Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
44,187
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20


Aku memang takut dengan kejadian rusuhan itu, tetapi aku lebih bimbangkan status Kaizil. Dia tunangan orang dan aku tidak mahu terlibat dalam cinta tiga segi lagi. Tetapi kerana bermacam-macam fikiran yang teroleng-oleng dalam fikiranku aku menurut sahaja ke mana Kaizil hendak bawa aku. 

Sepanjang Kaizil memandu dalam setengah jam aku menutup resah fikiran dan makan buah raspberi merah dengan tenang untuk melapik perut yang lapar. Dalam beberapa minit aku langsung tidak tahu ke manalah perjalanan kereta itu, rasanya macam ke tepi laut dan terus menghala ke arah kawasan bukit yang tinggi. Ada bangunan unik di kawasan itu, mungkin hotel. Asyik memerhatikan jalanan yang berbukit ditambah lagi laluannya yang berbatuan aku terbatuk kecil kerana duduk terhayun-hayun di dalam trak itu atau, terlebih makan raspberi agaknya. 

Mendengar saja aku terbatuk, tangan Kaizil memanjang ke depanku dan membuka laci  mengeluarkan sebotol mineral yang sudah tinggal setengah lalu menghulurkan kepada aku. Dia terlalu budiman malam ini, sempat pula menepuk-nepuk perlahan belakangku cuba melegakan aku dari batuk. Aku ingat lagi, kali terakhir kami terjumpa dulu, Kaizil dalam keadaan marah. 

Lepas makan beberapa biji raspberi aku makan sebiji pisang pula, betul-betul lapar. 

“Kau lapar sangat ke?” tanya Kaizil.

Aku mengangguk.

“Aku pun. Boleh bagi aku sikit pisang tu…”

Aku mahu mengeluarkan sebiji lagi pisang untuk Kaizil tetapi dia lebih pantas menarik tanganku yang memegang pisang dan menyumbat baki pisang yang kumakan tadi ke mulutnya. “Hmm…sedapnya…” dia senyum sambil mengunyah. 

Selepas habis mengunyah, Kaizil meneguk air yang sudah tinggal sedikit dan kemudian dia bersuara. “Kau buat apa di studio Adios, kau kerja di situ?” tanya Kaizil sambil tangannya mengambil pula sebiji raspberi dari tapak tanganku.

“Aku buat praktikal sebulan di Adios selepas enam bulan ikut jurusan fesyen di New York. Tolong jangan fikir aku kejar kau sampai ke Barcelona, aku tak tahu apa-apa pasal kau buat sesi fotografi di situ, aku cuma nak cuba suasana baru di sini,” jelasku sebelum Kaizil mengesyaki apa-apa. Aku mahu Kaizil menganggap pertemuan kami berdua ini kebetulan sahaja. Biarkan kami saling tertanya-tanya dari aku mengetahui penghujungnya yang aku khuatiri lebih menyedihkan.

Dia mengerlingku lalu bersuara dengan nada kecewa. “Aku tak fikir begitu pun Halyn tapi aku nak cakap terima kasih sebab kau pilih praktikal di Adios, semalam aku baru saja mimpikan kau, tak sangka pagi tadi kita jumpa juga akhirnya, selepas sembilan bulan, sembilan kau tahu! Sembilan bulan lamanya aku menderita,” luahnya sedih.

‘Aku pun’ sahutku dalam hati. Namun aku tidak mampu meluahkannya seolah-olah mulutku dipaku dan begitu menyakitkan jika aku menceritakan bagaimana deritanya aku di New York tanpa dia.

“Kau nampak lebih tenang sekarang, kau suka berjauhan dengan aku?” kata Kaizil dan ketawa kecil yang buat aku rasa gurauannya itu benar-benar bodoh.

“Aku belajar untuk lebih tenang sebab aku tahu sakitnya terpaksa melepaskan…” luahku perlahan tapi dengan nada sinis.

Kaizil berpaling sesaat, aku tahu dia tersentap dengan kata-kataku. Tetapi dia tidak membalas, wajahnya kaku seperti sedang berkhayal panjang. Selepas seminit, dia mula memandu agak perlahan. Kawasan itu begitu terasa asing dan bergantung sepenuhnya pada sang rembulan yang asyik ditutupi awan, begitupun aku masih tidak ingin bertanya di manakah sudah lokasi kami. 

Akhirnya, Kaizil menghentikan trak di tepi tebing yang menghadap laut. Dia masih termenung, mungkin juga sugul kalau aku melihat mukanya betul-betul. Entah berapa lama, matanya hanya merenung ke luar. Kemudian bila dia berpaling sekali lagi kepadaku, wajahnya tersenyum sebelum turun dari kereta. Aku meneguk air perlahan sambil memerhatikan lelaki itu berjalan ke tebing tinggi.

Dia berdiri mendepa tangannya menikmati angin laut yang bertiup dari tepi tebing. Dia tak rasa sejukkah? Kaizil cuma memakai t-shirt lengan pendek berwarna putih malam itu. Macam dia melompat tergesa-gesa dari katil hotel kerana tiba-tiba teringat yang aku ada di Barcelona dengan tidak disangka-sangkanya. Fikiran itu buat aku teringin hendak bertanya macam mana dia boleh berada di pasar tadi. Lantas aku pun ikut turun dengan degupan jantung yang berdegam-degum resah. Berkali-kali aku menarik nafas panjang cuba melapangkan dadaku sambil berdiri bersandar pada trak dan membiarkan pintu itu terbuka. 

Kemudian Kaizil berpusing kembali, dia berjalan ke arahku dengan senyuman nipisnya yang begitu menawan. Kalaulah aku mampu membeli wajah senyuman Kaizil itu, biar berapa mahal pun aku mahu.  Aku mahu menyimpan senyumannya biar kekal dalam ingatanku sampai bila-bila. Diam-diam aku memerhatikan sahaja tingkah gembira lelaki itu, aku kenal benar dengan sikapnya, dia akan selalu tersenyum jika dia gembira. Begitu juga kalau dia sedang marah, wajahnya akan masam mencuka, Kaizil jarang melindung perasaannya daripadaku. Bukan seperti aku, Kaizil kata riak wajahku sukar ditebak, aku gadis yang sulit diduga kalau pasal melibatkan perasaan katanya lama dulu.

Saat langkahnya semakin hampir, aku tersentak bila Kaizil menarik tanganku ke arah tanah lapang di atas tebing. Dengan satu gerakan dia membawa tangan kiriku ke pinggangnya dan sebelah lagi dalam genggamannya. Rupanya dia mengajakku menari, aku ketawa kecil, lucu tetapi aku mengikut sahaja gerak tarinya. Dia membawaku berpusing-pusing dengan angin yang bertiup deras sebagai muzik iringan langkah tarian kami sebelum Kaizil memelukku erat, bila dia penat dia meletakkan kepalanya di balik bahuku namun enggan melepaskan pelukannya. Menyingkap kehangatan yang paling indah pernah aku rasakan, perlahan air mataku mengalir. Adakah itu petanda hari terakhir kami bercinta? Aku takut dengan kenyataan itu. Bagaimana jika benar. Dia pun sudah menjadi milik orang lain, mungkinkah malam di tebing laut itu menjadi saksi tarian terakhir kami berdua…

“Aku betul-betul rindukan kau…” bisiknya dan masih memelukku.

Senyumanku lantas pudar.



Keasyikkan beberapa minit tadi aku cemar dengan menarik diri dari pelukan Kaizil. Jangan berikan aku harapan, aku tidak mampu menanggung rasa kesakitan akibat percintaan. Biar aku beralah saja.

“Tahniah!” ucapku lembut ketika Kaizil berdiam selepas tarian tamat.

“Untuk apa?” dia kehairanan. “Untuk sembilan bulan perpisahan kita?” lalu ketawa berserta nada memerli.

Aku senyum tenang ketika berkata. “Sempena pertunangan kau dengan Mezfey.”

Serta-merta wajah Kaizil bertukar tawar, tiada lagi senyuman gembira. Tangannya sebelah mencekak pinggang dan sebelah lagi menyapu rambutnya dengan riak sedih. Dia mengetap bibirnya sebelum menunduk ketika bercakap. “Jadi, berita tu dah sampai ke New York…”

“Aku baca berita itu dari kawan kolej.”

Aku fikir Kaizil mahu memaki atau memarahiku kerana menjadi punca perpisahan kami tetapi tidak, dia kembali merapatkan tubuhnya kepadaku. Tangan kanannya menyusup ke belakang bajuku lantas menarik aku lebih rapat. Dia memandangku dengan renungan yang paling aneh, paling sinis, seperti pandangan yang sama ketika dia menghalau aku di hotel dulu. Malahan aku dapat merasakan debaran jantungnya seperti apa yang aku rasa saat ini. Dalam ketegangan pertemuan itu yang aku kira akan mencetuskan pertengkaran rupanya tidak. Kaizil lebih penyabar dan berusaha untuk cuba tersenyum dengan helaan nafas yang dikawalnya dengan baik. Renungannya kembali sayu ketika berkata dengan suara yang tertekan dengan kejanggalan sikapku terhadapnya.

“Aku tak pernah bertunang dengan Mezfey. Kenapa aku nak melakukan hal bodoh tu kalau aku boleh jumpa kau di Barcelona, Halyn… kau faham apa yang aku katakan ni?”

Aku menggeleng dan cuba melepaskan diriku dari dakapan Kaizil namun tidak berjaya. Tubuhku begitu rindukan Kaizil dan menentang fikiranku yang gagal melawan perasaan.

“Aku bersumpah di bawah langit Barcelona aku benar-benar cintakan kau. Aku langsung tak sangka kita ditemukan di Barcelona. Aku baru saja merancang dengan Errington culik kau dari New York minggu depan. Tapi takdirku temukan kau di sini sayang,” lantas Kaizil mengecup pipiku kemudian dia terus bercerita. “Bukan kau saja yang terkejut… aku pun terkejut nampak kau di Adios pagi tadi, kau cute sangat masa tu, aku rindu tengok tingkah panikmu Halyn, bukankah itu jelas yang kau juga masih cintakan aku, hmm… jadi? Apa yang berlaku? Kenapa kau terus berahsia dari aku, kenapa kau tak hukum aku saja dan biarkan aku mati ditanganmu…”

Perasaanku pula tiba-tiba tersentak, Kaizil tentu perasan riak wajahku yang jelas berubah mendengar semua kata-katanya yang mengejutkan. Adakah dia sudah mengetahui sesuatu? Semuanya. Aku risaukan Julia. Aku takut dengan Jorge, kepalaku terbayang-bayang lelaki itu mengekoriku hingga ke Barcelona kalau ada yang dapat tahu kami telah bertemu secara rahsia di sini. Dakapan tangannya dileraikan, aku berundur selangkah cuba memastikan jarak yang sepatutnya wujud di antara kami berdua.


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.