Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,745
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 23

MiaKarmila sampai di rumah lebih kurang pukul 3.00 petang setelah Shahriman menghantarnya sehingga di hadapan pagar rumah. Mia Karmila menjinjing beg-beg plastik yang mengandungi barang-barang yang dibelinya tadi dengan riang ria sambil menyanyi kecil ketika melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menyedari mama dan papanya yang duduk di ruang tamu sedang memerhatikannya sejak dia turun dari teksi Shahriman tadi.

“Hai, bukan main lagi Mia shopping. Padanlah seronok sangat,” tegur Dato’ Kamal dengan nada nakal, sengaja mahu mengusik.

Manakala Datin Mariam terus merenung dengan pandangan tajam. Dia terkejut melihat Mia Karmila bertudung litup begitu. Datin Mariam tahu yang Mia Karmila memakai baju kurung ketika pergi belajar agama di rumah Ustazah Habibah tetapi dia tidak menyangka yang Mia Karmila akan terus selesa memakai tudung litup begitu sepanjang masa walaupun kelihatannya Mia Karmila sempat singgah membeli-belah di shopping mall.

Takkanlah Mia dah tukar penampilan pakaiannya? Bisik hati kecil Datin Mariam terus tertanya-tanya.

“Oh papa, mama, maaf Mia tak perasan yang papa dan mama ada kat rumah. Ingatkan papa masih kat pejabat,” ujar Mia Karmila terkejut, lalu berpaling dan berjalan menghampiri kedua-dua ibu bapanya itu.

Mia Karmila segera mencium pipi Datin Mariam setelah bersalaman dan mencium kedua-dua tangan papa dan mamanya itu. Memang itulah yang Mia Karmila selalu lakukan sekiranya kebetulan kedua-dua orang tuanya berada di rumah ketika dia baru balik walau dari mana sekali pun.

“Mia pergi mana sebenarnya? Pagi tadi kan Mia pergi kelas agama, macam mana boleh sempat shopping-shoppingni? Apa yang Mia beli banyak sangat tu?” soal Datin Mariam keras sambil memuncungkan bibir ke arah beg-beg plastik yang Mia Karmila letakkan di atas lantai.

Kelihatan Dato’ Kamal berkerut dahi sambil berpaling ke arah isterinya bagaikan hairan melihat reaksi isterinya yang agak kurang senang dengan tindakan anak gadis mereka itu.

Mia Karmila agak terkejut mendengar nada suara mamanya yang agak tegang itu. Dia segera memandang ke arah papanya seolah-olah memohon simpati.

“Mia memang pergi belajar mengaji pagi tadi. Pak Manap yang hantar sebab papa nak jumpa dengan ustazah yang ajar Mia tu.”

“Habis tu masa mana pulak Mia shopping-shoppingni, sampaikan tak sempat nak tukar baju ke?” soal Datin Mariam, jelas kedengaran nada suaranya yang agak kurang senang dengan penampilan anak gadisnya itu.

Mia Karmila tergamam. Perlahan-lahan dia memegang kepala bagaikan baru tersedar yang dia masih bertudung litup ketika masuk ke rumah tadi.

“Dah kebetulan Mia tak pandu kereta sendiri dan Mia balik naik teksi yang dibawa anak Ustazah Habibah, jadi Mia mintak tolong dia tunggu Mia kat shopping mallsebab Mia nak cari tudung dan baju-baju yang sesuai untuk seorang Muslimah,” ujar Mia Karmila lirih.

“Hah? Mia beli tudung dan baju-baju Muslimah? Apa maksud Mia?” soal Datin Mariam dengan mata membulat.

Dato’ Kamal hanya memerhati sambil mengurut-urut lembut dahi.

“Err... orang perempuan wajib menutup aurat. Tu perintah ALLAH yang wajib kita patuhi. Jadi Mia belilah tudung dan baju-baju yang boleh menutup aurat Mia dengan sempurna sebab sekarang Mia tak banyak tudung atau baju yang sesuai yang boleh Mia pakai sepanjang masa,” ujar Mia Karmila berhati-hati.

“Apa? Mia nak pakai tudung sepanjang masa?” soal Datin Mariam lagi dengan mata yang semakin membulat.

“Ya, dan bukan setakat tudung aje tetapi jugak baju-baju yang menutup aurat mengikut syariat Islam. Mia nak tutup aurat Mia daripada dilihat orang-orang yang bukan mahram Mia sebab Mia tidak nak Mia atau papa atau mama masuk neraka nanti,” ujar Mia Karmila, cuba menyampaikan fakta-fakta yang diberitahu Ustazah Habibah kepadanya pagi tadi.

Dato’ Kamal dan Datin Mariam sama-sama tergamam. Dato’ Kamal menarik nafas panjang. Spontan Mia Karmila merenung ke wajah papanya dengan pandangan yang keliru bercampur bimbang.

Inilah peluang aku untuk menasihati isteriku, detik hati kecil Dato’ Kamal.

“Alhamdulillah, terima kasih Mia kerana niat Mia yang amat murni itu. Papa bangga ada anak gadis yang solehah macam Mia,” ucap Dato’ Kamal sambil mengelus bahu Mia Karmila yang duduk di sebelahnya.

“Abang!”

“Dan kamu Yam, sepatutnya sejak dulu lagi Yamlah yang sewajibnya bertudung dan memakai pakaian yang menutup aurat. Jadi sekarang abang nak Yam jugak berpakaian yang menutup aurat macam Mia setiap masa apabila berhadapan dengan orang-orang yang bukan mahram. Abang tak sanggup lagi nak tanggung dosa-dosa Yam kerana mendedahkan aurat begini,” tegas Dato’ Kamal sambil merenung tajam ke wajah isterinya.

“Tapi bang...”

“Tak ada tapi-tapi lagi, Yam. Abang sedar yang abang dah banyak lalai selama ni. Jadi abang tak nak kita terus-menerus bergelumang dengan dosa kerana mengingkari perintah ALLAH. Kalau Yam benar-benar sayangkan abang, mulai sekarang Yam pun kena ubah penampilan Yam macam apa yang Mia lakukan ni,” tegas Dato’ Kamal memberi kata muktamad.

Datin Mariam tersentak. Dia bagaikan tidak percaya yang Dato’ Kamal boleh mengarahkannya begitu di hadapan Mia Karmila. Dia langsung tidak menyangka perubahan yang berlaku pada anak gadisnya itu juga telah bagaikan berjaya mempengaruhi tindakan suaminya untuk melakukan perubahan yang besar di dalam cara kehidupan mereka sekeluarga. Datin Mariam merenung Mia Karmila dengan tenungan yang tajam.

“Mama, maafkan Mia kerana kata-kata Mia tadi telah membuatkan papa marah sehingga papa paksa mama lakukan perkara yang mungkin mama tak suka. Tapi apa yang Mia katakan tu adalah perintah ALLAH yang tak boleh kita pertikaikan,” ujar Mia Karmila membela diri. Dia terpandang renungan tajam Datin Mariam yang bagaikan mahu menelannya.

Dato’ Kamal segera menarik Mia Karmila rapat di sisinya seolah-olah mahu melindungi anak gadisnya itu daripada dimarahi mamanya. Datin Mariam yang telihat keakraban dua beranak itu tiba-tiba terasa dirinya amat terasing ketika itu. Entah mengapa hatinya jadi sendu dan pilu yang teramat-amat. Tidak sanggup rasanya dia menentang mata suaminya yang begitu penyayang terhadap anak gadisnya ketika itu walaupun Datin Mariam sedar bahwa Dato’ Kamal seorang suami dan papa yang baik selama ini.

Ya ALLAH, sesungguhnya aku tahu aku berdosa kerana mengingkari perintah-MU tetapi tiada siapa yang mahu membimbing aku selama ini. Adakah apa yang sedang berlaku ini adalah rahmat-MU kepada keluarga kami? Bisik hati kecil Datin Mariam.

“Yam, abang sedar abang telah terlalai di dalam menjalankan tanggungjawab abang di dalam mendidik Yam dan anak-anak mengikut syariat Islam. Selama ni abang hanya sibuk menyediakan keperluan duniawi sehingga melupakan keperluan akhirat.

ALLAH itu Maha Adil dan Maha Penyayang. DIA tahu kita berdua dah tersasar jauh daripada syariat-NYA sehingga kita tak berusaha langsung untuk mendekati-NYA. Maka sebab tulah DIA hantar anak yang solehah kepada kita untuk mengingatkan kita. Abang benar-benar bersyukur kerana ALLAH masih sayang keluarga kita dan beri peluang kepada kita untuk bertaubat dan memperbaiki diri.

Dan macam yang Mia kata tadi, dia tak nak abang masuk neraka kerana kelalaian abang membiarkan dia terus ingkar pada perintah ALLAH. Maka sebab tu abang mintak Yam pun turut berubah kalau Yam benar-benar sayangkan abang. Sebagai suami dan papa, adalah menjadi tanggungjawab abang untuk memastikan keluarga kita terus mendapat reda ALLAH. Yam sanggup ke biarkan abang masuk neraka kalau Yam terus berdegil macam ni?” nasihat Dato’ Kamal dengan suara yang lirih.

Datin Mariam terus membisu. Mia Karmila yang melihat mamanya seolah-olah keliru segera bangun dan berteleku di hadapan wanita itu sambil mencapai kedua-dua tapak tangan dan menciumnya dengan penuh syahdu.

“Mama, kasihanilah papa. Janganlah kita terus mengheret papa ke neraka. Masih belum terlambat untuk kita bertaubat, ma,” rayu Mia Karmila dengan linangan air mata.

Datin Mariam terkedu. Terasa betapa jahil dan berdosanya dia selama ini. Dia segera menarik kedua-dua bahu Mia Karmila dan memeluk anak gadisnya itu sambil tersedu-sedu dengan air mata yang tidak dapat lagi diseka. Datin Mariam mencium dahi Mia Karmila dengan penuh syahdu sebelum melepaskannya dan segera berpaling menghadap suaminya. Datin Mariam segera mencapai kedua-dua tangan Dato’ Kamal dan kemudian mencium kedua-dua telapak tangan suaminya itu dengan air mata yang terus menitis.

“Ampunkan Yam, bang. Yam tahu Yam banyak berdosa pada abang. Yam selalu pentingkan diri sendiri di dalam segala urusan rumah tangga kita.”

Datin Mariam menyembamkan muka ke atas pangkuan suaminya sambil terus tersedu-sedu tanpa menghiraukan Mia Karmila yang masih berada di sisinya. Entah mengapa hati Datin Mariam tiba-tiba terasa amat takut apabila teringatkan kata-kata Mia Karmila yang tidak mahu mengheret dia dan suaminya ke neraka.

Oh, alangkah beruntungnya aku mendapat anak seperti Mia Karmila yang telah menyedarkan aku dan suamiku tentang perintah-MU. Ya ALLAH, ampunkanlah segala dosaku dan KAU rahmatilah kami sekeluarga, doa Datin Mariam di dalam hati.

“Alhamdulillah, abang bersyukur kerana Yam pun dah sedar akan kelalaian kita selama ni. Terima kasih Mia, kerana menyedarkan papa dan mama,” ucap Dato’ Kamal sambil mengelus lembut kepala isterinya yang masih di pangkuan sebelum memandang ke arah Mia Karmila yang kelihatan sedang menyeka air mata.

Tanpa disedari, kelihatan dari pintu dapur Mak Kiah yang memerhatikan ‘drama’ mereka sejak tadi juga turut menyeka air mata dengan penuh kesyukuran kerana ALLAH masih sayangkan majikannya itu. Ya ALLAH, alhamdulillah, kerana memakbulkan doa-doaku, bisik hati kecil Mak Kiah.

Lewat malam itu, buat pertama kalinya setelah berpuluh tahun mereka berkahwin, Dato’ Kamal dan Datin Mariam bertahajud dan bermunajat kepada ALLAH, memohon keampunan dan keredaan yang Maha Esa. Bercucuran air mata Dato’ Kamal dan Datin Mariam membasahi sejadah.

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.