Home Novel Cinta Aku Benci Kau!
Bab 20

“ Hai baby boy,” tegur Agnes kepada Darius yang kebetulan sedang menunggu lif bersamanya. Agnes hendak turun ke tempat meletak kereta manakala Darius hendak naik ke tingkat atas.

SorryAgnes, I bukannya baby lagi. I dah besar panjang sekarang ni. Dah boleh jadi bapa orang dah pun,” kata Darius sambil memandang kepada Agnes yang tersenyum lebar. Wajah Agnes yang berhias cantik sedikit pun tidak menunjukkan usia sebenarnya. Kalau orang tidak tahu pastinya orang akan mengatakan dia berumur sekitar awal tiga puluhan sedangkan Agnes sekarang ini sudah pun berusia empat puluh lima tahun.

“ Opps I terlupa pula yang you dah dewasa sebab dari you kecil lagi I dah kenal you. I masih ingat lagi you dulu kecil-kecil asyik pegang tangan mak you sahaja ke mana sahaja you pergi. Macam tak boleh berenggang langsung dengan mak you. Tapi sekarang tak sangka dia dah tinggalkan you,” kata Agnes.

Darius hanya beriak selamba sedangkan hatinya membara mendengarkan bicara Agnes itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa Agnes mahu membangkitkan luka lama yang sememangnya masih berdarah.

“ Kesiankan. Kalau I jadi mak you dah lama I bunuh diri dengan nasib malang yang menimpanya itu,” kata Agnes.

Ketika itu pintu lif untuk ke tingkat bawah sudah pun terbuka.

“ Apa maksud you?” Tanya Darius mohonkan pengertian.

Agnes tersenyum. kemudian dia masuk ke dalam kotak lif.

“ Tak de apa-apalah. Oklah. I nak jumpa papa you,” kata Agnes.

You ada apa-apa hubungan dengan papa I ke? I tengok youasyik melekap dengan papa I, 24 jam,” kata Darius menyuarakan rasa hatinya yang tersimpan sejak dari dahulu lagi.

Makin lebar senyuman Agnes apabila mendengarnya.

“ Cubalah teka….” Kata Agnes tersenyum lebar sebelum pintu lif tertutup rapat.

“ Wahhhh..handsomenya Encik Darius. Jatuh cinta aku dibuatnya,” kata Laila sambil terus merenungi wajah Darius di dalam majalah Times. Darius nampak begitu berkarisma dengan mengenakan tuxedo hitam.

“ Jangan perasanlah. Bukan setakat kau, Fasha Sanda sekali pun yang lalu di hadapannya tak mungkin di pandangnya,” kata Wahida yang turut sekali membaca cerita tentang Darius di majalah tersebut.

“ Eh kenapa pula?” Tanya Laila. Tumpuannya telah dialihkan kepada Wahida. Dia begitu berminat dengan bicara teman sepejabatnya tentang ketua mereka itu.

“ Kau tak tahu ke yang Encik Darius itu anti wanita?”

Terjegil biji mata Laila mendengarkan bicara Wahida itu.

“ Betul ke?” Tanya Laila bagaikan tidak percaya.

“ La kau tak tahu lagi ke? Dah satu pejabat heboh tentangnya! Sebab itulah Encik Darius tidak pernah ada teman wanita!” Cerita Wahida bersungguh-sungguh.

“ Gay ke dia? Nauzubillahh…simpang malaikat 44!”

Darius yang terdengar bicara pekerjanya yang tidak perasan dengan kehadirannya di belakang mereka berasa geram sekali. Itulah kerja wanita yang hanya tahu membawa mulut. Dia berdehem sekali. Nyata kedua-dua wanita itu begitu terkejut sekali apabila mendapati dirinya di situ. Merah muka mereka yang begitu cuak melihatnya.

“ Puas mengumpat tentang saya?” Perli Darius dengan wajah yang menyinga.

Kalau ikut rasa marah mahu sahaja dipecat kedua-dua perempuan yang suka mereka cerita tentang dirinya. Tetapi mengenangkan dia perlu bersikap professional dan berfikiran rasional dia terpaksa menahan hati dengannya.

“ Maafkan kami Encik Darius,” kata mereka berdua tergagap-gagap. Tidak sekali pun mereka berani memanggungkan kepala memandang ke arah Darius yang berwajah menyinga itu.

Darius hanya mendenggus kasar. Kemudian dia terus berlalu ke bilik pejabat neneknya.

“ Tahniah Darius! Tahniah! Granny bangga dengan pencapaian Darius!” Kata Puan Hendon sebaik sahaja melihatkan kemunculan Darius di biliknya.

Dia tersenyum lebar. Tidak sia-sia dia membesarkan Darius. Walaupun sikap Adam sering memeningkan dirinya namun kejayaan demi kejayaan yang diraih Darius itu telah mengubat semua kebimbangan itu.

Puan Hendon terus meraih tubuh Darius lalu memeluknya erat. Dia berasa bangga kerana berjaya mendidik seorang anak muda sehingga menjadi seorang lelaki yang berjaya di bidang perniagaan.

“ Semuanya atas usaha Grany juga,” kata Darius dalam pelukan Puan Hendon.

Puan Hendon semakin bangga apabila mendengarkan bicara Darius itu. Apatah lagi apabila setiap kejayaan yang diukir oleh Darius, Darius akan menyebut namanya sebagai pembakar semangatnya. Ini membuatkan Puan Hendon boleh menumpang nama di sebalik kejayaan cucu kesayangannya itu.

Sejak Darius melibatkan diri dalam syarikat ini, keuntungan yang diperolehi berlipat kali ganda. Darius bijak merencanakan strategi. Dalam masa lima tahun sahaja, syarikat yang dahulunya syarikat kecil kini sudah mengembangkan sayapnya. Usaha-usaha yang dibuat oleh Darius membolehkan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan syarikat gergasi yang lain.

Kehadiran Darius di syarikat ini membuatkan Puan Hendon sudah mampu menarik nafas lega. Kehadiran Darius di Wirasutra berjaya meluaskan pengaruhnya. Ramai ahli lembaga pengarah yang sudah mahu mengikut cakapnya. Malah nama Darius yang selalu dicanang-canangkan oleh ahli lembaga pengarah untuk menjadi CEO di syarikat ini kelak.

Puan Hendon sudah tidak peduli lagi kepada Adam yang suka berfoya-foya itu dan dia juga sudah tidak kuasa untuk meleteri anak lelakinya itu kerana dia sudah mempunyai Darius. Darius yang menjadi intan payung kepada Puan Hendon.

“ Apa perancangan Darius seterusnya?” Tanya Puan Hendon sambil membawa Darius duduk ke sofa. Layanan yang diberikan kepada Darius bagaikan raja. Cucu yang telah mengharumkan namanya perlu ditatang bagaikan minyak yang penuh.

Darius mengangkat bahunya.

“ Darius nak tumpukan projek smart phone buat masa ini,” terang Darius.

Puan Hendon mengangguk. Hampir lima tahun Wirasutra menceburkan diri dalam membuat serta memasang komponen untuk telefon pintar dari jenama terkenal dan juga mereka juga telah memperkenalkan telefon pintar jenama Malaysia yang kini sedang mendapat sambutan hebat dari pengguna kerana harganya yang jauh lebih murah dari telefon pintar yang lain. Di samping kualitinya yang dikatakan setanding dengan telefon pintar dari jenama terkenal. Semuanya atas hasil idea dan usaha gigih Darius, cucunya.

“ Bagaimana dengan perancangan masa hadapan?” Tanya Puan Hendon lagi.

Dia tahu Darius masih lagi tidak berpunya. Malah cucu lelakinya itu tidak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana perempuan berbeza sekali dengan sikap bapanya yang kaki perempuan itu.

“ Apa maksud Granny?” Tanya Darius yang nyata tidak faham dengan pertanyaan Puan Hendon itu.

“ Kahwin la! Bila lagi Darius nak kahwin? Darius dah 28 tahun sekarang ni!” Kata Puan Hendon. Kalau Darius tidak keberatan, dia boleh mencari seorang wanita yang lengkap dengan segala pakej untuk dijadikan seorang isteri. Malah Puan Hendon sudah mempunyai rancangannya yang tersendiri.

Darius mengeluh lemah. Setakat ini dia tiada keinginan untuk mendirikan rumah tangga. Dia terlalu benci dengan wanita. Pengkhianatan yang dibuat oleh ibunya suatu masa dahulu adalah detik permulaan dia membenci kaum wanita.

“ Nantilah granny,” kata Darius lemah.

Puan Hendon mengeluh lemah. Ini bukanlah kali pertama Darius memberikan jawapan sebegini. Sepatutnya di dalam usia sebegini Darius sudah memikirkan tentang pembinaan sebuah keluarga dan mula mengintai perempuan yang berkenan untuk dijadikan calon isteri. Ini tidak, Darius sentiasa sibuk menguruskan perniagaan dan sentiasa bersikap serius dengan mana-mana perempuan yang mahu mendekatinya. Ini yang menimbulkan tanda tanya kepada Puan Hendon mengapa Darius boleh bersikap sedemikian.

“ Darius nak tunggu sampai bila lagi atau Darius ni gay?” Tuduh Puan Hendon tiba-tiba.

Bukannya dia tidak tahu desas-desus yang mengatakan Darius tidak suka pada kaum perempuan dan lebih teruk lagi ada yang menuduh Darius gay. Ini yang membuatkan Puan Hendon tidak senang duduk mendengarnya. Mana mahu diletakkan mukanya jika perkara sebegini berlaku kepada darah dagingnya?

Terkejut besar Darius dengan tuduhan dari Puan Hendon ini. Rupa-rupanya telinga Puan Hendon juga dapat menangkap desas-desus yang bertiup kencang tatkala ini. Dada Darius membahang panas. Pasti dua wanita tadi yang telah menyebarkan fitnah ini!

“ Apa yang granny cakapkan? Granny ingat Darius ni jahil sangat ke? Walaupun Darius tak pernah sembahyang tapi Darius tak de lah sejahil itu untuk melakukan perkara terkutuk sebegitu. Gay? Iskh granny ni, geli Darius mendengarnya.”

Mendengarkan pengakuan Darius itu Puan Hendon menarik nafas lega. Sebenarnya perkara begitulah yang amat ditakutinya. Dia tidak mahu Darius yang di sayanginya ini akan menjatuhkan airmukanya.

“ Lega, grannymendengarnya,” kata Puan Hendon tersenyum lebar. Wajah Miasarah bermain-main di layar ingatan Puan Hendon. Bukan Puan Hendon berkenan kepada budi pekerti gadis itu tetapi disebabkan dia adalah anak Tan Sri Najib membuatkan Puan Hendon amat berkenan kepadanya. Puan Hendon merasakan cukup sesuai untuk dijodohkan Darius dengan Miasarah dan Puan Hendon yakin keluarga Miasarah sangat bersetuju dengan rancangannya ini. Ah siapa yang tidak mahu bermenantukan Darius yang hebat itu. Fikir Puan Hendon riak sekali.

“ Nah ini duitnya,” kata Adam sambil menghulurkan sebungkus bungkusan yang berisi wang kepada seorang lelaki yang sedang menunggu di tempat parking kereta. Lelaki itu mengambil bungkusan tersebut lalu di masukkan ke dalam kocek seluarnya.

You tak nak kira dahulu ke?” Tanya Adam apabila melihat gelagat lelaki tersebut.

“ Tak pe I percaya sama you. Esok jangan lupa payment macam biasa,” kata lelaki yang mempunyai tatu kepala ular di kepalanya.

“ jangan risaulah. I bayar esok,” kata Adam sebelum dia masuk semula ke dalam kereta. Begitu juga dengan lelaki tersebut yang masuk ke dalam kereta miliknya lalu meluncur laju meninggalkan Adam yang masih lagi berada di dalam keretanya bersama Agnes.

“ Berapa you bayar kali ini?” Tanya Agnes.

“ Tak banyak. Seribu je,” kata Adam.

“ Tak banyak you kata. Hari-hari you bayar seribu, sebulan dah tiga puluh ribu. Tak cekik darah ke?” Tanya Agnes agak tidak berpuas hati dengan bicara Adam itu.

“ Eleh relaks lah Agnes. I pinjam bukannya banyak pun. Lagipun at that time I memang tengah sesak nak pakai duit sebab tu I pinjam,” kata Adam.

“ Habis tu you bayar guna duit siapa kali ini?”

“ Duit syarikatlah. Apa susah…kalau kantoi mak I ada tolong cover,” kata Adam melepaskan semua tanggungjawabnya kepada ibunya.

Agnes tersenyum lebar. Dia suka dengan sikap Adam itu kerana sekurang-kurangnya dia boleh tumpang sekaki menumpang kemewahan Adam itu.

“ Kalau macam tu I nak ambil jugalah. Bukannya orang tahu. Lagipun mak youkan ada,” kata Agnes tersenyum lebar.

“ You nak buat apa?”

“ Eh duit..mestilah macam-macam boleh I buat. Lagi pun husband I yang tak guna tu mati bukannya tinggalkan harta tetapi tinggalkan hutang yang banyak. Kalau I tak ikut cara you songlapkan duit syarikat, macamana kedua-dua orang anak I nak hidup?”

“ Kali ini berapa yang you nak?”

Pertanyaan Adam itu membuatkan Agnes tersenyum lebar.

“ Tak banyak. Hanya sepuluh ribu sahaja,” kata Agnes.

“ Buat apa ambil sedikit sangat. Lagi pun itu duit syarikat bukan duit I. Ambillah tiga puluh ribu. Nanti you prepare check. Jom I nak makan,” kata Adam.

“ Kita nak makan di mana?”

“ Mana-mana sahajalah. Asalkan kedai itu ada jual arak,” kata Adam.

“ You ni tengahari pun nak minum arak lagi?”

“ Mestilah. I tak boleh hidup tanpa arak.”

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.