Home Novel Cinta DIA DOKTOR HATIKU
DIA DOKTOR HATIKU
26/5/2014 08:16:51
78,098
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 12

Angin yang berhembus lembut tidak mampu memujuk hati yang geram. Masih terbayang kenangan yang menyakitkan hatinya semalam. Di dalam jadual, sepatutnya Senior Danial yang menemani mereka berkawal. Namun, tidak semena-mena, Senior Imran pula menggantikan tugas Senior Danial.

Rasa bengang, geram bersilih ganti di benaknya. Ikutkan hati, mahu saja dia menarik diri daripada tugasan tersebut. Biar sahaja Liza yang cukup meminati Senior Imran mengambil alih tugasnya. Dia tidak mahu memandang muka yang telah mengherdiknya pagi tadi.

“Ehem… ehem”

Lydia segera berpaling ke arah suara itu. Ziha yang sedang memegang pinggan sedang merenungnya dengan pandangan yang aneh.

“Kenapa kau tengok aku macam tu?”

Ziha tidak membalas pertanyaannya. Dia hanya menunjukkan jari telunjuknya ke arah kawah kari dagingnya.

Lydia terus melihat ke arah kawah itu. Hanya daging yang kering sahaja sedang dikacaunya. “Ya Allah! Macam mana boleh lupa letak santan ni? Matilah aku…” Cepat-cepat dia mengambil santan segera lalu dituangnya ke dalam kawah tersebut.

Ziha turut mengambil senduk panjang untuk mengacau kari itu.

“Terima kasih, Ziha. Kalau kau tak ada tadi, dah tentu kita cuma berlaukkan telur masin, sayur campur dengan sambal saja.”

“Tak ada apa-apalah, Lydia. Nasib baik selamat. Kalau tak, teruklah grup kita. Nasi dan lauk lain dah masak. Kita tunggu kari daging ni aje okey!” balas Ziha sambil menyusun bekas yang berterabur. “Jangan lupa. Lepas asar nanti, kita ada hiking tau.”

Hiking?” Lydia mengerutkan dahinya. Istilah hikingdigunakan untuk mendaki bukit dan merentasi segala onak dan duri dalam belukar bagi menguji ketahanan fizikal dan mental. Penggembaraan berjalan kaki ini biasanya dilakukan di tempat yang mempunyai persekitaran semula jadi seperti gunung-ganang atau tanah indah lain.

Bukan dia tidak menggemari aktiviti ini. Tapi mengenangkan mereka terpaksa berdepan dengan binatang merayap seperti lintah atau ular yang melingkari pokok yang sewarna dengannya, membuatkan dia rasa geli geleman. Serta merta bulu roma tegak berdiri mengenangkan habitat semula jadi hutan itu. Tapi apa nak buat, terpaksalah diharung segala cabaran kerana dia dan teman-teman terpilih untuk menjadi pelapis pemimpin yang sedia ada.

Pemimpin? Dia hanya mencebik setelah melihat kelibat Senior Imran melintasi bersama beberapa senior yang lain. Ketika minggu orientasi, Senior Imran tidak terlalu garang. Mungkin kerana terlalu ramai pelajar tahun satu yang mendaftar. Tetapi kali ini terserlah sikap hipokritnya.

‘Kau ingat kau boleh kenakan aku ya? Tunggu masa yang sesuai nanti, aku akan belasah kau cukup-cukup.’ Lydia hanya berbicara dalam hati sambil tangannya terus ligat mengacau kari daging dalam kawah besar.

“Lydia, you can do it!” jerit mereka yang berada di seberang bukit. Di hadapan mereka terbentang sebatang titi kecil yang memisahkan kedudukan gadis itu dan peserta yang lain.

“Tak boleh! Saya gayat!” jerit Lydia. Dia memandang ke bawah. Apabila melihat sungai yang berada kira-kira 200 meter ketinggiannya, dia terasa gayat lagi. Dia cuba mengingati ilmu yang dipelajari dahulu. Jangan panik, jangan sesekali menoleh ke bawah. Pandang sahaja ke depan dan teruskan perjalanan anda. Dia mencuba petua tersebut, namun kepalanya mulai pening. Kini hanya dia seorang sahaja berada di situ sedangkan peserta lain sudah berlalu meninggalkan perjalanan berkumpulan seramai sepuluh orang.

Senior Imran yang juga berada di situ mula bercekak pinggang. Entah kenapa darahnya menyirap melihat kerenah freshieyang satu ini. Hendak dikatakan penakut, rasanya tadi dalam acara memanjat bukit, dia yang paling di depan. Tetapi sekarang? Hisy! Tak boleh jadi ni.

“Lydia, come on. Takkan itu pun tak boleh buat!” sambungnya geram dan terus berjalan meniti titian kecil itu. Sampai di tempat Lydia, terus dihulurnya tangan lantas gadis itu meraihnya. Mata bertentang mata. Terasa degupan jantung pantas berlari. Tidak terkeluar walau satu patah perkataan pun dari mulut masing-masing.

Lydia juga kelu. Terasa bayang dirinya berada di dalam anak mata Imran. Sinar mentari juga dirasakan hanya menyuluh mereka berdua. Tiga puluh saat berlalu seperti mereka berdua sahaja di situ.

“Woi, Imran!”

Suara itu memecah keheningan. Kelihatan Senior Danial dan yang lain-lain tersenyum melihat adegan drama romantik itu.

“Kalau nak jadi romeo pun, biarlah kena tempat,” usik Danial lagi sambil disambut hilaian tawa mereka yang berada di situ.

Dengan pantas, Lydia melepaskan genggaman tangannya. Entah kenapa, masing-masing terpana sebentar tadi. Dia hanya mengekori Imran dari belakang sambil mengimbangi badannya. Mereka selamat sampai di hujung tali tersebut. Mukanya merah menahan malu dengan usikan daripada senior-senior yang nakal.

“Nasib baik kau dah sampai sini. Kalau tak, aku dengan Hisham nak ke sana selamatkan korang,” sindir Danial sekali lagi dengan gelak tawa. Terasa kelakar juga adegan tersebut sebenarnya.

Imran hanya tersenyum.

Lydia pula terpaksa mengekori Imran kerana peserta lain sudah di hadapan.

“Lain kali dengar nasihat yang lebih tua! Jangan nak memandai aje!” nasihat Imran. Nadanya penuh sindiran.

“Eh!” Hanya satu perkataan keluar dari bibirnya. Tak habis lagi nak marah orang? Geramnya pada Imran membuak-buak. Namun, memikirkan mereka masih dalam perkhemahan, di matikan hasratnya.

“Ada nak cakap?” soal Imran. Dia memandang Lydia yang masih mengigil. Lelaki itu hanya tersenyum sinis dengan ekor matanya yang tajam. Dan amukan Lydia bertali-tali di dalam hati, tunggu mahu meletup.

“Aku nampak telenovela yang romantis tadi,” kata Ziha apabila Lydia sampai di checkpoint.

“Baik kau jangan mulakan, Ziha!” marah Lydia. Geram pada Imran masih berbaki, kini rakan-rakannya pula seakan menuang minyak panas.

“Eh! Bukan senang nak diselamatkan oleh YDP kita tau! Hanya kau sorang aje dalam ramai-ramai peserta okey,” usik Ziha lagi tidak habis-habis.

Berkerut kening Lydia. Jikalau tidak dikenang persahabatan mereka, mahu ditinggalkan Ziha terkontang-kanting di situ. Namun Lydia cuba sabarkan dirinya.

“Ziha… Aku memang tengah marah dan geram ni! Aku tak mahu dipadan-padankan dengan sesiapa pun. Makin orang berkata, makin aku benci jejaka perasan tu!”

“Wow! Kalau dah sampai tahap ni, aku percaya kau memang betul-betul marah.”

“Jadi, boleh tak kita pergi makan sekarang? Aku lapar sampai seekor kambing pun aku boleh lapah!” marah Lydia lalu menarik tangan Ziha menuju ke tempat makanan. Sempat dia melirik Imran yang sedang berbual mesra dengan AJK wanita. Hatinya makin panas dengan tahap miang lelaki itu. Seakan ada kuasa ajaib pula, ekor mata Imran turut menjeling dia dan Ziha yang sedang berjalan. Dejavu ke? Cepat-cepat Lydia mengalih pandangannya ke hadapan. Dasar lelaki gatal.

“Lydia… Jangan ingat aku tak nampak,” usik Ziha.

‘Aduh! Bertimpa-timpa masalahnya. Kenapalah dia lupa Ziha ada bersama dia? Dah kenapa aku lak yang tak cerdik pandang Napoleon kecil tu? Geramnya!’

“Dah! Jangan pandang belakang!” Terus dia menolak Ziha dengan lembut.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.