Home Novel Cinta Saya Pilih Dia
Saya Pilih Dia
27/4/2015 17:12:25
6,202
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2


ANGIN berdesir di rerambutnya menolak juntaian anak rambut ke depan. Spontan dia memegang kepalanya, terasa aneh pula togel begitu. Maklumlah di Scotland dia bertudung litup, kini dia meninggalkan shawl besarnya untuk menikmati cuti semester. Rasa bersalah menyelebungi diri namun cepat-cepat akal dipaksa tidak mempedulikan gerak rasanya.

“Memancing tapi tak dapat-dapat?”

Suara itu kedengaran menyindir di telinganya. Dia terus berpaling ke arah empunya suara tersebut. Rasa terkejut bukan kepalang. Mat motor tu lagi? ‘Mana dia tahu aku ada di sini?’

“Kebetulan kita jumpa di sini kan? Atau awak sebenarnya mengekori saya?”

“Habis tu, awak ingat awak seorang ja ada hobi memancing?”

Syaqira menjeling. Marah!

“Cakaplah, Awak buat apa kat sini?” Matanya sempat mencari-cari peralatan memancing tapi tiada. Sah. Salman Irwan datang ingin berjumpanya. Kenapa pula dia berdebar-debar?

“Sebab saya tunggu panggilan dari awak. Tapi hampa. Awak ni sombong kan?”

Rasa hangat pula hati dituduh begitu. Apa perlunya dia telefon mamat yang tiada kena mengena dalam hidupnya ini? Buat menyemak ja. Mat Motor pula tu, Oh! Please…

“Mentang-mentanglah saya pakai kapcai ja. Awak pakai Jazz.”

“Hey! Ini dah lebih. Untuk info, saya tak ada hutang dengan awak. Jadi tak perlu kot nak telefon bagai.” bentak Syaqira keras. Menyampah tahap mafia namun dipendamkan perasaan tersebut. Ikut hati mata Salman Irwan yang berwarna ‘brown hazel’ parah dicucuk jarinya. Biar jadi macam Kassim Selamat. Biar dia ditangkap, puas hati kerana telah membuatkan ‘mamat perasan’ ni buta. Namun dia tenangkan jiwanya yang kacau.

“Ya, tapi saya tetap tunggu panggilan awak.”

Joran Syaqira bergerak-gerak. Tumpuannya kini ke arah joran. Dia mengangkat joran namun hampa, hanya umpan sahaja hilang, tetapi ikan tiada pula.

“Awak bising sangat lah Salman. Tengok, ikan pun dah lari.”

“Sebenarnya orang rumah panggil saya dengan kata nama kedua iaitu Irwan, atau nak manja sikit Ewan. Tapi kalau Syaqira nak panggil saya Salman pun saya sudi terima.”

Syakira tidak mempedulikan kata-kata lelaki itu. Dia jadi rimas. Orang rumah? Jadi dia dah kahwin? ‘Eh! Apa yang aku melalut sebenarnya ni? Aku pun dah terikut dengan kata-kata lelaki mental ini.’

“Kalau macam tu, saya akan duduk sini diam-diam. Teman awak okey.” Salman Irwan membetulkan duduknya dan hanya memerhatikan ke tasik lepas. Tampak lelaki itu sedang berusaha untuk menepati janjinya. Kebisuan mengisi masa antara mereka berdua.

“Alahai. Kenapalah tak faham-faham. Awak nak apa sebenarnya?” soal Syaqira. Rimasnya dia pada lelaki yang tidak faham bahasa.

“Kan saya cakap, saya tunggu awak telefon, awak tak buat pun. Jadi saya datang sendiri untuk bertemu empunya badan.”

Syaqira kerut kening. Berpeluh juga untuk menerangkan situasi yang sebenarnya. Perlukah dia bercakap benar?

“Biarlah saya berterus terang. Saya tak sudi berkenalan dengan awak. Jadi, tolongla pergi dari sini.”

Suasana diam seketika. Remang petang mula menjilat wajah masing-masing. Lelaki itu kelihatan seperti berfikir sebelum melontarkan kata-kata.

“Saya tak akan pergi selagi awak tidak bercerita tentang diri awak pada saya.”

Syaqira tarik nafas dan melepaskannya perlahan. Dia sekarang berhadapan dengan mat motor aka mat rempit aka budak yang tak belajar tinggi. Kalau dia terus berkeras, alamatnya dia yang bungkus dulu. Dia perlu bertindak bijak. Biarlah dia memberinya apa yang lelaki ini mahu. Sekadar info, tiada salahnya pun.

“Kalau itu yang membuatkan awak pergi, baiklah. Saya anak bongsu dari tiga beradik dan sekarang sedang bercuti semester selama dua bulan. Puas hati?”

“Belajar mana?”

Syaqira mengetap bibir. Dah bagitahu macam-macam pun tak cukup info lagi?

“Saya belajar kursus Bioteknologi di University of Edinburgh, Scotland, UK. Ada setahun saja lagi sebelum saya menamatkan Ijazah Sarjana Muda. Puas hati?”

Tiada riak terpamer dari wajah pemuda itu membuatkan sukar Syaqira meneka rasa pemuda itu.

“Menepati janji. Saya akan pergi dari sini.” Pemuda itu berlalu tanpa memandang Syaqira lagi. Sekarang dia pula rasa bersalah. Nampak menunjuk-nunjukkah dia? Habis tu, lelaki itu juga yang memaksanya. Bukan dia yang mahu memberitahu segala-galanya.

“Awak belum bagitahu saya lagi pasal awak.”

Salman Irwan memandangnya sambil tersengeh. “Saya tunggu panggilan awak okey?” Tanpa menunggu jawapan Syakira, lelaki itu menderum dengan lajunya membelah Taman Tasik Permaisuri.

Hampeh punya mat motor. Kita ingatkan dia serius kecil hati, rupanya dia main-main aja.

PANDANGANNYA beralih pada sepasang merpati dua sejoli. Melihat aksi romantis tidak kena tempat membuatkan perutnya mual dan sedikit meloya. Ya! Dia juga pernah seperti itu. Tetapi itu dulu. Oh! Bencinya bila diingat kembali peristiwa itu. Hari ini pula, nasib tak baik, dah la tak dapat ikan, Salman datang mengharu bilukan jiwa yang kacau pula.

Kalau dia tunggu lebih lama, apa lagi bala yang akan mendatang nanti. Syaqira membetulkan topi yang dipakainya. Tidak mahu melengahkan masa, dia mengemaskan peralatan memancingnya. Dia mengambil joran dan mengemaskan mata umpan. Tiba-tiba telingannya menangkap sesuatu seperti kecemasan.

“TOLONG! Tolong! Tolong”

Syaqira meluaskan lagi anak matanya. Memandang ke arah tangan yang sedang terkapai-kapai di tengah tasik. Benar, itu objek yang bernyawa. Semakin lama, lengan itu seperti tidak berdaya menggelupur lagi. Tanpa membuang masa dia terus melepaskan apa yang ada di tangan, mencapai sampan yang berada di tebing lalu mendayung. Kayuhannya dipercepatkan sehingga tidak terasa sakit tangannya lagi. 10 meter dari darat, dia sudah nampak kelibat lelaki itu yang agak lemah, agak mustahil untuk melontarkan pelampung.

‘Aku harus lakukannya.’ Hatinya bertekad kuat, lalu dia terus mencapai tangan pemuda itu. Aduh! Beratnya lelaki ni! Mungkin mencapai 75kg sesuai dengan ketinggian yang lampai itu. Menggunakan kudrat yang ada dia menarik lelaki yang ternyata lebih dewasa darinya masuk ke dalam sampan.

Teroleng-oleng sampan tersebut diisi dengan lelaki yang tidak pernah dilihat sejak dia mula memancing disitu. Syakira melihat lelaki itu seperti nyawa-nyawa ikan, pasti dia sudah beberapa minit lemas. Haruskan dia melakukan CPR? Yakni Resusitasi Kardiopulmonari atau dengan bahasa lebih pendek pernafasan mulut ke mulut kerana ia lebih pantas menyelamatkan nyawa? Ergh! Tak mungkin! Okey, dia memilih jalan pertama iaitu menekan dada pemuda itu berkali-kali. Air tawar tasik mula keluar dari mulut pemuda itu dan akhirnya dia terbatuk-batuk mengeluarkan segala-gala yang telah masuk ke dalam badannya. Nasib baik ikan tak ditelannya sekali, gerutu Syakira lagi.

Lelaki itu memandangnya lemah dan penuh kehairanan. “Awak seorang?” itu sahaja yang terluah sebelum pemuda itu pengsan. Mungkin tertidur setelah memuntahkan segala air tasik yang boleh menyebabkan dia mati lemas jika tiada siapa yang menyelamatkannya.

Nasib baiklah dia masih disitu. Ya! Memang hanya dia sahaja yang masih tinggal di tasik Permaisuri ini. Dia melihat keliling, awan kumulonimbus makin menebal dan kini terasa rintik-rintiknya mengenai t-shirt Hard Rock Cafe Seoul hadiah abangnya yang belajar nun di Korea Selatan. K-pop sangat katanya.

Dia harus mempercepatkan dayungan, tidak mahu kebasahan dengan lelaki yang langsung tidak dikenalinya. Bagus, tadi disakat Salman yang sebenarnya entah dari mana. Macam tahu sahaja apa aktiviti yang dilakukannya. Kini menyelamatkan seorang pemuda yang wajahnya seperti pelakon Robert Pattison yang memiliki wajah pucat milik Pontianak yang menjadi kegilaan ramai satu ketika dulu. Okey, aku sudah terlalu banyak berfantasi sedangkan kerja masih belum siap.

Tubuh lelaki itu dipapah dengan bersusah payah ke dalam kereta Jazz yang sebenarnya sudah tamat cukai jalannya. Namun mana yang lebih penting sekarang? Cukai jalan atau menyelamatkan nyawa? Dia harus membawa pemuda itu ke klinik terdekat supaya nyawa pemuda itu dapat diselamatkan.

“Rania....jangan pergi!” sekali lagi pemuda itu menganggunya dengan jeritan yang agak kuat, mungkin akibat hantukan pada bucu kereta membuatkan dia mengigau. Tanpa mempedulikan lelaki itu lalu Syakira memandu dalam rintisan hujan yang semakin menggila. Dengan ini, dia boleh mengurut dada kelegaan kerana polis tidak akan ada menahannya kerana cukuai jalan mati. Sekali lagi, dia menepuk dahi, klinik mana yang beroperasi ketika Cuti Tahun Baru Cina? Aduh! Sudahnya, dia kembali ke rumah.

FAKHIR membuka matanya walaupun agak sukar. Kepalanya juga terasa sedikit berat namun dia terasa keadaanya lebih baik. Matanya menancap pada keliling dinding putih, meninjau ke sebelah kanan pula pandangannya melihat bermacam peralatan sains di susun molek di atas meja. Picagari, tabung uji, penunu Bunsen, bikar yang berisi cecair berwarna hijau dan segala kelalang kon berada elok di atas rak.

‘Aku di mana sekarang? Ini bukan hospital tapi tempat seperti makmal sains? Takkan kot’. Fakhir bangun dan barulah dia menyedari baju dan jeans yang tersarung di tubuhnya sudah di tanggalkan dan kini dia memakai kot pesakit. Ini bukan kerja orang biasa, mesti mereka yang menyelamatkan aku mempunyai asas perubatan.

“Baguslah awak dah sedar,” suara itu mengejutkan dia yang asyik meneliti tag yang tertulis radas.

“Awak yang selamatkan saya?” tanyanya lagi seakan tidak percaya. Seorang budak perempuan yang berperawakan ‘boyish’ menyelamatkannya? Menukar bajunya sekali? Gagah pula orangnya ya. Fakhir menelan liur yang terasa kelat. Malu pun ada juga.

“Ya saya,” budak perempuan itu mengangguk dan terus memegang tangan kanannya bagi memeriksa nadi. Walaupun seperti amatur namun dia melaksanakannya dengan agak baik. “Bagus, nadi awak sudah normal, dalam masa sejam saya hantar awak balik.”

“Berapa lama saya pengsan?”

“Jika diukur dengan kadar jam, lebih 12 jam. tetapi itu sebenarnya termasuk tempoh badan awak tidur. Jadi sebenarnya awak bukan pengsan sepenuhnya kerana badan sedang berehat kerana kepenatan.”

“Nasib baik awak ada,” Fakhir sengih lagi. Itu sahaja yang boleh dikatakannya. Takkan lah sampai kena pegang bahu macam cerita kat televisyen pula. “Saya ingatkan memang tamat lah riwayat saya, terima kasih ya adik...”

“Kebetulan saya ada disitu,” budak itu yang memakai kot makmal putih hanya menjawab pendek.

“Sekejap, saya belum dapat mengingatinya dengan baik. Sekejap ya,” Fakhir memegang kepalanya, cuba mengingati peristiwa yang berlaku terhadapnya. “ Mula-mula saya datang ke tasik permaisuri sekadar untuk menikmati pemandangan. Kemudian ada orang tawarkan untuk membawa saya ke tengah tasik untuk melihat ikan-ikan yang jinak dari dekat. Tapi dia terpaksa balik sebab ada panggilan kecemasan. Saya ditinggalkan bersendirian selepas dia balik dengan bot kawan dia. Lepas tu entah macam mana saya boleh terjatuh dalam air,” jelas Fakhir yang berkerut-kerut keningnya selepas meluahkan apa yang telah berlaku.

“Jadi... awak tak pandai berenang?” Syakira bertanya, sedikit pelik dengan cerita itu. Tak mungkin empunya bot boleh meninggalkan seorang pelanggan begitu saja. Kan salah tu

“Ya! Dan apa yang saya ingat, dia terkocoh-kocoh nak cepat.” Sebaik ayatnya habis, Fakhir terus menuju tempat letak baju dan jeansnya lalu meraba poket seluarnya.

“Kenapa?”

“Sah! Saya kena seluk dengan tauke bot tadi,” dia menggeleng-geleng kepala. Kesal dengan kecuaiannya. Baru saja balik dari luar Negara, dah kena tipu di tanah air sendiri.

“Mungkin terjatuh dalam tasik.!”

Fakhir menggeleng-geleng kepala. “Kalau jatuh sekalipun, kenapa kad pengenalan saya di tinggalkan dalam poket yang lebih kecil? Kalau dompet nak jatuh, mesti jatuh semua kan?” yakin dengan firasatnya, Fakhir mengenggam kad pengenalannya kemas.

“Betul juga, mungkin dia tak nak menyusahkan awak untuk prosedur remeh. Dalam jahat, ada baik juga,” balas Syakira perlahan.

“Masa awak selamatkan saya tadi, ada bot tak?”

“Ada, tapi saya tak pedulikan sebab awak dah betul-betul lemas masa tu,”

“Itu pasti bot curi, kalau tak, dia takkan tinggalkan macam tu saja, rugi kan?” Fakhir bertanya kepada budak perempuan itu seolah-olah mereka kenalan lama.

“Okeylah, awak rehat dulu. Nanti dalam masa sejam saya hantar awak pulang.”

“Nak hantar dengan apa? Teksi?”

“Dengan kereta.”

“Awak umur berapa sebenarnya? Dah boleh memandu?”

“Saya dah 21 tahun,” tekan Syakira tidak senang dengan pertanyaan yang bertubi-tubi. Dia bukannya kenal lelaki itu, namanya pun dia tak tahu, tiba-tiba bercerita macam dah kenal lama.. Dia tak mahu berkawan dengan siapa-siapa pun. Semuanya hanya tahu menyusahkan hidupnya!

“Oh! Ingatkan 16 tahun...” sambungnya lagi seolah-olah membetulkan kembali perkara yang bermain di mindanya. Terselit perasaan aneh di lubuk hatinya, ini makmal sains peribadi? Lengkap dengan segala peralatan? Wow! Budak ini bukan calang-calang orang kerana jika dihitung dengan nilai angka, pasti melebihi ribuan ringgit. Ibu bapa mana saja yang sanggup menghabiskan duit untuk anak-anaknya jika dia bukan orang berada?

“Err, awak! Siap sekarang, saya hantar dalam masa 10 minit saja lagi” tiba-tiba budak perempuan itu terpacul di belakangnya. Terkejut Fakhir tiba-tiba disergah begitu. Makmal ini ada berapa pintu sebenarnya? “Awak kena cepat sebab saya perlu keluar sekarang.”

“Oh! Okey,” jawab Fakhir lalu meminta budak perempuan itu menghormati ‘privacy’ bagi menukar baju.

“Oh! Okey.” Budak perempuan itu terus membelakangkan badannya sambil melihat jam di tangan. Seperti tergesa-gesa sahaja lagaknya.

Fakhir sekali lagi kehairanan. ‘Urban betul budak ni. Alah, boleh lupa pula. Dia lah yang menukarkan bajunya yang basah semalam’.

“Jom,” budak perempuan yang masih belum diketahui namanya berpaling. Sempat dia membaca gerak laku budak itu yang kelam kabut. Memakai cermin mata tebal, celana jeans dan t-shirt hitam berlengan pendek beserta topi karektor superhero Batman, mengingatkan dia tentang kisah zaman remajanya yang sudah berlalu.

“Kita dah bercakap macam-macam tapi belum sempat kenalkan diri, Saya Fakhir, adik nama apa?”sapanya lagi berbasa basi. Tetapi sayang tidak bersambut lalu melihat budak itu kini berada di belakangnya. “Kenapa ni?” Dia tidak faham apabila budak itu mengeluarkan sehelai sapu tangan berwarna hitam lalu membalut matanya. “Kenapa perlu tutup?” tapi dia tidak menghalang perbuatan itu kerana akal warasnya mengatakan mungkin ada sebab yang perlu dilakukan oleh budak itu sehingga terpaksa menutup matanya.

“Terima kasih kerana mengikut arahan,” lembut saja suara itu berdesir di telinganya lalu dia hanya menuruti langkah budak yang tidak bernama itu. Seperti menaiki tangga dan memasuki beberapa pintu sehingga dia dapat menyedut udara segar di luar. Suasana serasa sejuk dan kini dia memasuki kereta. Dia mendengar bunyi enjin dihidupkan dan terus bergerak. Namun kata hatinya juga tidak membenarkan dia membuka penutup mata walaupun sebenarnya dia boleh sahaja membuka kerana tangannya tidak diikat.

“Sekarang awak boleh buka penutup mata.”

Fakhir membuka penutup matanya, dan kini mereka dalam perjalanan ke Tasik Permaisuri berdasarkan papan tanda di hadapannya.

“Tak jauh rupanya rumah awak dengan tasik ini kan?” tanyanya lagi, tanpa mahu bertanya sebab musabab budak itu melakukan perbuatan di luar jangkaannya. Namun pertanyaannya dibiarkan sepi kerana budak itu tekun memandu, sekali sekala mengelak jalan yang berlopak di hadapan.

“Okey, kita dah sampai,” budak tidak bernama itu memberhentikan kereta di hadapan kedai-kedai yang menjual makanan ringan. Fakhir menuruni kereta Myvi warna hitam dan sempat melihat plat kereta yang sudah ditutup nombornya. Cekap sungguh budak ini melakukan kerjayanya. Bersungguh-sungguh dia tidak mahu orang tahu tentang dirinya.

“Terima kasih kerana selamatkan saya dan hantar sampai ke sini.”

“Tak mengapa, kebetulan saja.”

“Nak panggil nama adik apa?”

Budak bermata sayu itu menggeleng-geleng kepala. “Tak perlu nama, panggil saja yang awak suka,”

“Oh! Panggil adiklah macam tu,” usiknya separuh nakal. Kini dia sudah membiasakan dengan kedinginan ‘adik’ barunya itu.

“Nah! Awak boleh gunakan sebagai tambang teksi,” ‘Adik’nya menghulurkan sekeping not RM100 namun Fakhir teragak-agak untuk mengambilnya.

“Kalau saya ambil, kita akan jumpa di sini untuk saya bayar kan?”

Adiknya menggeleng-geleng kepala.

“Habis tu? Bila saya boleh bayar awak balik?” Fakhir mencerunkan mata, sambil membiarkan wang itu masih di tangan budak misteri itu.

“Tak perlu bayar, anggap saja sedekah. Lagipun awak dalam kesusahan, wajib saya bantu,” jawab budak itu lagi geram kerana sikap Fakhir yang seperti main tarik tali.

“Baiklah, saya ambil tapi minggu depan saya akan datang ke sini untuk bayar balik duit adik,” balas Fakhir lalu mengambil not RM100 itu sambil bertentang mata dengan budak itu. Mata itu seperti menyimpan 1001 rahsia. Seperti ada rahsia dalam matanya.

Budak itu terus berlalu meninggalkannya sendirian yang penuh tanda tanya. Siapakah budak bermata sayu itu? Misteri sungguh orangnya. Fakhir kemudian berjalan ke tempat menunggu teksi untuk pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa. Sementara Syakira sendiri memecut keretanya. Nampaknya kini dia terpaksa memilih lokasi memancing lain. Ya! Dia tidak mahu siapa-siapa pun tahu tentang identitinya. Ya! Siapa-siapa pun hatta hatta mat motor dan lelaki yang tidak pandai berenang tadi.

Previous: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.