Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,343
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 19

Eh, Mia ke tu? Siapa lelaki dan perempuan yang bersamanya tu? Tetapi kenapa Mia bertudung dan berbaju kurung? Mesra betul nampaknya mereka tu sehingga Mia tak nampak aku ada kat sini.

Bertubi-tubi soalan itu memenuhi ruang fikiran Adrian yang tiba-tiba terpandangkan Mia Karmila yang sedang berpegangan tangan dengan Rodhiah sambil Shahriman di sebelah kirinya beriringan memasuki Restoran Kelantan Delight yang agak penuh dengan pelanggan-pelanggan yang sedang sibuk menjamu selera tengah hari itu.

Adrian yang sengaja mengajak tiga orang kawan-kawannya yang baru balik dari luar negara makan tengah hari di restoran itu tergamam apabila terpandang Mia Karmila yang jelas kelihatan begitu gembira, melintasi meja mereka Adrian tanpa menyedari kehadirannya di situ.

Namun apa yang benar-benar mengejutkan Adrian adalah cara penampilan Mia Karmila ketika itu. Dia tidak pernah melihat Mia Karmila berpakaian sebegitu sebelum ini. Ingin benar dia menemui Mia Karmila di mejanya kerana memang dia teramat rindu pada gadis itu. Telah beberapa kali Adrian menelefon Mia Karmila untuk mengajaknya keluar bersama tetapi Mia Karmila sentiasa menolak dengan berbagai alasan.

Tetapi apabila melihatkan perubahan penampilan Mia Karmila itu, Adrian segera terfikir bahawa tidak mustahil juga Mia Karmila boleh berpura-pura tidak mengenalinya ketika itu sekiranya dia benar-benar tidak mahu lagi bertemunya, maka Adrian terpaksa mematikan sahaja niatnya untuk menemui Mia Karmila kerana takut akan dimalukan Mia Karmila di hadapan kawan-kawannya.

Daripada ekor mata, Adrian dapat melihat Mia Karmila amat seronok dan gembira ketika itu apabila sentiasa tersenyum dan sekali-sekala tertawa riang seolah-olah ada sesuatu yang amat melucukan sedang mereka perbualkan.

Tiba-tiba terdetik rasa cemburu di hati Adrian melihat reaksi Mia Karmila yang amat berbeza ketika berbual dengannya walaupun di telefon, kerana jelas Adrian dapat merasakan kebosanan Mia Karmila berbanding dengan keadaan Mia Karmila yang begitu riang ketika itu, lebih-lebih lagi apabila terlihat lelaki yang ada bersama Mia Karmila itu sentiasa memberikan sepenuh perhatian terhadap gadis itu.

“Hai Andy, termenung jauh nampaknya. What’s up, bro?” tegur Jafril sambil menepuk lembut bahu Adrian yang kelihatan hanya menguis-nguis makanan yang ada di pinggannya.

“Oh, err... tak adalah. Aku rasa macam dah kenyang sangat sampai dah tak boleh nak masuk lagi makanan ni,” ujar Adrian terkejut, cuba menyorokkan apa yang mengganggu fikirannya.

“Iya ke? Aku tengok nasi kau sikit aje tadi, takkan itu pun dah kenyang? Atau kau takut kalau kami pun turut makan banyak-banyak nanti teruk pulak kau nak bayar makanan kami ni?” usik Jafril.

“Hei, come-on lah. Jangan nak bikin gua malulah, bro. Setakat nak bayar makanan lu orang ni, gua tak hairanlah. Kalau lu orang nak suruh gua beli kedai ni sekali pun gua boleh beli tau,” balas Adrian segera menangkis anggapan Jafril dengan nada nakal menggunakan bahasa rojak yang selalu mereka gunakan apabila bergurau senda, seolah-olah sengaja mahu menunjukkan bahawa dia benar-benar seronok dapat bersama kawan-kawannya ketika itu.

Adrian cuba menceriakan suaranya dengan tertawa kecil agar kawan-kawannya tidak dapat mengesan hatinya yang bergelora kerana terpandangkan Mia Karmila tadi.

“Gua cayalah sama lu, bro.Siapa tak kenal lu, anak kesayangan Tan Sri Affendy yang muda-muda dah jadi one of the richest bachelor in town,” ujar Adam Hadi sambil turut tertawa terkekeh-kekeh di sebelah Adrian dan menepuk-nepuk lembut bahu sahabatnya itu sebagai tanda menyetujui kehebatan Adrian itu.

“Hei, lu jangan perli gua hah. Siapa dia yang the richest bachelor in town?Kalau gua dah jadi the richest bachelor in town, dah lama gua pergi pinang Neelofa, pelakon yang cantik manis yang tengah topsekarang ni tau,” balas Adrian terus dengan nada bergurau.

“Hei Andy, betul apa yang Adam kata. Walaupun kita orang ni balik belajar dari luar negera tetapi belum tentu lagi boleh senang dapat kerja. Tapi tengok lu, baru setahun aje awal balik dari kita orang, tapi dah jadi Pengarah Urusan syarikat yang terkemuka kat KL ni. Siapa tak caya kalau lu adalah the richest bachelor in townsekarang?” sampuk Rashid yang diam sahaja sejak tadi sambil turut tersenyum lebar.

“Hah, sudah, sudah! Janganlah lu orang nak bodek-bodek gua. Lu pun Rashid, apa kurangnya? Semua estate kelapa sawit kat Johor tu siapa punya, kalau bukan papa lu punya. Jadi tak lama lagi lu pun akan jadi the richest bachelor in townbila lu dah mula uruskan kilang minyak papa lu nanti. Lagipun lu semua bukan koman-koman punya kelulusan, ada Master lagi. So, janganlah bodek-bodek gua. Gua akan bayarlah semua makanan lu orang ni.”

Adrian yang faham perangai kawan-kawannya yang suka bergurau itu terus tersenyum lebar seolah-olah seronok sangat dapat usik-mengusik begitu.

Thank you, bro.Itulah untungnya dapat kawan anak orang kaya macam lu ni, bro. Kenyang kita orang dapat lu belanja selalu,” ujar Jafril pula sambil menepuk lembut bahu Adrian.

Adam Hadi dan Rashid turut mengangguk-angguk sambil menunjukkan ibu jari.

“Alah, sikit punya hal la itu,” balas Adrian sebelum menyedut straw minumannya seolah-olah mahu membasahkan tekak yang agak kering.

Kelihatan kawan-kawannya yang bertiga itu pun turut menyuap makanan dengan penuh selera.

“Hah, malam nanti kau orang freetak? Kalau kau orang tak ada apa-apa program, nak tak ikut gua pergi enjoy kat karaoke lounge?” Tiba-tiba kedengaran Adrian bertanya apabila melihat kawan-kawannya senyap sahaja sambil menghabiskan makanan yang masih bersisa di dalam pinggan masing-masing.

Wow! That sounds good. Macam mana Adam dan Rashid? Lu orang nak jointak malam nanti? Gua no problem,” ujar Jafril sambil memandang ke arah Rashid dan Adam Hadi yang sedang menghabiskan suapan mereka.

Adrian yang turut cuba menghabiskan makanannya sempat menjeling ke arah meja di mana Mia Karmila dan dua rakannya sedang rancak menikmati hidangan mereka. Hati Adrian terus berdetik dengan seribu persoalan apabila melihat reaksi Mia Karmila yang sentiasa riang bersama rakan-rakannya itu.

Bagaikan ada malaikat yang memanggil, Mia Karmila tiba-tiba berpaling ke sebelah kanan dan memandang ke arah meja di mana Adrian dan kawan-kawannya duduk. Mata Mia Karmila bagaikan terpaku pada wajah Adrian yang kebetulan juga sedang berpaling memandang ke arahnya. Mata mereka bertaut seketika. Jantung Mia Karmila bagaikan berhenti berdenyut apabila anak mata Adrian bagaikan sedang memanah tepat ke anak matanya.

Dia segera berpaling kembali menghadap Shahriman dan Rodhiah yang duduk di hadapannya dengan harapan Adrian tidak akan dapat mengenalinya dengan keadaannya yang bertudung litup begitu. Mia Karmila terus menunduk sambil cuba menghabiskan makanan yang masih bersisa di dalam mulut walaupun tiba-tiba dirasanya bagaikan sudah tidak boleh menelan apa-apa lagi ketika itu.

Janganlah dia datang ke meja aku ni, bisik hati Mia Karmila penuh mengharap kerana dia tidak tahu macam mana mahu mengenalkan Shahriman dan Rodhiah kepada Adrian.

“Andy.” Kedengaran Jafril menegur Adrian yang kelihatan bagaikan sedang tergamam.

“Oh ya, ada apa bro?” soal Andy seolah-olah baru tersedar daripada lamunan sambil berpaling kembali menghadap kawannya itu.

“Apa yang lu tenung sampai tak berkelip tu?”

“Eh, tak ada apa-apalah! Gua tengok Mamat tu terrorbetul boleh bawa dua awek sekali. Awek pakai tudung pulak tu,” ujar Adrian kagum sambil memuncungkan bibir ke arah meja di mana Mia Karmila sedang makan bersama Shahriman dan Rodhiah.

Ketiga-tiga lelaki itu segera memandang ke arah yang dimaksudkan Adrian. Ketika itu kelihatan Shahriman sedang tersenyum lebar kerana geli hati mendengar cerita Rodhiah yang agak mencuit hati.

Tanpa disedari Shahriman dan Rodhiah, walaupun turut tersenyum lebar Mia Karmila yang sedang cuba melarikan wajahnya daripada Adrian tadi kelihatan terus memalingkan kepalanya ke arah Rodhiah dengan harapan Adrian dan kawan-kawannya tidak akan dapat melihat wajahnya.

Oh tidak, janganlah ada di antara mereka yang mengenali aku. Ya ALLAH, suruhlah mereka semua cepat-cepat keluar dari restoran ni supaya Adrian takkan dapat mengenali aku, doa Mia Karmila dalam hati.

Manakala Rashid yang sedang turut memandang ke arah meja Mia Karmila sebagaimana yang ditunjukkan Adrian tadi, jadi agak tergamam apabila tanpa diduga telah terpandang Rodhiah yang sedang tertawa riang di sebelah Mia Karmila. Hati Rashid tiba-tiba bergetar tidak keruan dan terus tertanya-tanya mengapakah Rodhiah berada di KL ini?

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.