ESOK hari terakhir mereka menamatkan kembara Kepimpinan Desasiswa Cahaya
Permai. Hati Lydia bersorak girang. Malam ini, setiap kumpulan perlu membuat
persembahan kebudayaan sebagai acara penutup.
Kumpulan mereka bersepakat untuk mengadakan
persembahan dikir barat sebagai penutup persembahan. Lagi pula ia cukup senang
dan tidak perlu terlalu banyak berlatih. Hanya pastikan lenggok gaya mereka
serentak dan juga hafal lirik lagu.
“Kita jangan cari pasal Lydia. Kita di sini cuma
nak berhibur. Bukan cari gaduh dengan sesiapa pun,” tegur Ziha perlahan agar
tidak didengari oleh ahli kumpulan lain.
“Apa yang kau cakap ni?” Lydia rasa
berdebar-debar. Adakah rancangannya diketahui?
“Aku tahu kau ubah suai lirik lagu tu. Kau
masukkan unsur sindiran kepada lelaki hidung belang. Walaupun secara
berseloroh, ia memang tidak elok untuk menyindir sesiapa pun.”
“Helo… Aku taulah yang mana sensitif, yang mana
tak. Nama pun hiburan, bukannya persendakan sesiapa pun. Kita cuma sebutnya
secara umum. Takkan itu pun salah?” jawab Lydia tegas. Sedikit kesal kerana
bodoh dalam membuat percaturan. Bukankah lagi bagus membalas dendam tanpa
membabitkan ahli kumpulan?
“Aku tahu pada siapa kau tujukan lagu ini.” Ziha
melirik tajam ke arah Lydia. “Kau berdendam dengan dia, kan?”
Kata-kata Ziha benar-benar mencabar kesabaran
Lydia. Sudahlah Imran tidak habis-habis mengenakannya. Sahabat baiknya kini
langsung tidak menyebelahi keputusannya. “Ziha, ini bukan soal dendam. Aku
sekadar nak ingatkan lelaki supaya tidak permainkan perasaan wanita.”
“Tidak! Kau akan nyanyikan lirik kita yang asal.
Apa nak jadi, jadilah!” jawab Ziha tegas.
“Kenapa bertekak di sini?” marah Imran yang
tiba-tiba muncul. Kenapa dia sentiasa ada di mana-mana? “Giliran kumpulan kamu
selepas ini tapi masih ada masa bergaduh sesama sendiri?” dengusnya kasar.
Ahli kumpulan yang lain hanya terdiam. Tidak
menyangka Imran mencampuri urusan mereka berdua.
“Maafkan kami.” Akhirnya Ziha bersuara.
Lydia tetap membisu. Benci dengan sikap Imran
yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya.
“Dahlah, teruskan
persembahan kamu. Walaupun ini bukan pertandingan, jangan ambil remeh. Kamu
semua dipilih ke sini sebab kami percaya kamu mampu untuk mengambil alih
kepimpinan kami nanti!” tegasnya lagi. Suaranya juga mula kendur lalu terus
menuju ke bawah pentas.
Ziha dan
Lydia hanya berpandangan sesama sendiri.
Selesai membuat persembahan, mereka disajikan dengan persembahan oleh
senior-senior yang menari dengan iringan muzik rancak. Terasa kelakar juga bila
melihat beberapa Exco yang selama ini terkenal dengan sifat serius,
rupa-rupanya pandai juga menghayunkan langkah untuk menari.
“Maafkan aku, Lydia.” Ziha menghulurkan
tangannya. “Aku tak ada niat nak bergaduh dengan kau tadi.”
Lydia tergamam. Bodoh betul dirinya. Hanya
kerana sebuah lirik, sanggup dia bertekak dengan kawan baiknya? “Aku pun minta
maaf.” Huluran disambut. “Aku tak sepatutnya bertindak bodoh.”
Mereka kembali menyaksikan persembahan Exco.
Lydia mencari-cari kelibat Imran. Walaupun tidak
menyukai Imran, tetapi hati kecilnya tetap mendesak untuk mengetahui
perkembangan lelaki itu. Di mana dia sekarang ya? Sedang cuba mengorat awek
yang lain ke?
Pencariannya berjaya. Imran sedang tekun
meneliti helaian demi helaian kertas di atas mejanya bersama Exco yang tidak
membuat persembahan.
Tiba-tiba pandangan mereka bertaut. Lydia
terkhayal seketika. Satu perasaan indah dapat dirasakan dalam setiap urat nadi
yang berdenyut-denyut di tubuhnya sekarang.
Imran melemparkan senyuman, lalu meneruskan
perbincangan dengan rakan-rakannya.
‘Aneh! Gelojak apakah yang mengalir ke segala
sendi-sendi dan tulang rusukku kini? Adakah itu panahan cinta yang tulus dan
suci seperti yang diperkatakan Laila dan Majnun? Tiba-tiba dia teringatkan buku
kisah cinta di zaman kanak-kanak yang masih tersimpan rapi sebagai koleksi.
‘Ah! Menyesalnya aku tengok dia tadi. Bagaimana
dia boleh melihat aku sedangkan aku berada di antara puluhan pelajar lain?
Bertentang mata pula tu? Sudah tentu dia menyangka aku meminatinya kerana kami
sempat bertentangan mata buat beberapa saat. Aneh! Dia memberi senyuman yang
cukup mahal sebelum ini. Apa yang berlaku? Keajaiban apa hingga meruntun hatiku
untuk terus mengingati dirinya?’
Sekali lagi Lydia mengangkat mukanya sambil
mencari kelibat Imran, namun gagal kerana Imran sudah menghilangkan dirinya. Ke
mana dia pergi agaknya?
“Testing... testing… 1, 2, 3…”
Rupa-rupanya Imran sudah berada di pentas.
Hati Lydia berasa cuak. Adakah Imran akan
memalukannya sekali lagi? Adakah lelaki itu tahu punca pergaduhan dengan Ziha
tadi? Hatinya makin tidak keruan, menyesal kerana bersungguh-sungguh untuk
mengikuti perkhemahan ini. Jika dia tidak berdegil, sudah tentu segala perkara
ini tidak berlaku. Perasaan indah ini pula? Dia sendiri juga tidak menyukainya!
“Assalamualaikum... Saya mewakili Exco Desasiswa
Cahaya Permai USM amat bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh adik-adik
semua. Semangat tidak putus asa menghadapi segala cabaran dalam kembara
kepimpinan kali ini harus dipuji. Terus terang saya katakan, semangat dan tekad
kamu semua menjalani cabaran, membuatkan kami percaya bahawa kamu adalah
pilihan paling tepat sebagai pemimpin pelapis di masa depan.”
Kata-kata Imran disambut dengan tepukan gemuruh.
“Walaupun banyak cabaran yang dihadapi, namun
kau orang tetap cekal. Ada yang terpaksa memikul batu setelah telur mereka
dirampas juga harus diberi pujian. Walau amanah berupa telur telah musnah,
namun berkat kesabaran dan usaha yang bersungguh-sungguh memikul batu yang berat
itu, menyentuh hati kami semua. Ada peserta yang takut meniti tali gantung dan
sebagainya. Ada yang masak daging hangit sedikit. Tetapi itu sebenarnya adalah
pengalaman yang paling indah buat anda semua satu hari nanti.
“Mungkin hari ini anda akan marah kepada kami,
yang dikatakan bersikap zalim, kejam dan kasar. Tapi percayalah ia untuk
kebaikan anda satu hari nanti. Niat kami baik. Mahu menjadikan anda pemimpin
pelapis yang dapat mencorakkan generasi seterusnya dengan lebih baik.” Sekali
lagi ucapan Imran mendapat perhatian dan tepukan gemuruh.
Hati
Lydia tercuit. ‘Daging hangit dan titian gantung nampaknya ditujukan kepada aku
seorang. Kau memang tak habis-habis kan Imran!’
“Saya akhiri dengan memohon ribuan kemaafan jika
ada peserta yang terasa hati dengan tindakan saya dan juga exco yang lain.
Abang-abang dan kakak-kakak di sini tak bermaksud untuk menganiaya anda. Tetapi
memberi pengajaran yang cukup berguna buat anda semua. Setelah berbincang, kami
ingin mewujudkan satu lagi anugerah iaitu peserta paling sporting.”
Semua pelajar terdiam seketika.
“Peserta paling sporting bermaksud… walau
dia mendapat kritikan dan dimarah, dia cukup sportingdan menerimanya
dengan hati yang tabah. Dia tak marah atau berdendam. Jadi, peserta paling sporting
jatuh kepada…”
Senior-senior lain bertepuk tangan sebagai muzik
iringan. Imran tersengih memandang kesemua anak buahnya. Pandangannya jatuh
pada Lydia yang leka membelek kukunya.
“Lydia Taufiq.” Suara itu bergema sekali lagi
diiringi tepukan semua peserta.
Liza,
Ziha dan Yati mencuit-cuit Lydia yang masih tidak percaya namanya diumumkan.
Dengan berat hati, dia terpaksa mengagahkan diri untuk bangun lalu menuju ke
pentas.
Imran
sudah bersedia dengan sebuah hamper bersama senyuman yang cukup menawan. Bagi
Lydia, senyuman itu bagai satu sindiran yang cukup sinis kepadanya. Dengan
senyum yang dipaksa, Lydia menyambut hadiah tersebut. Dia terpaksa kaku
seketika kerana aksi mereka dirakamkan oleh beberapa kamera. Bertalu-talu percikan flash
mengenai mereka berdua.
Kemudian dia turun dari pentas dan terus menuju
ke tempat duduknya.
“Aku percaya yang Senior Imran benar-benar
menaruh hati kepada kau,” bisik Ziha di telinganya walaupun dipenuhi dengan
sorakan peserta yang kegembiraan kerana esok mereka akan kembali ke kampus di
Pulau Pinang.
Lydia melihat hadiah yang baru dimenanginya.
Pandangannya beralih ke pentas yang dimonopoli oleh para senior yang menyanyi
lagu rasmi Desasiswa Cahaya Permai. Takdir ternyata menemukan kembali dengan
Imran yang sedang asyik merenungnya.
Sekali lagi mata mereka bertentangan. Terasa
jantungnya dirobek-robek membuatkan hatinya tidak keruan.
‘Benarkan Imran mencintaiku seperti yang
dikatakan Ziha sebentar tadi? Dan aku sendiri? Bagaimana dengan pendirianku
yang tidak mahu bercinta? Bukankah semua lelaki hipokrit?’ Lydia buntu. Dia
hanya mampu mengeluh.