Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAKITNYA HATI
Bab 5: Kursus Tamat, Hati Senang

Kesemua peserta kursus sudah bangun menuju ke tempat sarapan. Mata masing-masing bagaikan tidak mahu terbuka tetapi mereka terpaksa menyengkangkannya kerana pembentangan akan dilakukan sebentar lagi. Kalau boleh diletakkan lidi, sudah lama mereka lakukannya. Teruk betul imaginasi masing-masing tetapi imaginasi itu sudah pastilah kepunyaan Qisha Mirza. Di luar alam sungguh.

“Selamat pagi ladies. Saya join sarapan sekali tak apa, kan?” entah dari mana datangnya tiba-tiba sahaja tegur kedua-dua wanita (seorang sahaja wanita dan seorang lagi masih gadis. Hik hik hik) itu.

Qisha Mirza tersentak lalu dia terkaku. Macam-macam perasaan yang bertandang di dalam hati pada waktu itu. Main acilut sembunyi pun ada juga. Sekejap perasaan malu, sekejap perasaan gembira, sekejap perasaan menyampah dan entah apa-apa perasaan lagi yang mengacah di dalam hati Qisha Mirza. Teruk benar bunyinya.

Manakala Nursuzry pula sudah tersengih-sengih bagaikan kerang yang terlebih masak. Suka benar dia melihat rona di wajah Qisha Mirza di kala ini. Bagaikan gadis melayu terakhir pun ada juga. Kontrol ayu sahaja. Ceh! Kononnya hendak jadi wanita idaman setiap lelakilah tu. Bukannya Nursuzry tidak tahu permainan Qisha Mirza. Walaubagaimanapun, dia suka. Inilah saatnya untuk dia mengusik wanita itu.

“Kami tak ada masalah pun kalau awak join. Seronok lagi adalah. Iyalah bagai ditemani putera kayangan pula sarapan pagi ni.” Nursuzry menyusun ayat yang sedap di dalam lubang telinga Fulshan.

Ceh! Melampau betul ayat! Agak-agaklah kalau nak puji pun. Hambur Qisha Mirza di dalam hati. Dia cuba tersenyum tetapi langsung tidak menjadi. Malahan Fulshan ketawa tanpa dapat ditahan-tahan pula.

Kelakar betul dua sahabat ni. Tak sia-sia aku kenal dengan mereka. Fulshan masih ketawa.

Ini kau punya pasallah Suzry. Bukankah dah malu aku? Geram betullah mak budak ni. Mencerlung Qisha Mirza memandang Nursuzry yang berlagak selamba tapir.

“Tinggi betul naikkan darjat saya. Siapa yang beri mandat ni?” Fulshan menyuapkan makanan ke dalam mulut sambil memandang wajah mereka seorang demi seorang.

Nursuzry tidak mampu hendak berkata apa lagi. Manakala Qisha Mirza melantak makanan di dalam pinggannya dengan rakus. Di dalam hati, dia ingin cepat habiskan sarapannya dan terus masuk dewan. Malunya bukan main lagi.

“Saya masuk dewan dulu. Jumpa awak di dalam.” Qisha Mirza terus melangkah dengan laju masuk ke dalam dewan.

“Weh, lipas kudung. Cepat betul kau.” Nursuzry melaung nyaring tetapi dipekakkan telinganya. Malas Qisha Mirza hendak melayani sahabatnya itu. Nanti entah apa-apa mandat pula dikalungkan buat Fulshan.

Sebuah demi sebuah kumpulan mempersembahkan pembentangan mereka. Kebanyakkan kumpulan yang bercerita terlalu hambar dan sering kali mengundang menguap di landasan bibir Qisha Mirza.

Wah! Mengantuknya. Nasib baiklah pegawai botak tu tak perasan aku menguap. Kalau tak, percuma saja aku disindirnya. Kenapalah pembentangan mereka bosan sangat ni. Tak menarik langsung. Qisha Mirza memandang Fulshan yang berada di sebelahnya sambil menjelajah segenap inci wajah jejaka itu. Entah bagaimana, dia menjadi ralit pula bagaikan ada suatu daya tarikan yang menarik matanya menghala ke wajah jejaka itu.

“Seronok tenung muka putera kayangan?” Fulshan mengenyitkan matanya ke arah Qisha Mirza.

Cait! Bila masa pula dia perasan aku tenung dia? Adehlah. Malunya aku tahap tenuk. Rona wajah Qisha Mirza sudah berubah ke warna merah. Namun dia tetap kelihatan menawan.

“Perasan. Saya tengah fikir ni, apa kata kalau kita semua berlakon ketika membentangkan cerita kita? Bosanlah kalau kita juga macam mereka. Mengantuk tau.” Qisha Mirza memberikan cadangannya untuk menutup malu.

Fulshan tersenyum nakal. Tahu dengan permainan Qisha Mirza. Namun, dia tidak mahu memalukan wanita itu dan terus bersetuju dengan apa yang dicadangkan oleh Qisha Mirza. Dalam waktu yang singkat, Fulshan sudah memberikan arahan kepada rakan-rakan sekumpulannya.

Tiba kumpulan Qisha Mirza yang merupakan kumpulan terakhir untuk sesi pembentangan ini, mereka telah melakonkan cerita yang terdapat di dalam gambar yang dilukiskan semalam. Setiap seorang memegang satu watak dan mereka telah melakonkan watak-watak itu dengan pelbagai suara menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium bahasa utama. Kelakar dan cukup menarik persembahan kumpulan terakhir ini. Dari mula sampailah akhir, tidak kering gusi peserta termasuk pegawai yang melihatnya. Alhamdulillah, akhirnya mereka berjaya dalam melaksanakan tugas yang diberi. Tepukan gemuruh diberikan buat kumpulan Qisha Mirza dengan persembahan yang menakjubkan.

“Tahniah untuk kumpulan yang terakhir membuat pembentangan mereka di dalam sesi cerita bergambar. Sepatutnya beginilah bentuk persembahan jika kamu semua hendak menarik minat pelajar cilik kamu untuk menguasai penggunaan Bahasa Inggeris. Saya harap, kamu semua dapat mempelajari sesuatu dari kumpulan yang terakhir ini.” Pegawai itu memberi pujian tinggi menggunung. Kembang kempis lubang hidup setiap peserta yang berada di dalam kumpulan tu. Bangga dan riak jangan cakaplah tetapi mereka tidak menunjukkannya cuma bersorak di dalam hati.

“Sebelum menamatkan kursus pada kali ini, saya ingin mengumumkan sesuatu. Setiap kumpulan yang membuat pembentangan sebentar tadi telah dinilai dari segenap segi dan kumpulan yang berjaya memenangi hadiah misteri ini adalah kumpulan keenam. Dipersilakan kesemua ahlinya naik ke atas untuk menerima hadiah dan juga sesi bergambar kenangan.” Kumpulan Qisha Mirza bersorak riang setelah diumumkan sebagai pemenang oleh pegawai yang berkepala botak tadi. Suka hati mereka tidak terkata. Tidak sia-sia mereka menghiburkan seisi warga di dalam dewan ini kerana apa yang mereka lakukan akhirnya berbaloi-baloi. Alhamdulillah.

Seusai kursus yang diadakan dan sesi bergambar kenangan, Qisha Mirza meluru ke ruang dewan untuk mengisi perut. Laparnya tidak terkata. Buruk benar perangai. Nursuzry hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Ni nombor telefon saya. Jika awak kesunyiankah atau kesepian, bolehlah hubungi saya. Talian saya percuma 24 jam.” Fulshan menghulurkan kad namanya sesudah mereka selesai menjamu selera pada tengah hari itu.

Tersentak Qisha Mirza mendapat respon yang tidak diduga. Amboi! Talian percuma tapi bilnya aku juga yang akan bayar. Banyaklah kau punya songeh. Qisha Mirza menyambut juga huluran kad dari Fulshan walaupun bebelannya bermain di pinggir bibir.

“Terima kasih tapi saya taklah desperate macam tu sekali.” Macamlah aku ni gila jantan. Minta maaflah kalau kau ingat aku macam tu. Mood Qisha Mirza bila-bila sahaja boleh bertukar corak. Memang pening untuk orang baru seperti Fulshan hendak mengikut rentak Qisha Mirza jikalau orang itu tidak mempunyai kesabaran yang tinggi.

“Saya tak cakap pun awak macam tu. Cuma saya suka berbual dengan awak. Oh ya, ini ID Whatssapp saya dan juga forum yang selalu saya lepak. Kalau awak ada masa lapang nanti, bolehlah awak join saya dalam laman-laman sosial ni.” Fulshan masih tidak berputus asa dengan sikap dingin Qisha Mirza. Dia yakin wanita ini tidaklah sekeras mana pun tetapi kena ada caranya untuk menawan hatinya. Jika tidak, memang gigit jarilah jawabnya.

“Hmm ... tengoklah kalau saya rajin online. Saya nak berkemas ni. Semoga berjumpa lagi.” Qisha Mirza terus memantaskan langkah ke biliknya. Nursuzry yang melihat dari jauh hanya tersenyum kecil.

Tak berubah juga perangai gila si Qisha ni. Suka-suka hati saja nak bertukar angin. Nursuzry mengikut jejak Qisha Mirza sehingga ke dalam bilik hotel mereka.

“Amboi, seronok ya dapat contact dari Fulshan? Eh, kau tak beri nombor telefon kaukah pada dia?” Nursuzry berbual kosong.

“Dah. Kami tukar-tukar kad tadi. Seronok gila aku bila dia tunjuk minat kat aku. Ada canlah nak berdating semula.” Qisha Mirza menayang sikap ala gedik lagi gatai.

“Woi! Dia mula dah tunjuk sikap miang ala gatai.” Nursuzry mencebik.

“Ha ha ha ... suka hati akulah. Jom balik. Aku penat ni.” Qisha Mirza terus menjinjing beg pakaiannya ke kereta sebelum memecut kenderaan pacuan empat roda itu ke destinasi yang terlekat di kepalanya. Rindu benar pada umi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.