2007, USM
Perjalanan hampir lapan jam dari Universiti Sains Malaysia ke Taman Negara
Pahang memang meletihkan. Keadaan bas tidak begitu selesa walaupun berhawa
dingin. Ditambah dengan jalan yang berbukit bukau membuatkan perjalanan terasa
makin jauh. Tekak terasa mual bercampur baur dengan pening kepala. Sesiapa yang
tidak lasak pasti merasakan pengalaman tersebut seperti berada di gurun padang
pasir yang ketandusan air.
“Lydia…”
Lydia tersentak. Dia segera menoleh ke arah
suara tersebut.
“Kau dah biasa dengan aktiviti lasak macam ni
ke?” tanya Ziha, yang turut mengambil jurusan komunikasi seperti Insyirah. Dia
turun dari bas dengan muka separuh mabuk.
“Kau okey ke?” Insyirah memegang bahu Ziha. Muka
gadis itu agak pucat. “Kau mabuk ni, Ziha. Jom rehat kejap.” Lydia menarik
lengan Ziha lalu duduk di tepi sungai. Bot penambang yang boleh memuatkan 12
penumpang dalam satu masa sudah sedia menerima tetamu.
Beruntung
dia bukan orang yang mudah mabuk dengan segala cabaran ini. Setelah berehat
selama 10 minit, Ziha mahu mereka meneruskan perjalanan. Nasib baiklah masih
ada senior yang menunggu mereka.
Lydia menyaksikan panorama yang mengasyikkan sementara Ziha hanya memejam
mata kerana masih terasa mabuk. Minyak angin tidak menyurutkan sakit kepalanya.
Segala kehijauan alam dan kebiruan air laut membuatkan matanya terkesima
seketika.
Memandang ke arah alam membuatkan dia lupa
segala-galanya. Lupa yang dia baru sahaja menjejakkan kaki ke menara gading
setelah lulus cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia
(STPM). Lupa yang dia sebenarnya telah membuktikan kepada rakan-rakan serta
mereka yang tidak yakin dengan kemampuannya untuk memasuki bidang yang cukup
diminatinya iaitu kewartawanan.
Lamunannya terhenti apabila jurumudi bot
penambang memberhentikan bot mereka di tebing jeti Taman Negara Pahang. Lokasi
ini antara hutan simpan dan pusat rekreasi yang popular di Malaysia. Mereka
diarahkan berkumpul di satu lokasi untuk mendengar arahan yang seterusnya.
“Alhamdulillah,
akhirnya kita telah selamat sampai di tempat yang dituju,” kata Senior Imran
memecah keheningan. Wajahnya yang putih bersih dengan hidung terletak
menyempurnakan lagi pakej jejaka idaman ramai gadis.
“Ingat
ya... anda yang terpilih untuk datang ke sini adalah mereka yang bakal mewarisi
kepimpinan kami di Desa Cahaya Permai nanti. Jadi saya selaku Yang Di Pertua
(YDP) meminta kerjasama anda untuk patuh dengan segala arahan serta program
yang telah kami rancangkan,” ujarnya lagi.
“Jadi, seperti yang dirancangkan, kamu semua
dikehendaki memasang khemah untuk tempat tidur malam ini,” sambung Senior Imran
lagi sambil memerhati sekeliling.
“Tiada
istilah penat dalam kamus hidup seorang pelajar dan pemimpin. Kamu perlu
bekerja keras untuk mencapai impian. Jadi jangan berangan jika kamu inginkan
tidur yang nyenyak malam ini. Kita akan adakan sistem berjaga secara giliran
supaya tiada gangguan daripada binatang buas atau perkara yang tidak
dikehendaki!” tegasnya lagi.
Bagi mereka yang biasa berkhemah, bergilir-gilir
tidur di waktu malam adalah perkara biasa. Berada di hutan memerlukan semua
penghuni bersiap sedia dalam segala aspek fizikal dan mental. Namun bagi mereka
yang belum pernah mengalami pengalaman sebegini, sudah tentu ia satu cabaran
baru yang cukup menarik tetapi penuh kesukaran.
Exco-exco yang berada di situ turut tersenyum
melihat reaksi spontan pelajar-pelajar baru. Mungkin pelbagai persoalan bermain
di benak mereka. Binatang buas bagaimana yang dimaksudkan oleh YDP?
“Lydia,
kau dengar tau apa yang YDP kacak kita tu cakap? Aku mabuk lagilah,” rengek
Ziha.
“Eh! Tak kuasa! Tak
faham aku. Kat mana kacaknya dia sampai korang semua naik angau ni.” Suara
Lydia, rimas dengan pujian rakan-rakannya terhadap aura Senior Imran itu. Itu
kan juga lelaki, makhluk yang harus dijauhi!
“Kau jangan cakap besar, Lydia. Kau belum
terkena lagi, bolehlah berlagak! Kalau dah terkena panahan macam aku ni.
Zasss…” balas Ziha sambil membuat isyarat potong kepala.
Liza dan
Yati ketawa medengar kata-kata Ziha.
“Jadi… Kau ni bukan mabuk laut sebenarnya. Tapi
mabuk dengan kekacakan YDP tu kan?” soal Lydia bertalu-talu, bosan dengan
pujian yang tidak henti-henti itu.
“Akhirnya kau mengaku juga YDP kita tu kacak
kan? Aku ingat kau tomboi sebab tak suka lelaki!”
Lydia membeliakkan matanya kepada Ziha. Sejauh
itu anggapan mereka terhadapnya?
“Sorry, tuan puteri. Aku gurau ajelah,”
balas Ziha lagi. Dia tersengih melihat reaksi Lydia.
“Tak payah tunggu lagi. Jom kita pasang khemah
sekarang. Lagi cepat lagi bagus,” arah Lydia kepada rakan-rakannya.
Mereka mula membuka peralatan khemah lalu
memasangnya. Gandingan yang sepakat dan akhirnya segala-galanya berjalan lancar
sekali. Mereka kini mahu merehatkan badan yang keletihan dek perjalanan yang
panjang.
“Er… boleh saya tengok?”
Mereka dikejutkan dengan suara garau dari
belakang. Senior Imran tiba-tiba sahaja berdiri betul-betul di belakang Lydia.
Nasib baiklah badan mereka tidak bersentuhan apabila Lydia berpaling. Kedudukan
mereka agak rapat. Hanya terasa haba badan Imran sahaja. Namun, itu sudah cukup
membuatkan hati Lydia berdegup kencang.
‘Gila lah mamat ni! Agak-agak lah nak berdiri
pun. Takkan sampai seinci belakang aku!’
“Dah siap ke?” Imran meninjau-ninjau khemah itu.
“Agak-agaklah khemah yang kamu buat ni betul ke?” Suara Imran kedengaran lembut
tapi dalam nada yang tegas.
Mereka memandang sesama sendiri tetapi masih
tidak dapat menyelami maksud Imran. Hendak dikatakan pacang yang dipasang
senget, tidak mungkin kerana ia telah diketuk dengan besi terlebih dahulu. Mahu
dijawab talinya kendur, mereka telah sama-sama menegangkan tali. Jadi apa yang
salahnya? Tiada salah di mata mereka.
Menyedari tiada siapa yang bersuara, Lydia mula
menyusun kata “Er… Abang Imran, sebenarnya…”
“Apa abang-abang? Saya bukan abang awak! Panggil
Senior Imran!” herdik Imran sambil merenung tepat ke anak mata Lydia. Seakan
mahu ditelan hidup-hidup gadis manis di depannya ini. Suaranya yang lembut tadi
tiba-tiba bertukar menjadi kuat.
“Mi… Minta maaf Senior Imran,” tergagap sahaja
Lydia menjawab. Idea yang disusun elok tadi tiba-tiba hilang begitu sahaja.
Terkejut dengan sergahan YDP yang disangka berhati mulia itu. “Kami rasa khemah
kami sudah lengkap dan tiada cacat celanya senior Imran.” Akhirnya terkeluar
juga butiran yang disimpan selama ini. Beberapa pasang mata mula memandang ke
arah mereka.
“Yang sebenarnya, khemah kamu berempat tiada
lapik. Jadi macam mana tuan puteri nak beradu malam ini?” Senior Imran mula
melembutkan suara tetapi kali ini dalam nada yang agak lucu sedikit.
Liza menggaru kepalanya manakala Yati dan Ziha
cuma memandang ke arah khemah mereka yang dikatakan tidak sempurna itu.
Masing-masing menepuk dahi.
Lydia menggeleng mengenangkan kecuaian mereka.
“Kami akan betulkannya,” Serentak mereka
menjawab.
Senior Imran berlalu dari situ. Lydia terjelepuk
duduk di dalam khemah. Mukanya merah padam menahan marah yang amat sangat.
“Sabarlah, Lydia. Dia tegur kesilapan kita aje
tadi.” Suara Yati antara kedengaran dan tidak di telinga Lydia. Serba salah
kerana tidak mempertahankan kawan baiknya tadi.
“Tegur… tegur juga Yati. Janganlah sampai
malukan aku depan semua orang.” Lydia mengenggam kedua-dua belah tangannya
melepaskan geram yang terbuku di dada.
Liza dan Ziha hanya memandang tanpa berkata.
Mereka juga amat terkejut dengan sergahan Imran yang agak keras. “Ala, dia
marah kita semualah. Lagipun kita berempat yang buat khemah ni, kan?” Liza pula
menyampuk.
“Masalahnya… dia marah bukan sebab khemah! Tapi
disebabkan aku panggil dia abang! Macamlah aku ni nak dia jadi abang aku!
Geramnya…” Bencinya pada lelaki semakin membuak-buak. Seakan mahu dimuntahkan
seperti larva gunung berapi meledak.
“Tapi Lydia, yang aku peliknya. Lepas dia marah
kita tadi, dia boleh buat lawak pula. Kau dengar tak tadi dia sebut tuan
puteri? Aku rasa dia suka kaulah, Lydia,” usik Ziha yang perasan situasi yang
luar biasa tadi.
“Ah! Kau ni merepek aje! Bukan kau ke yang
memuji kekacakkan dia tadi?” Lydia memulangkan paku buah keras pada Ziha.
“Lepas peristiwa tadi, dah tak kacak dah. Tak
minat. Tapi, dia sesuai untuk kau,” usik Ziha lagi.
Spontan Lydia menampar lengan rakannya.
“Kalau dia suka aku sekalipun, minta maaf ya!
Orang macam tu… tak kuasa aku nak layan. Lepas marah boleh senyum pulak? Macam
tak bersalah langsung!” Lydia bangun dan
menepuk-nepuk seluarnya.
Ketiga-tiga rakannya memandang Lydia dengan rasa
yang aneh. Takkan nak pergi serang YDP kot! Dah gila ke budak ni?
“Tunggu apa lagi? Kita kena kerja sekarang!
Takkan nak tidur atas tanah pula! Lydia meneruskan katanya tanpa menoleh lagi.
Mereka berempat terpaksa memasang khemah sekali lagi. Sedangkan peserta lain
sudah mula mengambil makanan untuk makan malam.
Di khemah YDP, kedengaran hilaian ketawa Hisham dan Danial. Paling kelakar
bila Imran memarahi Lydia yang memanggilnya abang.
“Tak baik kau buat macam tu pada freshie
tadi. Aku dah kesian tengok muka dia merah padam,” ujar Exco Sukan dan
Rekreasi, Hisham.
“Ala, bukan apa pun. Sergah biasa aje. Lagipun
sekarang, mana ada macam dulu yang buli betul-betul. Kita tegur, bukannya
dera,” sambung Imran yang mula menyapu insect killer di badan agar
nyamuk tidak dapat menggigitnya.
“Alah, macamlah aku tak kenal kau. Hero Cahaya
Permai okey. Kalau kau usaha kuat sikit lagi, kau pasti jadi hero pujaan USM.
Aku berani bet.” Hisham cuba ‘mengipas’ sahabatnya yang hanya
tersengih-sengih.
“Kalau korang perasan, muka si freshie tu
macam ada sendu di matanya, kan?” kata Imran.
Hisham dan Danial tergelak. Faham benar dengan
gelagat Imran yang mempunyai ramai kawan wanita, namun tiada satu yang melekat
sebenarnya.
“Dah! Dia masuk bab Hindi pula,” kata Hisham
lagi.
“Betullah… Seperti ada rahsia di sebalik matanya
yang bulat. Korang tak rasa sama macam aku ke?”
“Kami tak kasanova macam kau.” Hisham mula
baring lalu menarik selimut.
“Eh, dah lewat malam ni. Aku kena bertugas,”
sampuk Danial yang diam dari tadi sambil mengenakan jaket tebal untuk melindungi
dari kesejukan angin malam.
“Freshiemana yang bertugas?” tanya
Hisham lagi dengan suara yang agak mengantuk. Penat kerana masa sebelumnya dia
telah meronda-ronda di sekitar tempat mereka berkhemah.
“Shamsul, Zul, Rina dan Lydia.”
“Lydia?” Bulat
sahaja mata Imran mendengar nama terakhir yang disebutkan Danial. “Biar aku
gantikan tugas kau.”
“Eh… bro. Habis giliran aku macam mana?” tanya
Danial. Namun Imran sudah tidak mendengar lagi dengan langkahan pantas bagaikan
‘Spiderman’ meninggalkan mereka berdua.
“Alah... anggaplah dia gantikan tempat kau. Tak
perlu susah-susah. Dia kan ketua. Jadi suka hati dialah nak buat apa,” kata
Hisham.
“Kawan kita ni dah dilamun cinta ya?” tanya
Danial lagi sambil tersengeh dengan gelagat rakan baiknya.