Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
42,695
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 9

Bab 9

“No,” lafaz Hashir.

“Yes,” balas Sufi.

“No!” jerit Hashir.

Sufi menunjukkan air muka tidak peduli. Dia tidak kisah. Sama ada Hashir merestuinya atau tidak, tidak akan mengubah apa-apa. Tiga bulan dari sekarang, dia akan bergelar isteri kepada Izam.

Mereka akan mengadakan majlis pernikahan secara kecil-kecilan berbekalkan ongkos yang tidak seberapa. Bagi mereka, kemeriahan majlis itu nanti bukan terletak pada not ringgit. Cukuplah kalau mereka ada antara satu sama lain sebagai teman sehidup semati. Bukan kemeriahan majlis itu yang akan menentukan kebahagiaan mereka.

“Kau tak boleh kahwin, Sufi. Masalah aku belum selesai!” tegas Hashir, geram melihat sifat acuh tak acuh Sufi.

“Masalah kau, Hash. Bukan masalah aku. Jangan cari aku lagi. Aku dah penat nak layan kau, nak tengok muka kau. Pergilah, Hash!” suruh Sufi.

“Kau halau aku?” soal Hashir.

Ternyata kedatangannya hari itu mengundang kemarahan Sufi. Lima belas minit lamanya, Hashir memaksa Akma memanggil Sufi turun. Gadis itu tak mahu bertemu dengannya. Menurut Akma tadi, Sufi menyuruh dia meninggalkan kediaman mereka atau dia akan menghubungi pihak berkuasa.

Mujurlah, sifat keras kepala Hashir berbaloi jua. Dia enggan beredar selagi Sufi tak mahu menemuinya. Mahu atau tidak, akhirnya Sufi terpaksa turun ke bawah untuk menemui ex-boyfriend gilanya itu.

“Betul tu. Aku halau kau. Kalau kau sedar diri, baik kau baliklah. Jangan muncul depan aku lagi,” balas Sufi.

Hashir merengus geram.

“Dulu, kau yang minta maaf dari aku. Kau cakap kau yang bersalah sebab minta putus. Kau janji kalau aku beri peluang pada kau sekali lagi, kau takkan minta putus lagi. Kau lupa?” ungkit Hashir.

“Dan... kau tak pernah bagi aku peluang, Hash. Tak pernah. Kau lepaskan aku. Kau cakap kau benci aku. Tiga tahun, Hash. Sekarang, kau balik semata-mata sebab nak aku tolong kau.”

“Mama dah suka kau. Apa salahnya kalau kau teruskan drama kau. Sekejap saja. Lepas kau yakinkan mama, kau boleh nyah dari hidup aku. Aku tak heran pun. Aku takkan cari kau balik,” gesa Hashir.

Hashir sudah benar-benar terdesak. Kalau tidak, manakan dia sanggup datang menundukkan egonya seperti itu, memohon bantuan Sufi. Dia tak boleh berkahwin dengan Natalia. Segala impian-impiannya akan musnah bagaikan apple snail yang dipijak tapak kasutnya ketika jungle-trekking. Natalia akan membuatkan kepalanya pusing. Gadis itu akan menjadi beban.

“Tolonglah, Hash. Aku rayu pada kau. Aku dah nak kahwin, Hash. Aku dah jumpa dengan lelaki yang betul-betul cintakan aku dan aku cintakan dia. Tolonglah jangan seksa aku macam ni,” rayu Sufi.

“Dengar, Sufi. Kau kenal aku. Aku boleh buat apa saja agarkan hajat aku tercapai. Aku boleh musnahkan semua impian kau sampaikan lelaki ni tak nak pandang muka kau sekali pun!” ugut Hashir.

Mata Sufi berair. Dia tahu kegilaan Hashir. Otak lelaki itu tidak pernah masuk dek akal. Dia sanggup melakukan apa saja asalkan segala yang dihajatinya tercapai. Sufi tidak mahu kehilangan cintanya lagi. Bukan mudah untuk berjumpa dengan lelaki yang sanggup menerimanya dalam apa jua keadaan, menyayangi dan menjaga dirinya sehingga ke akhir hayat.

Sufi yakin Izam adalah lelaki itu. Kalau tidak, mustahil lelaki itu sanggup melamar dirinya di awal usia perkenalan mereka. Izam mencari cinta selepas kahwin dari cinta yang tak ada destinasi yang pasti. Memang itu seeloknya.

“Sampai hati kau, Hash,” luah Sufi, terkilan.

“Tak payah berlagak baik dengan aku. Nak muntah aku dengar, Fi. Aku kenal siapa kau yang sebenarnya,” balas Hashir.

Sufi terdiam. Tak cukup lagikah Hashir menghina? Kenapa dalam benar dendam Hashir terhadap cinta yang kononnya sudah tidak bererti lagi? Kalau cinta mereka dulu tak ada impaknya lagi pada Hashir, mengapa dia perlu terusan berdendam dan menyeksa Sufi? Jelas yang dia belum melepaskan Sufi sepenuhnya.

Tiga tahun yang berlalu bagaikan ayunan tiga kidung masa bagi Hashir. Seakan tak ada apa-apa yang berubah dalam tempoh itu. Selain daripada dia sudah memiliki masternya, dia masih Hashir yang dulu. Ego tebal yang dimilikinya dulu tak pernah lekang.

“Kalau aku halang perkahwinan kau, Sufi, kau akan kehilangan dia untuk selama-lamanya. Kau tahu aku sanggup buat apa saja. Kau tak nak jadi musuh aku, Fi. Bukan sekarang. Aku terdesak,” gesa Hashir.

Wajah gila Hashir diperhatikan. Di mana kekurangan wajah itu? Wajah yang seiras Matthew Gray Gubler versi Melayu. Selalunya Hashir tampak garang dan misteri. Tetapi apabila dia tersenyum, wajahnya akan dimaniskan dengan kehadiran sepasang lesung pipit di pipi kanan dan kirinya.

Hashir gemar berbaju t-shirt warna yang lembut seperti putih dan baby blue. Si gila itu benci pakaian formal, membuatkan dia tak pernah menjadi pekerja kolar putih dalam tempoh yang lama. Dia selalunya hanya mengenakan jeans ataupun seluar pendek paras lutut. Itu yang diperhatikan Sufi sejak awal perkenalan mereka dulu. Dia tak pernah melihat Hashir mengenakan t-shirt warna terang seperti kuning dan orange, jauh sekali warna gelap seperti hitam dan dark blue.

Tak ada yang kurang dengan lelaki itu melainkan sifatnya yang kekadang menjengkelkan. Dia boleh mendapatkan mana-mana wanita lain sebagai teman wanitanya. Tak perlu berlakon. Mereka pasti sanggup menjadi teman wanitanya yang sebenar. Jadi, untuk apa memohon bantuan Sufi untuk menjadi kekasih palsunya?

Jauh di sudut hatinya, Sufi tahu Hashir boleh mendapat wanita yang lebih indah dipandang mata. Apa motif lelaki itu menjejaknya? Kalau benar Hashir tidak berpuas hati kerana Sufi sudah temui pengganti, bukankah lebih molek dia mencari kekasih baru dari menghabiskan masa cuba merosakkan hubungan orang.

“Kau carilah perempuan lain. Ada banyak perempuan dalam dunia ni, Hash,” luah Sufi, memberanikan diri menyuarakan saranan.

“Perempuan lain akan mengharapkan lebih. Kau lain, Fi. Aku takkan tertipu dengan kau, aku tak hadap nak pandang muka kau lagi. Kau pun dah nak kahwin, kau takkan tuntut apa-apa dari aku...” jelas Hashir.

Sufi mengeluh. Entahlah untuk kali yang ke berapa. Dia sendiri sudah terlupa. Selagi kisah gila ini belum bernoktah, selagi itulah dia akan mengeluh, menyesali nasib diri. Enam puluh dua hari yang yang dibazirkan bersama lelaki itu menghukumnya kini. Dia terasa seperti dijerut, sesak untuk bernafas. Kalau Hashir mengetatkan cerutan itu, barangkali dia akan mati kelemasan.

“Kau janji kau akan lepaskan aku lepas mama kau batalkan rancangan dia untuk kahwinkan kau dengan Natalia?” soal Sufi.

Hashir menganggukkan kepala.

“Definitely. You are not in my future plan, Fi. Aku tak berminat untuk simpan kau,” luah Hashir.

Mata sepet itu. Hidung yang tidak mancung. Bibir yang kecil tapi merah merekah. Wajah itu adalah wajah yang pernah dirindui dulu. Wajah yang membuatkan dia terfikir untuk berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Tetapi, itu dulu, sebelum dia mengerti isi hati gadis itu yang busuk.

Sifat Sufi tidak sesuci namanya. Dia makhluk tercela, makhluk yang rela merosakkan hati orang yang ikhlas menyukainya. Hashir takkan mengutuskan rasa cinta ke dalam hidupnya lagi. Tidak! Dia akan menghumban nama itu keluar dari hatinya selepas semuanya selesai. Sufi hanya picisan, bukan hadir untuk menghuni di hati buat satu tempoh yang panjang.

“Okay,” jawab Sufi.

“Kalau macam tu, jom ikut aku jumpa mama sekarang. Mama nak ajak kau masak sama-sama,” ucap Hashir.

“Hash, hari tak boleh. Pukul lima nanti, aku kena keluar dengan bakal suami aku. Aku dah janji,” tolak Sufi.

“Cakaplah dengan dia, kau lambat sikit. Sekarang baru pukul sebelas pagi. Sempat aje aku hantarkan kau balik sebelum pukul lima petang,” luah Hashir dalam nada acuh tak acuh. Janji Sufi pada Izam tidak penting di matanya. Dia hanya risaukan masalah dirinya seorang. Ia lebih penting.

“Nanti kalau balik lambat..?” soal Sufi.

“Aku cakap sempat tu sempatlah. Kau ingat Merz aku tak boleh lari laju? Tolong sikit. Jangan samakan Myvi kau dengan kereta aku,” sindir Hashir.

Sufi menarik muka masam.

“Meluat pulak aku tengok. Dah, jom gerak, gila!” gesa Hashir.

“Boleh tak jangan panggil aku gila?”

Hashir menunjukkan muka selamba.

“Dah kau memang gila, nak buat macam mana? Gila! Gila! Gila! Perempuan gila!” balasnya.

“Mengata dulang, paku serpih!” balas Sufi semula.

Hashir tercengang. “Hah?”

“Itulah akibatnya kalau subjek Bahasa Melayu SPM dapat tujuh. Nama aje orang Melayu, peribahasa pun tak tau,” ejek Sufi, pedas.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.