Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
4,825
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

 Musim sejuk di _70 East 10th Street

mencantas mimpi, menewaskan hangatnya 

secawan kopi dan juga- sekeping hati.

Musim sejuk di _70 East 10th Street

buat pertama kali,

cintaku datang sebagai pagi dan aku – membenci salji

                                                          Halyn, new york


Diari berwarna coklat terletak sahaja di atas meja di tepi katil, diari yang dibelikan Hensen menjadi tempat untuk aku meluahkan semua perasaan. Seperti yang dimahukan Hensen. Aku menulis tentang New York yang dilanda musim sejuk yang terlalu sejuk lantas mengalih hatiku merindui London yang tidak begitu ekstrem cuacanya. Sudah berapa hari aku tidak keluar rumah kerana suhu sejuk yang berada di bawah paras beku. Aku juga terpaksa mengambil suntikan untuk mencegah selesema untuk mengelakkan aku jatuh sakit lagi. Doktor berpesan pada Hensen jangan biarkan aku sakit. Pengambilan ubat berterusan ditakuti menjadikan aku seorang pesakit yang bergantung kepada itu.

Pagi yang dingin dengan salji putih menutupi seluruh perkarangan apartmen membuatkan suasana di luar begitu terang di mataku. Bahagian bumbung bangunan di hadapan Apartmen Stewart dipenuhi salji. Aku dapat merasakan kesukaran penghuni di situ menghadapi salji tebal. Mereka memakai baju berlapis-lapis untuk ke tempat kerja. Jalan raya pula kelihatan basah, salji yang memenuhi jalan disorong ke bahu jalan untuk melancarkan perjalanan kereta. Aku yang melihat dari tingkap turut mengeluh, mujur ada alat pemanas di dalam bilik yang buat aku terasa sedikit hangat. Lama juga aku memerhatikan suasana pagi di luar dan bila pemandangan di luar mula membosankan aku menulis lagi di sepanjang garisan halus dalam diari…

26Jan. Aku terjaga awal pagi dalam kedinginan, tersentak sebelum menyedari rupanya cuma mimpi. Kali pertama aku mimpikan Kaizil datang menemuiku, mengucup bibirku. Mengenggam erat tanganku dan kami sama-sama meredah salji. Pelukannya erat dan hangat dan bila mataku terbuka. Dia tidak ada….  di sini.

Lantas aku menutup buku nota itu dan menyimpannya dalam laci meja yang sama. Selain sedang memadam kenangan aku terus belajar mengalih fikiranku dari terus menerus diserang fikiran-fikiran yang penuh luka. Selepas keluar dari hospital minggu lalu aku tak mahu kembali menghadap kepedihan dan kesakitan yang menyeksa diriku sebulan dua yang lalu.

Berjanji untuk pulih… demi Hensen. Aku sepatutnya tidak membiarkan Hensen bersedih  saat aku ada di sisinya selepas berbelas tahun kami terpisah. Itu tidak adil untuk Hensen. Dia mahu aku berbuat sesuatu, keluar jalan-jalan ke, nikmati New York dan yang paling penting Hensen meminta aku sambung belajar dalam bidang apa pun, dia akan sokong. 

Namun untuk melawan perasaan gelisah meskipun tidak mudah aku akan bertahan. Aku, akhirnya memutuskan untuk bekerja bukan belajar. Aku tidak begitu pasti dengan keadaan kesihatan dan fikiranku jadi aku takut ambil risiko untuk mengambil degree. Tidak buat masa ini.

“Boleh tak aku pergi cari kerja?” aku bertanya pada Hensen suatu malam ketika kami  menonton rancangan bual bicara lewat malam.

“Kenapa? Kau tak mahu belajar? Lebih baik kau sambung belajar. Ada kolej terkenal di sini yang terkenal dalam bidang fesyen.”

“Aku belum sedia nak sambung degree, mungkin lebih baik aku cari kerja…emmm…” mataku berputar-putar melihat siling sambil mencari alasan yang baik. “Sebagai terapi, tentu suasananya lain di sini.”

Hensen berfikir sejenak, menggaru-garu pipinya, memandang tepat ke mataku entah sedang membaca fikiranku agaknya. Kemudian dia mengangguk perlahan.

“Kau nak kerja apa?”

“Kedai baju ke? Baju budak-budak,” err… aku tersengih. Kekok pula jadinya bila gadis yang telah dewasa terpaksa minta keizinan untuk perkara sebegitu. Janganlah Hensen fikir aku ni manja sangat.

“Aku rasa lebih baik kau sambung belajar, rancanglah cepat untuk habiskan degree kau ok. Dekat Fifth Avenue ada satu kolej universiti yang menawarkan pengajian dalam fesyen, mungkin kau suka di sana. Aku boleh bayar, kalau kau tak ada duit. ”

“Terima kasih, aku ada sedikit duit simpanan. Nanti aku pergi cari laman webnya.”

“Aku hantar kau ke sana esok.”

Aku mengangguk terpaksa menurut kehendak abangku. Beribu kali atau seberapa banyak ucapan terima kasih rasanya tidak cukup untuk menggambarkan betapa bersyukurnya aku dengan adanya Hensen dekat denganku.


***


Januari di New York tamat dengan jayanya, untuk aku. Walaupun masih dibayangi awan kelabu tetapi… aku, kekal hidup, masih berjuang melawan kemurungan dan menurut cakap. Selain mengambil ubat ikut waktu aku cuba keluar berjalan-jalan, mencari terapi terbaik. Ada masanya aku bersendirian di kafe-kafe atau membeli baju dari kedai jalanan. Kalau Hensen sibuk bekerja aku keluar berjalan kaki lebih kurang 5 minit perjalanan ke Sand Book Store, di kedai buku itulah aku selalu menghabiskan masa berjam-jam membelek-belek majalah fesyen dan membaca buku motivasi bagaimana hendak merawat jiwa yang hampir punah.

Aku memulakan kursus di sebuah kolej universiti terkenal di New York pada februari. Aku cuma perlu menghantar portfolio dan pencapaian terbaikku sewaktu bekerja dengan Mrs. B sebelum diterima masuk dan bakal menghabiskan setahun untuk mendalami bidang fesyen dan aliran keseluruhannya. Sedikit-sebanyak kesibukan menyiapkan portfolio tentang fesyen menjadi ubat. Syukurlah aku dapat bertemu dengan kawan baru, pengalaman baru dan tentulah memori baru juga. Hensen gembira aku dapat meluangkan masa keluar bersama kawan-kawan sekelas dari kolej itu. 

Tetapi kalau tidak ada rancangan untuk menyiapkan kerja kursus aku suka jika dapat keluar sendirian menjelajah kota New York. Seperti malam minggu ini aku cuba keluar buat kali pertama, sendirian, berjalan-jalan ketika musim sejuk masih berlabuh di bumi Amerika. Aku menaiki teksi ke Rockefeller Centre pada awal malam yang dipenuhi orang ramai bersantai di kafe terbuka di tepi jalan yang dibarisi pohon cantik. Aku suka memerhatikan gelagat semua orang, melihat kanak-kanak bermain, anak-anak muda berpeleseran sambil makan burger buat aku segera melupakan fikiran-fikiran yang mendera hatiku. Bagiku New York berjaya mencipta suasana yang paling sempurna sepanjang musim dingin. Keajaibannya di beberapa lokasi macam magis alam fantasi. Seperti kelipan lampu-lampu kecil pada pohon natal gergasi yang cantik di The Rink yang kulihat awal Januari lalu dari kereta saja. Bangunan pencakar langit yang menakjubkan. Aku berjalan kaki dengan perasaan gembira, buat pertama kalinya aku merasa apa itu perasaan gembira di sini. Mataku leka di sepanjang deretan kedai kemudian sempat singgah membeli sehelai jaket dan skarf untuk leher yang dijual bermacam corak dan sulaman yang sangat cantik.

Pasangan bercinta saling berpegang tangan bermain skate dengan lagu balada yang kedengaran dari corong speaker di penjuru lapangan menjadikan suasananya romantik dengan salji melengkapkan perasaan itu. Aku tersenyum dan terus berjalan di mana pengunjungnya langsung tidak berkurangan biarpun musim sejuk terlalu sejuk di New York. Sambil melangkah mataku leka mencari trak yang menjual makanan halal terkenal di area ini ketika telefonku berbunyi dari dalam poket jeans. Hensen.

“Hensen.” Aku menjawab.

“Kau di mana?”

“Rockefeller Centre, tadi aku tengok orang main skate.”

“OH, baguslah, telefon aku kalau kau nak pulang, lokasiku dekat je. Aku makan malam dengan kawan. Kau jangan lupa makan juga.”

“Ok.” Aku menyimpan handphone tanpa melihat skrin. Dari semua orang-orang yang lalu-lalang di situ entah macam mana mataku tertangkap sesuatu. Seorang lelaki yang berdiri tidak jauh dari tempatku berdiri. Tetapi dia berlagak seolah-olah aku tidak mengenalinya. Jadi aku pun pura-pura juga cuba tidak menyedari kehadirannya. Lelaki tinggi dan berjambang itu salah seorang pengawal Encik Aart. Namanya Jorge. Tentu bukan kebetulan Jorge berada di Rockefeller Centre? Mengekori aku. Ya. Untuk memastikan aku kekal berada di New York. Sudah jelas, Encik Aart tidak berdiam saja. Dia mahu segala usahanya lancar. Aku harus diperhatikan supaya tidak terbang merentasi langit ke London.

Sekilas, sepantas kilat aku jadi tertanya-tanya, kenapa aku masih diekori? Julia sudah sihat ke? sudah boleh bercakap? Julia mungkin akan mencari Kaizil. Encik Aart tentu tak tahu seberapa rapatnya Julia dan Kaizil. Julia orang terpenting dalam mencipta hubungan aku dan anak tunggal lelakinya. Encik Aart cuma tahu Julia orang yang paling rapat dengan aku di London. 

Kemudian aku berpura-pura ikut berbaris mahu membeli beef gyro sandwich halal dari sebuah trak sambil mataku memerhatikan Jorge yang merokok di bawah pohon tepi jalan. Bila dia berjalan, aku pun keluar dari barisan dan mengekori lelaki itu. Tetapi untuk memastikan Jorge tidak perasan, aku berjalan dengan dua tiga orang turut berjalan di hadapanku agar membolehkan aku meneruskan misi mengekorinya. Langkahku berhati-hati sepanjang menyusuri pohon-pohon yang dihiasi lampu kecil-kecil berwarna biru dan putih. Ketinggian Jorge memudahkan aku melihatnya. Dia terus berjalan melalui perkarangan deretan bangunan tinggi sambil bercakap di telefon. Aku mempercepatkan langkahku kerana rasa ingin tahu yang membuak-buak sekaligus melupakan pesanan Hensen. 

Aku patut bertindak lebih dari mereka kali ini. Bukankah aku sudah menjauhkan diri jadi kenapa aku diekori lagi? Itu cari pasal namanya. Langkahku semakin hampir dengan Jorge. 

 “Halyn…” tiba-tiba langkahku terhenti, laju kepalaku menoleh ke kanan. 

Ada seseorang memanggilku. Dia muncul dari deretan kereta yang parkir di tepi jalan. Aku terkejut dan tidak percaya. 

“Errington?”


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ann Hann