Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
342,968
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 23

AKHIRNYA Juita bersetuju juga untuk menerima pelawaan Jeffrey untuk berjumpa dengannya. Walaupun berat hati, dia gagahkan juga.

Lagipun dia memang perlu bersemuka dengannya bagi menyelesaikan masalah yang melanda mereka berdua. Juita sudah beritahu dirinya agar jangan cepat beralah. Apa pun yang Jeffrey hendak cakap, jangan mudah terpedaya. Kalau boleh jangan beri muka langsung.

Lelaki ini kena diajar sikit. Dia ingat kaum perempuan ini mudah dipermain-mainkan? Dia silap oranglah andai mahu mengenakan dirinya. Juita berbicara sendiri walau tidak pasti lagi apa tujuan sebenar Jeffrey beria-ia mahu berjumpa dengannya.

Lelaki itu siap SMS kononnya urusan hidup dan mati. Dia pula mahu tidak mahu kena juga bersetuju. Hendak tengok juga sejauh mana keikhlasan lelaki itu. Selepas itu dia akan main tarik tali dengannya. Biar dia terseksa dan merana. Andai dapat kenakan lelaki itu, barulah dia berasa puas.

MENGHAMPIRI pukul 12.00 tengah hari, Juita sampai di tempat yang dijanjikan. Mujur dia mudah sahaja mendapat tempat parkir. Begitupun, dia kena menapak juga menuju ke restoran pilihan Jeffrey itu.

Dari jauh Juita sudah nampak kelibat Jeffrey. Nampaknya lelaki itu telah tiba lebih awal kerana air minumannya sudah tinggal separuh sahaja.

“Maaf, buat awak tertunggu pulak,” ucap Juita dan terus menarik kerusi lalu duduk.

Ketika ini masih tidak ramai pelanggan yang mengunjungi restoran ini. Juita berasa lega kerana Jeffrey memilih untuk berjumpa di restoran yang ada ruang berhawa dingin. Tidaklah dia kepanasan dengan masalah yang mereka hadapi.

“Terima kasih kerana sudi datang. Awak nak minum apa?” Jeffrey berbahasa menyambut ketibaan Juita walaupun wajah gadis itu jelas tidak ceria langsung.

“Teh ais, please.”

Tanpa berlengah, Jeffrey terus memesan kepada pelayan restoran yang kebetulan sedang mengelap meja sebelah.

“Nak makan apa-apa tak?” soal Jeffrey lagi. Sehabis boleh dia mahu melayan Juita dengan baik.

Juita hanya menggeleng. Dia masih kenyang dan andai dia lapar sekalipun, dia tidak akan sesekali makan bersama lelaki itu.

“Okeylah, kita minum aje,” balas Jeffrey.

“Apa yang mustahak sangat sampai awak nak berjumpa dengan saya?” Terus sahaja Juita bertanya, malas mahu menunggu Jeffrey memulakan bicara.

“Pasal kitalah.” Perlahan sahaja jawapan itu diberi. Tangannya mengacau teh ais dengan penyedut minuman. Ais yang mencair telah merubah rasa teh aisnya menjadi sedikit tawar.

“Rasanya antara kita memang tak ada apa-apa, kan?” Juita sengaja berkata begitu. Matanya sengaja melihat keadaan sekitar restoran.

“Pada awalnya memang tak ada apa-apa, tapi tidak sekarang,” balas Jeffrey.

Seketika dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian mengusap rambutnya pula. Cuba membuang kerisauan yang melanda. Padahal ianya bukanlah satu masalah yang besar sangat pun. Hanya soal hati dan perasaan, namun dirasakan amat berat untuk dilafazkan.

“Apa maksud awak?” Juita sedikit terkejut dengan bicara lelaki di hadapannya ini.

“Saya rasa saya patut berterus terang aje,” ujar Jeffrey kemudian menyisip air minumannya. Sengaja mahu melambat-lambatkan perbualan.

“Cakap ajelah. Buat apa nak belok-belok?” balas Juita. Tiba-tiba dia berasa mahu tahu sangat apa yang ingin Jeffrey sampaikan.

“Boleh tak kita lupakan saja pasal hal tempoh hari?” soal Jeffrey sambil angkat kening. Wajah Juita ditatap tanpa berkelip.

“Senangnya awak cakap. Awak dah sakitkan hati saya, lepas tu suruh lupakan aje?” tempelak Juita tetapi dengan suara yang perlahan. Tidak mahu pelanggan yang lain terdengar butir bicara mereka.

“Saya tak ada niat pun nak sakitkan hati awak. Sebenarnya…” Bicara Jeffrey terhenti.

“Sebenarnya apa?” potong Juita. Matanya sudah menjeling Jeffrey.

“Saya rasa saya dah jatuh cinta dengan awak.” Akhirnya kata-kata itu terucap jua. Jeffrey berasa amat lega dapat melafazkannya.

Juita menghela nafas kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Namun dia berasa semput sebab cuba menahan diri dari pengsan dengan pengakuan Jeffrey. ‘Huwa… jangan cepat tergoda dengan bicara manisnya,’ bisik hatinya.

“Saya sebenarnya ikhlas dengan apa yang saya cakap. Saya memang mahu mengambil awak sebagai isteri saya,” ucap Jeffrey dengan perasaan berdebar-debar.

Dia sebenarnya amat risau dengan reaksi Juita. Diam menanda suka atau tidak berasa apa-apa langsung? Wajah Juita amat serius sebaik mendengar pengakuannya tadi.

Kini Juita memandang Jeffrey dengan pandangan keliru. Benarkah dengan apa yang lelaki itu ucapkan? Atau sekadar mahu mengambil hatinya? Sukar untuk dia percaya kata-kata Jeffrey. Takkanlah hati boleh berubah-ubah dalam sekelip mata? Sekejap tak rasa apa-apa, sekejap sudah ada cinta dan mahu berkahwin pula?

“Awak?” panggil Jeffrey apabila Juita masih membisu dan bagai terpaku pula.

“Senangnya awak jatuh cinta? Hari itu cakap lain, sekarang lain pulak,” soal Juita sedikit beremosi.

“Saya pun tak tahu bagaimana hendak menerangkannya. Kalau rasa itu sudah ada di hati, takkan saya mahu menidakkannya?”

“Atau awak sengaja mencari alasan untuk kenakan saya lagi? Minta maaf kemudian kata dah jatuh cinta. Lepas itu menghilang dan sakitkan hati saya lagi?” soal Juita dengan muka tegang. Memang muka orang yang sedang menahan rasa geram. Geramkah dia atau terkejut dengan pengakuan lelaki ini? Kini hatinya telah berasa lain. Lebih tepat berasa cuak sebenarnya!

“Kenapa awak menuduh saya begitu? Saya benar-benar ikhlas dengan awak. Dan saya mahu teruskan dengan hubungan yang halal,” jelas Jeffrey.

“Hubungan halal? Apa maksud awak?” soal Juita walaupun dia mengerti apa yang cuba Jeffrey sampaikan. Dia bukanlah budak belasan tahun yang tidak faham hukum berpacaran. Namun, adakah abang tongsan ini benar-benar memahaminya?

“Macam yang saya cakap tadi, saya mahu awak jadi isteri saya,” beritahu Jeffrey. Matanya masih memandang Juita yang sudah gelisah.

“Kalau saya tak nak?” Sengaja Juita mahu menduga Jeffrey. Selebihnya mahu tahu juga sejauh mana kesungguhan lelaki ini mahu memikatnya.

“Janganlah macam tu. Kalau saya tak ikhlas, saya takkan berterus terang begini,” rayu Jeffrey.

“Suka hati sayalah nak buat apa pun. Awak tak ada hak nak paksa saya untuk terima awak,” tegas Juita.

Jeffrey melepaskan keluhan dan terus senyap. Cuba mencari ayat yang sesuai untuk memujuk Juita. Dia tidak boleh melepaskan Juita begitu sahaja sebab dia memang sudah benar-benar sukakan gadis ini. Pada masa yang sama dia tidak mahu membuang masa bercinta ke hulu ke hilir. Dia mahu terus ikat Juita dengan ikatan yang sah.

“Kalau macam tu, saya nak jumpa ayah awak,” sebut Jeffrey dengan serius.

Juita hampir tersedak walaupun tiada apa-apa yang masuk ke mulutnya. Segera dia menyisip teh aisnya.

Hening seketika antara mereka. Jeffrey masih menunggu kata balas daripada Juita. Sebaliknya Juita tidak ada jawapan untuk diberikan.

“Apakah cinta saya tidak berharga?” soal Jeffrey apabila sudah panas punggung menunggu Juita membuka mulut.

Membulat mata Juita sebaik mendengarnya.‘Wow! Boleh tahan juga soalan cepumas lelaki ini,’ bisik hatinya.

“Apakah cinta saya tak ada nilai langsung di mata awak?” Jeffrey mengulangi soalan yang sama dengan tambahan ayat yang bisa meruntun jiwa.

“Buat apa nak tanya soalan macam tu? Saya tak boleh nak jawab sebab saya bukan peniaga cinta!” balas Juita. Huh! Mujur dia alasan untuk diberikan.

“Terimalah saya, please...” pinta Jeffrey dengan bersungguh-sungguh.

“Terima awak? Jangan harap!” Sinis sekali kata-kata Juita. Mahu tahu juga reaksi Jeffrey. Adakah lelaki ini masih merayu atau akan terus mengalah.

“Janganlah buat saya macam ni. Saya serius dengan kata-kata saya,” rayu Jeffrey lagi.

“Lantak awaklah! Buat apa saya nak ambil kisah?” Juita memang buat tak endah sahaja.

“Kalau macam tu, apa kata kita mulakan dengan berkawan dulu,” Jeffrey masih menaruh harapan.

“Dah, jangan nak buang masa. Saya tak nak berkawan dengan awak,” tegas Juita dengan wajah serius. Dia melontar pandangannya ke arah lain. Malas mahu bertentang mata dengan Jeffrey.

“Bagilah peluang kepada saya. Apa salahnya kita mencuba? Mana tahu kita sebenarnya ada jodoh.” Jeffrey masih tidak mahu mengalah.

“Kalau niat asal awak dah tak betul, sampai bila pun ia takkan betul,” tegas Juita.

“Sebab itu saya nak betulkan dan mahu menjalinkan persahabatan dengan awak,” ujar Jeffrey. Andai Juita ada sahaja hujahnya, dia juga kena pandai mengatasinya.

“Saya tak perlukan sahabat mahupun kawan lelaki. Tak faham lagi?” marah Juita.

“Tapi saya tetap nak berkawan dengan awak!” sebut Jeffrey.

“Awak berkawanlah sorang-sorang! Saya tak ada masa nak layan orang macam awak ni,” balas Juita.

“Awak, janganlah buat saya macam ni…” Sekelip mata suara Jeffrey berubah nada. Kali ini dia merayu dengan muka kasihan pula.

Tiba-tiba ada sesuatu yang mengusik hati Juita. Dia tidak menyangka Jeffrey akan merayu begini. Tadi, sangkanya Jeffrey akan mengalah, rupanya tidak juga. Sebaliknya ada perasaan lain yang hadir di hati Juita, namun dia tidak mahu mengendahkannya. Tanpa membuang masa, Juita bingkas bangun dan terus beredar.

Jeffrey hanya memerhati langkah Juita tanpa berkata apa-apa. Tiba-tiba dia kehabisan bicara untuk merayu dan menghalang gadis itu. Juita memang berhak untuk marah dan buat apa sahaja. Tetapi, kenapa dia terlalu mudah menyerah kalah?


JEFFREY sudah buntu dengan masalah yang dihadapinya. Saban malam dia tidak lena tidur memikirkan cara terbaik untuk mengambil hati Juita. Dia sudah cuba memujuk, namun gadis itu tidak mempedulikan perasaan hati yang telah diluahkan. Itu yang buat dia tidak menentu.

Jujurnya dia tidak sanggup kehilangan gadis itu. Setiap hari hanya wajah Juita yang bermain di fikirannya. Ke mana sahaja dia pergi, bayang-bayang gadis itu sentiasa mengekorinya.

“Korang tolonglah aku.” Sekali lagi Jeffrey tebalkan muka meminta pertolongan daripada Shahrul dan Azman.

“Kau ingat nak mendapatkan cinta semudah mendapat projek ke? Nak dapat projek pun kena melalui berbagai prosedur baru lulus. Inikan pulak nak merebut cinta seorang perempuan!” tegur Shahrul.

Tadi, mati-mati Shahrul ingatkan Jeffrey memanggil dia dan Azman untuk berbincang pasal projek terbaru. Rupanya pasal projek hati dia pula! Memang parah apabila pertama kali jatuh cinta dan tidak pandai memikat. Bertambah kasihan apabila tidak dilayan pula.

“Korang dah ada pengalaman, mesti dah tahu apa nak buat untuk pujuk orang perempuan ni.” Jeffrey masih tidak berputus asa untuk mencari jalan penyelesaian.

“Hati orang perempuan ni lain sikit. Sekali dia terluka, memang payah nak sembuh,” sampuk Azman pula. Naik kasihan pula dia melihat Jeffrey yang tidak berapa betul sejak akhir-akhir ini. Semua gara-gara idea gila dia dan Shahrul yang sengaja mencabarnya.

“Aku mana ada lukakan hati Juita?” sangkal Jeffrey pula.

“Itu kata kau. Yang kau tipu dia, bukan buat dia terluka ke?” tekan Shahrul pula.

“Macam nilah, kau relaks seminggu dan jangan kacau dia. Tengok apa reaksi dia,” cadang Azman pula.

“Kalau dia buat tak reti, macam mana?” soal Jeffrey.

“Kalau dah pujuk-pujuk tak jalan jugak, kau bawak lari aje si Juita tu!” gurau Azman dan terus tergelak.

“Kau jangan nak ikut pulak idea tak betul Azman tu,” nasihat Shahrul pula.

“Peninglah aku kalau macam ni. Seorang kata begini, seorang lagi kata begitu,” sungut Jeffrey.

“Aku cuma beri kau idea aje, kau cubalah ubah suai supaya Juita ni terpaksa jugak terima kau,” sebut Azman. Memang dia main-main sahaja dengan idea kurang bijak itu. Tetapi, tetap boleh diguna pakai kalau tahu caranya.

“Relaks la Jeff… baru sekali kau ditolak, janganlah cepat kecewa.” Shahrul cuba memberi kata semangat.

“Hmm…”

“Maaflah, kejap lagi aku ada mesyuarat dengan klien. Aku pergi dulu,” beritahu Azman dan terus beredar.

“Kau pun ada mesyuarat jugak ke?” Jeffrey menoleh ke arah Shahrul pula.

“Aku pun nak minta maaf jugaklah sebab tak dapat nak bagi idea kat kau. Anyway, kejar dia sampai dapat dan jangan berputus asa,” ucap Shahrul.

“Yalah,” balas Jeffrey sambil memandang Shahrul yang bangun meninggalkannya.

Kini Jeffrey sambung termenung. Dokumen dan laporan yang ada di atas mejanya dipandang sepi. Semua itu boleh sahaja ditolak ke tepi buat sementara waktu. Dia kena fikirkan supaya dirinya tidak ditolak ke tepi begitu sahaja. Tiba-tiba sesuatu telah menjengah mindanya. Jeffrey tersenyum kerana sudah mendapat idea untuk mengatasi masalahnya.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.