawa aku ke mana?” soal Sufi.

“Ingat tak, dua minggu pertama kita keluar..?” soal Hashir kembali.

Sufi menarik muka masam.

“Tak.”

“Biar aku ingatkan... Kau asyik tanya aku, tentang keluarga, fasal mak dan bapak aku. Aku cakap belum masa aku bercakap soal keluarga. Dalam bulan kedua kita keluar, kau merungut yang aku tak pernah nak bawa kau jumpa family aku. Sekarang aku akan bawa kau,” luah Hashir sambil menguntum senyuman sinis.

“Hash, jangan main-main boleh tak? Aku dah janji dengan boyfriend aku! Kami nak keluar tengok movie dengan bakal mak mertua aku! Nanti kalau aku tak pergi, apa pula mereka fikir.”

“Aku tak peduli! Aku yang ada dalam hidup kau dulu sebelum dia, Fi. Aku boyfriend kau sebelum dia. Macam mana kau tergamak nak dahulukan orang lain sebelum aku?!” marah Hashir.

“Ex-boyfriend. Bukan boyfriend. Ex-boyfriend aku yang paling gila! See... Inilah sebabnya aku selalu minta clash dengan kau dulu. Self-centered, tak peduli perasaan orang lain!” tuduh Sufi.

“Cakaplah apa kau nak cakap. Tapi, takkan ada orang lain yang boleh cintakan kau lebih dari aku, Fi. Tak ada!” tegas Hashir.

“Jangan overconfident sangat, boleh? Kau tak kenal pun boyfriend aku sekarang. Orang macam kau ni hanya cintakan diri sendiri! Bukan aku! Hati dingin kau tu tak reti nak sayangkan orang.”

“Kau terlalu buta untuk faham cinta aku, Fi. Too bad, sekarang aku dah tak cintakan kau lagi macam dulu. Mungkin sekarang kau boleh bezakan bila aku cinta dan bila aku benci,” balas Hashir.

“Oh, macam tu! Too bad, Hash. Sebenarnya, tak ada beza pun,” jawab Sufi dengan selamba.

Hashir tergamam sekejap.

Sufi menjeling, memberi pandangan menyampah. Dia tidak suka apabila Hashir merasakan dia raja segala. Seolah-olah dia boleh melakukan apa saja mengikut kehendaknya. Seolah-olah dia saja yang betul.

“Kalau kau tak berhentikan kereta ni, aku akan terjun keluar. Kau akan dituduh sebagai pembunuh!” ugut Sufi.

“Terjunlah!” suruh Hashir.

“Hash?!” jerit Sufi.

“Aku dah cakap, aku takkan kacau kau lagi kalau kau tolong aku. Ini syaratnya. Kau mesti tolong aku sampai hal ni settle.”

“Tolong pergi rumah kau? Kau nak buat apa suruh aku jumpa family kau? Mereka tak kenal aku pun. Kau nak apa sebenarnya?” soal Sufi.

“Tolong jadi girlfriend aku depan mama aku. Aku nak dia percaya yang aku cintakan kau seorang,” jawab Hashir.

Sufi tercengang.

“Aku? Kau nak suruh perempuan yang benci kau mengaku dia girlfriend kau?” luah Sufi sambil menuding jari telunjuk ke mukanya sendiri.

Hashir menganggukkan kepala.

“No way!”

“Tak ada apa yang mustahil dalam dunia ni,” balas Hashir.

“Berhenti!” jerit Sufi.

“Tak nak!” jerit Hashir kembali.

“Kalau kau tak berhenti, aku terjun!” ugut Sufi.

Hashir menunjukkan muka selamba.

“Kalau kau terjun pun, aku tak berhenti,” balas Hashir.

“Gila!” jerkah Sufi.

Hashir tersengih.

“Aku ingat kau dah lama tau,” balasnya.

Air mata Sufi terasa seperti hendak merembes keluar.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.