Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
4,825
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Tidak henti-henti airmataku mengalir. Hampir habis tisu sekotak dalam kereta.

“Aku memang patut pukul dia!” deram Hensen, dia macam belum puas menyakiti fizikal Kaizil. Kalau tidak ada Jake tadi tentu mereka bertumbuk.

“Aku nampak Kaizil dengan encik Aart di dalam jadi aku keluar,” aku sengaja tidak menyebut nama Mezfey kerana itu sangat menghiris hati. “Tapi aku tak tahu macam mana Kaizil  nampak aku keluar,” jelasku sebelum Hensen bertanya.

“Kaizil tu dah gila, dia tak patut cakap begitu dengan kau!” marah Hensen sambil memusing stereng dan membelok ke kiri ke arah jalan pulang. “Kenapa kau nak mengelak jumpa mereka. Apa yang kau takutkan, Kaizil ugut kau ke?”

“Tak.” Aku hanya menggeleng dan tenggelam lagi dalam tangisan senyap. “Kenapa bawa aku ke majlis tu kalau abang tahu encik Aart dan Kaizil ada di sana,” aku bukan cuba hendak menyalahkan Hensen pula tetapi belum tiba masanya, aku belum bersedia, aku tidak mahu jumpa sesiapapun di antara mereka berdua itu alasan yang paling tepat. Kepalaku mula berdenyut, semakin sakit sebab perasaan yang tertekan.

“Kau dah matang Halyn, lakukannya sebagai orang dewasa. Buktikan kepada Kaizil dan ayahnya kau tak tertekan. Melarikan diri macam tadi satu sifat orang menyerah kalah, putus asa. Sebab tu aku sengaja bawa kau ke majlis tu biar Kaizil dan ayahnya tahu kau bukan gadis lemah.”

“Tapi aku belum sedia jumpa Kaizil.”

Hensen pantas menjawab tidak mahu menunggu kata-kataku seterusnya. “Kau nak tunggu sampai bila? Sampai kau menyesal? Aku tahu kau masih cintakan Kaizil, aku percaya Kaizil pun sama. Tapi ada sesuatu yang aku tak faham, ada yang tak kena dengan kamu berdua.” Hensen mengerlingku curiga.

“Kaizil tak sepatutnya nampak aku malam ini.” Aku mengelak dari menjawab soalan yang mencurigakan.

“Dia dah nampak kau dari awal kita datang.”

Aku mengangkat muka terkejut. Denyutan di kepalaku semakin kuat.

“Macam mana?”

“Jake datang lebih awal dari kita. Masa tu dia berbual dengan pengarah yang satu meja dengan Kaizil dan ayahnya. Dia sebut nama aku kuat masa nampak kita berdua masuk dalam dewan, aku yakin waktu tu Kaizil nampak kau, aku pun tak perasan Kaizil ada di sana tadi. Dahlah, aku malas nak cerita pasal mereka tu,” Hensen terus memandu masuk ke jalan masuk apartmen.

“Aku kena tinggalkan New York ke?” soalan yang mengejutkan. Hensen pula yang bengang.  Dia terus mematikan enjin keretanya sebaik meletakkan kereta dalam ruangan khas.

“Kau pun dah gila? Dah, jangan menangis lagi, naik atas dan pergi masuk tidur. Lupakan Kaizil, lupakan semuanya tentang dia.” 

Betullah kata Hensen, aku dah gila. Lepas malam ini aku bimbang aku akan bertambah gila. Jadi… lupakan semuanya tentang dia, macam pesan Hensen. Kalaulah aku ada kuasa sakti yang boleh ghaibkan diriku kenapa tidak aku ghaib saja ke mana-mana, asal jauh dari New York. Kaizil cukup mengecewakan malam ini. Sekali lagi dia menyebut tentang wang dan harga diriku. 

Tetapi aku, walaupun marah dan kecewa pada Kaizil airmataku tetap juga luruh mengenang lelaki itu yang telah berjaya menemuiku sekalipun dia melakukannya secara senyap-senyap. Aku percaya kemunculan Errington tempohari memang berkaitan dengan dia. Tapi, apa pun alasannya, semua sudah berakhir. Aku tidak lagi wujud dalam dunia cinta Kaizil. Namun kemunculannya malam ini, di New York, buat jiwaku tersentap.  Fikiranku seperti bukan milikku malam ini, semua hal lain dalam fikiranku mula menghilang berganti bayangan wajah Kaizil yang berjaya mendominasi, masih aku teringat bagaimana renungan mata dan rasa kecewa Kaizil tadi. Pandangan matanya yang bersinar kemarahan begitu menekap kuat dalam ingatan sepanjang aku menukar baju tidur, sehingga ke bilik air memberus gigi pun, bayangannya seolah-olah mengikutiku ke mana-mana di dalam rumah itu. 

Aku menelan pil penenang dan terus mendapatkan katil dan baring mengiring sambil memandang jam dinding. Jarum saat berlalu perlahan. Bagai terdengar lagi kata-kata sinis Kaizil yang menghujani hatiku dengan lontaran anak panah dan melukakan hampir keseluruhan dinding hati. Aku tidak akan menyalahkan Kaizil atas apa pun keputusan yang diambilnya termasuk jika dia mahu memilih Mezfey. Kami sama-sama melalui hari-hari yang berlalu dengan rasa hampa. 

Mataku berkelip-kelip dalam kegelapan, cuba untuk tidak menangis lagi. Aku cuba, meskipun hatiku terguris aku tetap mencuba sekalipun kisah cinta itu seperti sudah berpenghujung.

            

             ***

            Beberapa hari selepas insiden itu…

Aku fikir selepas tinggal di New York, tabloid bukan lagi masalah buatku. Walaupun bukan masalahku sepenuhnya tetapi akulah punca masalah itu. Hensen bercerita padaku sudah dua hari paparazi mengikutinya di mana-mana. Ketika dia makan di kafe, pulang dari lokasi penggambaran, paparazi akan menunggunya di luar. Semuanya bertanya kenapa dia menumbuk seorang pemain bola sepak terkenal di Liga Inggeris. Aku seram sejuk dengar cerita Hensen. 

“Apa kau jawab?” soalku masa makan malam.

“Jangan jawab, tinggalkan je paparazi tu.”

“Nanti esok paparazi kejar abang lagi.”

“Aku tak kisah. Semua tu sekejap je. Sepanjang aku jadi pelakon, aku perlukan gosip liar untuk naikkan nama apatah lagi kalau artis baru. Tapi sebab aku dah lali aku tak peduli paparazi lagi. Peminat kau lebih suka kau berlakon betul-betul untuk filem atau drama, berikan yang terbaik semuanya untuk karier kau,” jelas Hensen panjang.

Aku mengangguk setuju. Bagus betul tindakan Hensen. Tindakan yang hampir sama aku guna pakai tetapi jarang berkesan pada aku. Selepas membersihkan ruang dapur, aku menonton tv, menekan-nekan remote cari rancangan menarik. Bagaimanapun semuanya membosankan atau sebenarnya mood aku yang tidak baik, sesekali berdengus dan mengeluh yang tak sepatutnya.

Hensen yang dengar aku mengeluh berpaling, dia sedang berdiri di sudut jendela mengintai kalau-kalau masih ada paparazi di bawah. “Kau tak kisahkan pasal berita tu?”

Aku menggeleng langsung tidak menjawab soalan tetapi aku tahu Hensen sedang memerhatikan aku sebelum dia masuk ke biliknya. Fikiranku sekarang tidak bersatu dengan rancangan di tv sebaliknya merisaukan bayangan yang bukan-bukan. Risau macam mana kalau encik Aart mencari aku di sini dan memberitahu yang Julia sudah… oh Tuhan tolong lindungi Julia. Berita Hensen memukul anak lelakinya mungkin memburukkan keadaan. Aku memicit dahi yang berat dan mula perasan Hensen setiap beberapa minit keluar dari biliknya, kejap-kejap membuka peti sejuk, membuka rak dapur.

“Kau nak aiskrim?” pelawanya sekali.

Aku menggeleng lagi dan masih duduk memeluk lutut di atas sofa. Kemudian dia masuk semula dalam biliknya. Selang setengah jam Hensen keluar lagi menjenguk aku di sofa. “Aku ingat kau tidur,” tegurnya.

“Belum mengantuk lagi…” sahutku lesu dengan mata cuma fokus ke tv. Perlawanan ulangan baseball. Mungkin aku patut tengok rancangan lucu supaya perasaanku kembali stabil. 

“Kau ada makan ubat penenang?” Hensen muncul lagi aku tak perasan bila dia keluar lalu duduk di sebelahku.

“Kenapa?” akhirnya aku bertanya kenapa dia agak penyibuk malam minggu itu.

“Aku risau kau makan ubat tidur berlebihan nanti. Aku cuma nak pastikan kau ok,” ujarnya prihatin.

 “Aku ok, jangan risau.” Aku harap itu akan melegakan Hensen dan menghentikan dia dari ulang-alik keluar dari biliknya untuk menjagaku. Aku betul-betul ok. Mungkin aku patut masuk tidur, memaksa mataku terpejam, biarkan semuanya larut dalam kenangan.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ann Hann