Home Novel Cinta Saya Pilih Dia
Saya Pilih Dia
27/4/2015 17:12:25
6,161
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

Bangun lambat antara rutin yang paling seronok ketika cuti semester. Kalau boleh hari-hari nak bangun lambat, tapi nanti terlepas solat subuh pula. Jadi, paling afdal, sebaik tamat dua rakaat tanpa qunut itu, Syakira terus berkelubung dalam selimut. Menyambung mimpi indah bersama Lee Min Ho atau ……. Terasa bagaikan puteri pula rasanya.

Namun cahaya yang mula menerangi biliknya dapat dirasakan samar-samar. Bunyi langsir yang dibuka seluas-luasnya bagaikan mahu tercabut rel langsir itu senantiasa menganggu cutinya. Syakira membatukan diri, bersedia memegang selimut dari arah depan supaya mamanya mengalah dari mengejutkan puteri bongsunya beradu.

“I got you!” Syakira dikejutkan dari belakang. Rupa-rupanya mama datang dan membuka selimutnya dari belakang. Satu inovasi yang kreatif, bisiknya.

“Eh! Along?” suaranya mendatar. Berani kakaknya menganggu tidur Dato Harimau? Rasa kurang senang pula beraja di hati.

“Ya, abah yang suruh kejutkan adik makan pagi bersama-sama. Abah ada masa nak tazkirah sikit hari ni,” jelas kakaknya yang faham benar dengan sikap adik bongsunya. Mereka sendiri kurang rapat kerana masing-masing jarang berada di rumah. Adiknya lebih rapat dengan adik lelakinya yang kini sedang menyambung pelajaran di Korea.

“Alah… Abah pun satu. Kan hari minggu, bagilah orang bersenang lenang kejap,” rengusnya perlahan. Tetapi kakinya tetap dijejakkan ke lantai, menggeliat kemudian bangun menuju bilik air.

Setelah memastikan adiknya menurut perintah, Syanim terus turun ke bawah. Tidak mahu menunggu lagi. Pasti abah mereka ada sesuatu yang penting hingga menganggu harimau yang sedang tidur. Kelakar juga mengenangkan keletah adik bongsunya yang menyangka mama mereka mengejutkannya. Silap orang lah, ni Syanim okey. Drastik dan tidak mahu lemah lembut, nanti adiknya naik lemak.

SALIM melihat anak sulongnya Syanim turun dengan berhati-hati seolah-olah tidak mahu mengejutkan mereka yang berada di situ. Namun telinganya dapat menangkap derapan kaki anaknya dengan pantas.

“Mana adik?”

“Dia mandi, abah.”

“Hmm… Kalau tak tunggu, alamatnya lagi lamalah puteri kita tu bersiram,” sambung Salim dengan nada tegas. Namun Syanim dapat menangkap hujung bibir abahnya yang seolah mahu tersengeh. “Dah tunggu dia sampai siap. Urusan penting ni.”

“Tapi abah…” Syanim menolak. Sudahlah Syakira selalu membanding-bandingkan dia dengan Syazman. Kini abahnya pula menyuruh dia mempercepatkan semua ini? Silap-silap mereka berdua boleh gaduh!

“Ikut cakap abah.”

“Okey…” sayu dia menjawab. Pagi-pagi abah dan adiknya dah buatkan diri stres. Kalau tak kerana abah menahannya, harus dari pagi lagi dia bergerak ke salun. Banyak lagi kerja yang boleh dibereskan berbanding berada di rumah yang hangat ini. Dia membuka pintu dan melihat keliling. Kosong. Tekaan abah memang tepat. Puteri masih lagi bersiram. Sambil menyanyi-nyanyi pula tu. Terasa sakit hati pula. Dia yang menjadi orang tengah pula kena marah.

“Tok…Tok..” Pintu bilik air di ketuk kuat.

Terdengar paip di tutup dan Syakira menjengulkan kepalanya yang kehairanan. “Kenapa Along. Adik tengah mandi kan?”

“Ya, mandi dah dekat sejam.” Tajam dan sinis dia menjawab.

“Eh! Ya ke? Tak perasan. Okey! Siraman terakhir,” balas Syakira sambil menyambung nyanyian lagu Jaga Dia Untukku dari Siti Nurhaliza. Seketika adiknya keluar dari bilik air dan tercengang melihat kakaknya masih disitu. “Along buat apa kat sini?”

“Abah suruh tunggu sampai adik selesai,” balas Syanim malas sambil jarinya meleret di telefon pintar. Membaca status rakan di facebook yang kebanyakannya akan menagkhiri zaman bujang makin membuatkan dia stres.

“Hm…okey.” Laju sahaja Syakira memakai tshirt dan seluar trek. Entah mimpi apa Encik Salim sampai tak sabar nak jumpa mereka semua. “Siap.” Terus dia berlari menuruni tangga dan meninggalkan kakaknya yang ralit menghadap telefon pintar.

“Morning abah,” sapa Syakira sambil menarik kerusi lalu duduk. Diiringi Syanim yang bermuka masam di sebelahnya. Di seberang sana, ibu mereka Habibah yang tak pernah tua dek waktu walaupun sebenarnya telah mencecah umur 55 tahun.

“Waalaikumsalam,” jawab Salim selamba.

Syakira membetulkan duduknya sambil mengutuk diri sendiri yang terlampau obses dengan cerita Mat Salih ditontonya. Sekali terkena dengan ayat abah yang pedih, seperti tercium bau tahi lembu pula.

“Makan dulu kemudian baru kita bincang.”

Syakira dan Syanim diam. Masing-masing menyapu jem Nutella ke atas roti dengan penuh tekun. Tiba masa untuk menyuap ke mulut, coklat yang terjejer dari roti Syakira tumpah hingga mengenai dagunya. Dia mahu tergelak namun ditahan mengenangkan semua orang serius dari tadi. Dengan perlahan dia menyeka lebihan coklat dari dagu, tetapi kali ini terkena batang hidungnya pula. Apa lagi, terburai gelak yang ditahan selama ini membuatkan seisi meja terkejut. Serentak itu ketiga mereka memandang Syakira kehairanan, namun tidak jadi marah kerana Syakira sudah kelihatan seperti anak kucing yang terjatuh dalam lumpur.

“Adik… Selalu buat kami tak jadi marah kan?” tegur Habibah sambil mengesat air matanya dek kerana terlalu kuat ketawa. Dia menarik nafas dan perlahan-lahan ketawanya mengendur. Begitu juga dengan yang lain cuba untuk bertenang.

Kali ini Syakira mengambil tisu lalu mengelap dagu dan hidungnya. Nampak macam sedap, rasa nak jilat pula hidung sendiri. Eh! Tak senonoh betul!

“Dah jadi macam ni, baiklah abah berterus terang saja. Nasib baik abah dah makan tau. Kalau tak kenyang dek tengok muka adik saja,” sambung Salim pula mengeleng-geleng melihat telatah anak bongsunya. “Adik macam mana belajar? Seronok?”

“Seronok abah. Walaupun tak ramai pelajar Malaysia, tapi bila dah campur dengan pelajar Asia, jadi ramailah. Dah macam-macam rupa kat sana. Tapi yang penting semua tak kedekut ilmu.” puji Syakira melambung-lambung.

“Baguslah macam tu. Tak sia-sia lah adik berkeras nak ke sana kan? Kalau ikut abah, belajar saja di sini. Kalau nak ke sana kena kahwin dulu.”

“Eh…” tiba-tiba fikirannya menerawang kepada novel-novel yang pernah dibacanya. Kahwin paksarela kemudian bercinta. Ewww, takkan dia macam tu pula.

“Adik perempuan, angah lelaki. Mesti tak sama pembawakan diri. Ini masa belajar ja, lekat tudung kat kepala, dah cuti tudung pun dah terbang melayang entah ke mana,”

Syakira dan Syanim diam tanpa berkutik. Sementelah lagi Syanim juga tidak betah untuk bertudung. Sebagai pemilik salun yang menjalankan bisnes kecantikan dan rambut, terasa tidak kena pula dia bertudung. Habibah hanya berdiam diri mendengar ‘tazkirah’ pagi dari suaminya.

“Along pun sama. Umur dah makin meningkat. Bila nak bertudung betul-betul ni?”

Diam.

“Abah harap kau orang berjumpa dengan bakal suami macam Ustaz baru tau tinggi duduknya macam mana.”

Syakira berkerut kening sementara Syanim masih kekal selamba di kerusi.

“Beginilah. Ini sebenarnya ditujukan pada adik.”

Syakira memasang telinga. Setelah penat di ‘brain wash’ di pagi sabtu. Dia hanya mahu memasang telinga. Malas memberi komen dan sebagainya.

“Biarpun cuti semester tak berapa panjang, abah nak tugaskan adik bekerja sambil belajar di ofis abah. Nak minta along kendalikan pun tak boleh, dia memang sibuk dengan bisnes sendiri, jadi adik lah harapan abah buat masa ini. Lagi pun, sementara tunggu angah balik nanti, sempat lah adik belajar sesuatu.” Putus Salim sambil memandang Syakira tajam.

“Tapi abah… adik ada plan sendiri.”

“Memancing bukan hari-hari kan? Lagipun memancing sebelah petang,” sampuk Salim lagi pantas berkata-kata.

“Ada tugasan sains lah abah.”

“Abah dah tanyakan kawan yang jadi Rektor di sana, tiada tugasan yang diberi. Kecuali adik memang nak berada di makmal sehari suntuk. Dan makmal itu mendapat bekalan tenaga elektrik dari stesen janakuasa kan?”

Syakira membulatkan matanya. Ternyata abahnya lebih pintar merancang dan mematahkan setiap patah perkataannya. Ini lah susahnya bila Rektor sendiri menjadi kawan baik kepada abah sendiri. Susah nak bergerak dan mengemukakan alasan. Dia mati kutu. Takkan segala peralatannya akan dimatikan segala sumber? Dia terpaksa berkorban.

“Ok bah. Bila adik boleh melaporkan diri?” tanyanya perlahan.

“Lusa.” Pendek sahaja jawapan Salim. Sementara Syakira langsung tidak terasa lapar lagi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.