Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
339,556
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 5

“KENALKAN, Cik Juita, rakan kongsi Syifa. Juita, ni Datuk Malik.” Sharmini terus memperkenalkan Juita kepada Datuk Malik ketika berjumpa di lobi pejabatnya.

Juita sekadar tersenyum dan mengangguk kepala.

“Syifa mana?” tanya Datuk Malik sambil memandang Juita atas bawah. Baru berjumpa dia sudah buat perangai, tetapi masih berlagak selamba.

“Maaf Datuk, dia ada kecemasan. Ibu dia masuk hospital,” beritahu Juita yang sudah tidak selesa dipandang begitu. Patutlah Sharmini mengingatkannya.

“Tak sangka Syifa ada rakan kongsi yang cantik,” puji Datuk Malik tiba-tiba.

Juita tidak senang hati mendengarnya. ‘Kenapalah lambat sangat si Izuddin ni parking kereta?’ rungutnya dalam hati.

“Jomlah ke pejabat saya dulu,” pelawa Datuk Malik dengan senyuman di bibirnya.

“Maaf Datuk, kami sedang menunggu seorang lagi rakan. Dia tengah cari tempat parkir,” beritahu Sharmini.

“Oh! Ya ke? Hmm… macam mana bisnes kat KL sekarang ni?” tanya Datuk Malik yang masih tidak lekang dari memandang Juita.

“Bolehlah walaupun jarang dapat projek yang mega,” jawab Juita sekadar berbasa-basi.

“Habis mesyuarat nanti, nak singgah ke mana pulak?” Datuk Malik masih ada modal mahu memanjangkan perbualan.

“Rasanya kita orang terus balik KL aje.” Juita menjawab ringkas. Sesekali dia menjeling Sharmini yang buat tidak kisah sahaja.

“Ingatkan malam ni Cik Juita menginap di hotel. Kalau tidak, boleh jugak saya belanja dinner atau bawa jalan-jalan tengok Bandar Raya Melaka ni,” ujar Datuk Malik. Nampaknya dia sudah mula mengayat.

“Oh, tak apa Datuk. Saya memang bercadang nak tidur satu dua malam di sini, tapi encik tunang ada hal penting pulak kat KL.” Tiba-tiba sahaja Juita dapat idea hendak mengenakan Datuk Malik.

“Oh, ya ke?” Sedikit kecewa nada suara Datuk Malik apabila Juita berkata begitu.

“Hah! Itu pun tunang Cik Juita, Encik Izuddin dah sampai,” sebut Sharmini sebaik terpandang Izuddin menghampiri mereka. Dalam hati dia sudah mahu ketawa melihat senyuman kelat Datuk Malik ketika Izuddin menghulurkan tangan!


MESYUARAT dengan Datuk Malik berjalan dengan lancar walau kadang-kadang Juita berasa menyampah juga dengan gelagat orang tua berlagak muda ini. Sudah tahu Juita bertunang pun masih mahu bermain mata.

Sharmini pula hanya jadi pemerhati dan tersenyum dalam hati sahaja. Seperti yang dia jangka, Datuk Malik masih lagi membuat kerja sambilan dia. Mujurlah dalam mesyuarat dia terus kepada perbincangan utama. Walaupun ada masanya dia mahu belok ke tempat lain, ada sahaja akal Juita untuk mereka terus selesaikan perbincangan dengan segera.

“Apa pasallah awak tak beritahu saya awal-awal pasal Datuk Malik ni gatal semacam?” marah Juita ketika keluar dari pejabat Datuk Malik.

“Bos janganlah nak marah saya pulak! Dekat ofis lagi saya dah beritahu Datuk ni jenis miang buluh!” sangkal Sharmini.

“Tapi tak sangkalah boleh ajak main mata. Sempat jugak kaki dia menyentuh kaki saya semasa pengurus kanan dia membentangkan projek tu,” marah Juita lagi.

Dia memang angin semacam apabila ada yang berperangai tidak senonoh begitu. Andai mesyuarat itu diadakan di pejabatnya, memang dia simbah dengan air kopi sahaja Datuk itu. Tidak dapat projek pun dia tidak kisah.

“Alah… janganlah ambil hati sangat. Yang si Iz ni pun satu! Bukan nak jeling ke, apa ke bila tunang sendiri kena ngurat!” Dalam Sharmini memujuk bosnya, pada masa yang sama turut memarahi Izuddin pula.

“Dah nama pun berlakon. Kalau betul-betul Jue tunang Iz, tadi jugak Iz beri Datuk tu kad jemputan kahwin!” balas Izuddin kemudian tertawa.

“Sekali ni ajelah saya pergi pejabat Datuk tu. Lepas ni saya takkan jejak lagi,” ujar Juita pula.

“Janganlah macam tu, bos…” pujuk Sharmini.

“Huh! Datuk tu harap muka aje boleh tahan, tapi yang lain-lain buat saya tak boleh tahan!” Juita memang tidak menyangka boleh berjumpa dengan klien seperti Datuk Malik. Sudahlah tidak sedar diri, miang, gatal, hidung belang dan entah apa lagi gelaran yang boleh dia berikan kepadanya.

“Okeylah, lepas ni saya akan pastikan Syifa aje yang akan jumpa Datuk ni. Bos jangan fikir sangat pasal projek ni. Saya dan Syifa akan pastikan projek ni berjaya dan dapat untung berjuta-juta.” Masuk dalam kereta, Sharmini cuba menenangkan bosnya.

“Yalah tu!” Juita merengus geram. Saat ini dia mahu melelapkan mata dan melupakan pengalaman berurusan dengan klien yang kurang segala-galanya walaupun dia seorang yang kaya-raya!

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.