Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
342,972
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 31

MATA Haji Hussein masih memandang Juita. Tempoh hari, anak gadisnya beritahu Jeffrey tidak dapat datang sebab bekerja di luar daerah. Dia tidak kisah sangat pasal hal itu. Tiba masanya pasti dia dapat juga berjumpa dengan bakal menantunya. Peliknya, apabila Jeffrey sudah datang bertandang, anaknya pula bagai ada masalah. Apa yang cuba disembunyikan?

“Kamu bergaduh dengan si Jeffrey tu ke?” tanya Haji Hussein. Wajah anak gadisnya ditenung dalam-dalam.

Juita tidak terus menjawab. Hendak beritahu apa kepada abahnya? Masakan mahu beritahu perkara yang sebenarnya? Apatah lagi dia tidak tahu tujuan lelaki itu datang ke rumah umi dan abahnya.

“Ni Jue nak cerita atau abah tanya sendiri dengan Jeffrey aje?” Sengaja Haji Hussein menduga.

Hendak tengok juga reaksi anak gadisnya. Bukan dia tidak kenal dengan perangai Juita yang lebih suka pendamkan masalah sendiri. Selepas itu buat keputusan tanpa mahu berbincang dengan keluarga.

Juita masih senyap. Jari jemarinya bermain dengan hujung blaus yang dipakainya. Cuba mencari kata dan menyusun ayat terbaik. Tersalah cakap, nanti dia juga yang kantoi.

“Sekarang ni, baik beritahu abah. Jue nak berkahwin dengan dia ke tidak?” tanya Haji Hussein, serius.

“Jue tak tahu…” Akhirnya Juita bersuara juga. Matanya dikecilkan, takut hendak memandang wajah abahnya.

“Eh, budak ni! Jangan nak main-main dengan abah. Hari tu bila ada yang nak masuk meminang, kata dah ada calon sendiri. Hari ini dah bertukar cerita pulak.” Suara Haji Hussein kedengaran sedikit meninggi. Memang betul sangkaannya.

Tiba-tiba dia berasa geram dengan gelagat Juita. Entah apa pula masalah anak gadisnya ini. Bagi dirinya, si Jeffrey seorang yang bertanggungjawab dan nampak sikap prihatinnya. Walaupun baru sahaja bertemu, dia tidak kekok bergaul mesra.

“Jeffrey beritahu apa pada abah?” Juita beranikan diri bertanya. Namun matanya memandang ke arah lain, takut bertentang mata dengan abahnya.

“Dia nak berkahwin dengan kamulah. Cuma dia minta tangguh sampai lepas raya. Abah tak kisah. Bukan lama benar pun, sekarang dah bulan Februari. Pejam celik pejam celik, dah masuk bulan Ogos,” beritahu Haji Hussein. Tiba-tiba dia kelihatan ceria pula.

“Hah?” Juita memang terkejut dengan penjelasan abahnya.

“Sekarang ni abah tak nak dengar apa-apa lagi. Kau orang berdua berbincanglah apa yang patut. Tiba masanya, abah akan nikahkan kau orang berdua,” tegas Haji Hussein kemudian terus berlalu.

Juita termangu sendiri. ‘Hish! Suka hati dia aje nak buat keputusan tanpa beritahu aku. Ingat aku akan terus setuju aje dengan rancangan dia ke?’ sungut Juita.


SURIA memang sudah lama memancarkan sinarannya. Malam tadi hujan turun dengan lebatnya dan Jeffrey tidur dengan kesejukan walaupun turut berselimut tebal. Tidak sangka suasana di kampung Juita begitu dingin dan menyamankan.

Walaupun kampung ini dalam kawasan bandar, ciri-ciri kampung itu masih kekal. Cuma sekarang ini kebanyakan rumah tidak lagi rumah papan. Ramai yang memilih meruntuhkan rumah asal dan membina rumah batu. Kira macam banglo dengan halaman yang cukup luas. Penduduk juga mempunyai cita rasa tersendiri dalam memilih reka bentuk rumah.

Tadi, setelah bersarapan, Jeffrey sengaja mahu mengambil angin dengan duduk di pangkin di bawah pohon rambutan. Haji Hussein telah keluar ke pekan, begitulah yang diberitahunya setelah selesai bersarapan dengannya.

Juita memandang lelaki yang begitu berani sekali mengikutnya sampai ke kampung. Sekali pandang, kasihan pula melihat wajahnya. Namun, hatinya masih sakit dengan apa yang telah dia lakukan terhadap dirinya.

Akhirnya Juita melepaskan keluhan. Teringat pula saat mahu balik kampung. Akibat kelam-kabut, entah bagaimana dia boleh tidak perasan langsung lelaki ini mengekorinya. Dia langsung tidak nampak kelibat Jeffrey di KL Central. Rupa-rupanya lelaki itu turut berada di dalam kereta api yang sama. Satu coach pulak tu!

Ketika menunggu abahnya menjemput di stesen kereta api Ipoh, tiba-tiba sahaja lelaki itu sudah berada di sebelahnya. Belum sempat dia bertanya apa-apa, abahnya telah muncul. Jeffrey pula terus sahaja perkenalkan dirinya kepada Haji Hussein. Saat itu, Juita memang mati kutu. Hendak marah pun sudah tidak jadi.

“Awak?” panggil Jeffrey sebaik menyedari Juita tercegat tidak berapa jauh darinya.

“Kenapa suka-suka hati cakap dengan abah saya yang awak nak kahwin dengan saya? Dahlah tak bincang apa-apa dengan saya, berani pulak ikut orang balik,” Juita melepaskan geramnya kepada Jeffrey.

“Saya bukan suka-suka hati nak cakap macam tu. Saya memang betul-betul nak kahwin dengan awak. Bukan sebab taruhan itu dan bukan jugak sebab lain,” ujar Jeffrey dengan tenang. Dia memang ikhlas dengan gadis ini, kenapalah dia masih tidak mahu memahami?

“Saya tak nak kahwin dengan orang yang mainkan perasaan saya!” balas Juita dengan geram. Dia memang tidak suka dengan tindakan lelaki itu.

“Saya minta maaf pasal hal itu. Tapi, saya benar-benar ikhlas mahu awak jadi isteri saya.” Jeffrey sedaya upaya memujuk. Lama dia tatap gadis di hadapannya. Cuba mencari pengertian dan mengharapkan diberi peluang.

“Kan saya kata, saya tak nak!” Juita masih berkeras dengan keputusan sendiri. Dia memalingkan wajahnya agar tidak asyik dipandang lelaki itu. Nanti lain yang mahu disebut, lain pula yang terucap.

“Saya tak nak dengar apa pun alasan awak. Abah awak dah setuju dan saya akan teruskan rancangan saya.” Serius sahaja suara Jeffrey. Dia memang benar-benar maksudkan apa yang dia katakan. Ia memang lahir dari hatinya yang tulus, bukan sebab terpaksa.

Juita menjegilkan matanya. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Wajah Jeffrey ditenung seakan mahu menelannya.

“Awak… Susah sangat ke nak terima saya?” Jeffrey cuba berlembut.

Juita hanya buat tidak dengar.

Sebenarnya Jeffrey sudah lelah hendak merayu dan memujuk. Namun pada masa yang sama, dia tidak mahu apa yang telah dilakukan berakhir begitu sahaja. Nanti hati dan hidupnya juga tidak tenteram. Asyik teringat dan termimpikan gadis itu.

Kalau ikutkan hatinya, memang hari ini juga dia mahu Haji Hussein nikahkan mereka berdua. Tidak payah buat majlis kenduri-kendara. Cukuplah kenduri doa selamat sahaja. Namun, masakan boleh? Sebuah perkahwinan perlu dirancang

dan asas perkahwinan kena kukuh. Andai dirinya sahaja yang

bersusah payah, tidak akan berjaya.

“Awak tak nampak lagi ke keikhlasan hati saya ni?” tanya Jeffrey lagi.

“Habis tu, kenapa mesti nak tangguh-tangguh pulak?” soal Juita pula.

“Alhamdulillah…” ucap Jeffrey sebaik mendengar kata balas Juita. Respons Juita menunjukkan gadis itu sebenarnya tidak menolak. Ia memang amat melegakan dan buat dia tersenyum.

“Awak?” panggil Juita sebaik melihat reaksi Jeffrey.

“Terima kasih…”

“Terima kasih apa?” soal Juita terpinga-pinga. ‘Aku ada cakap setuju nak kahwin dengan dia ke?’ Juita tertanya sendiri.

Jeffrey hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Senyumannya semakin melebar.

Sebaik tersedar, Juita terpaksa telan air liur. ‘Macam mana aku boleh tersalah cakap?’ gumamnya.

“Saya minta tangguh sebab saya nak buat persediaan. Saya tetap lamar awak walau kita masih tak kenal satu sama lain sebab saya nak ‘cup’ awak.” Akhirnya Jeffrey berikan jawapannya.

“Cup?” soal Juita.

“Saya nak cup hati awak! Jangan lupa, abah awak dah beri kebenaran itu,” beritahu Jeffrey dengan hati berbunga.

“Awak cuplah sorang-sorang. Hati saya tetap milik saya.” Juita masih tidak mahu beralah.

“Jangan macam tu. Saya nak berkahwin dan bercinta dengan awak,” jawab Jeffrey agar gadis itu lebih mengerti. Dia tidak mahu membuang masa bercinta dengan mana-mana gadis.

“Janji awak dengan abah saya, tak boleh diguna pakai,” balas Juita dan berlalu masuk ke dalam rumah. ‘Ekspres betul abang tongsan ini!’ desisnya dalam hati.

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.