Home Novel Cinta DIA DOKTOR HATIKU
DIA DOKTOR HATIKU
26/5/2014 08:16:51
78,221
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 16

Sejak Ziha sibuk berkepit dengan teman lelakinya, Lydia sentiasa ke mana-mana pun berseorangan. Sengaja dia tidak mahu rapat dengan teman-teman lain yang hanya akan menjerumuskan pada perbualan yang tidak perlu. Hujung minggu yang damai ini dia mahu menyiapkan tugasan yang perlu dihantar dua minggu lagi.

“Buat dua salinan ya pak cik,” arah Lydia.

“Depan belakang atau sehelai-sehelai?” Lelaki penuh beruban di kepala itu sudah lama dikenali warga kampus.

“Depan belakang,” jawab Lydia. Sementara menantikan bahan fotokopinya siap, dia meneliti senarai harga komputer di beberapa kedai lalu membanding-bandingkannya. Jumlahnya ribuan ringgit. Paling murah pun dua ribu lebih termasuk mesin pencetak.

Jika nak beli komputer, sebaik-baiknya beli bersama mesin pencetak, kerana ia lebih menjimatkan. Lagipun tidak perlu lagi membazir masa ke kedai komputer semata-mata untuk mencetak kertas tugasan.

Otaknya ligat berfikir, mencongak-congak dengan duit pinjaman yang bakal diperolehinya. Setelah ditolak yuran belajar, penginapan kolej dan segala bahan untuk belajar dan makanan, semester depan mungkin baru boleh beli. Semester ni tak dapatlah, bisik Lydia pada dirinya sendiri dalam nada kecewa.

Survey komputer ke?”

Lydia berpaling ke belakang dan tersenyum paksa. Imran sedang memandangnya sambil tersenyum. Dia dari mana? Tiba-tiba aje muncul? Kenapa makin dia melihat wajah Imran, semakin dia mahu mendampingi lelaki itu? Ah! Jiwa kacau! “Tak adalah, tengah tunggu fotostat.” Dia menunduk ke bawah, tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan.

“Okey… Dah selesai nanti kita pergi minum, ya. Dah lama kita tak sembang, kan?” ajak Imran.

Lydia hanya diam.

“Jomlah, saya betul-betul ikhlas ni,” pujuk Imran.

Akhirnya Lydia mengangguk.

Sesudah membayar harga fotokopi, mereka beriringan menuju ke sebuah restoran nasi kandar.

“Lydia nak makan apa? Nasi kandar dia sedap jugak, nak tak?” pelawa Imran.

“Tak naklah. Bagi saya char kuey teow aje.”

“Okey, nasi kandar campur kari daging dan char kuey teow satu!” beritahu Imran kepada pelayan tersebut. “Kalau kat Penang, tak sah kalau tak makan nasi kandar. Awak mesti cuba satu hari nanti.”

Lydia hanya tersenyum tawar.

Keadaan sepi kembali. Mereka berdua hanya melihat gaya tukang masak yang menggoreng char kuey teow kerang dengan menggunakan api yang besar.

“Lama tak jumpa. Saya rindu awak.” Bergetar suara lelaki itu.

Lydia terkejut. Bersungguh-sungguh benar Imran mahu memikatnya. Jujurkah lelaki ini?

“Lydia, saya betul-betul maksudkan apa yang saya kata.” Suara Imran tegas.

Lydia makin gelisah. Kenapa pula lelaki ini harus merinduinya? Bukankah ramai wanita yang tergila-gilakan lelaki tampan yang kononnya ketua berdedikasi, kata mereka?

“Lydia… saya tak peduli dengan kisah silam awak. Yang saya tahu saya telah jatuh cinta pada awak. Saya akan menjaga awak sepanjang hidup saya.”

‘Gila! Lelaki ini sudah hilang kawalan nampaknya.’

“Sebenarnya awak sedang bermain dengan perasaan orang, Imran!”

“Saya tak pernah mainkan perasaan orang, Lydia. Jika tak percaya, tanyalah senior-senior yang awak kenal. Mereka pasti akan beri jawapan yang sama.”

“Nak nafikan lagi?” soal Lydia geram.

“Apa yang saya nafikan?” tanya Imran seperti terkejut. Seingatnya, dia tidak pernah bercinta dengan mana-mana gadis sebelum ini. Hanya Lydia yang bertakhta di hatinya. Itu pun masih belum lekat-lekat lagi.

“Shereen?” Nama itu disebut juga, walaupun sungguh dia menyampah dengan tahap miang perempuan itu.

Imran tertawa kecil dan itu menyinggung Lydia. “Sorry… saya tak bermaksud nak gelakkan awak. Cuma Shereen berkawan baik dengan semua orang. Bukan dengan saya aje dia mesra.”

Lydia membulatkan matanya. “Oh! Maknanya dengan semua orang boleh bertepuk tampar? Begitu?” sindirnya lagi.

“Tak adalah sampai tahap tu. Shereen bukan teman istimewa saya. Untuk pengetahuan awak, saya tak pernah ada teman wanita.”

“Tipu!” Dasar lelaki… tak pernah puas dengan satu. Namun ayat selebihnya hanya bergema di kalbu.

“Sungguh! Kan saya kata awak boleh tanya semua orang di Desa Cahaya Permai ni. Hatta pak cik kantin pun akan jawab benda yang sama.”

Lydia mengerutkan keningnya. Tak mungkin jejaka sekacak Imran tiada teman wanita. Mustahil.

“Bunyi mustahil kan? Tapi memang betul. Rakan-rakan perempuan yang awak nampak sama ada rakan persatuan, kelab atau pun coursemate. Itu saja, dan kalau nampak mesra sekalipun, ia bukan datang daripada saya. Ia dari perempuan itu sendiri.” jelas Imran.

Uwek! Nak bagitahu dia laku sangat sampai semua perempuan sukakan dia?

“Lydia… Bukan itu yang saya nak bagitahu hari ni. Tapi awak dah tanya, saya jawab sejujur-jujurnya dari sekeping hati yang ikhlas.”

‘Kenapa Imran seakan boleh membaca apa yang tersirat di mindaku? Dia ada kuasa psikik ke?’

“Saya tahu, jauh di sudut hati... awak ada menyimpan sedikit perasaan pada saya, kan? Tak banyak, sikit pun ada kan?” usik lelaki itu. Kini Imran sedang membuai-buai perasaannya.

Lydia terkedu. Sesaat nafasnya bagai terhenti. “Helo… Jangan nak perasan sangat ya.” Ayat itu terhenti. Dia bagaikan hilang idea untuk mematahkan provokasi itu. Kenapa Imran tahu isi hatinya? Pipinya merona merah.

“Saya ada mangkuk jampi tau. Dalam tu, saya nampak wajah awak menjadi suri hidup saya hingga ke syurga,” seloroh Imran.

Lydia ketawa. Kelakar jugak jejaka ini.

Imran terpegun melihat Lydia ketawa. Gadis ini makin cantik bila ketawa.

Lydia menyedari pandangan Imran itu. Dia terasa lemas dengan pandangan helang itu. “Awak… Jangan pandang saya macam tu.” Dia melihat ke arah jalan Sungai Dua yang tidak pernah surut kesesakannya.

“Awak nampak lagi cantik bila ketawa. Jangan asyik masam aje. Nanti semua aura negatif datang tau,” pesan Imran lagi.

‘Selama ini aku masam ke? Benarkah apa yang Imran katakan? Aku sudah jatuh cinta pada dia? Tak mungkin! Bukankah aku telah berikrar tidak akan jatuh cinta dengan mana-mana lelaki! Bukankah semua lelaki kejam? Tidak berhati perut! Hanya menganiayai perasaan wanita yang lemah seperti aku?’

“Lydia… Berilah peluang untuk saya buktikan kasih sayang saya pada awak. Saya janji tak akan persia-siakan awak, seperti lelaki yang pernah mengecewakan dulu.”

Demi mendengar perkataan lelaki silam, Lydia bangun, menarik nafas sedalam mungkin. “Maaf, saya tak mahu menerima lelaki dalam hidup saya!” Walau berat, dipaksa kaki untuk melangkah. Hatinya pilu lagi. Mengapa cukup sukar untuk melupakan kisah silam itu?

“Lydia…” Imran buntu. Segala cara sudah dicuba, segala tindakan sudah diambil. Rasanya dia tidak tersilap kata atau bahasa. Dia berniat ikhlas, mahu menjadikan Lydia sebagai kekasih hati. Tetapi kenapa hati wanita itu begitu keras? Begitu sukarkah untuk melupakan kisah cinta hingga permintaannya ditolak mentah-mentah?

Nasi kandar di hadapannya langsung tidak membuka selera. Ingatannya hanya pada Lydia. Kenapa gadis itu menolak cintanya? Bukankah gadis itu juga menyimpan perasaan yang sama dengan dirinya?

Jika dia inginkan seseorang wanita untuk menjadi kekasihnya, sudah tentu ramai wanita menawarkan diri. Tetapi hatinya kini hanya dimiliki oleh seorang wanita yang menyimpan seribu kenangan rahsia di masa silamnya.

“Maaf, saya tak mahu menerima lelaki dalam hidup saya!” Apa maksudnya? Dan, sehingga kini dia masih gagal untuk menawan hati gadis tersebut. ‘Aku tidak akan berputus asa. Akan kutawan hatimu gadisku,’ tekad Imran lagi.

‘Jatuh cintakah aku? Ah! Tak mungkin! Aku tak jatuh cinta! Itu hanya perasaan semata-mata. Cinta itu buta! Dan lelaki…lelaki hanya tahu mengekploitasi emosi wanita sahaja! Hanya pandai mengambil kesempatan dengan kata-kata manis. Kemudian ingkari amanah tersebut tanpa ada perasaan sesal dan bersalah!’

Keriukan pintu menyedarkan Lydia. Teman sebilik yang tua dua tahun daripadanya masuk ke bilik. Suzana terus membaringkan dirinya ke katil dan memandang Lydia. “Tadi Kak Sue pergi ke pejabat. Kerani tu suruh awak ke sana ambil barang.”

“Barang? Barang apa kak?” tanya Lydia. Setahunya, emak tidak pula mengirim sebarang barangan.

“Kak Sue tak tahulah pula. Tapi baik awak pergi check.”

“Okey, Kak Sue. Terima kasih kerana bagitahu.”

Selepas bersiap ala kadar, Lydia bergegas ke pejabat. Sesekali dia menoleh ke sekeliling, memerhati agar tidak terserempak dengan Imran.

‘Aku tidak mahu lagi dibuai perasaan indah itu. Perasaan rindukah itu? Apakah itu tandanya cinta?’

Kakinya sudah pun sampai di pejabat pentadbiran desasiswa Cahaya Permai. Seorang wanita sedang terbongkok-bongkok menyusun kotak.

“Maaf, kak. Saya Lydia Taufiq. Ada barang untuk saya ke?” tanya Lydia pada wanita bertudung biru itu. Kerani tersebut melihat senarai nama dan mencari-cari barangan yang dimaksudkan.

“Okey, ini ada barang untuk awak,” katanya lalu menunjukkan ke arah satu kotak bersaiz besar dan dua kotak lagi bersaiz sederhana.

Dari luar kotak, Lydia sudah dapat mengagak barangan itu. Sebuah set komputer lengkap dengan mesin pencetak berdasarkan tulisan di luar kotak.

“Akak salah orang agaknya. Saya tak beli komputer ni,” nafinya lagi. Fikirannya sarat dengan pelbagai soalan. Siapa? Mengapa? Tetapi ia hanya tersekat di situ.

“Akak tak tau tapi memang barang ni dihantar oleh kedai komputer di Sungai Dua, dengan nama awak sebagai penerima. Awak kena ambil barang ini, sebab kat sini dah tak ada ruang,” jawab kerani itu lagi.

“Tapi…” Lydia masih tidak puas hati.

“Maaf Lydia, memang betul awak penerimanya. Jadi, baik awak ambil sekarang. Akak nak kosongkan tempat ni.”

Lydia buntu. Dengan berat hati, dia membawa kotak komputer tersebut satu per satu ke biliknya. Tiada surat atau sebarang resit yang terlekat di kotak tersebut. Sukar untuk menentukan siapakah yang baik hati menghadiahkan komputer tersebut.

‘Mungkinkah Imran? Tapi kenapa? Untuk membeli jiwanya? Jika wang menjadi ukuran, kau telah tersilap orang, Imran. Aku bukan seorang pengemis hingga sanggup menggadaikan prinsip semata-mata kerana dahagakan kekayaan dan kemewahan. Kau silap Imran.’

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.