Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
339,558
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 26

DALAM kereta, mereka berdua diam sahaja. Jeffrey yang kepenatan terpaksa lebih berhati-hati. Memandu pada waktu malam memerlukan fokus yang lebih. Sebenarnya tidak kira siang atau malam, memang tidak boleh lalai ketika memandu. Tambahan pula sudah ada orang yang tersayang di sebelahnya!

Kali ini, Jeffrey mengambil jalan lain pula. Dia mahu mengikut lebuh raya sahaja kerana tidak mahu melalui jalan yang dia tidak biasa. Nanti tersesat entah ke mana-mana pula. Petang tadi tidak mengapa kerana hari belum gelap lagi.

“Rumah awak kat mana?” Jeffrey bertanya sebaik melalui tol pertama.

“La… penyiasat persendirian awak tak beritahu ke?” sindir Juita pula.

“Saya tak upah sesiapa pun siasat awak, semuanya saya buat sendiri. Cuma saya tak sempat nak intip awak tinggal kat mana,” balas Jeffrey kemudian terus tertawa. Terasa kelakar pula dengan pertanyaan Juita itu.

“Tak lucu, okey?” tegur Juita dengan muka mencuka. Geram rasa hatinya apabila Jeffrey bagai gelakkan dirinya.

Sorry… tapi saya memang tak tahu awak tinggal kat mana. Cepatlah beritahu supaya saya boleh terus ingat sampai bila-bila.”

“Hantar saya ke Sungai Chua,” sebut Juita kemudian memejamkan matanya.

“La… Rumah awak kat Kajang ke? Apasal tak cakap awal-awal? Rumah saya pun tak berapa jauh dari Sungai Chua tu,” sebut Jeffrey.

“Oh! Ya ke?” Hendak tak hendak sahaja Juita bersuara. Dalam hati dia amat berharap yang Jeffrey hanya bergurau. Susahlah kalau mereka sebenarnya duduk berdekatan.

“Setahu saya ada banyak apartmen dekat situ. Awak tinggal di apartmen yang mana satu?” Jeffrey bertanya lagi sambil menoleh ke arah Juita.

“Dah nak sampai nanti, baru saya beritahu.” Juita menjawab malas. Ketika ini mereka belum lagi sampai ke exitke arah Kuala Lumpur. Boleh juga dia melelapkan mata walaupun tidak lama sangat.

“Baiklah Cik Puan…” giat Jeffrey dengan senyuman.

Suasana terus hening. Tiada lagi suara Juita, begitu juga dengan Jeffrey. Sekarang ini Juita berasa amat penat. Balik rumah nanti dia mahu segera bersihkan diri. Selepas itu dia mahu tidur sepuasnya. Dia mahu lupakan sebentar kejadian yang menimpa dirinya.

Apa yang dia tahu, selepas ini dia kena perah otak fikirkan sesuatu. Sekarang dia sudah tidak boleh lari dari lelaki ini. Abang tongsan pasti lakukan macam-macam untuk mendekatinya. Akhirnya, tidak lama selepas itu Juita sudah terlena.

Jeffrey yang menyedarinya mengambil kesempatan itu merenung Juita. Setiap kali berpeluang, dia pasti menatap wajah ayu gadis di sebelahnya. Kalau boleh, mahu menatapnya selama mungkin agar dapat dibawa dalam mimpi. Agar sentiasa terlayar sebaik hati teringatkan dirinya.

“AWAK bangunlah, kita dah sampai Sungai Chua.” Jeffrey cuba mengejutkan Juita. Dia telah berhentikan kereta di bahu jalan.

“Awak,” panggil Jeffrey lagi. Kali ini dia terpaksa menyentuh bahu Juita kerana dia masih tidak terjaga.

“Hah?” Juita terus tersedar dan menggosok-gosok matanya. “Dah sampai ke?” sambungnya.

“Yap, yang mana satu apartmen awak?” tanya Jeffrey.

Seketika Juita memandang ke luar tingkap kemudian ke hadapan pula. “Awak berhenti kat pondok pengawal depan tu. Saya tinggal kat situ,” beritahunya.

“Mana boleh macam tu? Saya hantar awak sampai dalam ajelah.” Jeffrey menawarkan diri. Risau pula membiarkan Juita berjalan jauh menuju ke pintu lif.

“Awak ada kad ekses untuk masuk? Tak ada, kan?” soal Juita, geram.

“Dah lewat malam ni, tak bahaya ke?” soal Jeffrey sedikit risau.

“Masa awak bawa saya ke sana ke mari, tak fikir pulak semua tu?” perli Juita walau mata masih mengantuk.

“Okey, saya minta maaf sebab dah susahkan awak,” ucap Jeffrey.

“Lain kali, awak jangan nak ulang lagi apa yang awak dah buat dengan saya tu.” Juita mengingatkan.

“Ya, saya takkan buat lagi,” janji Jeffrey sambil buat muka poyo.

Sampai sahaja berhampiran pondok pengawal, Jeffrey menurunkan Juita. Juita pula terus berlalu tanpa pamitan mahupun mengucapkan selamat jalan kepada Jeffrey.

‘Alahai, Juita! Kerana kau, aku sanggup buat apa saja.’ Jeffrey berbicara sendiri. Malam ini dia memang boleh tidur dengan mimpi indah.


SAMPAI di muka pintu penthousenya, Juita tercari-cari kunci pintu. Sebaik pintu dibuka, Syifa sudah terpacak di hadapannya.

“Kau ke mana sebenarnya? Dah tengah malam baru ingat nak balik?” tegur Syifa sebaik Juita masuk.

Petang tadi Syifa memang sudah berasa risau apabila Izuddin beritahu Juita tiada di depan kedai buku. Apabila cuba menghubunginya, tidak berjawab pula. Akhirnya Syifa berasa lega sebaik menerima panggilan daripada Juita. Peliknya suara lelaki pula yang dia dengar.

“Kau tak tidur lagi?” Walaupun terkejut, Juita berlagak biasa sahaja. Ingatkan sahabatnya sudah masuk tidur dan lena dibuai mimpi.

“Kau ingat aku boleh tidur?” Serius sahaja suara Syifa, bagai ibu tiri yang sedang memarahi anak tirinya.

“Hari ini aku kena culik dengan abang tongsan.” Terpaksa juga Juita beritahu hal sebenar.

“Kena culik? Tak payah kelentonglah. Ingat aku tak tahu kau berdating sakan sampai tak ingat nak balik?” perli Syifa, tetapi dengan senyuman di bibir.

“Aku malas nak cakap banyak. Sekarang ini aku nak mandi dan tidur. Apa-apa hal esok aje kita cerita, okey?” beritahu Juita dan terus masuk ke biliknya.

“Mana aci? Aku punyalah penat tunggu kau balik sampai sanggup tak tidur langsung,” ujar Syifa menuruti Juita hingga ke biliknya.

“Aku janji esok akan cerita dengan kau.” Juita sudah menolak Syifa agar keluar dari biliknya. Tetapi si Syifa ini memang liat hendak berganjak.

“Tak payahlah nak halau aku!” rungut Syifa.

“Kalau aku kata esok, esok ajelah aku cerita,” ujar Juita yang sudah kepenatan. Tidak pernah dia berasa bagai hilang seluruh tenaga seperti sekarang ini.

“Janji kau akan cerita dengan aku dari A sampai Z. Tak terkecuali satu pun,” sebut Syifa yang menghalang Juita dari menutup pintu.

“Ya… aku akan cerita semuanya,” janji Juita. Dalam keadaan begini, dia berasa menyampah pula dengan gelagat sahabatnya itu.

“Okey. Esok aku tuntut janji kau!”

Juita terus mengunci pintu sebaik Syifa mengalihkan tangannya. Kemudian terus menghempaskan dirinya di atas katil. Sekarang dia mahu kosongkan fikirannya terlebih dahulu. Dia mahu lepaskan semua yang bermain di mindanya. Selepas itu baru mandi dan bersolat Isyak pula.

Mengingatkan abang tongsan memang buat Juita sakit jiwa dan raga. Suka-suka hati melamar anak dara orang, selepas itu lesap tanpa berita. Kemudian muncul semula siap meluahkan hati dan perasaan.

Apabila rayuannya Juita tolak, lagi agresif pula tindakannya. Mujur tiada apa-apa yang buruk berlaku pada diri Juita. Abang tongsan ini bisa sahaja berbuat sesuka hatinya. Selepas ini, Juita memang kena berhati-hati dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.