Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
91,383
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21
Deleted Scene



Kerisauan Hensen buat aku berjaga-jaga. Pelanggan yang keluar masuk aku perhatikan betul-betul. Mujur juga Mr. Powell datang dengan isterinya ketika aku sedang menunjukkan koleksi pijama terbaru pada seorang pelanggan tetap butik. Seronok berkenalan dengan puan Velvet Powell yang baru pertama kali datang selepas hampir dua bulan aku kerja di sini.  Dan yang paling luar biasa, kedua-duanya suka bercerita. Bayangkan betapa seronoknya suami isteri itu bercerita tentang setiap corak-corak pijama mereka hasil dari imaginasi Mr. Powell semasa kecil dulu. Astaga… New York memang banyak orang pelik. Rasanya taklah susah sangat buat garis-garis panjang yang lurus dan berbelang. Ada-ada saja Mr. Powell, saja nak kenakan aku agaknya. Tetapi aku suka mendengar cerita mereka berdua yang mengutamakan kualiti dan bersyukur sebab mereka datang ke situ, sekurang-kurangnya perasaan risauku hilang serta-merta.

 Tengahari itu selepas mereka berdua beredar, aku tutup kedai sekejap dan makan di kafe sebelah butik sahaja. Kafe itu baru dibuka tiga hari lalu. Kafe yang menghidang menu daging barbeque halal kerana tuan punya kedai, chef yang berasal dari Jordan. Aku percaya trak yang jual makanan yang sama di Rockefellar Centre jadi inspirasinya memandangkan ramai sambutan. Mudahlah untuk aku juga, tak payah fikir sangat nak makan apa setiap kali tengahari menjelang. 

“Cik yang dari kedai pijama sebelah ni kan?” tanya salah seorang pekerja lelaki yang menghidangkan stik kambing yang begitu menyelerakan.

“Ya.”

Pekerja itu tersengih sambil mengangguk. “Selamat menjamu selera, kalau ada apa-apa lagi boleh panggil saya.”

Lain betul peramah semua orang hari ini, aku ikut tersenyum dan mula makan. Suapan pertama dicicah sos barbeque, oh wow! Memang sedap, sedikit berbeza dari yang aku beli di trak terkenal itu. Aku makan dengan berselera dan licin termasuk salad. Aku patut ajak Hensen makan di sini. 

“Oh tengok cepat!… Kereta siapa tu, bergaya sungguh!”

Aku dengar suara pekerja lelaki yang peramah itu mengintip-intip dari balik pintu melihat keluar. Kemudian datang lagi dua orang ikut serta. Selepas membayar harga stik yang agak berpatutan sesuai dengan hidangan yang sempurna dan kafe yang klasik dengan tema dinding kayu aku berjalan ke arah pintu. Dua pekerja membukakan pintu untuk aku.

“Itu kereta bos cik ke?” tanya pekerja perempuan.

Pelik juga soalan tu, aku melihat ke depan dan turut tercungap terkejut. Ferrari 812 berwarna merah anggun. Kakiku terpaku seketika di luar kafe, aku terkejut sebab kereta itu cantik betul. Beruntung sungguh jadi orang kaya. Entah siapa punya kereta mahal parkir di depan butik pijama milik Mr. Powell. Pelanggan ke? Mungkin dia sedang menunggu aku buka kedai. Cepat-cepat aku berjalan dan membuka pintu kedai, menukar papan ‘buka’ di depan pintu lalu masuk. Namun, sangkaanku salah, tidak ada sesiapapun yang masuk selepas sejam. Mungkin pemandu Ferrari itu terlupa yang dia salah meletak keretanya di parkir simpanan untuk pelanggan butik ini sahaja. Aku tidak lagi menunggu cuma berharap empunya kereta itu dapat beredar cepat nanti ada pelanggan yang susah dapat parkir membatalkan niat mereka pula hendak singgah membeli. 

Bagaimanapun, Ferrari itu betul-betul jadi masalah buat aku sejam kemudian. Sekejap-sekejap aku melihat keluar kalau ia sudah beredar. Tetapi lepas sejam, Ferrari merah berkilat itu menjadi perhatian orang yang lalu lalang di luar. Aku ingat orang-orang di New York taklah pelik sangat tengok kereta mewah begitu, tetapi menghairankan ada yang singgah bergambar dengan Ferrari yang salah parkir itu. Aku menggeleng dari dalam kedai dan buat tidak kisah pula.

Pintu butik diterjah lagi, seorang wanita masuk sambil mengomel.

“Dari tadi saya tunggu Ferrari tu beredar, mujur ada tempat parkir dekat. Pelanggan butik ke? Mana pemandunya?” gayanya menyoal macam aku pula yang buat salah dan membenarkan Ferrari itu jadi pameran di situ.

“Saya pun tak tahu kereta siapa. Dah sejam lebih di situ.”

“Betul. Saya tahu itu bukan Ferrari Velvet.”

“Maaflah.”

“Tak apa, mana pijama saya, Velvet kata dia ada simpan.”

“Oh, Puan Lee,” aku lantas teringat pesanan Velvet tadi. “Sekejap saya ambilkan.”

Pantas aku berlari ke stor dan mengambil sebuah beg kertas berwarna hitam yang resitnya tertulis nama Amber Lee Carlson. Kemudian aku menghulurkan kepada Puan Lee yang tersenyum lebar mengambilnya dan terus bergegas keluar. Aku lega dia tidak merungut lagi pasal Ferrari itu. Aku ikut keluar juga berdiri di tepi Ferrari dan terjenguk kiri, kanan. Bila tidak ada sesiapa yang kelihatan hendak mengaku pasal Ferrari itu aku pun masuk dalam butik semula.

“Biarlah…” bisikku sendiri dan enggan ambil peduli lagi. Bukan masalah aku. Tetapi tidak lama kemudian kemunculan dua orang lelaki berbadan tegap di luar butik dan berdiri di sebelah Ferrari sambil sesekali melihat aku dari balik dinding kaca…

Ok, itu membimbangkan aku yang cuba berlagak berani. Ada ugutan terbaru ke? Ada butang panik? Jenis orang suka berfikir bukan-bukan macam aku ni memanglah meresahkan sekali-sekala. Tetapi tidak kali ini, bukankah aku sudah berjanji yang aku akan kekal kuat. Aku sepatutnya sudah biasa berdepan ini semua. Leka mencatat nombor resit dalam buku kira-kira, telefon berdering, cepat sahaja tanganku menangkap gagang.

“Hello, Powell Pyjama Boutique,” ucapku.

“Saya hendak bercakap dengan Halyn Yong Olyphant,” sahut suara dari talian, seorang lelaki. 

“Ya, saya.”

“Saya, Bruce Hummel dari Pengedar Ferrari, Amerika Syarikat, ejen saya sudah sampai di sana?”

“Hmmm… Ferrari, apa?” aku tertanya-tanya dengan wajah pelikku dari cermin di atas kaunter.

“Pengedar Ferrari, Amerika Syarikat.” Lelaki itu mengulang ayatnya tadi. “Kami telah menghantar sebuah Ferrari 812 ke Powell Pyjama Boutique, ejen saya akan jumpa anda nanti, mungkin dia sudah menunggu di luar sedang mencari anda, boleh anda keluar sekejap.”

“Ok,” err… kenapa dia tidak beurusan terus dengan Powell. Kenapa juga mesti dihantar ke butik? Hantar sajalah ke rumahnya, aku pula yang kena uruskan. Sebab itulah suami isteri itu datang awal pagi tadi, mungkin mahu menunggu ejen Ferrari datang. Aku pun keluar dan menemui dua pengawal yang berwajah serius. Biasalah kereta mahal, mesti dijaga oleh orang-orang yang tahan banting juga. Mana tahu tiba-tiba ada orang nak rompak kereta itu.

“Ms Yong…” tegur seorang lelaki yang baru turun dari kereta dan memarkir sahaja keretanya di sebelah Ferrari itu. “Saya John, ejen dari Ferrari,” dia menghulurkan tangannya untuk berjabat. 

“Dah telefon Mr. Powell ke? Dia tak ada sekarang, pagi tadi ada,” jelasku.

Tiba-tiba wajah ejen itu berkerut. “Powell tu siapa?” tanya John pula.

“Bos saya, kenapa awak tak telefon dia.”

“Oh, masalahnya bukan dia, kejap…” lelaki itu kelihatan ragu-ragu dan mengeluarkan sekeping kertas dari failnya. “Ini nama awakkan?” 

Aku terus mengambil kertas yang berupa surat perjanjian itu. Tertera jelas nama pemilik Ferrari 812 – Halyn Yong Olyphant. Alamat yang ditulis juga betul-betul alamat Powell Pyjama Boutique. Aku membacanya berulang kali. Kereta itu ditempah khas dan ditandatangani oleh seseorang yang… yang sangat mencurigakan. 

“Saya, err…” aku memandang Ferrari merah anggun itu. Terlalu sempurna, mustahil aku mampu memakainya. “Saya tak percaya. Dan… err… saya… tak boleh terima.”

Kening John terangkat pelik. “Kenapa? Awak sepatutnya berbangga dapat kereta sebaik ini, Ferrari 812 yang paling laju. Cerminnya kalis peluru, untuk keselamatan awak, kereta ini direka menepati citarasa gadis dan jejaka yang pentingkan gaya.” John sampai menerangkan secara terperinci dari tayar hingga enjinnya.

“Maaflah saya tak boleh, tolong kembalikan kepada orangnya semula, katakan kepadanya saya tak boleh terima apa saja pemberiannya.” Aku nekad tidak mahu menerima apa-apa yang berbentuk pujukan atau ugutan atau paksaan. Sekali lagi aku yakin ada sesuatu yang telah berlaku di London.

John semakin pelik dan tidak percaya aku boleh menolak tawaran sebaik dan semahal itu. Tentu dia fikir aku mengalami kecelaruan dungu yang luar biasa.  Tanpa mempedulikan John lagi aku masuk ke dalam butik semula dan bersiap-sedia hendak pulang. Selepas menutup pintu, Ferrari tadi sudah dibawa pergi. Itu bukan urusan aku, selepas semua yang berlaku, selepas polis sudah mula menyiasat, Ferrari itu datang sebagai tawaran ke apa? Kalau tujuannya cuma untuk menguji perasaan aku atau keprihatinannya, dia silap.


Previous: Bab 20
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.