Home Novel Cinta Aku Benci Kau!
Bab 10

“ Pergi masuk ke dalam bilik hotel. Lagi lama kau di sini akan lebih memalukan aku,” Kata Adam kepada Suraya sambil meletakkan kunci bilik hotel yang disewanya kepada Suraya.

Suraya hanya mampu mengeluh di dalam hati. Kalau tidak selesa kehadirannya ke majlis ini kenapa perlu membawanya ke sini? Suraya bukannya terhegeh-hegeh mahu mengikut Adam ke sini. Malah Adam yang beria-ia mahu mengajaknya. Sudahnya Suraya pula perlu mengurungkan dirinya di dalam bilik hotel.

“ Jom Darius,” kata Suraya seraya menarik tangan anak tunggalnya.

Nasib baik Darius mengikutnya bolehlah menjadi peneman Suraya sejak dari mereka datang ke sini. Anak terunanya itu cukup rapat dengannya.

“ Kau masuk dulu. Nanti aku hantar Darius ke sana. Aku nak main dengan cucu aku!” Tiba-tiba Puan Hendon berkata. Puan Hendon segera menarik tangan Darius ke arahnya. Darius yang terkejut hanya terpinga-pinga.

“ Tapi mak….”

Suraya berasa berat hati. Apatah lagi dia risau kalau-kalau Puan Hendon mereka cerita tidak baik tentang dirinya kepada Darius. Dia takut Darius akan termakan cerita palsu yang ditaburkan oleh nenek kesayangannya itu.

“ Tak kan aku nak main dengan cucu aku sendiri pun tak boleh?” Kata Puan Hendon sambil membuntangkan matanya. Walaupun dengan nada suara yang perlahan Suraya tahu Puan Hendon sedang marahkannya. Akhirnya Suraya mengalah jua.

“ Darius, mama naik atas dulu. Nanti Darius datang temankan mama ye,” kata Suraya sambil mencium pipi anak terunanya.

Darius juga mencium pipi Suraya sambil berbisik di telinganya.

“ Jangan risau, mama. Darius temankan nenek sekejap je,” bisik Darius.

Suraya tersenyum lebar mendengarkan bisikan Darius itu. Ternyata anak terunanya itu dapat membaca kata hatinya.

“ Agnes akan tunjukkan kau bilik,” kata Adam.

Kemudian Suraya mengikut wanita yang bernama Agnes untuk menuju ke bilik yang telah di sewa khas oleh Adam untuknya. Suraya tahu kehadirannya di dalam majlis ini akan membuatkan Adam berasa kekok untuk bermesra dengan perempuan lain. Pastinya tujuan Adam menyewa bilik ini adalah untuk membuka peluang Adam untuk terus bemesra dengan gadis-gadis jelita di situ.

“ Puan, ini biliknya,” kata Agnes lalu membuka pintu bilik hotel.

Kemudian Agnes masuk ke dalam bilik hotel lalu membuka suis lampu dan penyaman udara. Suraya melabuhkan punggungnya di katil sambil menantikan Agnes membuka televisyen untuknya.

“ Puan nak air?” Tanya Agnes dengan wajah mesra.

“ Boleh juga,” kata Suraya.

Suraya tidak pernah mengenali Agnes. Mungkin wanita yang kelihatan bergaya itu adalah salah seorang pekerja setia di syarikat Adam bekerja.

“ Air panas atau sejuk?” Tanya Agnes lagi.

“ Beri saya fresh orange satu,” kata Suraya.

“ Baiklah. Nanti saya order. Puan ada apa-apa lagi mahu saya bantu?” Agnes masih setia memberikan perkhidmatannya. Pasti wanita ini mempunyai adab yang terpuji. Fikir Suraya sendirian.

“ Tak de. Terima kasih, Agnes,” kata Suraya tersenyum lebar.

Agnes membalas senyuman Suraya. Kemudian dia berlalu dari situ. Lima minit kemudian seorang pelayan datang membawa hidangan yang dipesan Agnes ke dalam bilik Suraya.

Sambil menonton televisyen Suraya minum air yang dipesan itu dengan seleranya. Tidak sampai lima minit Suraya mula merasa mengantuk. Tanpa berfikir panjang Suraya terus melabuhkan badannya di atas katil sebelum memejamkan matanya.

SURAYA gagahkan dirinya untuk membuka mata walaupun denyutan di kepalanya begitu mencucuk. Suraya tidak tahu apa yang sedang berlaku kepadanya tatkala ini. Sebaik sahaja dia membuka mata pandangannya berpinar-pinar. Dia terus meletakkan jemarinya yang runcing di kepala lalu memicitnya agar kesakitan yang ditanggungnya kembali reda.

“ Zzzzz…”

Suara dengkuran itu membuatkan jantung Suraya bagaikan terhenti buat seketika. Dia terkejut bukan kepalang. Suara yang tidak pernah di dengarnya sepanjang hidupnya. Apatah lagi Adam tidak pernah berdengkur di dalam tidurnya. Siapakah yang berdengkur itu?

Segera Suraya berpaling ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya Suraya apabila melihat seorang lelaki berbangsa Inggeris tidur dengan nyenyaknya di sebelahnya. Nafas Suraya bagaikan tersekat di kerongkong. Dadanya bergetar seribu. Apa yang telah lelaki ini buat bersamanya di dalam bilik ini? Adakah lelaki ini sudah tersalah bilik?

Suraya segera bangun untuk menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa lelaki itu. Mungkin lelaki itu tersalah bilik dan tidak menyedari kehadiran Suraya di sini. Apa yang lebih mengejutkan Suraya dan membuatkan dia bagaikan mahu gila apabila mendapati tubuh badannya yang tanpa seurat benang. Suraya semakin panik. Kenapa dia boleh berkeadaan sedemikian? Adakah lelaki inggeris ini telah merogolnya? Suraya sudah tidak tentu arah apabila memikirkan semuanya itu. Dia cuba mengingati apa yang telah terjadi namun semuanya hanyalah sia-sia. Suraya langsung tidak dapat mengingati apa-apa selain daripada dia tertidur setelah meminum jus oren yang dipesannya itu.

Dengan tangan yang terketar-ketar cepat-cepat Suraya menyarungkan pakaian ke tubuhnya semula. Di dalam hati dia terus berdoa agar perkara yang sering ditakuti oleh semua wanita itu tidak pernah terjadi kepadanya.

Hello baby.....macamana besttak tadi?” Tanya lelaki berbangsa inggeris itu setelah dia terjaga dari tidurnya. Ketika itu Suraya sudah selesai mengenakan baju ke tubuhnya. Dengan mata yang buntang bagaikan mahu membaham lelaki itu hidup-hidup Suraya terus merenungi lelaki inggeris itu. Namun lelaki itu masih beriak selamba. Tiada tanda-tanda lelaki itu berasa bersalah.

“ Apa yang dah kau lakukan kepada aku?” Tanya Suraya lantang sekali. Dia berasa begitu marah sekali. Dadanya sendat dengan pelbagai andaian buruk namun dia tetap berdoa kepada Allah agar dijauhkan dengan segala malapetaka buruk.

William ketawa mendengarkan pertanyaan Suraya itu.

“ Tak kan you tak tahu apa yang telah kita lakukan bersama. Wah you memang hebat sebentar tadi. I memang tidak sangka perempuan selembut you ini terlalu hebat di ranjang. Patutlah Adam selalu kurung you!”

Bagaikan mahu terluruh jantung Suraya apabila mendengarkan pengakuan ikhlas daripada lelaki di hadapannya itu. Ya Allah…bagaimana perkara sebegini boleh berlaku kepadaku? Dugaan apa lagi yang telah kau persembahkan kepadaku? Rintih Suraya di dalam hati.

“ Kau tipu! Kau tipu! Aku akan laporkan semuanya kepada polis!” Jerit Suraya dengan juraian airmata. Suraya sudah meraung meratapi nasib yang telah tersurat buatnya. Mahu sahaja di bunuh William yang telah merosakkan masa hadapannya. Kenapa semua ini boleh terjadi kepadanya? Tuhanku tolonglah hambamu ini….

“ Oppps….you jangan salahkan I. Suami you yang telah menjual you kepada I,” kata Wiliiam sambil mengenakan semula pakaian ke tubuhnya.

Hancur lebur hati Suraya apabila mendengarkan pengakuan yang telah diberikan William itu. Sampai hati Adam memperlakukannya sebegini. Sememangnya Adam sudah menjadikannya pelacur seperti apa yang sering diperkatakannya selama ini. Perasaan dendam dan benci itu semakin membara di hatinya. Kalau Adam ada di hadapannya ini sudah lama dia akan menamatkan riwayat lelaki durjana itu. Setan kau Adam!!!

“ Betulkah?”

Perlahan sekali suara Suraya tatkala ini. Dia semakin lemah dengan putaran takdir yang sentiasa kejam terhadapnya. Dia sudah terduduk sambil meratapi takdirnya. Raungannya semakin menggila. Hatinya sudah hancur di mamah perasaan kecewa dan lara. Patutkah Adam memperlakukan semua ini terhadapnya? Dia bukannya perempuan simpanan Adam tetapi tarafnya lebih mulia dari itu. Dia adalah isteri yang telah diamanahkan kepada Adam untuk menjaga dan melindungi dirinya. Tetapi apa yang Adam telah lakukan kepadanya? Adam memang binatang!

“ Dia serahkan tubuh kau untuk mendapatkan tender dari syarikat aku!”

Bicara William itu semakin merobek hati Suraya. Hingga ia bernanah dan sukar dirawat lagi. Airmata yang berjujuran menyaksikan betapa hati Suraya semakin luluh dan remuk rendam. Betapa hinanya maruah Suraya tatkala ini sehinggakan dia menjadi bahan dagangan dalam perniagaan suaminya. Kejamnya putaran waktu ini.

William yang melihat airmata kekecewaan yang luruh di mata Suraya hanya berlagak selamba. Dia sudah biasa menyaksikan airmata wanita seperti Suraya ini kerana sudah ramai isteri orang yang telah didagangkan kepadanya sepertimana Suraya. William mencapai dompet lalu menggeluarkan beberapa keping wang kertas.

“ Nah ini upahnya untuk malam ini,” kata William sambil membaling beberapa keping wang seratus ringgit ke muka Suraya.

Suraya rasa begitu hina sekali apabila diperlakukan sebegitu rupa. Dadanya semakin berombak kencang. Dia ingin menerkam tubuh William dan memukulnya sekuat hati namun kepiluan yang mengunung ini membuatkan Suraya tidak berdaya dan hanya terus menangis meratapi takdir yang telah tersurat buatnya.

Suraya terus merenungi beberapa keping wang seratus yang sudah bertaburan di lantai dengan perasaan benci. Hanya kerana wang inilah dirinya telah diperdangangkan oleh Adam. Dia terus mencapai wang tersebut lalu dikoyak-koyakkannya menjadi kepingan halus. Dia berasa begitu benci sekali melihatkan wang itu. Wang yang telah merosakkan maruahnya.

Sebaik sahaja William membuka pintunya tersembul wajah Adam, Puan Hendon dan Darius di sebalik pintu. Sebaik sahaja terpandangkan wajah Adam, Suraya terus bangun dan menerpa ke arah Adam. Dia mahu membunuh lelaki yang telah merosakkan masa hadapannya itu. Lelaki itu perlu mati! Lelaki sejahat Adam itu sememangnya tidak layak untuk hidup.

Suraya terus menumbuk Adam sekuat tenaganya. Kesakitan hati yang ditanggungnya ini dilepaskan kepada tubuh Adam semahunya.

“ Kau memang jahat! Kau lelaki tak guna!" Jerit Suraya sambil menumbuk dan menendang Adam sekuat tenaga. Suraya bagaikan sudah di rasuk syaitan. Dia menjerit dan mengamuk tanpa hentinya. Sebaliknya Adam hanya menyepi. Sedikit pun Adam tidak menunjukkan sikap panas barannya kepada Suraya seperti mana selalunya. Suraya berasa pelik. Adakah Adam benar-benar menyesal dengan apa yang telah terjadi kepadanya?

“ Mama!”

Jeritan daripada Darius itu menyedarkan Suraya ke dunia nyata. Suraya terpempam. Dia kematian kata-kata. Dadanya bagaikan dihenyak mampat dengan jeritan Darius itu. Wajah anak kecilnya di tatap lama. Kesedihan dan kepiluan hati makin menjamah sanubarinya.

Suasana di bilik hotel itu sunyi buat seketika. Dia tidak menyangka anak kecilnya yang berusia lapan tahun itu yang bertubuh kecil persis dirinya sudah mula berani meninggikan suara kepadanya. Kenapa Darius bersikap sedemikian? Tidak simpatikah Darius terhadap dirinya?

“ Darius tak sangka mama sekeji ini!” Tengking Darius lagi.

Bilah-bilah ayat yang keluar dari bibir Darius itu umpama anak panah yang dilepaskan tepat ke ruang dadanya. Bagai halilintar suara Darius seperti menikam jantungnya. Wajahnya merona merah. Dia tidak menyangka sama sekali yang Darius sanggup menuduhnya sebegitu.

“ Mama tak lakukan semua ini sayang,” bela Suraya dengan juraian airmata.

Dia terus mendapatkan Darius tetapi Darius pantas sekali menolak tubuhnya. Pantas pintu kayu dihempas kuat oleh Darius seolah-olah jiwanya juga dihempas sebegitu. Tak pernah Darius bersikap sedemikian. Darius yang di anggap anak kecil yang di anggap melangit sikap sopan santunya rupanya berubah tingkah laku hari ini. Adakah anaknya itu benar-benar kecewa dengan apa yang telah dia saksikan hari ini. Tidak anakku, mama tidak bersalah. Percayalah anakku, ibumu ini diperdaya. Keluh Suraya di dalam hatinya.

“ Kau memang keji! Kau perempuan keji!!” Tengking Darius sebelum berlalu dari situ.

Suraya terkedu seketika. Terasa rohnya melayang-layang seperti tidak mahu berpijak di bumi yang nyata. Adakah ini takdir yang harus di telannya? Ya Allah tabahkan hatiku untuk menerima segala dugaan yang Kau utuskan terhadapku.

“ Kau memang keji!” Ulang Puan Hendon dengan nada mengejek.

Senyuman sindiran terlakar di bibir Puan Hendon. Senyuman yang menyakitkan hati Suraya. Dia tahu apa yang telah terjadi kepada Darius ini kerana termakan dengan hasutan Puan Hendon. Puan Hendon yang berhati busuk ini sudah berjaya mengeruhkan hubungannya dengan Darius. Rupa-rupanya Puan Hendon dan Adam kedua-duanya mempunyai hati yang jahat. Lebih jahat daripada iblis dan syaitan.

“ Apa yang kau orang berdua dah buat pada aku hah, setan???” Tengking Suraya dengan tangisan yang menggila. Dadanya begitu sakit sekali dengan kejahatan dua beranak yang berhatikan syaitan itu. Malam ini dia tidak akan membiarkan dirinya tertindas begitu sahaja tanpa ada pembelaan yang sewajarnya. Malam ini juga akan menunjukkan siapa Suraya yang sebenarnya.

“ Hahh…haha…setan? Dia panggil kita setan, mama,” kata Adam sambil ketawa menggejek. Sengaja menyakitkan hati Suraya yang sebenarnya sudah remuk.

Puan Hendon tersenyum lebar. Hatinya berasa puas. Melihatkan Suraya berkeadaan begitu membuatkan hatinya di hambat riang yang bukan kepalang. Apatah lagi apabila berjaya menghasut Darius mempercayai kepada semua bicaranya itu.

“ Hah..setan tak buat apa-apa pun. Cuma setan nak tengok bagaimana keadaan orang yang telah melacurkan dirinya malam ini. Hishhhh..busuknya badan kau ni! Uweekkk!” Kata Adam.

Suraya terus bangun mendapatkan Adam. Dia mahu menumbuk Adam sekuat hatinya tetapi malangnya kali ini Adam pantas mengelak. Kemudian Adam terus menghadiahkan penampar di pipi Suraya membuatkan Suraya terjelopok jatuh.

Suraya sudah tidak merasakan kesakitan akibat perbuatan Adam itu kerana hati dan perasaannya lebih sakit dan terdera daripada apa yang sedang dirasainya tatkala ini.

“ Hah..cepatlah Adam selesaikan kerja kau malam ini! Aku sudah tidak mahu ada hubungan lagi dengan perempuan kotor ini!” Kata Puan Hendon yang berasa benci dan menyampah melihatkan airmata yang sedang mengalir di pipi Suraya.

Perempuan kotor? Perkataan itu bagaikan sembilu mencucuk hatinya. Siapakah yang sebenarnya kotor sedangkan mereka berdualah yang telah mencapakkan dirinya ke lembah kekotoran yang paling hina. Ya Allah kau turunkan azab kepada mereka berdua ini atas tindakan jahat mereka ini kepadaku. Tolonglah Ya Allah, aku rayu. Rintih Suraya dalam hatinya.

“ Tahulah mak!” Kata Adam.

Kemudian Adam duduk mencangkung di hadapan Suraya yang sedang tertiarap di lantai. Kemudiannya dia menarik rambut Suraya menyebabkan wanita malang itu terdongak. Sedaya upaya Suraya mengawal perasaannya dan terus bertentang mata dengan Adam dengan perasaan benci.

“ Kau dengar sini pelacur, mulai hari ini aku berasa jijik untuk mengaku kau isteri aku lagi dan mulai hari ini aku ceraikan kau dengan talak tiga!” Kata Adam.

Adam kemudiannya melepaskan pegangannya di rambut Suraya dengan kasar sekali setelah dia selesai melafazkan bicaranya. Suraya mendengar dengan hati yang tenang. Kalau Adam tidak menceraikan dia sekali pun dia yang akan meminta talak daripada lelaki itu. Dia sudah tidak sanggup lagi untuk hidup dengan syaitan yang bertopengkan manusia itu.

“ Kau ingat selepas kau menceraikan aku, kau akan hidup dengan tenang? Aku bersumpah atas nama Allah akan membalas balik segala kejahatan yang telah kau orang berdua lakukan kepada aku dan aku berjanji sepanjang hidup kau orang berdua akan dihantui dengan dosa-dosa yang telah kau orang berdua lakukan kepadaku!”

Puan Hendon dan Adam hanya ketawa kuat mendengarkan ugutan yang diberikan oleh Suraya kepada mereka. Bagi mereka Suraya boleh bercakap apa sahaja namun Suraya tidak mampu menumpaskan kekuatan mereka yang jauh lebih hebat daripada diri mereka.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.