Home Novel Cinta DIA DOKTOR HATIKU
DIA DOKTOR HATIKU
26/5/2014 08:16:51
78,090
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 14

Lydia dan Ziha tekun mencatitkan nota-nota penting yang diberikan oleh pensyarah. Masa berlalu begitu pantas. Kuliah tamat dengan pelajar-pelajar perlu membuat sedikit bacaan sebelum kuliah sebenar bermula.

“Kelas kita dah habis. Kau nak ke mana lepas ni?” tanya Ziha.

“Aku ingat nak ke perpustakaan. Buat rujukan untuk kuliah esok.”

“Wah... rajinnya. Tolong bacakan untuk aku sama tau,” kata Ziha sambil tersengih.

“Dah! Jangan mengada. Jom ikut aku,” kata Lydia.

“Aku ada hal lain,” jawab Ziha. Dia tersenyum penuh makna.

Lydia mengangkat keningnya. “Kau nak keluar dengan Haziq ya? Kau berdua ada apa-apa ke?”

Sambil tersenyum malu-malu, Ziha hanya mengangguk. “Kau pula tentulah dengan lelaki yang lebih hebat.”

“Lelaki hebat?” tanya Lydia kembali.

“Siapa lagi? Senior Imran, YDP Desa kitalah. Beruntung kau Lydia,” usik Ziha.

“Eh! Excuse me, aku tak ada perasaan apa-apa tau! Lagipun dah lama aku tak nampak dia. Tentu sibuk dengan projek-projek mega dan juga dengan koleksi awek-aweknya.”

“Hai… bunyi macam jealous aje. Kau ada hati dengan dia, kan?” usik Ziha lagi walaupun dia tahu Lydia tidak suka diusik pasal lelaki.

“Kau ni Ziha… sehari tak usik aku, tak boleh ke?”

“Okeylah... aku keluar dengan Haziq dulu.” Ziha terus melangkah pergi.

Lydia pula menapak menuju ke Perpustakaan utama USM yang terletak tidak jauh dari dewan kuliahnya.

Dia terus ke tingkat dua perpustakaan. Melihat senarai bahan rujukan yang telah diberikan oleh pensyarah sebentar tadi, Lydia mengambil beberapa buah buku yang sudah dijilid lalu mencari-cari lokasi yang tidak diduduki ramai orang. Dia menjumpai sebuah tempat yang agak tersembunyi lalu melabuhkan duduk. Dia membelek satu per satu helaian buku tersebut sambil mencatat beberapa nota penting.

“Assalamualaikum...”

Lydia mendongak. Bagai hendak luruh jantungnya bila melihat lelaki hebat di depan matanya. Tangannya mula basah dengan peluh, suara seperti terlekat di kerongkong. Digagahkan jua untuk menjawab salam tersebut. “Waalaikumussalam...”

“Saya tak menganggu ke?”

“Rasanya tidak.” Lydia rasa tidak sanggup lagi untuk bertentangan mata dengan Imran. Matanya memandang buku di atas meja.

“Betul ke saya tak ganggu Lydia?” tanya Imran sekali lagi.

‘Kenapalah lelaki ini suka sangat muncul dalam hidup aku?’ rungut Lydia di dalam hati. “Tak, Senior Imran,” jawabnya dengan penuh sabar. ‘Jika tidak sabar, mahu sahaja aku keluar dari perpustakaan ini. Untuk apa jika hanya menyeksa diri sendiri?’

“Kalau begitu… bolehlah saya duduk sini,” kata lelaki itu lagi. Dia terus menarik kerusi dan duduk di hadapan Lydia tanpa segan.

Haruman wangian yang maskulin menusuk ke hidung Lydia. Dia menjeling sepintas lalu. Imran juga membuka buku.

Suasana sepi. Masing-masing sedang cuba menelaah apa yang berada di dalam buku. Sesekali Imran membelek helaian buku membuatkan Lydia terasa mukanya dihembus udara lembut. Perasaannya makin tidak tenteram.

‘Apa yang harus aku lakukan? Berada di sini seolah-olah tiada apa yang berlaku atau pergi sahaja. Ah! Perbuatan yang kurang manis. Jadi apa yang harus aku lakukan sekarang?’

“Lydia ambil course apa?” Soalan Imran memecahkan keheningan mereka berdua.

Mass comm,” jawab Lydia sambil mendongakkan kepala memandang ke arah Imran yang leka mengadap buku. Betullah kata Ziha. Lelaki ini sangat kacak. Tiba-tiba Imran juga mengangkat mukanya dan sekali lagi perasaannya dibuai dengan keasyikan. Mata itu merenungnya seolah-olah memberitahu sesuatu yang cukup bermakna sekali. Pantas Lydia menundukkan pandangannya. Tidak sanggup untuk terperangkap dalam jerat lelaki ini.

“Baguslah, saya pun minor dalam mass comm, tapi major in bussiness.”

“Nanti nak pilih major apa? Broadcasting? Journalist?

Journalist. Saya nak jadi wartawan.” Tanpa sedar, kata-kata itu meluncur laju sahaja dari mulut Lydia. Ke mana pergi hati keras yang dimiliki sebelum ini?

“Baguslah. Kalau saya nak buat press conference pasal syarikat saya nanti, bolehlah panggil awak, kan?” gurau Imran.

Lydia tersenyum. Perasannya dia ni? Ada syarikat sendiri?

“Imran…” sapa satu suara dengan mesra.

Lydia memerhatikan pemilik suara tersebut. Seorang gadis jelita, berpakaian agak seksi dengan baju tanpa lengan berwarna jingga garang dan jeans ketat. Dibandingkan dengan dirinya pula, hanyalah jeans lusuh dan T-Shirtlonggar. Sungguh berbeza sekali. Bagai langit dengan bumi.

“Hai, Shereen. Lamanya tak jumpa,” jawab Imran.

‘Dasar lelaki! Semua perempuan harus jadi miliknya. Perasaan meluat kembali menguasai dirinya. Memang lelaki tidak boleh dipercayai!’ kata Lydia di dalam hati.

I miss you so much, Imran. Kenapa you tak jumpa I cuti semester lepas? Ada awek lain ya?”

“Maaf, I banyak kerja. Ini pun baru habis ekspedisi Taman Negara,” kata Imran

“Okey I ada temu janji dengan tutor. Jumpa u nanti ya,” balas gadis itu lalu meninggalkan Imran dengan lambaian yang penuh menggoda. Setelah dipastikan kelibat Shereen hilang, Imran merenung Lydia yang kelihatan khusyuk membaca.

“Maaf… terganggu sekejap perbualan kita. Di mana kita tadi?”

“Tak apalah. Saya pun dah habis studi ni. Saya balik dululah.” Lydia bangun lalu meninggalkan Imran sendirian. Bangga menyelit di hati kerana berjaya menepis perasaan indahnya sebentar tadi. Dia memang tidak akan terperangkap dalam dunia lelaki lagi. ‘Aku benci lelaki.’

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.