Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
4,827
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

“Halyn, apa khabar?” sapa Errington Thames dan terus memeluk bahuku membawaku ke arah berlainan.

“Baik.” Jawabku curiga adakah Kaizil menghantar Errington juga untuk mengawasiku? Errington Thames penyiasat peribadi yang pernah diupah oleh Kaizil untuk memastikan aku kekal selamat semasa di London dulu. “Kenapa awak ada di sini?” soalku yang gagal menyembunyikan rasa ingin tahu.

“Jalan-jalan, musim sejuk di New York memang hebat.” 

Nadanya, meskipun kedengaran jujur tetapi tetap mencurigakan aku.

“Saya harap kemunculan awak di sini tak berkaitan dengan Kaizil.” Aku betul-betul mengharapkan itu selepas mengetahui ada orang lain yang kurasa sedang mengintip aku di sini.

Dia tersenyum ringkas sebelum menggeleng. “Tak. Saya dapat upah yang banyak tahun lalu, jadi tahun ni saya mungkin patut berehat sementara,” jelasnya yang cukup akan meyakinkan sesiapa saja selain aku. “Saya terkejut juga nampak awak di Rockefeller Centre. Awak bercuti jugak ke?”

Aku mengangguk kecil. 

“Baiklah. Selamat malam Halyn. Hati-hati dan jumpa lagi,’ Errington mengangkat topinya dan menunduk sedikit kemudian beredar.

Aku memerhatikan sahaja Errington membelok ke arah kiri dan hilang sekelip mata. Kakiku terpaku di lorong gelap, terkedu, masih terkejut dan bimbang perasaanku tercalar lagi. Malam yang aneh di Rockefeller Centre, kemunculan Jorge, pengawal Encik Aart dan Errington yang sedang bercuti. Bukankah itu sangat mencurigakan. Aku bukannya budak-budak mudah percaya dengan kata-kata seorang penyiasat yang sedang ‘bercuti’ di New York pula tu. Tetapi secepat itu aku membuang semua fikiran yang berlegar di kepalaku tadi. Seboleh-bolehnya aku akan mengelak dari memikirkan tentang Kaizil lagi. Pantas aku berpatah balik ke arah trak yang menjual makanan halal tadi dan menghubungi Hensen memintanya menjemput aku pulang.


***


Akhirnya, dengan sedikit keberanian, minggu lalu aku telah menghantar permohonan maaf kepada pemilik High Style Jr. Mrs. B. Aku menulis surat penjelasan yang panjang tentang ketidakhadiranku sudah lebih tiga bulan. Selain tidak menyebut pasal Encik Aart aku juga meminta Mrs. B merahsiakan surat itu dari Kaizil.  Aku cuma menulis yang aku perlukan masa panjang untuk berfikir dan berbohong dengan alasan kesihatanku yang kurang baik dan berada di New York bersama abang kandungku.

Pagi tadi, selepas membuka email aku mendapat surat maklumbalas dari Mrs. B sendiri yang risau dengan keadaanku dan berharap aku segera pulang ke London jika semuanya selesai. 

“Halyn…”

Suara Hensen kedengaran memanggil aku dari dapur. Aku cepat-cepat keluar dari bilik dan menemuinya di dapur, dia kelihatan sedang berfikir-fikir di depan peti sejuk sambil menggosok dagunya.

“Ada apa? Kau nak masak?” aku bertanya.

Hensen menoleh dan bercekak pinggang. “Kau pandai masak sup ayam macam yang arwah ibu masak dulu?” 

Tiba-tiba aku kasihan melihat Hensen. Dia masih remaja ketika ibu meninggalkan kedua-dua mereka. Aku terlalu beruntung dapat merasakan kasih sayang ibu sehingga usiaku 22 tahun berbanding Hensen dan Darren.

“Aku teringin makan masakannya lagi, masa musim panas kau datang, kau tak masak,” dia mengadu.

“Kan kau banyak buat penggambaran masa tu, cuba kira berapa hari je abang duduk di rumah, kau cuma bawa aku jalan-jalan ke Universal Studio je…” aku turut mengadu.

Hensen ketawa lalu mengusap rambutku sayang. “Kita keluar cari bahan masak sup ayam tu.”

“Ok, aku tukar baju dulu.”

Dia mengangguk kemudian keluar ke ruang tamu mengambil jaketnya.

Hensen memandu trak buatan Jerman yang dipakainya selalu hanya pada musim dingin di kota hiburan. Hari ini dia sengaja memilih market yang jauh sedikit dari kawasan tempat tinggal kerana mahu mencari sumber makanan yang lebih banyak pilihan selain memastikan aku makan makanan halal. Disebabkan cuaca masih dingin dan alat penghangat di dalam kereta yang menyelesakan mataku mula kuyu dan mengantuk melihat jalan raya yang lengang dengan suasana redup di sekitar Manhattan. Hensen rajin bercerita pasal lokasi-lokasi di Manhattan yang biasa dijadikan tempat penggambaran filem.

“Masa ibu ada dia suka tengok movie Only You, Robert Downey, dah tengok berulang kali pun tak bosan. Aku selalu belikan dia dvd movie yang genre sama.  Ibu kata, Hensen patut berlakon movie macam tu, janganlah asyik berlawan je…”

Hensen ketawa besar. “Dari dulu lagi ibu memang tak suka tengok cerita aksi yang lebih-lebih. Dia lebih suka kisah drama macam tu.”

“Ya, dia tak berubah pun.”

Hensen berdehem kecil. Aku tahu dia sebak, setiap kali aku cerita pasal ibu dia akan bersedih dan kecewa. Selepas menukar gear dia bersuara lagi. “Salah aku dan Darren, kami tak bertindak awal-awal. 5 ke 6 tahun selepas arwah ibu dan kau menghilang, mungkin aku masih marah, Darren pun sama tapi selepas dua tahun lalu, aku ada terfikir nak cari dia tapi aku sangat sibuk. Selepas ayah pergi aku dapat panggilan berlakon dua drama, hampir tak ada masa untuk diri sendiri. Tapi kau patut ke Hollywood cari aku di sana, mudah saja Halyn, tanya saja sekuriti di lokasi Universal mereka dah tahu,” cerita Hensen.

“Aku minta maaf, aku sibuk kerja sebagai pembantu peribadi Mrs. B sebelum ni, lepas dapat tahu abang ada tayangan perdana di London filem Mr. Justice aku harap sangat aku boleh jumpa kau waktu tu, jadi aku tak ada rancangan lain.” Aku terdiam sejenak dan tiba-tiba berasa kesal sebab tidak dapat menunaikan permintaan ibu yang mungkin berjaya kalau aku bersungguh. Masa aku datang bercuti musim panas lalu, aku tak banyak bercerita tentang ibu pada Hensen dan Darren. Perpisahan yang panjang buat aku janggal sedikit dengan mereka berdua. Sekarang, lebih rapat begini aku gembira bila Hensen suka bercerita pasal ibu kami. “Aku kesal sebab tak bawa ibu ke sini. Tapi ibu pernah cakap dia malu jumpa anak lelakinya. Dia takut kalau kamu berdua masih marah.”

Hensen mengusap belakangku. “Tak apalah, dah takdir keluarga kita macam tu. Tapi aku bangga ibu besarkan kau dengan sempurna. Aku suka cara kehidupan kau, kurang bersosial, pentingkan agama. Kau pun sangat kuat dari yang aku fikir kau lemah, cara hidup kau lebih tenang biarpun aku tahu kau sedang menderita. Mungkin kau patut ajar aku macam mana kau harungi semua kepayahan kau sebelum ni.”

Aku terharu, dan ketawa kecil bagi melegakan rasa sebak di dadaku juga.  Sambil menghela nafas panjang aku mengerling Hensen yang membetulkan cermin tengah kereta. Dia memanjangkan lehernya melihat ke belakang. 

“Di Brooklyn ada sotong bakar sedap, tapi market itu mungkin belum buka lagi awal pagi.”

Hensen sekadar menyahut. “Emm…” dia masih sibuk dengan cermin sisi dan tengah. 

Aku cuba melihat ke belakang kalau ada sesuatu yang menarik perhatian Hensen.

“Aku rasa kereta di belakang tu macam ikut kita dari kawasan rumah lagi,” beritahu Hensen dengan matanya penuh waspada.

Aku tersentak, jantungku berdegup pantas. “Siapa?” aku berpaling lagi ke belakang.

“Van warna putih. Jangan tengok belakang, buat tak tahu, aku nak tengok macam mana,” Hensen yakin ada yang tidak kena. Dari keningnya yang berkerut aku menghidu sesuatu yang berkaitan dengan kejadian di Rockefeller Centre.

“Paparazi ke?”

“Bukan.”

Kemudian Hensen memperlahankan pemanduannya dan membiarkan van tadi meluncur ke depan.  Dari sisi tingkap aku memalingkan kepala melihat pemandunya. Oh Tuhan, mulutku ternganga sebelum kututup rapat takut Hensen perasan. Jorge! Dialah lelaki yang aku nampak di Rockefeller Centre. Jantungku seperti biasa mudah terkejut dan hilang rentak, degupnya yang kutakuti dapat didengar oleh Hensen juga.  Aku mengerling Hensen yang terus mengawasi van itu dan tiba-tiba bunyi enjin mengaum dari trak buat aku rapat dan duduk tegak di sebelah Hensen yang bermuka bengis. 

“Pegang kuat Halyn,” kata Hensen. Dia menekan minyak dan mengejar van yang berada 50 meter di hadapan. Menyedari ada trak mengikut dengan laju dari belakang, van itu cuba memecut bagaimanapun terlambat trak yang dipandu laju oleh Hensen menderu ke depan. Kalau bukan kerana seat belt aku sudah terdorong ke dashboard ketika Hensen menekan brek mengejut dan terus memotong sekaligus berjaya menghalang van putih itu yang turut ikut berhenti.

Hensen pantas membuka seat belt dan keluar dari kereta.

“Hensen!” panggilku risau.

Kelam-kabut aku buka tali pinggang keledar dan meluru keluar dari kereta. Darahku berderau bila mendengar suara Hensen mengaum.

“Keluar! Keluar sekarang!” 

“Kenapa?” soal Jorge yang hanya menurunkan tingkapnya setengah.

“Berani kau ekori kami, apa kau mahu!” Hensen betul-betul marah.

“Apa?” dengan slang bahasa yang jelas berbeza lelaki itu masih menafikan.

“S***!” Hensen menarik kepala lelaki itu dengan kasar tetapi terlepas. “Kau orang suruhan Aart! Bodoh!” pekik Hensen cukup buat lelaki itu ketakutan dan terus mengundurkan keretanya sebelum memecut pergi.

Astaga…Hensen tahu! Kenapa dengan Encik Aart, dia lebih sakit jiwa dari aku. Mana ada orang waras berfikiran macam Encik Aart. Tidak cukupkah berapa menderitanya aku berpisah dengan Kaizil. Apa lagi yang dia mahu?

Sejurus van yang dipandu Jorge menghilang Hensen menghadap kepadaku pula. Mahu menuntut penjelasan. Aku pantas menggeleng takut. 

“Kau tak kenal siapa lelaki tadi tu?” tanya Hensen. Matanya galak siap sedia hendak memarahiku.

Tetapi aku tetap menggeleng dan enggan memberitahu semuanya.

“Lelaki tu pengawal peribadi ayah Kaizil, Aart Harlan, aku tak tahu kenapa dia ada di sini, mungkin mengintip kau di mana…” jelas Hensen.

“Mungkin,” jawabku juga. “Err, Encik Aart tak berapa setuju hubungan aku dan Kaizil sebelum ini…”

“Huh,” dia menyeringai. “Sudah tentu,” Hensen menggoyangkan telunjuk tangannya bersetuju terus dengan aku. Kemudian dia mendakap bahuku dan menyuruh aku naik kereta semula. Dia kembali memandu sambil bercerita.

“Aart tu obses dengan kekayaan, dia gila dan akan buat apa saja demi wang dan nama. Aku tak salahkan Kaizil dalam hal ni, mungkin dia pun tak berani menentang ayahnya tapi apa pula motif si Aart tu sampai menghantar orangnya ke New York, cari kau?” Hensen mengakhiri penjelasannya dengan bertanyakan soalan yang sama kepadaku.

“Mungkin dia takut aku jumpa Kaizil lagi…” jawabku perlahan.

“Aku tak peduli kau putus dengan Kaizil atau tak, tapi Aart memang cari nahas kalau dia cuba apa-apakan kau. Dia, tanpa Kaizil memang tak ada apa-apa, kosong. Kerjanya cuma nak cari nama di Hollywood. Kaizil patut sedar perangai bapa dia tu,” Hensen mengetap mulutnya geram, hidungnya yang mancung menghembus udara kasar. 

“Jangan pedulikan mereka, aku selamat.”


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ann Hann