Home Novel Cinta Saya Pilih Dia
Saya Pilih Dia
27/4/2015 17:12:25
6,204
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

Sebaik melangkah keluar dari pesawat Malaysia, hatinya sudah terasa girang. Terasa rindu yang amat sangat pada tanah air tercinta. Walhal enam bulan sebelumnya mama dan abah sudah melawatnya di bumi Scotland. Kaki menapak laju ke kaunter teksi untuk membayar harga tiket. Sengaja dia mahu membuat kejutan terhadap keluarga. Biar semua orang terkejut dengan cuti awalnya.

Setelah membayar harga tiket, Syaqira berjalan menuju ke arah teksi yang berada di seberang jalan. Ketika menyeberangi jalan, sebuah motor tiba-tiba meluru ke arahnya dengan kuat sekali. Syaqira hanya tergamam di situ. Nasib baik juga motor itu sempat membrek kecemasan. Berasap-asap tayar akibat kelajuan yang diberhentikan mengejut.

“Hey! Bawak motor macam pelesit! Nak bunuh orang ke?” Syaqira urut dada. Nyaris dia dilanggar oleh Mat Motor yang tidak beretika. Jantungnya laju mengepam darah. Nasib baik dia, kalau orang tua?

“Cik kak tak apa-apa?” Mat motor tadi turun dari kapcai lalu menghampirinya. Topi kaledar masih di kepala, melindungi muka pemakainya.

“Lain kali bawak motor tengok orang. Bagi pada pejalan kaki dulu ya adik,” perlinya lagi. Dalam masa sama, bimbang juga jika diapa-apakan. Buatnya tiba-tiba mat motor tu keluarkan pisau, arwah dia disitu. Mama, dia belum kahwin lagi.

“Maafkan saya.” Lelaki itu memohon maaf dengan budiman sekali. Dia menanggalkan topi kaledar lalu terserlah wajah kacak iras Jake Gyllenhaal, pemegang watakPrince of Persia. Kulitnya sawo matang, tipikal lelaki Melayu, ulas bibirnya biasa-biasa saja. Tahi lalatnya di dagu kanan, oh! “Awak okey?”

Syaqira direntap realiti.

Hmm, takpa. Lain kali jangan buat lagi.”

“Nama saya Salman Irwan. Awak?”

Syaqira diam seketika. Serius? Mereka berkenalan di tepi jalan raya ini? Dengan mat motor ni? Hilang akal atau kurang waras?

“Tak perlu kot nak beritahu nama.” Syaqira mencerunkan kening hingga bertaut kedua-duanya. Rasa rimas pula dengan kerenah lelaki yang kacak tapi selebet ini. Suasana di luar KLIA yang sunyi juga seperti memanjangkan tempoh perbualan mereka. Sebuah teksi pun tidak kelihatan. Mogok ke apa?

“Saya dah beritahu nama saya. Takkan awak nak blah macam tu ja. Eh! Sombong sifat iblis tau!”

Syaqira ternganga. Apa lah malangnya nasib dia hari ini. Belum sampai setengah jam dia sampai, sudah macam-macam perkara berlaku. Bagi memendekkan tempoh perkenalan mereka, Syaqira mengambil keputusan untuk menjawab soalan tersebut.

“ Saya Syaqira.”

Lelaki itu tersengih. Kemudian mula menyeluk poket. Syaqira sudah seram sejuk. Apa yang mahu dikeluarkan lelaki ini agaknya. Mahu lari, tetapi kaki terpasak di bumi. Sudahnya dia hanya memerhatikan lelaki itu mengeluarkan buku nota kecil daripada poketnya. Sekejap. Mat rempit simpan buku nota? Untuk apa?

“Oh! Syaqira… waka-waka, ole-ole,” sambung pemuda itu dengan kedua-dua tangan dihayun ke atas seolah menari-nari. Mulutnya juga beberapa kali menyanyikan rangkap lagu tema Piala Dunia.

Syaqira rasa mahu berlari dari situ juga!

“Haha, Sorry. Saya terover excited jumpa cik Syaqira. Nama macam penyanyi Latin tu, rupa boleh tahan cuma stail rambut saja lain, lurus dan lembut beralun. Mesti baunya pun wangi kan?”

Syaqira menahan nafas. Sah! Lelaki ini mental, sekarang menganggu dengan percakapan seksual. Erkh!

“Tapi kan…kalau pakai tudung lagi manis kan?”

Kata-kata sambungan lelaki itu membuatkan Syaqira terduduk. Bencinya. Kenapa dia jadi diam begitu sekali. Sebab ‘jet lag’ kerana perjalanan yang sangat lama. Syaqira rasa mahu mencepuk sahaja mat motor tak sedar diri ala perasan gila. Dia ingat dia siapa nak sekolahkan anak dara orang? Tepi jalan pula tu!

“Encik Salman Irwan. Saya rasa perkenalan kita ni dah terlalu panjang lebar. Jadi, kita tamatkan saja sebab saya da hal lain yang perlu diselesaikan,” balas Syaqira sambil tangannya kejap memegang beg sandang. Bimbang juga jika tiba-tiba mat motor ini merampas beg Channelnya.

“Oh! Ada nak minta ganti rugi apa-apa ke dengan saya?” tanya lelaki itu lagi dengan nada serius sambil memandangnya atas ke bawah.

Hanya mata Syaqira sahaja yang berkelip-kelip. Bagaimana untuk menerangkan bahasa standard kebangsaan kepada lelaki Melayu yang tidak memahami rupanya.

“Tiada. Sebab saya tak cedera. Saya cuma terkejut sahaja.” Syaqira sudah nampak beberapa buah teksi sedang beratur menunggu pelanggan. Mungkin tadi mereka keluar rehat agaknya. Dia mahu beredar dari situ.

“Tunggu Syaqira. Kalau nak minta ganti rugi kecederaan hati yang luka, ini nombor saya,” pelawa Irwan lagi. Lelaki itu terus menulis nombornya di buku nota lalu memberi kepada Syaqira.

“Awak…Saya….”

Tetapi lelaki itu terus menaiki motornya dan sempat melaung “Saya tunggu panggilan awak.”

‘Adui! Aku yang terkejut. Kenapa pula aku yang kena ‘call’ dia? Sah! Mamat ni mental. Syaqira menuju teksi yang sedang menunggunya. Pedulikan hal tadi. Anggaplah ia sekadar permulaan cerita untuk cuti semesternya. Oh! Rindu semua.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.