Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
339,551
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 3

JUITA memandang keindahan malam yang cukup mempesonakan. Dari balkoni penthouse miliknya, dia boleh nampak pemandangan ibu kota yang bergemerlapan. Terasa asyik sekali apabila bintang-bintang juga berkelipan di dada langit.

Sebelum ini, dia tidak pernah bermimpi mempunyai aset jutaan ringgit dan tinggal di kediaman yang mewah. Apabila dikenang kembali saat dia mula-mula mencari rezeki, memang menyedihkan. Nasib baik dia tidak merempat dan Syifa sentiasa ada membantunya.

Juita tidak seperti Syifa yang merupakan anak orang kaya dan mendapat keputusan cemerlang ketika belajar di universiti. Dia hanya pelajar biasa yang setakat cukup makan sahaja. Lantaran itu, tidak hairan dia sukar mendapat pekerjaan.

Kalau dapat pekerjaan sekalipun, tidak lama selepas itu pasti kena buang. Bukan kerana dia tidak bagus, tetapi syarikat tempat dia bekerja memang sudah tenat. Masalah kewangan dan bisnes yang merudum antara alasan dia terpaksa diberhentikan. Begitulah adat dunia, siapa yang terkemudian, dialah yang terlebih dahulu diketepikan.

“Jadi balik kampung Sabtu ni?” Tanpa salam, Syifa yang datang menyertai Juita terus bertanya. Dia juga mahu menikmati malam yang nyaman bersamanya. Angin yang bertiup sempoi-sempoi bahasa memang buat diri seperti berada di awangan.

“Kau nak ikut ke?” soal Juita sambil memandang sahabat baiknya sejak zaman kolej lagi.

Dahulu, Syifa adalah senior Juita ketika belajar di Universiti Teknologi Malaysia. Mereka nampak sebaya sahaja walaupun usia mereka berbeza dua tahun. Dia dan Syifa boleh serasi kerana di kolej duduk sebilik dan sering berkongsi cerita suka dan duka.

“Minta maaf banyak-banyak, dahlah naik kereta cabuk tu!” Syifa segera menolak.

“Buruk-buruk Waja tu, itulah kereta pertama aku,” balas Juita. Dia memang terpaksa naik kereta itu. Kalau dia balik dengan BMW X6 siap dengan pemandu, mahu pengsan terkejut abah dan uminya. Abang Ridwan pula, pasti sudah meroyan tidak tentu pasal! Juita tersenyum sendiri.

“Dari ikut kau balik, lebih baik aku melepak kat rumah. Tak sanggup aku tengok kau asyik kena kutuk dan kena perli dengan abang kau tu,” sambung Syifa. Cukuplah sekali dia mengikut Juita balik ke kampungnya. Nanti tidak pasal-pasal hatinya yang turut sakit dengan sikap abang sahabatnya.

“Tak nak ikut, tak apalah. Aku memang dah lama tak balik dan rasa rindu sangat dengan umi dan abah aku,” beritahu Juita sejujurnya. Sebolehnya dia mahu balik sebulan sekali, namun kebiasaannya ada sahaja perkara yang menghalang.

“Ya sangatlah tu! Kalau rindukan umi, aku memang percaya. Tapi kalau rindu pada abah kau, macam pelik aje bunyinya,” sebut Syifa.

Bukan dia tidak tahu yang Juita tidak begitu rapat dengan abahnya. Malah, dari awal lagi Syifa tahu yang sahabatnya itu juga tidak pernah sebulu dengan abang sulungnya, Abang Ridwan. Mengingatkan kisah silam Juita, memang boleh buat air mata bergenang juga. Begitupun, Syifa tetap kagum dengan Juita kerana dia tidak pernah ambil hati dengan sikap abah dan abangnya.

“Janganlah cakap macam tu. Walaupun tak pernah tunjuk, aku yakin abah sayang dan rindukan aku jugak,” balas Juita menyangkal tanggapan sahabatnya. Itulah yang dia rasa sejak akhir-akhir ini.

“Harap begitulah, tapi sampai bila kau nak rahsiakan pasal diri kau ni, Jue?” soal Syifa. Masuk tahun ini, sudah lima tahun sahabatnya itu menjadi usahawan. Tetapi keluarganya tidak tahu dan masih beranggapan dia bekerja sebagai eksekutif biasa sahaja.

“Keluarga aku tak perlu tahu pasal bisnes yang aku buat. Begitu lebih baik dan tak buat aku pening nak terangkan macam-macam kat dia orang,” jelas Juita.

“Kalau sesuatu terjadi pada kau, macam mana? Mahu terkejut abah dan umi kau. Nanti dia orang salah faham pulak.” Syifa menyatakan kerisauannya. Kes sahabatnya ini memang satu dalam berjuta. Silap hari bulan, tidak pasal-pasal keluarga Juita ingat dia ada skandal dengan ‘sugar daddy’pula.

“Insya-ALLAH… kalau kita berniat baik, ALLAH akan permudahkan urusan kita,” balas Juita lebih kepada memujuk diri sendiri.

Apabila Syifa mengingatkannya, baru dia perasan masa begitu pantas berlalu. Berbagai pengalaman dan kenangan dilalui dengan berbagai rasa, namun dia amat bersyukur dengan rezeki yang ALLAH kurniakan. Memiliki sahabat yang sentiasa menyokong dan staf yang komited, memang membantunya mengembangkan syarikat yang diamanahkan kepadanya.

Tiba-tiba, rasa rindu menyapa lagi di sudut hati. Alangkah bagusnya andai kejayaan ini dapat dia rai dan kongsikan bersama orang yang sepatutnya? Bukan dia tidak bersunggguh mencarinya, namun TUHAN masih belum mengizinkannya untuk bertemu. Saban hari dia tidak pernah jemu berdoa agar dipertemukan dengan insan yang baik hati itu.

Selama bekerja dengan berbagai syarikat, tidak pernah Juita berjumpa dengan bos sebaik Benjamin. Malah, perkara pertama yang Benjamin pastikan ketika dia mula-mula bertugas adalah menyediakan ruang khas untuk dia bersolat. Ketika itu, memang hanya Juita seorang sahaja yang beragama Islam.

Apa yang buat Juita terharu, kemudiannya Benjamin mengubah suai bilik mesyuarat semata-mata untuk memastikan dirinya selesa ketika bersolat. Lagipun bilik itu agak besar, tetapi jarang digunakan. Benjamin memang tidak sampai hati melihat Juita berjalan jauh untuk bersolat zuhur di masjid berhampiran. Yalah, ketika itu dia juga masih tidak memiliki kenderaan sendiri.

“Ni kenapa termenung pulak?” soal Syifa setelah masing-masing asyik melayan perasaan sendiri.

“Kat manalah Ben sekarang ni, kan? Entah sihat entah tidak bos aku tu,” keluh Juita. Sudah lebih empat tahun dia tidak tahu khabar lelaki itu.

“Kau tak cukup berdoa kut.” Sengaja Syifa hendak bercanda. Dia turut melepaskan pandangan ke arah KLCC yang berdiri megah.

“Kalaulah kau tahu apa yang aku doakan setiap kali teringatkan dirinya, pasti kau gelakkan aku!” sebut Juita kemudian kembali melontar pandangan ke arah ibu kota.

“Ceritalah! Apa yang selalu kau doakan?” Syifa segera menoleh. Dia memang mahu tahu, lebih-lebih lagi sahabatnya ini begitu setia dan mengagumi bosnya. Bagi diri Syifa, ia memang sesuatu yang agak pelik juga.

“Setiap hari aku sentiasa berdoa agar berkesempatan berjumpa dengan Ben. Walaupun belum tentu lagi aku dapat cium bau syurga, aku memang berharap dapat berjiran dengannya di jannah…” tutur Juita sedikit sebak. Memang agak mustahil, namun hidayah ALLAH tiada siapa yang boleh menduganya.

Syifa merenung wajah Juita dalam-dalam. Dari cerita Juita sebelum ini, dia tahu, Benjamin memang baik orangnya. Tetapi, Syifa tidak menyangka sejauh itu harapan sahabatnya yang begitu menghormati bosnya.

“Sejak akhir-akhir ini, aku selalu termimpikan dia. Rasa sedih sangat sebab dia macam sorang-sorang di tempat asing,” sambung Juita.

Dalam diri bagai terpinggir dari keluarga sendiri, mengenali lelaki bernama Benjamin memberi sedikit kegembiraan dan kekuatan kepada dirinya. Entah kenapa dia memang serasi dan selesa bekerja dengannya.

“Maaflah, aku pun tak tahu macam mana nak tolong kau lagi. Penyiasat yang kita upah pun tak dapat kesan lagi di mana bos kau tu.”

“Aku pun pelik jugak. Takkanlah kawan-kawan dia pun tak tahu langsung di mana dia sekarang ni, kan?” tutur Juita sambil memeluk tubuhnya. Tiba-tiba terasa sejuk pula.

“Biasalah orang zaman sekarang. Bila kita senang, semua orang mengaku kawan dan saudara-mara. Bila kita jatuh tersungkur, hendak hulur tangan pun tak sudi!” komen Syifa pula.

“Mujurlah aku bernasib baik dan ada sahabat seperti kau. Sejak zaman aku tak berduit sampai sekarang, kau sentiasa ada di samping aku. Aku memang amat menghargai apa yang telah kau buat untuk aku, Syifa,” ucap Juita seikhlasnya. Sebab itu juga dia tidak kisah berkongsi harta yang dimiliki dengan Syifa. Walaupun Syifa menolak, dia tetap memberi.

“Tak ada hallah. Tapi, macam yang pernah aku cakap, aku tidak akan selamanya bersama kau. Sampai masanya kau kena uruskan sendiri bisnes kau tanpa aku,” balas Syifa sambil memeluk bahu sahabatnya.

“Itu yang aku berharap sangat agar dapat berjumpa semula dengan Ben. Kalau tak dapat jumpa dia, dapat cari anak dia pun jadilah.” Juita menyatakan harapannya yang entah tercapai entah tidak.

“Masalahnya kita langsung tak ada klu pasal anak dia. Dahlah tak pernah kenal dan berjumpa, nama anak Ben tu pun kita tak tahu!” balas Syifa pula.

“Tapi aku yakin, kalau kita terjumpa anak Ben, pasti ada petunjuk yang mengesahkan dia adalah orangnya. Paling tidak, dia mesti ada iras-iras Ben.”

“Harap-harap macam tulah.” Hendak tak hendak sahaja Syifa menjawab. Memang susahlah hendak mencari orang yang tidak bernama dan tidak tahu bagaimana rupanya.

“Agak-agak kau, anak Ben ni handsome tak?” Tiba-tiba soalan itu pula yang terlintas di fikiran Juita. Dia pernah juga membayangkan wajah anak bosnya itu. Pasti saling tidak tumpah seperti Benjamin juga.

“Kalau Ben yang dah tua tu pun segak orangnya, anak dia tentulah handsome bangat!” balas Syifa. Walaupun hanya beberapa kali berjumpa dengan Benjamin, dia masih ingat wajah bos Juita yang tenang itu. Sudahlah segak, bertambah kacak dan awet muda apabila sentiasa bermanis muka.

“Ya ke Ben tu segak?” Juita pura-pura bertanya.

“Sudahlah kau! Jomlah kita masuk, dah tengah malam ni. Tak baik anak dara berembun,” sebut Syifa dan mereka beriringan menuju ke ruang tamu. “Hampir terlupa pulak. Apa cerita mamat handsome yang kau pernah cakap tu?” sambung Syifa kemudiannya.

“Nak cerita apa? Kau pun dah tahu siapa orangnya!” ujar Juita sambil berbaring di sofa panjang.

“Aku dah tahu siapa orangnya? Siapa?” tanya Syifa yang tiba-tiba begitu teruja.

“Sebenarnya, mamat handsome yang kita jumpa kat restoran di Putrajaya tulah orangnya.” Juita berterus terang sahaja. Malas hendak berselindung dengan Syifa. Lambat-laun dia akan tahu juga.

“Alahai… Apasal masa tu kau tak beritahu aku? Kalau tak, sekarang ni kau dan dia dah boleh berdating. Lembap betullah kau ni!”

“Wei, kau jangan sesuka hati nak mengutuk aku! Ingat aku ni perempuan tak ada maruah?” Geram pula rasa hati Juita apabila dituduh lembap. Bagi dirinya, andai hati telah berkenan, tidak perlu terburu-buru. Dalam diam kena selidik dahulu sebelum memulakan langkah seterusnya.

“Kau ni… Cakap macam tu pun dah nak terasa ke? Aku bukan apa, kalau bab mengurat ni memang kena cepat. Nanti tak adalah gigit jari,” jelas Syifa.

Dia memang tidak suka membuang masa dalam hal begini. Sebab itu juga dia sudah jadi tunangan Norman walau baharu sahaja berkenalan dan bercinta. Semuanya sebab hendak cup siap-siap lelaki idamannya.

“Memanglah kena cepat, tapi perlu ada strategi jugak. Jangan tunjuk diri tu bagai terdesak sangat,” balas Juita mempertahankan tindakannya.

“Aku faham, nanti pandailah aku apa nak buat selepas ini. Kita punya inspektor memang sentiasa bersiap sedia menjalankan tugas. Dapat aje maklumat, aku akan beritahu kau secepat mungkin,” janji Syifa.

“Pandailah kau nak bodek aku!” Juita sudah tersenyum mendengarnya. Sahabatnya ini bagai tahu-tahu sahaja apa yang patut dilakukan.

“Bukan bodek, tolong kawan! Kalau boleh, aku pun nak sama-sama bersanding dengan kau. Barulah jadi sahabat sejati dan sejiwa,” balas Syifa kemudian turut tertawa.

Juita hanya menggeleng dengan gelagat sahabatnya itu.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.