Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAKITNYA HATI
Bab10: Permainan Abang dan Anak Saudara

“Hai umi, sunyi saja rumah ni, Qisha mana? Kalau tak, dialah paling kecoh sekali.” Fariq Hazen bertanya kepada Puan Nazrah sebaik sahaja dia sampai ke rumah mewah dua tingkat itu pada malam Jumaat itu.

“Apa lagi yang adik kau buat tu along selain menghadap laptopnya saja. Dengan umi ni pun dah jarang dia berbual. Sejak balik dari kursus tempoh hari, itulah sajalah kerjanya setiap malam. Entah apalah yang menarik sangat berteleku di depan skrin bisu tu.” Puan Nazrah mengadu pada Fariq Hazen tentang perubahan sikap Qisha Mirza lewat kebelakangan ini

“Lah, kenapa boleh berubah begitu sekali umi? Entah-entah dia tengah dilamun cinta kut? Itulah sebabnya menghadap laptop 24 jam.” Fariq Hazen membuat kesimpulan sendiri terhadap sikap Qisha Mirza.

“Entahlah along. Dia tak pernah cerita pun dengan umi. Susah benar hendak berkongsi rahsia hatinya. Kalau dia bercerita pun tentang sekolah dia dan anak murid dia saja.” Puan Nazrah seakan-akan berjauh hati.

“Tak apa umi, biar along korek rahsia hatinya. Along tahu macam mana nak mendesak dia.” Fariq Hazen tersengih nakal.

“Itupun kalau hati dia terbuka nak bercerita dengan kaulah.” Nada Puan Nazrah seakan-akan orang berputus asa.

“Along cubalah umi. “ Fariq Hazen memberi janji.

“Umi jangan risaulah. Isfa yakin abang mampu mengail isi hati Qisha. Diakan selalu kalah dengan alongnya.” Isfaten memberi semangat pada Puan Nazrah agar mempercayai kata janji suaminya itu.

“Mudah-mudahanlah Isfa. Umi bukan apa, takut dia tersalah pilih kawan. Dia tu perempuan kalau lelaki tak apalah. Risau hati umi ni selagi dia belum berkahwin. Isfa akan rasa perasaan umi bila Isfa mempunyai anak perempuan yang sudah dewasa kelak.” Puan Nazrah masih tidak mahu keluar dari kepompong kerisauannya.

“Umi, Isfa yakin Qisha pandai menjaga dirinya sendiri kerana Isfa tahu hati Qisha bukanlah selembut sutera yang mampu menyerahkan cintanya pada mereka yang tidak terpilih.” Isfaten memeluk Puan Nazrah agar kerunsingan ibu mertuanya itu akan hilang buat seketika.

“Terima kasih Isfa kerana menenangkan umi.” Puan Nazrah membalas pelukkan menantunya itu.

“Qisha masih ada di atas lagi ya umi?” Fariq Hazen inginkan kepastian sebelum dia melaksanakan rancangannya nakalnya bersama anak lelaki sulung mereka Aufa yang berusia tujuh tahun.

“Kat mana lagi dia ada, kat bilik dialah tu. Eh Aufa, ni topeng apa pula?” Puan Nazrah membelek-belek topeng yang terlekat di muka cucunya itu.

“Topeng hantu untuk mengusik orang.” Jelas Aufa sambil ketawa.

“Tapi jangan takutkan nenek ya? Nenek nanti pengsan kelak kalau Aufa usik nenek.” Puan Nazrah mencium dahi Aufa.

“Aufa janji takkan takutkan nenek tapi Aufa tak janji takkan takutkan mak ucu. He he he.” Aufa sudah bersedia hendak menakut-nakutkan Qisha Mirza.

“He he he ... macam tulah anak papa. Tahu-tahu saja apa yang terancang di minda papa.” Fariq Hazen sudah mula menyusun rancangan jahatnya. Sememang begitulah dia jika sudah sampai di rumah Puan Nazrah. Pasti Qisha Mirza akan menjadi mangsa usikkannya.

Puan Nazrah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Along nilah, mengamuk budak tu karang. Nanti mesti dengar gunung berapi meletus.” Puan Nazrah sudah tersenyum kecil.

“Dah lama tak dengar suara rimba dia tu umi. Rindulah. Aufa ...” Fariq Hazen membisikkan sesuatu ke telinga Aufa dan sudah pastilah rancangan mereka sudah tersusun.

“Apa saja rancangan abang dengan Aufa, Isfa tak masuk campur ya? Pandai-pandailah handle adik abang sendiri.” Isfaten tidak mahu mengambil bahagian di dalam rancangan anak dan bapa ini kerana dia tidak mahu terkena tempias semburan lidah tidak bertulang Qisha Mirza. Faham benar dengan perangai adik iparnya itu, kalau sudah meletus habis semua orang kena.

“Umi pun.” Puan Nazrah juga sedondon dengan Isfaten yang ingin berada di zon selamat. Memang tidak sanggup menahan telinga yang akan memuntahkan darah beku, darah cair dan macam-macam darah lagi.

“Jangan risaulah. Dia bising bukannya lama. Jom Aufa. Tapi ingat, senyap-senyap naik tau.” Pesan Fariq Hazen kepada anaknya itu.

“Set.” Aufa hanya mengangguk kepalanya sambil bertepuk tangan dengan papanya.

Aufa mula melangkah naik dengan derapan kaki yang cukup perlahan sekali. Terjengket-jengket dia memandang ke dalam bilik Qisha Mirza dan setelah sudah dipastikan mak ucunya itu sedang ralit di hadapan skrin laptop, dia mula melangkah masuk dengan amat perlahan sekali dan hampir tidak kedengaran tapak kakinya. Bijak sungguh Aufa dalam melaksanakan rancangan untuk mengusik ibu saudaranya itu. Setelah itu, dia mula mengambil bulu ayam dan mengusik dengan membuat geli-geli di telinga ibu saudaranya itu.

Qisha Mirza menampar-nampar bahagian telinganya yang dirasakan geli. Dia ingatkan ada binatang kecil yang hinggap tetapi ternyata sangkaannya meleset apabila tidak ada apa pun di situ.

“Hesy, apa benda ni? Nak main-main pula. Orang nak chat pun tak senanglah.” Qisha Mirza malas hendak ambil kisah lalu dia menyambung semula perbualannya dengan Fulshan. Pada hari itu, giliran dia pula menceritakan kisah cintanya pada Fulshan. Itu yang membuatkan dia ralit tetapi dia tidaklah menceritakan kesemuanya sekali, yang patut-patut Fulshan tahu sahaja.

Aufa menahan ketawa dan sekali lagi dia membuat geli-geli di telinga yang lain pula. Kemudian melarat ke tengkuk. Qisha Mirza tidak tahan dengan gangguan itu lalu menoleh ke belakang tetapi badan kecil Aufa yang bersembunyi di belakang kerusi Qisha Mirza berjaya menghalang pandangan mata ibu saudaranya itu. Aufa terselamat dari dilihat.

“Hesy, apa benda yang kacau aku ni? Kalau tak kacau tak bolehkah? Suka-suka hati saja nak main-main dengan aku ya?” Qisha Mirza mula melenting apabila dirasakannya ada yang dengki tidak senang melihat dia berbual dengan Fulshan. Sesudah tidak nampak sesiapa pun di dalam biliknya, Qisha Mirza kembali menyambung perbualannya.

Kali ini Aufa mengambil tindakan dengan lebik ekstrem. Dia telah mengenakan topeng muka hantunya semula dan mula melancarkan serangan yang akan membuatkan Qisha Mirza terbaring. Aufa membuat geli-geli di bahagian tengkuk Qisha Mirza di sebelah kanan dan dia telah berdiri di sebelah kiri. Sebaik sahaja ibu saudaranya itu berpaling sebelah kanan dan berasa geram acapkali diusik begitu, Aufa terus menyergah apabila kepala Qisha Mirza mula hendak berpaling ke sebelah kiri pula untuk mencari benda yang mengusiknya.

“Arghh!!!” Menjerit nyaring Qisha Mirza di saat terpandang akan wajah buruk yang berada betul-betul di sebelah kirinya. Terjatuh Qisha Mirza dari kerusi dan terus terbaring ala-ala stuntdi atas lantai. Melihat pada saat itu, Fariq Hazen terus melancutkan ketawanya terbahak-bahak tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Memang kelakar sungguh reaksi Qisha Mirza pada waktu itu. Aksi stunt yang jarang ditonjolkan. Bukan sahaja Fariq Hazen tetapi Aufa cuba sedondon dengan papanya dalam melepaskan ketawa yang agak nyaring. Geram sungguh hati Qisha Mirza memandang akan dua beranak itu.

“Bertuah punya budak. Dah tak ada benda lain nak buat selain usik mak ucu?” Qisha Mirza mencekak pinggangnya dan terus membuli Aufa di atas katil. Terkekeh-kekeh Aufa menerima habuan karate daripada ibu saudaranya itu.

“Cukuplah mak ucu. Aufa nak terkencing ni. Kalau Aufa terlepas kencing atas katil mak ucu, jangan marah Aufa ya.” Aufa benar-benar tidak tahan hendak terkencing setelah dibelasah leh Qisha Mirza yang menggeletek perut dan pinggang anak saudaranya itu.

“Pengotorlah. Pergi kencing cepat. Kalau bocor atas katil mak ucu, Aufa kena lap sampai kering. Mak ucu tak kira.” Ugut Qisha Mirza membuatkan Aufa berlari pantas ke tandas yang terdekat.

“Ini mesti kepala rongga yang ajar Aufa usik orang macam tu.” Qisha Mirza menyekeh kepala abang sulungnya.

“Aduh! Aduh! Ganaslah adik along ni. Sakit tahu.” Fariq Hazen mengesat air matanya.

“Siapa suruh usik Qisha macam tu?” Qisha Mirza masih marah.

“Siapa suruh tak sedar along datang? Nasiblah. Bukan salah along pun.” Fariq Hazen membela dirinya.

“Ya sangatlah tu.”

“Qisha chatdengan siapa tu? Along tumpang tengok ya?” Fariq Hazen hendak melangkah masuk ke dalam biliknya tetapi pantas dihalang oleh Qisha Mirza. Tidak mungkin dia akan mendedahkan siapa Fulshan pada waktu yang terdekat ini. No way. Suka-suka hati sahaja hendak mencerobohi privasi orang.

“Mengada. Keluar. Nanti Qisha jumpa along di bawah. Urusan kita masih belum selesai.” Qisha Mirza menolak Fariq Hazen keluar dengan sepenuh kudratnya, kemudian dia mengunci pintu biliknya. Qisha Mirza terpaksa meminta diri keluar lebih awal daripada Fulshan kerana ada gangguan yang tidak dapat dielakkan. Fulshan faham dan terus mengizinkan.

Sesudah itu, suara rimba Qisha Mirza terus kedengaran di ruang tamu memarahi Fariq Hazen dan Aufa yang sudah menganggu ketenangannya pada malam itu. Fariq Hazen hanya menulikan telinganya. Manakala Aufa pura-pura tidur di atas pangkuan neneknya. Penat sahaja Qisha Mirza memarahi mereka anak beranak.

“Bertuah punya anak dengan bapak, dah ganggu privasi orang, sekarang boleh buat bodoh pulak ya? Hee, geram betullah aku!” Lentingan demi lentingan tetapi bagaikan tidak berkesan buat mereka berdua. Akhirnya Qisha Mirza menarik muka masam apabila Fariq Hazen mendukung Aufa dan memeluk pinggang Isfaten naik ke atas.

Puan Nazrah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya dengan senyuman yang sedikit terisi di atas bibirnya. Manakala Isfaten menyembunyikan senyumnya. Takut terkena hamburan Qisha Mirza. Karang telinganya yang sihat walafiat menjadi sakit pula.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.