Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
342,970
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 8

“SERONOK balik kampung?” tanya Syifa ketika Juita meletakkan beg pakaiannya.

Juita baharu sahaja sampai setelah penat mengharungi kesesakan ketika memasuki tol Jalan Duta. “Tak payah jawab, kau pun dah tahu jawapannya. Ibu kau dah sihat?” soalnya pula sambil menghenyakkan diri di sofa.

“Sehari aje ibu aku kat hospital, sekarang dah ada kat rumah. Memang aku rasa lega sangat,” beritahu Syifa.

Semasa menerima panggilan daripada papanya, memang dia berasa risau sangat. Ibunya memang ada sakit darah tinggi dan jantung juga. Apabila ibunya ditahan di wad, memang dia berasa cemas sungguh. Kelam-kabut dia balik ke Seremban.

“Alhamdulillah…” ucap Juita sambil meraup wajahnya.

“Kau ni dah kenapa? Ni mesti kat kampung kena marah dan kena perli lagi, kan?” duga Syifa.

“Biasalah tu.” Juita menjawab malas. Tidak perlu beritahu, sahabatnya memang boleh meneka dengan tepat.

“Bagaimana kau boleh sabar dengan Abang Ridwan tu?” soal Syifa. Bukan dia mahu menyibuk, tetapi dia turut berasa menyampah apabila sahabatnya itu asyik memendam rasa dan terluka.

Andai dirinya, dia memang akan lawan balik. Tidak rela dimarah dan disindir hanya kerana hal yang baginya remeh-temeh. Nasiblah Abang Ridwan tidak tahu lagi siapa adik dia yang sebenarnya. Begitupun, Syifa tertanya-tanya juga kenapa sahabatnya itu masih tidak mahu berterus terang tentang dirinya.

“Tipulah kalau aku tak marah dan geram langsung. Tapi dia tetap abang aku,” balas Juita dengan senyuman pahit. Hubungan itu tetap terjalin sampai bila-bila walau apa pun terjadi.

“Kalau aku, sekali dia kutuk atau jerit kat aku, berkali-kali aku jerit balik,” ujar Syifa dengan gayanya sekali. Memang gaya orang yang menyampah sungguh!

Juita hanya mencebik mendengarnya. Ada sahaja jawapan sahabatnya itu.

“Eh, kau ni! Buat tak reti pulak bila aku bercakap!” tegur Syifa.

“Bila hati tengah marah, hati kita memang berjauhan dengan orang yang kita sedang marah. Biasalah terjerit-jerit kononnya perlukan suara yang kuat untuk berhubung. Masalahnya, makin kita menjerit makin berjauhan. Sebab itu aku tak nak balas apa-apa,” terang Juita.

Sebab itu juga dia selalu memilih untuk tidak melawan. Tidak mahu hubungan yang keruh bertambah parah. Hati memang sakit, tetapi terpaksa pendam sahajalah.

“Kau tulah, asyik nak beralah aje!” sungut Syifa sambil mengemas majalah yang dia baca tadi.

“Kalau terjadi sesuatu kat abah aku, Abang Ridwan jugak yang aku kena cari. Kalau dah putus hubungan dan asyik bercakaran, susahlah aku kalau nak kahwin nanti. Dibuatnya dia tak mahu jadi wali aku, siapa nak tolong?” soal Juita walaupun ia bukanlah sebab utama dia terpaksa beralah.

“Itu aku faham, tapi tak payahlah asyik bagi muka kat abang kau tu. Nanti selamanya dia berperangai macam tu,” nasihat Syifa.

“Aku selalu ingat pesanan umi aku, biarlah abang aku tu nak kata apa pun. Dia mesti ada sebab yang kita tak tahu.” Begitulah juga Juita selalu memujuk hatinya walaupun adakalanya dia berasa geram sungguh.

“Suka hati kaulah. Aku cuma tak nak kau memendam rasa. Sekali dah meletup, dengan aku sekali kena tempiasnya,” ujar Syifa.

“Hish kau ni… kalau aku marah atau geramkan seseorang, aku takkan libatkan orang lain. Memang kadang-kadang aku emosi jugak, tapi tak pernahlah nak marahkan orang lain yang tak kena-mengena,” sangkal Juita. “Aku masuk bilik dululah,” sambung Juita kemudiannya. Dia mahu berehat di bilik sahaja.

“Yalah,” balas Syifa sambil memandang Juita mengangkat beg pakaiannya. ‘Juita, Juita…’ keluhnya.

LAGU Ketulusan Hati nyanyian Anuar Zain dimainkan lagi entah untuk kali yang ke berapa. Tidak jemu-jemu Juita mendengarnya saban hari. Dalam kereta, di pejabat malah nada dering telefon dia juga adalah lagu yang sama.

“Kau ni… tak habis-habis dengan lagu tu. Aku pun minat jugak dengan lelaki pujaan Malaya ni, tapi tak adalah sampai hari-hari kena dengar lagu dia.” Syifa sudah membebel. Mahu pening kepala dia asyik mendengar lagu yang sama.

“Mana ada hari-hari aku dengar lagu ni aje?” Juita segera menafikan.

“Tolong sikit ya? Aku ni duduk satu rumah dengan kau. Lepas tu satu pejabat pulak. Masuk aje dalam kereta, lagu tu jugak yang kau ulang-ulang.”

“Ya ke? Tak perasan pulak aku.” Juita sudah tertawa melihat wajah Syifa.

“Kau memang sengaja, kan?” Syifa sudah membaling kusyen kecil ke arah Juita.

“Apalah kau ni, Itu pun nak marah!” balas Juita yang sempat mengelak.

“Kau rasalah kan, apasal Anuar Zain tak kahwin-kahwin sampai sekarang?” Tiba-tiba, mahu pula Syifa berborak pasal penyanyi pujaan Juita.

“Entahlah. Aku rasa, kalau kau tanya dia sekalipun memang takkan ada jawapan. Paling-paling dia akan sebut tak adakomen.” Juita memang sudah dapat membayangkannya.

“Kau pulak, apasal tak kahwin lagi?” soal Syifa. Apa yang dia tahu, si Juita ini susah benar hendak jatuh cinta. Namun, mudah sekali menyukai orang yang baharu ditemuinya. Janji orang itu tidak kerek atau poyo, memang boleh dia buat kawan.

“Aku tunggu Anuar Zain pinang aku!” Juita ketawa lagi. Kali ini lagi kuat pula. Mujur tiada orang tua yang tinggal bersama mereka. Kalau tidak, memang kena sekeh kepala!

“Habis tu, mamat handsome macam mana?”

“Buat sementara ni biarlah aku lupakan dia sekejap. Ni si Ben, bilalah aku nak jumpa dia?”

“Ben Ben Ben… dia pun kau kena lupakan sekejap. Kau tak nak ke raikan kejayaan kau? Sekali-sekala kena sambut dan beri penghargaan pada kejayaan diri sendiri. Ada rezeki, tak ke manalah Ben kau tu. Itu pun kalau umur dia panjanglah.” Syifa juga sudah kehabisan cara hendak menolong Juita mencari Benjamin.

“Hish! Kau janganlah cakap macam tu. Orang yang baik selalunya panjang umur.”

“Agaknya berapa umur Ben sekarang ni?” Tiba-tiba Syifa ingin tahu pula.

“Enam puluh kut. Aku pun tak pernah tanya umur dia, tapi memang baya abah aku jugaklah.” Juita mencongak sendiri.

“Maknanya anak dia pun baya-baya kita jugaklah, kan?” soal Syifa.

“Itu aku tak tahulah. Yang pasti anak dia memang lelaki, cuma aku tak tahu siapa nama dia,” jawab Juita. Sepanjang dia mengenali Benjamin, lelaki itu memang jarang bercerita pasal keluarganya.

“Inspektor kita pun dah perlahan buat kerja, kau ada suruh dia buat kerja lain ke, Jue?” soal Syifa pula.

“Tak suruh dia buat apa pun. Cuma minta tolong dia tengokkan staf yang baru masuk tu,” beritahu Juita.

“Aku pun tak faham dengan si Iz tu. Ada kelulusan, tapi nak jugak jadi pemandu dan pengawal peribadi kau,” sebut Syifa sambil mengenangkan si Izuddin yang sudah bertahun bekerja dengan Juita. Orangnya boleh tahan segak juga. Apabila memandu BMW X6, lagilah bertambah bergaya.

“Wei biarlah dia jaga aku, bukan senang nak dapat orang yang nak kerja dengan kita yang macam-macam kerenah ni,” ujar Juita pula. Lagipun bukan mudah hendak mendapat staf yang setia dan boleh dipercayai.

“Sedar pun kau. Tapi takkanlah selamanya dia nak kerja macam tu?”

“Selepas aku berjumpa Ben atau anak dia, aku boleh aje tukar Iz ke jabatan lain kalau dia naklah,” beritahu Juita. Sebenarnya dia juga merasakan Izuddin patut memegang jawatan yang lebih baik. Apabila yang empunya diri lebih suka jadi pemandu, sebab itu juga dia tidak fikir sangat tentangnya.

“Okeylah, aku rasa nak mandi lagilah. Hari ni rasa panas semacam pulak.”

“Hmm… suka hatilah.” Juita memandang Syifa yang sudah bangun menuju ke biliknya.


JUITA termenung sendiri. Lima tahun telah berlalu dengan pantas sekali. Dia memang berbangga dengan pencapaian diri sendiri. Kejayaan yang datang bukannya dengan usaha yang sedikit. Malah terpaksa mengenepikan segalanya hanya untuk memastikan syarikat yang diterajui mencapai matlamatnya.

Alangkah bagusnya andai dia dapat berkongsi kejayaan ini dengan Benjamin? Bagi diri Juita, orang yang berjaya pada hakikat sebenarnya bukanlah dirinya. Sebaliknya, orang itu adalah Benjamin. lelaki yang telah berjaya merubah dirinya. Lelaki yang telah mencurah segala pengalaman yang ada untuk dia memajukan diri dan syarikat.

Di manakah lelaki ini? Puas dia mencari, puas juga dia merisik sana-sani. Namun, lelaki itu langsung tidak dapat dikesan langsung. Juita teringin sungguh berjumpa dengannya, tetapi dia masih belum ada rezeki.

Ketika ini, tidak tahu sama ada Benjamin sihat atau tidak. Semoga lelaki yang baik hati itu masih ada di muka bumi ini. Itulah harapan Juita. Dia selalu berdoa agar satu hari nanti dia akan dipertemukan dengan lelaki yang telah banyak mengajarnya tentang dunia bisnes.

Sejak akhir-akhir ini, memang wajah bosnya yang sentiasa bermain di mata. Dia ingin kembalikan sesuatu yang bukan milikinya. Walaupun ada hitam putih menyatakan syarikat ini miliknya seratus peratus, Juita tidak mahu jadi orang yang tamak dan lupakan pada yang lebih berhak.

Andai tiada rezeki berjumpa dengan Benjamin, dia amat berharap dapat bertemu dengan anaknya pula. Walaupun mereka tidak pernah bersua muka, pasti ada sesuatu yang boleh meyakinkannya bahawa dia adalah anak Benjamin. Orang yang sepatutnya menjadi pewaris syarikat ini.

Walaupun dirinya adalah pemilik Fabulous General Contractor Sdn Bhd, namun dia selesa menjadi Juita yang berkawan dengan semua orang. Biar mereka tidak tahu status dirinya. Biar mereka tidak kenal dialah yang sain cek gaji mereka. Status sebenar dirinya hanya staf tertentu sahaja yang tahu. Dan mereka sentiasa menjaga kepercayaan yang telah Juita berikan sejak dari mula lagi.

Juita suka hidup begini, bukan bermakna dia menolak rezeki. Tetapi lebih kepada tidak sampai hati menerima hadiah yang bukan sepatutnya untuk dia miliki. Dia mahu jadi bos yang biasa-biasa sahaja. Namun memberi seribu makna kepada kehidupan insan-insan yang bernaung di bawah syarikatnya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.