Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
91,109
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

Selepas habis masa bekerja aku sempat menelefon Hensen semasa singgah membeli sekotak susu. 

“Macam mana Barcelona?” tanya Hensen.

“Cerah, sedikit panas tapi aku suka, ada kawasan market dekat tempat tinggal kami, senang aku nak cari buah nanti.” 

“Baguslah kalau kau suka. Kau belum jalan-jalan lagi kan?”

“Ada juga, masa hari pertama kami sampai. Minggu ni, mungkin tak boleh ke mana-mana, aku diberi tugas macam mana nak buat fotografi model untuk majalah.”

“Wah, aku bangga dengan kau.”

“Terima kasih.”

 “Halyn…?”

“Ya.”

“Jake ada di Granada sekarang, aku suruh dia singgah ke Barcelona tengok-tengokkan kau bila selesai dengan kerjanya cari lokasi.”

“Hensen… aku ok, tolonglah jangan buat Jake susah payah nak ke sini.”

“Tak apalah, dia pun nak ke Barcelona jalan-jalan, aku dah bagi dia nombor telefon kau. Lagipun sekarang, di sana ada rusuhan di Catalonia, kau tak tahu ke?”

“Tak. Serius ke? Rusuhan tu,” darahku bergemuruh mendengarnya.

“Aku tengok berita, ada bantahan besar-besaran di Catalonia. Hati-hati di sana ok. Jangan keluar sendirian kalau tak perlu.”

“Iyalah. Sampaikan salam aku pada Jake.”

“Ok, telefon aku kalau ada apa-apa.”

“Ok, bye…”

Selepas menamatkan talian, aku masuk ke dalam market kecil, membeli beberapa kotak susu dan kembali semula ke kuarters. Akibat keletihan bekerja di studio aku tertidur dengan nyenyak selepas makan roti dan secawan susu.




***



Seperti biasa, paginya aku terjaga lebih awal. Selepas melakukan hal-hal penting dan berkemas, aku menyiapkan nota praktikal lalu memasukkannya ke dalam beg bahu sebelum bersiap-siap. Sekadar mengenakan baju berwarna polos coklat muda yang diperbuat dari kain satin dan bahagian tangannya hanya separas lengan yang aku padankan dengan seluar berwarna putih yang mencecah betis lalu terus berjalan kaki ke tempat kerja yang tidak jauh dari kuarters. Bajuku beralun lembut di tiup angin pagi bandaraya sepanjang berjalan kaki dengan kasut rata. 

“Pagi, Halyn…” sapa Jimmy dan Frankie yang laju sahaja melangkah ke depan. Kemudian menyusul pula dari belakang Maddox yang kusut masai sahaja rambutnya mungkin terlewat bangun dan ditinggalkan kawannya. Ketiga-tiga mereka menumpukan kursus dalam bidang fotografi.

“Pagi,” balasku.

Sampai sahaja di syarikat Adios, aku dan Jimmy terus menuju ke bahagian studio. Antara tugas kami berdua yang sudah diterangkan semalam, menyiapkan studio yang hendak diguna pakai pada hari ini, membersihkan serba sedikit latar tabir dan melihat sambil belajar bagaimana pekerja khusus menyiapkan latar cahaya sementara menunggu Mauricio. Selain itu aku akan belajar serba-sedikit cara-cara proses suntingan untuk dimasukkan dalam majalah dan iklan-iklan seperti dalam poster-poster untuk butik. Mungkin minggu depan baru aku belajar pasal rekaan, bertukar jadual dengan Frankie dan Maddox.

Selepas Mauricio sampai tepat pukul 10 pagi dia terus meminta aku mengambil stok jaket untuk diberikan kepada model undangan sebagai bentuk barang penajaan. Aku hampir berlari ke bahagian stok yang dijaga oleh seorang gadis bernama Olivia yang dengan baiknya sudah siap menyusun lima belas helai jaket itu di atas kaunter. Tiga jenis jaket berlainan warna dan fabrik untuk musim sejuk.

“Gracias,” ucapku pada Olivia yang melambai mesra.

Laju saja kakiku berjalan kembali menuju ke studio, bimbang Mauricio mencari aku lagi kerana sesi fotografi sepatutnya sudah dimulakan sekarang. Sambil berhati-hati memegang jaket-jaket yang berplastik dan hampir menutup pandangan, aku membuka pintu studio. Kedengaran suara-suara orang ketawa, kuat juga suara mereka bercerita. Graciana Mendez pun ada sama di situ dan sempat menegurku.

“Hola Halyn… buenos dias.”

“Holaa… buenos dias,” sahutku. Dari pandangan menunduk aku mengangkat wajah dan tersenyum kepada Graciana. Kemudian aku terus mencari Mauricio yang nampaknya sedang sibuk bercakap… “Oohh!” aku hampir panik, terkejut sehingga jaket-jaket yang aku bawa tadi terlepas dari tanganku lalu berjatuhan di atas lantai. Kelam-kabut aku memungutnya semula, Jimmy pantas membantuku mengutip baju-baju.

“Kenapa?” tanya Jimmy.

“Por que Halyn…? (Kenapa?)” tanya Mauricio.

“Maaf, maaf...” ucapku dan berdiri semula kemudian meletakkan jaket-jaket tadi di atas kabinet dan bertahan seketika di situ. Perlahan, aku menghela nafas dalam-dalam, cuba bertenang, aku merayu pada diriku moga segala ingatan tentang kesakitan dalam dadaku yang pernah berparut tidak datang kembali. Dalam studio dingin, yang dinginnya mengilukan perasaan. Debaran dalam dada menggila buat aku tidak dapat bernafas dengan baik.

“Halyn? Por que?” panggil Mauricio lagi.

Setelah sedikit yakin dan kembali tenang aku berpaling semula dengan wajah tegar dan berpura-pura kuat. Aku tidak menyangka dengan kemunculan Kaizil di situ. Ya dia. Kaizil berada di dalam studio sekarang, dia turut menjadi salah seorang model jaket itu dan sedang bercakap dengan Mauricio. Aku dapat mendengar suaranya yang mersik, suara yang rendah dan yang paling aku rindukan. 

“Halyn, tolong saya…” panggil Graciana pula.

Cepat-cepat aku berjalan menghampiri Graciana dengan mata Kaizil aku rasakan sedang mengekori gerak-geriku.

“Tolong pakaikan jaket pada Roman, yang itu… lelaki tinggi yang tinggi tu dan Kaizil yang berdiri di sana dengan Mauricio,” arah Graciana.

Aku mengangguk-angguk dan mengambil jaket untuk peragaan dari Graciana kemudian berjalan menuju kepada Roman dahulu. Oh Tuhan…. bisikku dalam hati. Kenapakah sebegini teruk kisah hidupku. Tiba-tiba aku rasa menyesal, kenapalah aku tolak tawaran Rachel dan kerja diam-diam saja di New York. Bayangkan bagaimana hanya langit Perancis sebagai sempadan di antara Barcelona dan London, bayangkan. Macam mana silapnya aku buat anggaran yang kufikirkan begitu jauh dan mustahil kami akan bertemu lagi. Dan sekarang… akhirnya, selepas 9 bulan, aku harus berdepan dengan Kaizil sekali lagi. Di suatu tempat yang jauh dari Hensen yang pernah menjadi penyelamat. Aku sedang bermimpi? Kan… tolonglah, sesiapa… sedarkan aku yang ini cuma mimpi. 

Namun, inilah realiti Halyn! Aku hidup dalam dunia nyata. Lantas dengan langkah terpaksa, aku gagahkan kaki dan juga hati demi kerja hakiki yang aku sendiri inginkan.

“Hai…” sapa Roman yang tinggi dan sedikit berotot pada lengannya lalu meminta jaket saiz L.

“Hai Roman…” sapaku juga cuba berlagak ramah kemudian aku menghulurkan saiz jaket sesuai yang dimintanya dan memakaikan jaket itu kepada Roman.

Roman turut tersenyum kacak. Kenapa aku langsung tidak diberitahu model-model itu pemain bola dari Sepanyol dan England. Dari semalam lagi, kepalaku cuma terbayangkan model-model biasa sebagai promosi dalam majalah fesyen. Oh ya, aku terlupa satu perkara, aku praktikal di studio berjenama antarabangsa dan terkenal satu dunia dalam bidang sukan. Tetapi, kalau aku tahu pun, aku nak lari ke mana selain berhadapan dengan realitiku sendiri.

“Beritahu saya kalau rasa kurang selesa,” pesanku kepada Roman yang menarik-narik lengan baju bergetah itu cuba mencari kesesuaian.

“Wah, selesa sangat… terima kasih,” puji Roman. 

Selepas selesai dengan Roman, jantungku semakin berdebar kuat. Aku takut dengan realitiku yang ini. Aku bimbang dengan hatiku yang selalu gagal untuk kekal tenang setiap kali berdiri di hadapan lelaki itu. Tetapi bila aku mengangkat wajah dan memandang Kaizil, dia kelihatan biasa dan sedang memandang ke lain. Tidak langsung menunjukkan rasa teruja atau terkejut seperti aku. Dia benar-benar berlagak seperti biasa seolah-olah kami tidak pernah mengenali antara satu sama lain. 

“Hai…” sapaku perlahan, cuba mengingatkan diri yang aku sedang bekerja, berlatih bekerja demi masa depanku. Kaizil berpaling tetapi langsung tidak membalas sapaanku.

Aku terus menghulurkan saiz M kepadanya tanpa perlu bertanya. Dia memasang lengannya dari kanan dan kemudian aku beralih ke lengan sebelah kiri memakaikan jaket itu ke tubuhnya yang dilapisi t-shirt kelabu polos. Setelah memastikan kekemasan bahagian lengan dan bahagian kolar jaket aku berpaling mencari Graciana.

“Graciana,” panggilku. Kerjaku sudah selesai, boleh tak aku lari? Kataku dalam hati walaupun aku teringin hendak lari dari situ.

Graciana yang berdiri tidak jauh dari kedudukanku bercekak pinggang, memegang dagunya, berfikir sejenak memandang semua model-model yang bersimbolkan kelelakian nyata. Sekurang-kurangnya amat mudah berurusan dengan mereka berbanding menguruskan model wanita sebab aku pernah ada pengalaman begitu.

Graciana menerangkan kepada aku macam mana supaya baju seragam nampak lebih menarik dalam majalah nanti. “Pertama, kita kena dapatkan model kacak, itu penting, yang ada aura. Kedua, Halyn kena perhatikan macam mana saya bentuk gaya kalau melibatkan ramai model dalam satu masa, pastikan model anda tak kelihatan macam budak sekolah atau kedudukan yang mendatar bosan, tak boleh, tak boleh ok…” aku mengangguk laju. “Ok sekarang, kita cuba pelbagaikan pemakaian jaket, awak naikkan kolar jaket Kaizil dan zip sampai ke atas. Jaket Roman biarkan terbuka lebar,” arah Graciana. “Roman… awak patut tunjuk otot perut awak tu, biar nampak lebih macho…” lalu dia ketawa. Roman ikut ketawa.

Pandai juga Graciana bergurau dan kemudian dia turut membetulkan jaket seorang lagi model pemain bola yang aku tidak tahu namanya. Lantas aku menghampiri Kaizil semula, lalu memasangkan kolar jaket itu ke bahagian leher, gerakan tanganku terlalu berhati-hati bimbang tersentuh pipi lelaki itu. Dia sudah sedikit berjambang, lebih kacak dan… aku seharusnya berhenti berfikir tentang Kaizil yang telah menjadi tunangan Mezfey.

Dan ketika tanganku perlahan menaikkan zip jaket Kaizil, dengan getaran dan debaran hampir tidak dapat diselindungkan, sebelah tangan Kaizil tiba-tiba menyentuh bahagian belakang pinggangku, matanya merenung tepat ke wajahku sewaktu zip itu sudah ke penghujung leher. Aku hampir kaku dengan tindakannya itu.

“Aku rindukan kau…” bisik Kaizil.



Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.