Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
384,214
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 4

HARI Khamis, Juita terpaksa menghadiri mesyuarat bersama klien di pejabat mereka di Bandar Raya Melaka. Dia terpaksa menghadirkan diri bagi menggantikan Syifa yang ada kecemasan.

Sahabatnya itu balik Seremban kerana ibunya masuk hospital. Seperti biasa, Izuddin yang akan membawa Juita ke sana. Mujur Sharmini, setiausaha Syifa akan menemaninya menghadiri mesyuarat itu. Kalau tidak, mahu mati kutu Juita duduk dalam mesyuarat itu.

“Mesyuarat hari ini pasal apa, Sham?” Sebaik masuk dalam kereta, Juita terus bertanya kepada Sharmini.

Dia memang tidak tahu langsung pasal projek di Melaka ini. Selama ini, memang Syifa sahaja yang menguruskan semua perkara berkaitan projek tersebut. Lagipun projek itu baru di peringkat perbincangan dan belum tentu lagi mereka akan dapat.

“Syifa tak sempat beritahu apa-apa ke?” soal Sharmini pula. Dia mati-mati ingat Syifa sudah berbincang dengan Juita pasal projek ini.

“Saya yang tak tanya. Takkanlah dalam keadaan dia risau pasal ibu dia, saya sibuk nak tanya pasal mesyuarat pulak, kan?” Apa yang Juita tahu, mesyuarat bermula pukul 10.30 pagi. Pukul 7.00 pagi tadi dia dan Sharmini memang sudah sampai di pejabat. Cuma Izuddin yang sedikit terlewat kerana terlambat bangun.

“Macam mana nak cakap, ya? Dalam mesyuarat nanti bos kena buat keputusan dan beri jawapan pasal projek ni. Bos jangan risaulah, Syifa dah pernah bincang dengan saya pasal isu ini,” jelas Sharmini mengurangkan kerisauan bosnya.

“Keputusan apa yang kita kena beri? Saya dahlah tak ada maklumat sangat pasal projek ni,” soal Juita pula.

“Sebelum saya beritahu, ini minit mesyuarat yang lalu. Bos baca dulu, mana yang bos tak faham nanti saya terangkan.” Sharmini mengeluarkan minit mesyuarat dari beg kerjanya lalu diserahkan ke tangan Juita.

“Aduhai Sham… saya boleh pening kalau baca dalam kereta. Awak terus cerita ajelah kat saya,” pinta Juita. Kalau tidak pening pun, Juita memang malas hendak meneliti minit mesyuarat itu.

“Nombor satu, saya nak beritahu yang Datuk Malik ni memang kerek sikit orangnya. Kalau ada perubahan yang dia nak buat, memang kena cepatlah tindakan perlu diambil,” terang Sharmini.

“Dah tahu macam tu, buat apa kita berurusan dengan Datuk ni? Sudahlah jauh, satu hal pulak kita nak pantau,” potong Juita pula.

Sharmini tersenyum. “Tak apa bos. Walaupun Datuk Malik ni kerek, tapi kalau pasal duit, dia tak berkira dan tak pernah bertangguh buat bayaran,” beritahu Sharmini. Itu juga yang buat Syifa berminat dengan projek ini.

“Okey…” balas Juita.

“Cuma ada satu masalah,” beritahu Sharmini.

“Apa masalahnya?” tanya Juita sambil menoleh memandang Sharmini.

“Masalahnya, ada bahagian tertentu kita tak ada kepakaran,” beritahu Sharmini.

“Kita boleh aje minta tolong syarikat lain dan sub bahagian tu kat dia orang,” saran Juita. Bukan syarikat dia tidak biasa bekerjasama dengan syarikat lain dalam menangani bahagian projek yang bukan kepakaran mereka.

Sebelum ini, sekiranya dalam satu masa tiba-tiba ada banyak projek masuk, Juita juga tidak tamak makan sorang-sorang. Malah dia akan beri kepada rakan syarikat lain yang tidak mempunyai sebarang projek.

Namun, tentu sahaja ada syarat-syaratnya. Apa yang penting, dia mahu mendedahkan staf baru dengan projek sebegini untuk menambah pengalaman mereka. Dalam bisnes memang kena pandai merebut peluang.

“Tak semudah itu, bos. Biasanya macam-macam syarat yang Datuk ni kenakan kalau kita nak jugak projek ni,” terang Sharmini.

“Kalau dah macam tu, buat apa Syifa nak pening kepala dengan projek ni? Banyak ke untungnya kalau kita dapat dan setuju buat projek ni?” soal Juita.

“Sebab banyaklah Syifa nak buat jugak projek ni. Kalau kita berjaya buat projek ni dengan lancar, peluang dapat projek lain pada masa akan datang memang cerah,” beritahu Sharmini.

“Tapi tak ada pulak Syifa cerita dengan saya pasal hal ini,” Tiba-tiba Juita berasa lain pula.

“La… dah bos tak berminat sangat, sebab itu dia tak cerita lebih-lebih.”

“Kut ya pun, takkan dia tak sempat beritahu saya langsung?” soal Juita.

Syifa yang dia kenal memang tidak pernah begini. Kalau tidak sempat cakap di pejabat, di rumah mereka masih boleh bersemuka. Pendek kata, semasa tidur dan dalam mimpi sahaja masing-masing buat hal sendiri!

“Perbincangan pasal projek ni pun masih di peringkat awal. Syifa memang tengah buat strategy paper pasal projek ni. Tak sangka pulak klien panggil mesyuarat seawal ni,” terang Sharmini agar Juita tidak salah faham.

“Oo… Okey!” Juita menarik nafas.

“Dalam mesyuarat nanti, kita dengar dulu apa yang Datuk Malik nak cakap. Kalau ada benda yang saya rasa Syifa takkan setuju, saya akan beritahu bos. Tapi rasanya, bos sendiri akan beri komen sebab otak bos memang sepesen dengan Syifa pun!” Sharmini sudah tersenyum.

“Pandai awak nak buat lawak bodoh, ya? Nanti saya tak nak beri bonus hujung tahun ni, baru padan muka!” Sengaja Juita berkata begitu.

“Janganlah macam tu, bos. Saya penat-penat study dengan Syifa pasal projek ni. Kalau tak bagi syarikat profit juta-juta, tak adanya kita orang nak buang masa.” Cepat sahaja Sharmini mahu membela dirinya.

“Saya gurau ajelah! Kau orang berdua, kan orang kanan saya? Takkan saya nak ketepikan?” Juita sudah tersenyum melihat reaksi Sharmini.

“Lega saya mendengarnya,” ucap Sharmini. Dia memang sudah berangan hendak melancong dan membeli-belah di New Delhi setelah dapat bonus nanti.

“Ada apa-apa lagi yang awak nak beritahu saya?” tanya Juita.

“Hmm… cuma bos kena tahan sikit dengan Datuk Malik ni. Dia bukan sahaja kerek, dia punya miang kalah miang buluh!” sebut Sharmini.

“Apa awak cakap? Datuk ni gatal macam miang buluh?” ulang Juita seakan tidak percaya.

“Saya memang risau kalau dia terberkenan dengan bos.” Mata Sharmini sampai mengecil sebab kena beritahu juga perangai kurang elok Datuk Malik. Sudahlah bosnya cantik molek orangnya, sesiapa yang terpandang mesti mahu pandang lagi dan lagi!

“Awak janganlah nak buat saya rasa cuak pulak. Saya dahlah pantang berurusan dengan klien yang macam ni,” rungut Juita. Ini yang buat dia berasa seram sejuk.

“Tapi tak apa bos, Izuddin ada untuk jadi bodyguard bos. Dia anytime aje boleh menyamar jadi sesiapa pun, kan Iz?” Terus Sharmini memukul bahu Izuddin dengan dokumen di tangan.

“Jue punya pasal, Iz okey aje,” balas Izuddin dengan selamba bagai Juita kawannya sahaja.

Dia memang tidak pernah memanggil Juita dengan panggilan bos. Lagipun Juita ada sebab tersendiri tidak mahu Izuddin memanggilnya begitu. Cuma Sharmini yang kadang-kadang memanggil Juita dengan panggilan bos, tetapi ketika tiada orang lain. Biasanya dia panggil Jue sahaja, tengok situasi juga nanti pecah pula rahsia bosnya.

“Kalau Datuk Malik tu sudah ada tanda-tanda nak menggatal, kau terus jadi tunang Jue tau.” Sharmini mengingatkan Izuddin.

“Menyamar jadi suami Jue pun Iz tak kisah,” balas Izuddin pula tanpa berasa segan.

“Korang berdua jangan nak berangan lebih-lebih, ya? Mentang-mentang saya selalu bagi muka kat korang, tak bermakna saya selalu akan setuju dengan apa yang korang nak buat,” tegur Juita pula. Sesekali dia mahu bertegas juga walau kebiasaannya dia tidak berlebih dengan staf sendiri.

“Ya, Cik Juita…” Serentak Sharmini dan Izuddin bersuara.

Di pejabat, siapa Juita yang sebenarnya hanya diketahui beberapa staf senior dan orang kepercayaan Juita sahaja. Pejabat Juita yang berasingan dengan pejabat pengurusan dan operasi syarikat menyebabkan staf yang lain tidak tahu pasal hal itu.

Kebanyakan staf juga beranggapan Juita adalah pembantu peribadi Syifa kerana dia selalu masuk ke bilik Syifa. Tidak tahu, dari bilik Syifa ada laluan khas menuju ke pejabat Juita pula!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.