Home Novel Cinta Cinta Cash & Carry
Cinta Cash & Carry
liza nur
30/3/2016 22:33:15
2,201
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1.1

Manusia ada mata. Tapi, jarang-jarang kita melihat ke dasar. Manusia ada otak. Tapi, kekadang malas nak gunakan akal. Manusia ada hati. Tapi, entah mengapa kita sukar nak merasai perasaan orang lain.

Kita hanya sedar apabila kita disakiti. Tapi, kita tak pernah khuatir apabila kita menyakiti. Adakalanya kita berlagak macam kita saja ada perasaan. Orang lain tak penting. Kita angkuh. Kita cakap, ‘Kalau aku tak jaga hati aku, siapa lagi nak jaga?’. Kita canang khilaf orang lain pada kita di Facebook dan Twitter. Kononnya hendak melepaskan amarah yang memanggang jiwa. Kononnya tak ada niat untuk menyakiti, sekadar mahu memberitahu kita mangsa keadaan, kita yang disakiti.

Walhal sebenarnya ratusan orang di sekeliling kita cuba menjaga hati kita. Tapi, kita tak pernah meneliti apatah lagi fikirkan rasa orang lain. Barangkali lebih banyak hati yang kita lukai dalam sehari dari hati-hati busuk yang menyakiti kita.

Barangkali jurujual yang menyapa kita dengan senyuman walaupun kita balas dengan pura-pura tak nampak sebenarnya berkecil hati. Barangkali jiran sebelah yang cuba memberi salam tapi kita bergegas ke pejabat sampai tak dihiraukan sebenarnya berkecil hati. Barangkali seorang ibu yang menegur dengan niat yang baik tapi kita balas dengan ‘Ah!’ sebenarnya berkecil hati.

Pernahkah kita minta maaf? Atau barangkali kita mengharapkan mereka memaafkan kita dengan sendiri? Kita berlagak seolah-olah mereka dapat membaca perasaan kita walhal kita tahu mereka bukan psikik. Adakah kita terlalu angkuh? Atau sebenarnya kita tak pernah sedar dengan khilaf kita?

Hari ini, aku pejam mata aku rapat-rapat. Aku cuba fikir betapa banyak hati yang kusakiti walaupun nawaitu aku merasakan tidak. Adakah mereka layak menerima penangan marahku, benciku?

Ya, mungkin mereka pernah menyakitiku. Tapi, layakkah aku menjatuhkan hukuman? Apa aku maksum dari dosa?

Orang cakap, ‘Sedangkan nabi ampunkan umat…’.

Tapi, aku bukan nabi. Aku pacal yang hidup dalam kehinaan. Siapa aku untuk memberi keampunan? Kalau mereka memohon maaf dari ALLAH, aku mendoakan agar mereka diampunkan dan menerima hidayahNYA.

Aku memohon begitu jua untuk diriku. Ampuni aku, Ya Rabbi. Mansuhkan dosa-dosaku yang seluas lautan. Janganlah dihisab khilafku sebagai isteri. Ampunkan aku kerana acapkali melukai suamiku. Ampunkan aku kerana menaruh dendam terhadapnya. Ampunkan aku kerana ingin memohon sesuatu yang KAU murkai darinya, Ya ALLAH. Sesungguhnya aku hambaMU yang hina. Namun, tiada dayaku untuk meraih hati yang bukan milikku. Aku sudah tidak sanggup berangan-angan kosong.

Nadiya melurut dada. Pedih yang dirasakan sampai ke hulu hati. Semakin digumam rasa itu, semakin ia menjerut hatinya. Rindunya terbang jauh, membayangkan wajah opah yang berkerut seribu, mengimbas suara manja Loi yang jarang-jarang didengarinya dari corong telefon. Kalaulah dia boleh memutarkan kembali masa. Dia rindukan masa lampaunya bersama mereka.

“Ibu.”

Air jernih merembes keluar dari hujung mata Nadiya. Dia menyapa si kecil itu dengan pandangan lembut. Tangannya mengusap kepala bulat yang dilitupi rambut nipis, jarang-jarang. Kemudian, dia menghadiahkan satu kucupan di atas ubun-ubun si anak yang masih naïf, tidak mengerti ribut yang memukul pantai hatinya.

Si kecil yang pelat itu meramas jari-jemarinya.

Daddy work?” soal Fitrah.

Nadiya terus angkat Fitrah ke atas ribanya. Dipeluknya Fitrah sekuat hati. Dia sebak. Pada waktu itu, dia merasakan seluruh kepercayaannya goyah. Nalurinya sebagai ibu tergoncang. Bagaikan ada lahar panas yang menggelegak dalam setiap urat darahnya, menunggu masa untuk merenjat naik ke otak dan terus memadamkan kewujudannya dari muka bumi.

Fitrah seorang anak untuk merindui ayahnya, untuk bertanya di mana ayahnya. Fitrah seorang anak mahu bermanja dalam dakapan ayah dan ibunya. Fitrah seorang anak untuk menganggap ayahnya seorang ‘superhero’ dan membontoti ayahnya ke mana saja ayahnya pergi. Patutkah dia memarahi Fitrah kerana menuruti fitrah? Perlukah dia menyangkal naluri seorang anak hanya kerana dia sudah lama tidak merasai naluri yang sama?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.