Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,389
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 17

Eh, kenapa Cik Mia duduk kat depan?” soal Shahriman terkejut apabila tersedar Mia Karmila telah duduk di tempat penumpang di sebelahnya sambil menutup pintu teksi.

“Tak apalah, sekarang saya kan sahabat Encik Aiman dan bukan penumpang teksi macam tempoh hari. Jadi sebagai sahabat, tak sanggup rasanya saya nak jadi macam tuan besar duduk kat belakang,” ujar Mia Karmila cuba bergurau.

“Hmm... sudi ke Cik Mia bersahabat dengan pemandu teksi macam saya ni?” soal Shahriman pula sambil matanya terus menumpu ke arah jalan raya yang agak sibuk sebaik sahaja teksinya mula meninggalkan halaman rumahnya.

“Kenapa? Pemandu teksi bukan orang ke?” soal Mia Karmila dengan nada nakal sambil tertawa kecil.

Mia Karmila tiba-tiba rasa seronok dapat bergurau dan mengusik Shahriman begitu sebagaimana yang selalu dia lakukan ketika bergurau dengan Adrian atau kawan-kawannya yang lain ketika mereka selalu berjumpa sebelum ini.

Shahriman yang tidak menyangka Mia Karmila berani mengusiknya begitu segera berpaling, merenung wajah yang polos itu dengan dahi berkerut. Kebetulan teksinya sedang berhenti di lampu isyarat. Entah apa yang telah memukau hatinya tiba-tiba Shahriman turut tergelak apabila melihat reaksi nakal Mia Karmila yang melawan renungannya dengan dahi berkerut juga seolah-olah cuba mencabarnya.

“Hah, pandai Cik Mia nak kenakan saya, ya?” ujar Shahriman tersenyum mesra.

“Taklah! Betullah kan apa yang saya tanya. Apa bezanya pemandu teksi dengan orang lain? Lagipun, saya dah tahu yang Encik Aiman bukan pemandu teksi sepenuh masa tetapi hanyalah sebagai pekerjaan sambilan untuk memenuhi masa lapang aje sedangkan kerja Encik Aiman yang sebenar adalah amat mulia, guru agama dan al-Quran. Jadi apa salahnya kalau saya jadi sahabat Encik Aiman. Atau...” ujar Mia Karmila tiba-tiba bagaikan agak keberatan untuk meneruskan kata-kata.

Sinar matanya yang ceria dan riak nakal jelas terbayang di wajah Mia Karmila tadi bagaikan sudah hilang daripada wajah polos itu.

“Atau apa, Cik Mia?” soal Shahriman teruja.

“Atau Encik Aiman yang sebenarnya keberatan untuk menerima saya sebagai sahabat Encik Aiman. Maklumlah saya ni cuma seorang gadis yang serba kekurangan dalam ilmu agama jika dibandingkan dengan Encik Aiman,” ujar Mia Karmila sayu.

“Astaghfirullahalazim, mengapa Cik Mia kata begitu? Saya sikit pun tak pernah menganggap begitu. Bagi saya, kecil tapak tangan, Stadium Bukit Jalil saya tadahkan kalau Cik Mia sudi jadi sahabat saya. Cumanya tadi saya tanya begitu sebab khuatir kalau-kalau Cik Mia malu nak bersahabat dengan saya sebab saya bukan anak orang kaya atau ternama macam keluarga Cik Mia,” ujar Shahriman menjelaskan apabila perasan perubahan wajah Mia Karmila yang tiba-tiba itu.

“Jadi, Encik Aiman sudilah terima saya sebagai sahabat Encik Aiman? Tapi...” Mia Karmila yang kembali ceria itu tiba-tiba terputus kata-kata sekali lagi.

“Tapi apa pulak, Cik Mia?” soal Shahriman seolah-olah tidak sabar.

“Tapi larat ke Encik Aiman nak angkat Stadium Bukit Jalil tu?” soal Mia Karmila mengusik sambil berpaling memandang Shahriman.

“Oh, Cik Mia nak cabar sayalah ya? Tak apa, kali ni saya bagi Cik Mia menang, tapi lain kali belum tentu ya,” ujar Shahriman tertawa kecil.

“Hu...hu...hu... ada orang dah nak merajuk,” usik Mia Karmila lagi.

“Siapa yang merajuk?” soal Shahriman.

“Entah!”

“Hmm... nasib baik anak orang, kalau...”

“Kalau apa?”

“Tak ada apa.”

“Huh, dah pandai nak pekena saya ya?” perli Mia Karmila tersenyum mesra.

“Mestilah. Cik Mia yang ajar,” balas Shahriman selamba.

“Hmm... malaslah nak cakap lagi. Asyik-asyik saya aje yang kena.”

Entah kenapa Mia Karmila rasa semakin seronok bergurau dengan Shahriman. Terasa jiwanya melambung-lambung keriangan dapat usik-mengusik begitu. Langsung tidak terasa bosan walaupun perjalanan mereka itu agak terangkak-rangkak kerana jalan raya yang agak sesak ketika itu.

“Hai, tadi pandai kata orang merajuk tapi sekarang dia pulak yang merajuk.”

Sempat Shahriman menjeling ke arah Mia Karmila yang seolah-olah sedang memuncung itu. Entah bagaimana tiba-tiba sahaja terdengar gelak ketawanya yang mengekek-ngekek seolah-olah seronok melihat Mia Karmila merajuk begitu.

“Iyalah, Encik Aiman gelaklah kat saya.” Semakin panjang rajuk Mia Karmila.

Shahriman terkedu. Tidak menyangka gadis itu agak sensitif hatinya. Terasa kesal di hati Shahriman kerana terlalu cepat mahu bergurau senda begitu sedangkan dia belum lagi mengenali hati budi gadis itu.

“Cik Mia, janganlah memuncung macam tu. Nanti kalau orang kat luar tengok, mereka ingat saya ni jahat sangat pulak. Suka sakitkan hati perempuan cantik macam Cik Mia. Tak pasal-pasal pulak orang takut nak naik teksi saya nanti. Kan tak baik kalau timbul fitnah. Saya bergurau ajelah tadi, kalau Cik Mia terasa hati, saya mintak maaf,” ucap Shahriman cuba memujuk.

Mia Karmila pula yang tergamam. Tidak menyangka reaksi gurauannya itu telah disalah anggap lelaki itu. Walhal hakikatnya Mia Karmila seronok dapat menyakat Shahriman dengan berpura-pura merajuk begitu dengan harapan lelaki itu akan mahu terus bergurau senda dengannya.

“Oh, saya yang sepatutnya mintak maaf pada Encik Aiman kerana saya yang mulakan tadi. Saya sikit pun tak kecil hati malah saya seronok dapat mengusik Encik Aiman. Saya tak sangka pulak gurauan kita tadi boleh mendatangkan fitnah. Maafkan saya,” ucap Mia Karmila sambil memandang ke arah Shahriman dengan pandangan sayu.

“Jadi Cik Mia bukanlah betul-betul merajuk tadi? Alhamdulillah, sebenarnya saya risau kalau saya telah menyakiti hati Cik Mia. Saya pun cuma bergurau aje tadi,” ujar Shahriman tersenyum lega.

“Usik-usik bawa bahagia,” bisik Mia Karmila perlahan, turut tersenyum.

“Apa dia, Cik Mia?” soal Shahriman sambil merenung gadis itu dengan pandangan keliru.

“Eh, tak ada apa-apa. Hmm... tak sangka Encik Aiman pun suka bergurau jugak.” Mia Karmila yang terasa malu dengan ucapan yang tidak disengajakannya itu segera menjawab dengan harapan Shahriman tidak mendengar kata-katanya itu.

“Bergurau untuk menghiburkan hati, tak salah di sisi agama. Rasulullah pun suka bergurau dengan isteri-isteri baginda dan para sahabat. Asalkan jangan keterlaluan sehingga boleh menyinggung perasaan orang lain atau yang boleh menimbulkan fitnah, sudahlah,” ujar Shahriman cuba menerangkan.

“Hmm... untung saya dapat berkenalan dengan Encik Aiman. Banyak ilmu yang saya pelajari,” balas Mia Karmila dengan nada penuh kesyukuran.

“Itu dah jadi tanggungjawab saya sebagai sesama Islam untuk saling ingat-mengingati agar kita tak tersasar dari jalan yang diredai ALLAH ketika mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini,” komen Shahriman, ikhlas.

Sempat Shahriman menjeling ke arah Mia Karmila yang seolah-olah sedang mentafsir apa yang dikatakannya itu.

Akhirnya kelihatan Mia Karmila hanya mengangguk-angguk sebagai tanda memahami dan bersetuju dengan apa yang dikatakan lelaki yang sedang khusyuk menumpukan perhatiannya terhadap pemanduannya itu.

“Err... Encik Aiman boleh tolong saya tak?” soal Mia Karmila tiba-tiba setelah mereka sama-sama terdiam buat seketika.

“Err... tolong apa? Kalau pasal Cik Mia, bila-bila pun saya sanggup tolong,” jawab Shahriman terkejut walaupun ada kedengaran nada nakal dalam suaranya, mungkin ingin mengusik.

“Iyalah tu. Saya serius ni,” balas Mia Karmila, tahu bahawa lelaki itu sengaja mahu mengusiknya.

“Okey, okey, apa dia yang Cik Mia nak saya tolong?” jawab Shahriman segera apabila melihat Mia Karmila benar-benar serius.

Mia Karmila termangu sebentar sambil memulas-mulas jari-jemarinya seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Manakala Shahriman pula terus memerhati reaksi gadis itu dengan penuh teruja kerana kebetulan teksinya sedang berhenti di lampu isyarat.

“Kat mana agaknya ada jual kain tudung yang cantik-cantik? Err... maaflah, saya tahu mungkin Encik Aiman tak tahu sebab tu pakaian perempuan. Tetapi saya nak mintak tolong Encik Aiman hantarkan saya ke shopping malldi mana saya boleh cari kain-kain tudung, boleh tak?” soal Mia Karmila.

Shahriman pula yang tergamam kali ini. Namun berdetik juga hatinya kerana baru tersedar yang Mia Karmila telah memakai tudung dengan baju kurung yang sopan sejak dia melihatnya di rumah uminya tadi, berbanding kali terakhir dia bertemu dengan gadis itu ketika menolong menukarkan tayar keretanya kira-kira tiga minggu lalu di mana Mia Karmila masih berpakaian seksi tanpa tudung.

Mata mereka bertembung seketika apabila Mia Karmila berpaling memandang ke arah lelaki di sebelahnya itu. Shahriman tidak dapat menafikan bahawa Mia Karmila nampak lebih manis dan ayu dengan pakaian yang sopan begini. Entah kenapa hati Shahriman tiba-tiba berdebar dan jantungnya bergetaran apabila mata mereka bertautan. Spontan Shahriman beristighfar dalam hati dan segera berpaling memandang ke arah jalan raya yang masih sesak tanpa sebarang suara.

Mia Karmila terus memandang ke arah Shahriman dengan pandangan keliru. Namun dia tetap sabar menanti jawapan.

“Err... boleh. Kat depan tu ada sebuah shopping mallyang mungkin ada jual kain-kain tudung yang macam Cik Mia nak cari. Jadi, kita singgah situ, okey ke?” cadang Shahriman.

“Hmm... tak apa ke kalau Encik Aiman hantar dan kemudian tunggu saya kat situ? Petang nanti Encik Aiman tak ada kelas ke kat Darul Hana?” soal Mia Karmila tiba-tiba rasa bersalah kerana terpaksa menyusahkan Shahriman.

“Tak apa, petang ni saya tak ada kelas. Saya cuma ada satu kelas pagi tadi, dan memang niat saya nak bawak teksi petang ni sebab saya memang freedari tengah hari sampai malam hari ni,” balas Shahriman cuba meyakinkan.

“Okey, kalau macam tu bolehlah Encik Aiman turunkan saya dan tunggu sekejap kat shopping malltu ya.” Kelihatan wajah Mia Karmila kembali berseri-seri keriangan.

No problem, dengan syarat...” ujar Shahriman sengaja memutuskan kata-katanya untuk membuat Mia Karmila teruja.

“Syarat apa?” soal Mia Karmila.

“Cik Mia akan terus menutup aurat untuk mencari keredaan ALLAH dan bukannya atas sebab-sebab lain,” sambung Shahriman.

“Maksud Encik Aiman?” soal Mia Karmila keliru.

“Cik Mia kata nak cari tudung, kan?”

“Haah,” jawab Mia Karmila mengiyakan.

“Kenapa Cik Mia nak cari tudung?”

“Saya nak pakai tudung untuk menutup rambut saya. Rambut perempuan adalah sebahagian daripada aurat. Menutup aurat tu kan perintah ALLAH? Jadi salah ke saya nak pakai tudung?” soal Mia Karmila.

“Betul, menutup aurat tu perintah ALLAH tetapi tak kurang jugak ada orang yang menutup aurat bukan kerana takut perintah ALLAH tetapi sekadar mahu mengambil hati orang lain supaya tak memandang serong terhadapnya ataupun kerana dipaksa seseorang yang mahukan dia menutup aurat. Dia melakukan itu bukan dengan keikhlasan hatinya. Jadi saya harap Cik Mia tak begitu,” jelas Shahriman.

Mia Karmila terkedu. Tidak tahu apa yang harus dijawab kerana hakikatnya memang dia mahu memakai tudung kerana baru sahaja dinasihati Hajah Habibah semasa mengaji tadi.

“Err... saya tak tahu sama ada apa yang saya lakukan ni betul atau tak. Saya nak memakai tudung kerana Ustazah Habibah kata orang perempuan yang tak menutup aurat adalah berdosa. Jadi saya nak pakai tudung kerana nasihat Ustazah Habibah dan bukannya daripada hati saya sendiri,” ujar Mia Karmila mengakui.

“Oh, baguslah tu. Maknanya Cik Mia sedar bahawa membuka aurat itu berdosa kerana melanggar perintah ALLAH. Dan bagi menghindarkan dosa itu maka Cik Mia mahu memakai tudung. Betulkan begitu?” soal Shahriman ingin kepastian.

“Ya, saya baru sedar bahawa membuka aurat itu adalah melanggar perintah ALLAH. Sesiapa yang melanggar perintah ALLAH adalah berdosa. Saya tak nak masuk neraka dan sebab tu saya nak bertaubat daripada terus berbuat dosa dengan menutup aurat saya sebagai tanda saya mahu mentaati perintah ALLAH yang selama ini saya abaikan. Adakah itu dikira saya terpaksa kerana saya memang baru sedar dan mahu berubah sekarang,” ujar Mia Karmila ragu-ragu.

“Alhamdulillah, kesedaran yang Cik Mia rasakan sehingga membawa kepada perubahan itu adalah satu cara yang terbaik sebagai tanda Cik Mia benar-benar ikhlas telah bertaubat. Moga-moga ALLAH menerima taubat Cik Mia itu dan akan merahmati Cik Mia selamanya,” ujar Shahriman tersenyum mesra.

Sempat dia menjeling ke arah gadis yang duduk di sebelahnya itu sebelum dia memarkir teksi di tempat parkir yang terdapat di kawasan shopping mall yang dimaksudkan tadi.

“Insya-ALLAH, amin,” ucap Mia Karmila sambil menyapu muka dengan kedua-dua belah tapak tangan.

Entah mengapa hati Shahriman jadi amat tersentuh apabila mendengar keikhlasan dalam nada suara Mia Karmila itu. Bagai terpukau, Shahriman segera mengangkat kedua-dua tangan dan kemudian menyapunya ke muka seolah-olah turut mengaminkan doanya tadi sebelum dia mematikan enjin teksinya.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.