1998, di daerah
terpencil di Kota Bharu.
"Mak… Syirah pergi dulu,” kata Insyirah sambil menyarung kasut
sekolahnya. Selepas menyalami tangan emaknya, dia melangkah ke basikal
buruknya.
“Baik-baik, nak. Tengok kiri kanan, sebelum
lintas jalan!” sempat Fatimah melaung.
Insyirah mengangguk. Cepat-cepat dia mengayuh
basikalnya. Perjalanan sejauh lima kilometer tidak terasa penatnya dek kerana
kepantasannya mengayuh untuk sampai ke destinasi ilmu.
Jarum jam usang pemberian kawannya di tangan,
menunjukkan angka 7.45 pagi. Dia sudah terlambat 15 minit. Dari jauh kelihatan
beberapa orang pengawas dengan muka garang sudah tercegat di pintu pagar
sekolah menantikan pelajar yang lambat datang. ‘Memang pengawas-pengawas
dilahirkan dengan muka yang kurang kasih sayang ke?’ rungut hatinya.
“Hei, budak! Sini!” jerit pengawas perempuan
yang bertocang dua ke arah Insyirah.
Perlahan-lahan Insyirah menarik basikalnya
menghampiri pengawas itu. Dia sudah bersedia menerima sebarang hukuman. Memang
dia bersalah kerana datang lambat.
“Cuba tengok jam, kau? Pukul berapa sekarang?”
arahnya lagi dengan nada sombong.
“7.52.” Pendek sahaja Insyirah menjawab.
“Habis tu? Kenapa kau tak datang awal?”
jerkahnya dengan kuat membuatkan pengawas-pengawas lain menoleh ke arah mereka
berdua.
“Minta
maaf. Saya ada hal kecemasan di rumah tadi. Adik saya demam. Saya terpaksa bawa
dia ke klinik terlebih dahulu.” Insyirah hanya menunduk, malu dengan pandangan
pelajar lain.
“Betul ke? Atau kau sekadar nak selamatkan
diri?”
Insyirah tersentak. Dituduh penipu adalah
tohmahan yang pedih sekali. “Saya cakap benda yang betul.” Dia mengigit bibir,
menahan marah.
“Oh! Ingat kau buat muka kesian… aku boleh
lepaskan macam tu aje?” Pengawas perempuan yang di tag namanya tertulis Zarina
itu merenung Insyirah dari atas ke bawah.
Insyirah sedaya upaya cuba menyorokkan kasut
kiri yang berlubang di bahagian depan, di belakang kasut kanannya, namun
disambut senyuman sinis dari Zarina.
“Lupa kapur kasut ya?”
Aduh! Lenggok bahasa sarkastik yang dituturkan
Zarina menyentap tangkai jantung Insyirah. Dia hanya mampu menunduk wajah dan
menangis di dalam hati.
“Eh! Aku kalau
kasut kotor sikit pun, aku dah suruh mak aku beli yang baru,” sampuk Atirah,
rakan sekelas Insyirah. “Inikan pula kasut berlubang. Tak naklah pakai. Buat
malu aje!”
Insyirah hanya diam.
“Kata pelajar cemerlang. Kesayangan cikgu konon…
Habis tu hadiah yang dapat tu tak boleh beli kasut baru ke?” Atirah masih
mengomel.
Zarina
hanya mengangguk tanda setuju. “Eh! Tak baik kau cakap macam tu. Lubang kat
kasut tu bagi aliran udara masuk. Maklumlah cuaca kat Malaysia kan panas,”
perlinya sambil tersenyum sinis.
“Kalau aku…”
“Dah, kau jangan nak buat lawak ya.” Zarina
memandang Insyirah dengan tajam. “Sekarang, sila bagitahu nama dan kelas awak!”
“Ina!” Belum sempat Insyirah memberitahu
namanya, seorang pengawas lelaki menghampiri mereka bertiga. Terkocoh-kocoh
lelaki itu berlari ke arah mereka. “Saya dapat laporan daripada pengawas lain,
berlaku kekecohan di sini. Apa lagi yang belum selesai?” tanya ketua pengawas,
Tajul Arifin.
Zarina menoleh ke kiri dan kanan. Dia baru
menyedari hanya dia, Atirah dan Insyirah sahaja berada di situ. Pengawas yang
lain sudah menghilangkan diri.
“Dah dia datang lambat!” balas Zarina acuh tidak
acuh.
“Tapi dari jauh lagi saya lihat ada sesuatu yang
tak kena. Macam bergaduh atau pun membuli?”
Zarina membuntangkan matanya. “Habis tu, kau nak
suruh aku buat macam mana?” marahnya.
Tajul menggeleng. “Bila seorang pengawas membuat
onar, nanti pengawas yang lain terpalit sama. Pelajar akan ingat kita tak ada
perikemanusiaan.” Tenang sahaja kata-kata yang keluar daripada lelaki yang
berlesung pipit di kiri itu.
Insyirah hanya mematung di situ.
“Dan kamu Atirah…
pastikan kamu ada alasan yang kukuh bagi menjelaskan kenapa kamu berada di
sini. Sepatutnya kamu bertugas di pintu pagar belakang sekolah, kan?” tegur
Tajul.
Zarina dan Athirah terdiam. Muka mereka sudah
merah padam.
“Sila tulis laporan masing-masing di bilik
pengawas. Saya akan check sekejap lagi. Kes ini biar saya selesaikan,”
kata Tajul lagi.
Zarina dan Athirah mengangguk. Mereka segera
melangkah pergi.
Insyirah hanya mengerling kedua-dua pengawas
yang melangkah pergi dengan muka tidak puas hati. Dia lega seketika. Namun, di
depannya sekarang orang yang paling penting di sekolah. Selesai masalah
disindir, namun masalah asas masih belum selesai. Malahan kini namanya akan
dicatit pula oleh pelajar harapan, seperti dia melakukan kesalahan yang sangat
besar. Namun dari apa yang didengarinya, Tajul Arifin seorang pengawas yang
cukup berhemah tinggi dan disukai kerana kredibiliti yang ditonjolkan olehnya.
“Nama dan kelas?” tanya Tajul.
“Insyirah dari 5 Agresif.”
“Awak sampai pukul berapa tadi?”
“7.52 pagi. Maaf, saya ada kecemasan di rumah,”
jawab Insyirah.
Tajul membelek-belek buku tugasan di tangannya.
Dahinya berkerut seolah-olah sedang memikirkan sesuatu “Saya belum pernah
nampak awak sebelum ini. Ini kesalahan pertama awak ke?” tanyanya lagi.
Insyirah hanya mengangguk.
“Hal kecemasan apa ya? Boleh saya tahu?” tanya
Tajul Arifin lagi. Sempat dia mencuri pandang ke arah kasut milik pelajar naif
di hadapannya ini. Bila melihat Insyirah tidak selesa, dia melihat buku notanya
kembali.
“Adik saya demam. Saya minta maaf,” jelas
Insyirah.
Tajul mengangguk. “Memandangkan ini kesalahan
awak yang pertama, saya lepaskan dengan syarat…”
Insyirah berasa cuak. Apa lagi hukuman yang
harus dijalaninya?
“Syaratnya mudah.
Jika awak terpaksa menghadapi mereka berdua lagi, bagitahu saya secepat yang
mungkin ya.”
Insyirah terkejut mendengar kata-kata Tajul.
Memang benar, Tajul seorang yang mengikut akal fikiran, bukannya emosi.
“Terima kasih.” Insyirah tersenyum mesra dan
terus berlalu ke kelasnya.