Home Novel Keluarga SEINDAH TAKDIR CINTA
SEINDAH TAKDIR CINTA
Kamsiah Abu
7/12/2012 18:17:17
236,391
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 10

SEBAIK sahaja Mia Karmila melangkah masuk ke dalam bilik, dia segera meletakkan beg tangan dan buku-buku yang dibeli di atas katil. Kemudian dia meluru ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk. Jam telah pun menunjukkan hampir pukul 2.00 petang. Mia Karmila telah mendengar azan di dalam radio ketika memandu tadi.

Memang niatnya mahu segera menunaikan Solat Zohor dan melakukan sujud syukur sebagaimana nasihat Shahriman sebaik sahaja sampai di rumah. Tetapi niatnya itu tergendala apabila mendapat panggilan telefon daripada Adrian. Dia tidak menyangka perbualannya dengan Adrian boleh meleret-leret sehingga melewatkan lagi masanya untuk melaksanakan solat.

“Ya ALLAH, aku bersyukur di atas rahmat dan hidayah-MU. Aku memohon agar KAU tambahkan dan kekalkanlah rahmat dan hidayah-MU ini di dalam hatiku. Tunjukkanlah aku jalan yang betul untuk aku menambahkan takwa terhadap-MU. Aku tahu aku telah lalai dan mengingkari perintah-MU selama ini, namun berilah aku peluang untuk kembali ke jalan yang KAU redai.

Aku bersyukur kerana KAU telah menghantar Shahriman untuk menolongku dan telah menyedarkan aku daripada kelalaianku terhadap-MU selama ini. Aku jugak memohon rahmat-MU agar dapat bertemunya lagi di dalam situasi yang KAU redai,” doa Mia Karmila selesai Solat Zohor dan melakukan sujud syukur.

Hmm... banyak lagi rupanya kebesaran-kebesaran ALLAH yang aku tak tahu, bisik Mia Karmila sendu apabila dia mula membaca buku Meraih Cinta Al Khaliq yang dibelinya tadi.

“Mia...Mia...”

Tumpuan Mia Karmila terganggu apabila terdengar suara Datin Mariam dari luar pintu bilik. Mia Karmila segera menuju ke pintu dan membukanya.

“Ya ma, kenapa?” soal Mia Karmila terkejut. Tidak menyangka Datin Mariam balik awal hari ini.

“Andy kata kereta Mia rosak tadi ya?”

“Oh, bila Andy jumpa mama?” soal Mia Karmila hairan.

“Kat kelab tadi. Dia datang makan tengah hari kat kelab dan kebetulan mama dan Puan Sri Zalina pun sedang makan kat situ, jadi kami berbual-buallah sekejap,” beritahu Datin Mariam.

“Macam mana pulak Andy boleh keluar cerita pasal kereta Mia rosak?” soal Mia Karmila lagi, seakan-akan tidak senang dengan sikap Adrian yang suka mengadu segalanya pada Datin Mariam.

“Andy kata Mia ada telefon dia pagi tadi tetapi dia tak sempat nak jawab sebab tengah mesyuarat. Dia risau kalau Mia kecil hati, jadi sebab tu dia terus telefon Mia sebaik sahaja habis mesyuarat tadi. Dia rasa amat bersalah kerana tak dapat nak tolong semasa Mia memerlukan pertolongannya.”

“Jadi?”

“Jadi dia mintak mama terangkan pada Mia sebab-sebabnya. Dia takut Mia tak percaya kata-katanya tadi,” jelas Datin Mariam.

Datin Mariam menjenguk ke dalam bilik, mahu melihat dengan lebih jelas apakah yang sedang dilakukan anak gadisnya itu. Tiba-tiba dia terpandangkan buku yang dibaca Mia Karmila tadi berselerakan di atas katil.

“Kenapa pulak dia fikir macam tu? Mia dah cakap pada dia yang Mia faham keadaan dia tadi. Jadi mengapa dia perlu risau-risau lagi?” soal Mia Karmila benar-benar tidak faham mengapa tiba-tiba Adrian seolah-olah tidak yakin apa yang dikatakannya tadi.

Mengapa mamat ni begitu prihatin terhadap perasaan aku? Soal hati kecil Mia Karmila hairan.

“Tak adalah. Dia kata Mia macam keberatan aje bila dia ajak Mia keluar malam ni. Kenapa, Mia?” soal Datin Mariam prihatin.

“Siapa kata Mia keberatan? Mia dah pun setuju untuk keluar dengan dia malam nanti. Hisy, mengada-ngada betullah Andy ni. Kalau Mia betul-betul tak nak keluar dengan dia lagi, baru dia tahu,” balas Mia Karmila tegang bagaikan meluat dengan sikap Adrian yang suka mengadu.

“Kenapa ni, Mia?”

“Kenapa apa?”

“Mama tengok Mia macam tak seronok aje nak keluar dengan Andy. Sebab tulah agaknya Andy pun rasa macam Mia keberatan tu,” komen Datin Mariam.

“Yang mama suka sangat Mia keluar dengan Andy tu, pasal apa?” soal Mia Karmila tanpa disedari.

Datin Mariam tergamam. Walaupun dia dan Dato’ Kamal memang mengamalkan sikap terbuka dalam mendidik anak-anak, tetapi apabila Mia Karmila begitu berani mempersoalkan tindak-tanduknya, Datin Mariam jadi kurang senang. Dia tidak mahu anak-anaknya mempertikai segala perancangannya dalam mengejar kekayaan dan kemewahan untuk mereka sekeluarga.

“Iyalah, Andy tu kan sayangkan Mia, jadi kesian pulak mama tengok dia bila Mia buat endah tak endah aje pada dia. Macam mana Mia rasa kalau orang yang Mia sayang tiba-tiba buat macam tu pada Mia?” jawab Datin Mariam.

Mia Karmila pula yang tergamam. Entah mengapa tiba-tiba terbayang wajah Shahriman yang tenang dan bersahaja, seolah-olah sedang memerhatikannya.

Oh, mengapakah wajah lelaki itu yang kuingat? Akan kecewakah aku kalau Shahriman hanya akan mentertawakan aku sekiranya dia tahu aku sentiasa terbayangkan wajahnya? Soal hati kecil Mia Karmila, risau.

“Habis, mama nak Mia buat apa? Ikut aje apa yang dimahukan Andy?” soal Mia Karmila, bagaikan cuba memahami niat sebenar Datin Mariam.

Datin Mariam tersenyum lega. Dia telah berjaya membuat anak gadisnya berasa serba salah lalu bersedia untuk menuruti segala apa yang dirancangkannya.

“Mama bukan nak suruh Mia ikut aje apa kata Andy, tetapi Mia kenalah jaga hatinya agar dia terus setia dan sayang pada Mia. Daripada kata-katanya, mama tahu dia memang benar-benar cintakan Mia. Lelaki handsome dan kaya macam dia tu, ramai perempuan yang berkenan. Jadi mama tak nak dia tinggalkan Mia nanti kalau dia dah rasa bosan nak pujuk-pujuk Mia selalu. Nanti siapa yang rugi, kalau bukan diri Mia jugak?” saran Datin Mariam.

“Kalau dia nak tinggalkan Mia, biarkanlah. Itu hak dia. Takkanlah Mia nak merayu-rayu pulak,” jawab Mia Karmila bagaikan tiada apa-apa yang membekas di hatinya.

“Kenapa Mia cakap macam tu? Bukan ke kamu berdua saling mencintai?” soal Datin Mariam terkejut.

“Tapi cinta bukan boleh dipaksa-paksa, ma,” jawab Mia Karmila tanpa disedari.

Datin Mariam berkerut dahi merenung Mia Karmila. Dia keliru dengan maksud anak gadisnya itu. Setahunya, selama ini Mia Karmila amat menyenangi kehadiran Adrian dalam hidupnya dan begitu juga sebaliknya. Disebabkan itulah juga pasangan itu sangat serasi dan sering keluar bersama. Hanya baru-baru ini sahaja Mia Karmila kelihatan jarang keluar bersama Adrian. Hati Datin Mariam tiba-tiba berdetik resah.

“Mia sanggup ke biarkan Andy dirampas perempuan lain? Mia dah tak sayangkan Andy ke?” soal Datin Mariam inginkan kepastian.

“Siapa kata Mia dah tak sayang Andy? Mia tetap sayangkan Andy, tapi...”

“Tapi apa, Mia?” pintas Datin Mariam sebelum Mia Karmila sempat menghabiskan kata-katanya.

“Mia hanya sayangkan Andy sebagai seorang sahabat yang baik, yang selalu menggembirakan Mia, tak lebih daripada tu. Jadi kalau Andy dah ada perempuan lain yang lebih menyayanginya, takkanlah Mia nak halang dia?” jelas Mia Karmila bersahaja.

Datin Mariam tersentak. Sangkanya Mia Karmila benar-benar mencintai Adrian selama ini. Senanglah untuknya menyuruh anak gadisnya itu memujuk Adrian agar masuk meminang secepat mungkin. Tetapi dengan keadaan sekarang, pasti susah untuk Datin Mariam berbuat demikian.

“Tapi Andy memang benar-benar cintakan Mia.”

“Mana mama tahu yang dia benar-benar cintakan Mia?”

“Mama tahulah. Kalau tak, takkanlah dia risau sangat kalau-kalau Mia menolak lagi untuk keluar malam nanti. Katanya, dia dah rindu sangat pada Mia,” balas Datin Mariam prihatin.

Memang dia amat mengharapkan agar hati Mia Karmila terus terbuka untuk menerima cinta Adrian. Malah tidak akan lagi menolak pelawaan lelaki itu.

Mia Karmila merenung tepat ke dalam mata Datin Mariam, cuba mentafsir reaksi dan kata-kata mamanya itu. Hati Mia Karmila tiba-tiba berdetik resah. Mengapakah Datin Mariam begitu bersungguh-sungguh mahu meyakinkan perasaan Adrian terhadapnya. Apakah ada perancangan yang dia tidak tahu?

“Jadi, mama benarkan ke Mia keluar dengan Andy malam nanti?” soal Mia Karmila sengaja memancing perasaan Datin Mariam.

“Tentulah mama benarkan. Malah mama tengok Puan Sri Zalina pun amat merestui bila Andy beritahu mama kat kelab tadi,” beritahu Datin Mariam dengan nada ceria.

“Hmm... terima kasih, ma,” balas Mia Karmila sambil melempar senyuman mesra.

Namun hakikatnya dia langsung tidak berminat untuk keluar dengan Adrian lagi setiap kali mengingati perangai Adrian yang suka berfoya-foya. Malah dia langsung tidak mengira halal haram dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Walaupun Mia Karmila seorang gadis yang agak sosial dan bebas tetapi dia tetap menjaga maruah dirinya. Baginya hanya itulah harga sebenar seorang gadis. Kematian sahabat baiknya, Zila telah benar-benar memberi pengajaran yang mendalam pada dirinya. Sejak itu jugalah Mia Karmila sentiasa berhati-hati setiap kali keluar berhibur bersama Adrian dan kawan-kawannya yang lain.

Mia Karmila mula terfikir bahawa Adrian bukanlah benar-benar mencintainya. Namun lelaki itu masih belum berjaya mendapatkan apa yang diingininya daripada Mia Karmila. Maka tidak hairanlah dia masih tidak berputus asa mendekatinya. Secara diam-diam, Mia Karmila telah bertekad dalam hati. Malam itu adalah kali terakhir dia keluar dengan Adrian.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.