Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,395
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 11

“ANDY,kenapa mummytengok Andy termenung aje sejak tadi?” soal Puan Sri Zalina sambil menepuk lembut bahu anak lelakinya yang sedang leka memerhati sekumpulan ikan berlegar-legar di dalam kolam, di sudut halaman banglo mewah itu.

“Oh, mummy. Terkejut Andy,” balas Adrian sambil berpaling ke arah Puan Sri Zalina yang sedang berdiri di belakangnya.

“Dari tadi mummytengok Andy termenung kat sini. Kenapa? Sebelum ni tak pernah pun Andy suka nak tengok ikan-ikan tu,” tanya Puan Sri Zalina hairan.

“Tak adalah, seronok pulak tengok ikan-ikan tu berenang-renang ke sana ke mari, berpasang-pasang tak henti-henti. Hidup bebas tanpa sebarang masalah yang perlu difikirkan,” ujar Andy sambil memuncungkan bibir ke arah ikan-ikan di dalam kolam itu.

“Hai, lain macam aje bunyinya anak mummyni bercakap.Ada apa-apa ke yang Andy risaukan ni?” Dengan nada nakal, Puan Sri Zalina menyerkap jarang anak lelakinya itu.

“Mengapa mummykata macam tu? Takkanlah Andy nak relaks-relaks sambil layan ikan-ikan tu pun membimbangkan mummy?” soal Adrian kembali, sengaja menangkis serkap jarang Puan Sri Zalina itu.

“Bukan bimbang, just curious. Sebab selama ni kalau Andy nak relaks, Andy takkan duduk kat rumah tetapi entah ke mana-mana dengan kawan-kawan Andy. Itu yang mummyhairan tu,” balas Puan Sri Zalina.

“Kenapa? Mummytak suka ke Andy relaks-relaks kat rumah macam ni?” balas Adrian, terus cuba merisik perasaan Puan Sri Zalina.

“Eh, siapa kata mummytak suka? Mummylagi suka kalau Andy selalu ada kat rumah. Sekurang-kurangnya tak adalah mummysunyi sangat bila daddy selalu keluar negara macam sekarang.

Tapi, kadang-kadang tu susah sangat mummynak jumpa Andy. Tiap-tiap hari keluar pagi dan balik tengah malam. Hujung minggu pulak asyik keluar dengan kawan-kawan. Jadi, mummypun macam tak percaya pulak bila Andy langsung tak keluar hari ni,” terang Puan Sri Zalina. Tangannya kemudian mengelus-ngelus lembut bahu anak kesayangannya itu.

Adrian merenung Puan Sri Zalina yang telah pun duduk di sebelahnya. Hatinya tiba-tiba terdetik sendu apabila menyedari betapa dia tidak pernah mengambil tahu perasaan ibunya yang kesunyian apabila Tan Sri Affendy sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan. Sedangkan dia pula sentiasa sibuk berfoya-foya dengan kawan-kawan setiap kali ada masa terluang.

Mummy, maafkan Andy kerana tak temankan mummyselalu kat rumah masa daddytak ada. Andy ingatkan mummypun selalu sibuk dengan persatuan mummytu. Sebab tulah Andy selalu keluar dengan kawan-kawan bila dah penat berhari-hari kat pejabat,” ujar Adrian sambil mencapai tangan kanan Puan Sri Zalina dan menggenggamnya sebagai tanda memohon maaf.

Mummy tak kisah sebenarnya. Mummyfaham kesibukan daddydan Andy. Orang yang nak berjaya dalam perniagaan memanglah kena bekerja keras macam tu. Sebab tulah mummytak pernah larang bila Andy nak enjoydengan kawan-kawan. Tapi, hari ni tak ada ke kawan-kawan yang ajak Andy keluar?” soal Puan Sri Zalina, mengulangi persoalan utamanya.

Adrian terkedu. Terbayang di tubir matanya, wajah Mia Karmila yang mencuka dan sedang merenung tajam kepadanya.

“ANDY, kan Andy dah janji tadi takkan bawa Mia ke tempat yang tak senonoh macam ni. Mia tak nak masuk. Mia nak balik!” Suara Mia Karmila meninggi tanpa mempedulikan pengawal yang sedang memerhatikan mereka.

Dia segera menolak tangan Adrian yang sedang merangkul pinggangnya ketika mereka beriringan mahu melangkah masuk ke kelab malam yang ekslusif itu.

Sejak siang tadi, setelah Mia Karmila bersetuju untuk keluar, Andy telah berkira-kira hendak membawa Mia Karmila ke tempat istimewa, berbeza daripada tempat-tempat yang biasa mereka pergi. Harapannya agar Mia Karmila tidak berasa bosan dan akan bersedia menemaninya sepanjang malam itu.

Rudy, seorang rakan niaga Adrian yang telah mencadangkan kelab malam itu ketika mereka berbual-bual pada petang itu. Malah Rudy juga menolong membuat tempahan nama Adrian sebagai tetamu pada malam itu. Sebenarnya, tidak semua orang boleh memasuki kelab itu tanpa tempahan terlebih dahulu.

Adrian benar-benar tidak menyangka Mia Karmila telah terlihat beberapa pasangan pengunjung di kelab itu yang sedang khayal menari sambil berpeluk-pelukan. Mereka mengikut gaya penyanyi sambil menari dengan gaya yang amat mengghairahkan di pentas. Malah sebuah kumpulan live bandturut mengiringi persembahan, ketika mereka baru sahaja mahu memasuki pintu utama ke ruang dewan pusat hiburan itu.

Adrian terpaksa mengalah. Mahu atau tidak, dia turuti kehendak Mia Karmila meninggalkan pusat hiburan itu. Dia tidak mahu Mia Karmila membuat kecoh dan merajuk lagi. Jauh di sudut hati, dia ternyata hampa dan kecewa kerana gagal lagi untuk ‘menakluki’ gadis itu.

Setelah menghantar Mia Karmila pulang, Adrian cuba menghubungi telefon bimbit Zetty untuk mengubati hatinya yang kecewa. Malangnya panggilannya tidak berjawab walaupun telah beberapa kali mencuba. Tidak berputus asa, Adrian segera menuju ke kondo Zetty. Namun dia bertambah hampa apabila tiada sesiapa pun di situ.

Akhirnya Adrian terpaksa balik ke rumah. Hatinya rawan dan resah gelisah. Niatnya hendak berseronok sepanjang malam bagi melempiaskan gelora naluri kelelakiannya tidak kesampaian.

Rasa resah itu terus membelenggunya sampai ke siang hari sehingga membuatkan tubuhnya rasa tidak bermaya. Hati Adrian menjadi tambah bergelora apabila mengenangkan sikap Mia Karmila yang seolah-olah sudah tidak lagi memerlukan kehadirannya. Adrian benar-benar rasa tercabar dengan perubahan sikap Mia Karmila.

“ANDY, kenapa ni? Apa yang Andy sedang fikirkan tu? Andy sedang fikirkan Mia ya?”

Suara Puan Sri Zalina bagaikan panahan petir yang telah menyentakkan Adrian daripada khayalannya.

“Aaa...apa yang buat mummysangka Andy sedang fikirkan Mia?” tanya Adrian. Dia kembali kelihatan gugup.

“Andy, mummykan ibu Andy. Yang mengandungkan dan membesarkan Andy. Jadi, mummy tahu hati anak mummysama ada dia gembira ataupun sedang bersusah hati. So, come on boy. Tell me what’s the problem,” usik Puan Sri Zalina sambil mengelus lembut belakang anak lelakinya itu.

Mum, I’m not your boy anymore. I’m a matured man now,” balas Adrian sambil tersenyum lebar.

Entah kenapa dia rasa geli hati kerana Puan Sri Zalina masih menganggapnya sebagai kanak-kanak hingusan. Mereka berdua saling berpandangan dan kemudian sama-sama tergelak besar.

Mummy tahu anak mummydah matured.Dah boleh berumah tangga. Sebab tulah mummytahu apa yang dia sedang fikir sekarang. Betul, kan?” komen Puan Sri Zalina setelah ketawa mereka reda.

“Apa yang betul?” soal Adrian, buat-buat tidak faham.

“Andy sedang fikir pasal Mia,” jawab Puan Sri Zalina spontan.

Adrian menarik nafas dalam-dalam. Kemudian kedengaran keluhan berat daripada mulutnya, menggambarkan keresahan yang sedang melanda hati lelaki itu.

Puan Sri Zalina terus merenung anak kesayangannya itu dengan penuh keprihatinan. Walaupun dia dan Tan Sri Affendy sentiasa sibuk dengan urusan masing-masing, namun mereka tidak pernah mengabaikan hubungan kekeluargaan yang rapat dengan Adrian.

Mereka lebih mengamalkan sikap terbuka di dalam mendidik satu-satunya anak kesayangan itu. Sebab itulah juga Adrian akan sering memohon pendapat mereka dalam pelbagai perkara.

“Ya, mummy. Andy tak tahu mengapa sejak kebelakangan ni dia agak dingin dengan Andy. Malah dia dah tak nak lagi keluar dengan Andy.” Akhirnya Adrian mengakui dengan nada kecewa.

“Bukan ke malam tadi Andy keluar dengan Mia?” soal Puan Sri Zalina terkejut.

“Betul, Andy keluar dengan Mia tetapi kami bertengkar dan akhirnya Andy terpaksa hantar dia balik awal semalam,” jelas Adrian perlahan.

“Kamu berdua bertengkar? Bertengkar pasal apa?” soal Puan Sri Zalina berkerut dahi.

“Entahlah, mummy. Andy pun hairan dengan sikap Mia sekarang.”

“Apa yang dia dah buat pada Andy?”

“Tak ada apa-apa, cuma dia dah tak semesra dulu.”

“Maksud Andy?”

“Dia dah tak nak lagi pergi ke tempat-tempat yang kami selalu pergi. Dia jadi agak conservative.”

Adrian tidak tahu bagaimana mahu menerangkan perubahan sikap Mia Karmila yang dirasanya itu kepada Puan Sri Zalina.

“Mungkin ada apa-apa yang Andy dah buat dan tak menyenangkan hatinya, agaknya,” ujar Puan Sri Zalina, cuba merisik.

“Tak adalah, mummy. Andy macam biasa aje dengan dia. Biasalah bila lelaki perempuan sedang bercinta, pegang-pegang tangan tu memang tak hairanlah. Tapi, Andy tahu Mia seorang gadis yang baik, tak seperti kawan-kawannya yang lain. Sebab itulah Andy sayang sangat pada dia. Andy tak boleh kalau tak dapat jumpa dia, mummy. Itulah yang Andy sedang risaukan sekarang.”

Tanpa segan silu, Adrian mengakui perasaannya dan berharap Puan Sri Zalina membantu mencari jalan terbaik untuknya memperoleh kembali perhatian Mia Karmila.

“Mungkin dia ada boyfriendlain agaknya,” teka Puan Sri Zalina.

“Tak mungkin, mummy.”

“Mana Andy tahu?”

“Andy tahu Mia bukan gadis yang mudah digoda. Sebab itulah Andy tak boleh lupakannya mummy,” ujar Adrian, penuh yakin.

Puan Sri Zalina terus merenung wajah Adrian dengan penuh kasih sayang. Kasihan melihat Adrian berkeluh-kesah begitu. Sejujurnya, dia dan Tan Sri Affendy amat merestui hubungan cinta Adrian dan Mia Karmila. Puan Sri Zalina yakin, hubungan baik keluarganya dengan Dato’ Kamal sekeluarga akan bertambah erat andai Adrian dan Mia Karmila disatukan.

“Betul Andy cintakan Mia?” soal Puan Sri Zalina ingin kepastian.

Adrian kehairanan dan segera berpaling memandang ke arah Puan Sri Zalina. Kemudian dia mengangguk perlahan.

“Kenapa mummytanya Andy soalan tu?” tanya Adrian setelah melihat Puan Sri Zalina terus tersenyum mesra.

“Tak adalah. Saja mummynak tahu. Mummytahu anak lelaki mummyni ramai jugak girlfriends,” usik Puan Sri Zalina dengan nada nakal.

Girlfriends memang ramai, mummy. Dah namanya pun girlfriendssss. Lagipun anak mummyni kan anak jantan,” balas Adrian dengan menekankan bunyi ‘ssss’ sambil tertawa kecil, seronok dapat membalas gurauan Puan Sri Zalina.

Puan Sri Zalina segera membulatkan matanya, kurang senang dengan jawapan Adrian itu.

“Tapi...” ujar Adrian terhenti, bagaikan mencari perkataan yang sesuai untuk diucap.

“Tapi apa?”

“Cinta Andy hanya pada Mia,” ujar Adrian sambil merenung Puan Sri Zalina. Dia mahu mummynya tahu ia bukanlah gurauan.

Puan Sri Zalina mengangguk-angguk, cuba memahami hati dan perasaan anak lelakinya itu. Kemudian dia mengelus lembut belakang Adrian dengan penuh kasih sayang.

“Macam mana kalau mummydengan daddypergi pinang Mia?” usul Puan Sri Zalina tiba-tiba.

Adrian merenung anak mata Puan Sri Zalina. Sungguh, dia tidak percaya soalan itu akan terkeluar daripada bibir mummynya.

“Pergi pinang Mia?” soal Adrian. Masih tidak percaya dengan apa yang didengar.

“Ya, kita pinang Mia untuk jadi isteri Andy, untuk pastikan Mia akan jadi milik Andy sebelum orang lain memilikinya,” ujar Puan Sri Zalina. Hatinya cuba membahagiakan Adrian.

Adrian terkedu seketika. Terbayang wajah Mia Karmila dengan mata yang bulat, sedang merenung tajam kepadanya. Betapa marahnya Mia Karmila malam tadi.

Mahukah Mia terima lamaran aku? Bagaimana kalau dia menolak? Soal Adrian dalam hati.

Kau belum cuba, mana tahu dia terima ke tidak? Lagipun, bukankah perkahwinan itu matlamat percintaan. Jadi masa inilah kau buktikan pada Mia yang kau betul-betul cintakan dia. Tentu dia tak sanggup untuk hampakan kau. Sebelah lagi hati Adrian seolah-olah memujuknya.

“Bagaimana dengan daddy? Dia setuju ke?” tanya Adrian ingin kepastian.

“Jangan risau pasal daddy. Mummyyakin, kalau Andy setuju dan mummysetuju, daddypasti takkan membantah. Apa yang penting sekarang adalah kebahagiaan anak lelaki mummyni,” ujar Puan Sri Zalina sambil menepuk-nepuk lembut belakang Adrian untuk memberikan semangat.

“Terima kasih, mummy,” ucap Adrian.

Perlahan-lahan dia mencapai kedua-dua tangan mummynya dan mencium telapak tangan itu dengan penuh syahdu.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.