Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAKITNYA HATI
Bab : 11 - Membeli Belah Untuk Bersantai

Pagi-pagi Sabtu itu, Fariq Hazen telah mengajak Qisha Mirza menemaninya untuk ke pasar kerana dia telah mengatur rancangan untuk mereka sekeluarga yang akan pergi berkelah pada hari Ahad. Sudah lama dia tidak mengajak keluarga bersantai bersama-sama. Aina Rahizan juga sudah dihubungi agar pulang ke banglo mereka agar dapat melakukan aktiviti ini bersama-sama.

Banyak yang Fariq Hazen memborong di pasar. Macam-macam ada. Ayam, daging, seafood dan sedikit sayur-sayuran. Berkerut dahi Qisha Mirza melihat abang sulungnya itu memborong macam-macam.

“Banyaknya along beli. Takkan nak masak semuanya untuk perkelahan esok? Macam nak buat kenduri saja?” Qisha Mirza tidak dapat menahan dirinya dari terus bertanya.

Fariq Hazen menyungging senyuman. “Along beli untuk stok umi dan Qisha. Senang, nanti tak payah hendak keluar beli bahan-bahan mentah. Untuk perkelahan esok, masak ayam goreng, spagetti goreng, sandwich sardin, kueyteow goreng sudahlah. Ramai yang nak makan nanti. Malam ni boleh buat seafood. Dah lama tak makan ramai-ramai macam ni.” Jelas Fariq Hazen.

Barulah Qisha Mirza faham kenapa Fariq Hazen membeli bahan-bahan mentah yang begitu banyak. Rupa-rupanya mereka pun hendak menjamu selera sekali. Ceh! Beli banyak pun bukannya boleh buat stok. Nanti malam masak, habis juga. Betullah along aku ni ... tak pandai kira budget. Hmm ... dah alang-alang nak belanja, biar aku pau sampai kering. Ha ha ha .... Qisha Mirza tersengih nakal.

“Along, tambah bahan mentah tu. Mana cukup nak makan satu keluarga. Ada dua family yang sudah berumahtangga dan dua orang yang masih bujang. Tak cukup.” Qisha Mirza membuat muka kambing.

“Amboi! Pandai pula dia mengira budget. Ini betul-betul tak cukupkah atau nak pau along?” Fariq Hazen memandang wajah Qisha Mirza yang sedang menayangkan wajah yang tidak berdosa langsung.

“Mana ada Qisha pau along. Tak baik tau tuduh adik along yang mithali ni. Qisha cuma takut tak cukup. Keluarga kita ramai mana boleh masak sikit-sikit. Tambah lagilah along, jangan kedekut sangat.” Qisha Mirza masih menggesa Fariq Hazen dan akhirnya alongnya itu terpaksa mengalah.

“Lari budget aku macam ni.” Fariq Hazen mengira-kira baki tunai yang tinggal di dalam dompetnya. Qisha Mirza masih menayang wajah yang tidak bersalah mahupun berdosa setiap kali Fariq Hazen menoleh ke arahnya. Namun, di dalam hati dia bersorak riang kerana telah berjaya mengepau alongnya itu. Nasiblah. Bukan selalu, sekali sekala apa salahnya. Kak Isfa pasti tidak kisah. Itulah perbualan hati Qisha Mirza di saat mereka berada di dalam kereta.

Sesudah acara makan malam selesai, Qisha Mirza terus mendamparkan dirinya di taman yang terdapat di dalam banglo itu. Malam itu dia tidak online kerana pasti ada gangguan yang akan menggaggu konsentrasinya untuk berbual dengan Fulshan. Oleh itu daripada konsentrasinya mengikut aliran angin, baik dia tidak menyentuh laptopnya langsung. Ada sahaja yang akan menyibuk akan hal peribadinya. Dia tidak suka malah tidak gemar. Hal peribadinya biar dia sendiri yang selesaikan tanpa campur tangan sesiapa. Dia hanya akan berkongsi apabila hal itu terlalu rumit dan tidak mampu untuk diselesaikannya sendiri. Begitulah sikap Qisha Mirza yang sebenarnya.

Qisha Mirza menghayati keindahan malam di taman yang indah lagi permai dengan hembusan semilir angin yang datang dari mana dia tidak pasti pulak. Fikirannya tenang dan damai sambil menatapi hiasan bulan dan bintang di dada langit. Namun ketenangan yang sedang dikecapinya tidak lama apabila Fariq Hazen datang mengganggunya. Huh! Ada sahaja pengacau.

“Hmm ... kalau tengok bintang dan bulan ni memang sahlah tengah teringatkan buah hati kan? Hari ni tak onlinedengan dia?” Fariq Hazen mula mencungkil rahsia Qisha Mirza.

Huh! Ingatkan bolehlah mengulit perasaan tapi ada pula pengganggu yang tidak dijemput ni. Sabar sajalah. Tahu pulak dia apa yang sedang bergema di dalam hati aku ni. Citt! Qisha Mirza menayang wajah selamba.

“Qisha mana ada buah hati? Suka hatilah Qishalah nak online atau tak malam ni. Yang along dok sibuk-sibuk hal Qisha ni apa pasal? Dah tak ada kerja lain nak buat?” Qisha Mirza masih berusaha menyembunyi setiap rahsia yang tersimpan di lubuk sanubarinya.

“Along bukan sibuk sembarangan tapi kalau ia berkaitan dengan seorang wanita yang bernama Qisha Mirza, along memang harus sibuk kerana dia merupakan adik along. Qisha jangan nak menyembunyikan perkara sebenarnya dari alonglah. Dari riak wajah Qisha pun along dah tahu, Qisha sedang dilamun cinta kan?”

Pergh! Hebat sungguh kenyataan along tu. Dilamun cinta? Spekulasi yang bagus. Bila masa aku dilamun cinta? Baru nak kenal saja takkanlah begitu cepat. Tak mungkin. Qisha Mirza masih menolak akan hakikat itu.

“Mana ada Qisha jatuh cinta? Qisha baru nak kenal dialah. Qisha sendiri tak tahu siapa dia yang sebenarnya. Takkanlah begitu mudah Qisha akan jatuh cinta. Tak mungkinlah along.” Dalam keadaan sedikit marah dengan kenyataan Fariq Hazen, Qisha Mirza tidak sedar bahawa dia sudah terlepas cakap.

O’oo. Alamak! Mati aku. Macam mana aku boleh terlepas cakap ni. Huh! Along ni ... memang bijak memerangkap aku. Ceh! Tak pasal-pasal rahsia aku dah terbongkar. Teruk betullah. Benci! Qisha Mirza tidak berani hendak bertentangan mata dengan Fariq Hazen. Dia terus menebarkan pandangannya ke dada langit.

Aku yakin takkan dapat menyembunyikannya dari along. Along macam aku juga tak mudah mengalah kalau apa yang dia nak tahu tidak dia dapat. Umi ... tolong. Hmm jerit nama umi pun tak guna. Tengok ... dia dah senyum-senyum. Qisha Mirza menelan air liurnya.

“Jadi memang betullah telahan along bahawa dah ada seseorang yang singgah di hati Qisha? Itulah, jangan nak sembunyi dari along sebab Qisha takkan dapat lari punya.” Fariq Hazen masih merenungi Qisha dengan satu pandangan yang cukup tajam.

“Jangan tenung Qisha macam tu boleh tak? Along tahu tak, panahan mata along tu boleh menggerunkan orang yang melihat.” Qisha Mirza benar-benar tidak selesa.

“Kalau Qisha tak selesa lebih baik Qisha berterus-terang dengan along siapa dia? Along nak tahu juga jejaka yang telah berjaya merobohkan tembok kerikil di hati Qisha untuk mencampakkan cintanya ke dalam hati adik along ni.” Fariq Hazen menanti jawapan.

Qisha Mirza sedikit mengeluh kerana dia yakin dia tidak mungkin akan dapat lari dari berterus-terang dengan alongnya itu. Qisha Mirza mula memandang wajah Fariq Hazen. Dia menarik nafasnya dalam-dalam sebelum sebarang bicara terlontar keluar dari bibirnya itu.

“Qisha baru saja kenal dia along. Perkenalan kami terjadi masa Qisha hadiri kursus BI hari tu. Jadi, along tak bolehlah nak harapkan sesuatu sebab Qisha sendiri masih tidak mengenali dirinya. Semuanya masih dalam proses lagi. Qisha tak mahu meletak harapan yang tinggi kerana Qisha cukup takut kalau kecewa yang bertandang dan Qisha akan tercampak ke lembah terluka lagi.” Mata Qisha Mirza berair tatkala meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya itu.

Fariq Hazen memegang erat tangan Qisha Mirza. Dia berharap apa yang dilakukannya akan mengembalikan ketenangan hati adiknya itu. Dia faham benar kalau apa yang kita harapkan tidak menjadi sebagaimana yang kita inginkan. Memang cukup perit. Dia sudah melalui situasi itu sebelum bertemu dengan Isfaten. Memang hampir roboh tembok keimanannya. Namun nasib baik dia beristighfar dan mendekatkan dirinya pada Allah swt. Syukur alhamdulillah dia tidak tersasar dari landasan kehidupan yang sebenarnya.

“Along tak kisah dengan siapa pun Qisha berkawan tetapi Qisha kena janji dengan along yang Qisha akan menjaga diri baik-baik. Kalau benar Qisha telah jatuh cinta pun, jaga batas-batas pergaulan dan jangan sesekali tersasar dek godaan nafsu syaitan. Along akan sentiasa berada di belakang Qisha untuk apa jua situasi pun. Ingat, Qisha bukan bersendirian mengharungi sebarang dugaan yang melanda.” Fariq Hazen menasihati Qisha Mirza.

Qisha Mirza memeluk Fariq Hazen sambil teresak di bahu alongnya itu. Dia benar-benar terharu dengan perhatian yang telah diberikan oleh Fariq Hazen.

“Terima kasih along. Qisha akan sentiasa tanamkan nasihat along di dalam hati Qisha. Terima kasih kerana sentiasa ada untuk Qisha.” Qisha Mirza tidak dapat menahan aliran air yang jernih itu dari terus tumpah.

“Dah jangan menangis. Buruklah. Jom masuk. Dah tengah malam ni. Tak elok kalau terlalu lama kena angin malam.” Fariq Hazen memimpin tangan Qisha Mirza untuk masuk ke dalam rumah mereka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.