Home Novel Cinta BUKAN LAGI MIMPI
BUKAN LAGI MIMPI
NOR RAFIDAH JAMIL
16/12/2016 16:31:48
10,333
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Daliya bersiul kecil sambil mengemop lantai di ruang tamu. Sesekali pinggangnya ke kanan dan kiri. Mahu patah pinggangnya hampir setengah jam menunduk dari tadi. Ruang tamu itu agak luas. Sehari pun belum cukup nak bersihkan dan mengemop semua itu. Banglo tiga tingkat itu kelihatan agak sunyi. Datuk Tajuddin sudah keluar main golf dengan kawannya hujung minggu itu. Datin Maimon pula keluar kerana ada menghadiri aktiviti persatuan. Sekurang-kurangnya, bila ada Datin Maimon, bolehlah dia berborak-borak. Nasrul? Hmmm dia malas nak ambil peduli fasal lelaki itu. Wujud ke tidak, kalau ada depan mata menyakitkan hati saja.

“Amboi, senang hati nampak. Menang loteri ke?” Pedas ayat yang keluar dari mulut Nasrul. Dia bercekak pinggang di depan gadis itu.

Mulut Daliya ternganga namun cepat-cepat dia menutup mulut. Sudah sah-sahlah Nasrul akan tertawakannya nanti “Awak mengintai saya ya? Tulah, paku dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih. Encik Nasrul, tak baik tau mengendap-ngendap ni. Berdosa tau” Daliya memulangkan paku buah keras. Masih segar diingatannya kejadian dua hari lepas. Nasrul menuduhnya mengintai dia. Takde kerjalah tu nak kacau orang, desisnya.

Nasrul gelabah. Ada aje modal Daliya nak kenakan dia. Dengan Daliya, dia tidak boleh mengalah. Dia harus mencari kesalahan gadis itu “ Kau dah settle semua kerja rumah?”

Daliya mengangguk laju.

“Awak tak jawab lagi soalan saya. Saya tanya ni” Ujar Nasrul sambil mengetapkan bibir. Geram dia dengan Daliya.

Daliya berlagak selamba, menyambung tugas mengemop lantai. Terbakar rasa hati Nasrul apabila Daliya buat endah tak endah.

“Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Nasrul menjeling.

“Ya, dengar. Erk…awak tanya apa tadi?” Daliya betul-betul lupa. Apa yang Nasrul cakap tadi?

Nasrul mendengus. Memang susah bercakap dengan budak kecik. Perangai memang tak matang langsung “Huh…lupakan jela. Kau dah siap mop semua ke? Aku tengok lantai ni macam tak bersih je. Sana belum mop, sini kau dah mop pulak. Kau reti ke tak buat kerja ni?” Bebel Nasrul lalu menudingkan jari di tepi tangga. Mata Daliya terkebil-kebil turut mengikut telunjuk jari Nasrul.

“Eh, taklah. Saya dah mop tadi. Lantai tu dah kering dah pun. Memanglah awak tak nampak, bukan awak ada kat sini pun. Dah, pergi main jauh-jauh, jangan ganggu saya nak buat kerja” Daliya menghalau. Nasrul membuat muka ketat.

“Buat kerja tu, jangan nak curi tulang. Kalau aku nampak kau curi tulang, aku bagitahu daddyaku, biar dia potong gaji kau” Ugut Nasrul. Dia berjalan tanpa menoleh ke belakang. Daliya mencebik. Eleh mengada-ngada, umur dah tua perangai macam budak-budak.

“Ouch!” Nasrul mengaduh sakit. Daliya melihat Nasrul sudah terjelopok di lantai yang masih basah itu. Melopong mulutnya. Dadanya berdebar-debar.

“Encik Nasrul!” Muka Daliya cemas mendapatkan Nasrul yang sudah terduduk di atas lantai. Mencerlang mata Nasrul merenung wajah pucat Daliya “You’re fired!” Tengking Nasrul kuat.

“Nas, mari sarapan dulu” Datin Maimon memanggil anak tunggalnya itu setelah melihat Nasrul baru turun dari tangga. Nasrul mengangguk lalu duduk di depan mummynya.

“Kaki dah okey? Kalau sakit lagi, tak payahlah pergi kerja. Nas rehat aje arini. Besok baru masuk kerja” Tegur Datuk Tajuddin sambil merenung anaknya itu.

“Dah okey dah daddy. Ada la rasa denyut-denyut sikit malam tadi. Pagi ni kuranglah sikit rasa denyut-denyut tu” Balas Nasrul. Datin Maimon menyapu jem strawberi pada roti lalu dihulurkan pada Nasrul.

Datin Maimon menggeleng-gelengkan kepala “Degillah Nas ni. Sakit-sakit macam ni pun nak pergi office tu. Rehat ajelah kat rumah arini” Bebelnya.

“Takpelah mummy, daddy. Kerja kat office tengah tunggu Nas je tu. Tangguh-tangguh nanti banyak pulak kerja Nas kena buat” Nasrul berseloroh.

Datuk Tajuddin menghirup air kopi yang tinggal suam-suam kuku. Datin mengerling suaminya di sebelah “Nas belum citer lagi kat mummy macamana Nas boleh terjatuh semalam. Ada apa-apa ke yang berlaku semalam?” Soal Datin Maimon cuba mencungkil rahsia.

“Takde apalah mummy. Nas pergi dulu. Dah lambat dah ni” Nasrul bangun lalu menyalami tangan mummy dan daddynya.

“Sudahlah tu Mun, anak awak kata tak apa-apa. Awak jangan risau, nanti baiklah tu” Tutur Datuk Tajuddin lembut.

“Yalah bang, Mun harap macam tulah. Risau pula Mun”

“Nah, ni dia fail yang kau mintak. Aku dah siapkan dah pun. Macamana kaki kau tu? Sakit lagi ke? Kenapa tak cuti aje ari ni?” Soal Izam lalu menghulurkan fail kepada Nasrul.

Thanks. Ala, nanti okeylah tu. Siapa nak buat kerja aku kalau aku takde. Lagipun, aku bosan duduk memerap aje dalam bilik, Zam” Balas Nasrul tersengih.

Izam tersenyum “Erm…tak dapatlah kita lawan bowling malam ni. Dah seminggu kau tak join bowling kitorang. Lama tu. Nampak gayanya, kena tunda lagilah malam ni” Keluhnya. Nasrul tergelak-gelak. Dia menepuk-nepuk bahu Izam.

“Tunggu aku kaki dah sembuh, kita main bowling sama-sama. Okey, kali ni aku belanja” Ujar Nasrul.

“Betul ni?” Izam tidak percaya.

“Yalah, aku seriuslah. Kau tengok muka aku ni main-main ke?” Nasrul memasamkan muka lantas membelek-belek fail yang Izam beri tadi.

Izam ketawa “ Kau okey tak kalau ajak Helina tu?” Izam menyoal.

Nasrul mendongak memandang Izam. Kali ini mukanya berubah serius. Ada-ada aje Izam ni. Kenapa sampai nak ajak Elin tu? Jangan-jangan, bukan Izam yang ajak, mesti Elin tu yang suruh cakap.

“Hurm, tak payahlah, Zam. Dia bukannya minat dengan benda-benda macam tu” Nasrul memberi alasan.

“Saja nak buat reunion. Kalau kau dah cakap macam tu, takpelah. Aku keluar dulu. Kau nak apa-apa nanti bagitahu aje aku” Ucap Izam setelah bangun dari kerusi.

“Orite!” Balas Nasrul.

Daliya tidak senang duduk pagi itu. Sekejap ke hulur, sekejap ke hilir macam orang gila. Betul ke tak apa yang dia dengar semalam? Nasrul nak pecat dia, tapi sampai sekarang senyap. Atau lelaki itu main cakap aje?

“Liya ni kenapa? Dari tadi Mak Wan tengok macam tak senang duduk aje. Ada apa-apa yang tak kena ke? Bagitahu Mak Wan” Soal Mak Wan. Dia pula yang naik pening dengan Daliya.

“Fasal semalam tu, Liya takut” Jawab Daliya akhirnya meluahkan apa yang terpendam dari tadi. Mungkin dengan itu sekurang-kurangnya dia boleh rasa lega sikit.

“Tak habis lagi ke? Liya jangan risau, tak ada apa-apalah tu. Datuk dan datin pun tak cakap apa-apa pun. Kenapa nak takut? Bukannya salah Liya pun”

Daliya mengeluh “Memanglah Mak Wan. Tapi, Liya yang tak buat kerja betul-betul. Kalau tak mungkin benda-benda tu takkan terjadi. Macamana kalau Liya kena buang kerja?” Tuturnya perlahan.

“Dahlah, Liya jangan susah hati. Benda nak berlaku bukannya kita boleh halang. Mak Wan yakin yang datin tak marah kalau tahu sekalipun” Ujarnya menenangkan Daliya. Dia memegang perlahan bahu Daliya. Berharap Daliya tenang.

Perlahan-lahan Daliya mengukir senyuman.

“Betul ke, Mak Wan? Liya harap macam tu la”.
Previous: Bab 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.