Home Novel Cinta SPLIT PLAYGIRL
SPLIT PLAYGIRL
thira jono
21/10/2021 03:30:24
32,489
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

MEJA berterabur. 

Terlalu fokus membuat kajian sehinggakan dia tidak tersedar, mejanya sudah berselerak minta di kemas. Satu per satu informasi di tulis dalam buku notanya. Tidak mahu tertinggal satu pun maklumat yang dimiliki. Doktor Fayyid masih memegang pen di tangan. Dia langsung tidak mengisi perutnya dengan makanan dari pagi tadi. 

Dia tidak mahu berganjak dari meja kerjanya. Doktor Fayyid risau jika dia berganjak dari meja tersebut, fokusnya akan hilang. Caranya memang begitu. Jika dia mahu mengkaji sesuatu maklumat, dia lebih rela berlama-lama hingga kajiannya selesai.

“Amanda tu dia suka shopping. Lepas tu perangai gedik dia tu gak ada obat. Si Yin pula aku masih tak dapat jawapan pasal kemunculan dia tu. Karakter Yin tu macam mana sebenarnya? Dia muncul disebabkan apa?” 

Tergoyang-goyang tubuh terkenangkan sikap Yin. Personaliti itu merupakan personaliti berganda yang pertama muncul di depannya. Walaupun Yin personaliti pertama yang dikenali, Doktor Fayyid masih tidak dapat mengenal pasti punca personaliti itu muncul. Dia keluar sekejap-sekejap. Sepanjang enam tahun, baru tiga kali dia munculkan diri.

Pening sungguh kepalanya nak mengkaji setiap satu karakter yang ada. Bukan mudah untuk menjadi pakar psikiatri kepada seorang pesakit yang mengalami masalah Dissociative identity disorder (DID). Atau bahasa mudahnya ia dipanggil kecelaruan identiti berganda.

Penyakit tersebut sejenis bentuk perpisahan yang teruk dan ianya boleh memisahkan mental, pemikiran, perasaan dan tindakan kepada pesakit yang mengalaminya.

“Jay si panas baran tu aku dah tahu nak hadap perangai dia. Ustazah Ayu pun sama.Masalahnya si Yin tu bila dia nak munculkan diri eh? Anggerik tu pun satu hal. Kadang-kadang muncul tanpa aku tahu sebab dia. Setakat tunjuk perangai mengada depan aku, macam mana aku nak buat conclusion pasal dia.” Tubuh disandarkan pada kerusi. Kemudian, pandangan mata belingas menatap dinding kosong.

Teka-teki tentang Anggun sentiasa dikaji hampir setiap hari. Doktor Fayyid tidak pernah merasa bosan menyelidik dan mengkaji hal berkaitan Anggun. Dia perlu merawat Anggun sebaik mungkin.

Dia mahu Anggun hidup seperti orang lain. Dia mahu Anggun hidup bebas tanpa perlu terikat dengan personaliti bergandanya.

Saat dia sibuk memejamkan mata buat seketika, kedengaran pintu bilik di buka.

“Assalamualaikum doktor. Saya rindu doktor sepenuh hati saya.” Doktor Fayyid tersentak bila Anggun muncul tiba-tiba. Melihat dari gerak tubuh dan cara dia bercakap, si jejaka sudah dapat meneka siapa di depannya.

Doktor Fayyid melopong terkejut.

Hanya Anggerik saja personaliti Anggun yang membawa anak patung ke mana sahaja.

“Eh, Anggerik. Macam mana awak …” bicaranya terhenti di tengah ayat. Bibir membulat.

Anggerik digambarkan seorang remaja perempuan berumur lingkungan tiga belas tahun. Dia seorang yang manja dan agak mengada-ngada bila bertemu Doktor Fayyid. 

Mujurlah kali ini Anggerik muncul dalam keadaan bertudung. Kalau dia muncul dalam keadaan rambut bertocang kanan dan kiri pasti Anggun akan malu bila dia sedarkan diri.

“Wah, doktor masih kenal Anggerik? Seronoknya.” Anggerik bersuara riang.

“Mestilah kenal. Saya berkawan dengan semua personaliti Anggun.” Doktor Fayyid menggesa senyuman walaupun hati menjadi gelisah dengan kemunculan Anggerik.

“Macam mana awak boleh datang ke sini?” Doktor Fayyid bingkas bangun kemudian dia berdiri di depan meja kerjanya. Pandangan mata tunak merenung Anggerik.

“Lepas aje saya tengok gambar doktor dekat telefon, hati saya berdetak dentum macam bunga api doktor. Rindunya saya nak tengok muka doktor dekat-dekat.” Doktor Fayyid berkerut seribu. Nafas dilepaskan berat. Kepala digeleng laju. 

“Awak datang sini naik apa?” soal Doktor Fayyid lebih lanjut. Karakter Anggerik tidak tahu memandu. Dia hanya tahu menunggang basikal dan berjalan kaki.

“Anggerik datang sini naik bas. Nasiblah Anggerik pandai sikit-sikit naik bas,” ceritanya bersungguh-sungguh.

“Doktor …”

Tanpa di sangka-sangka, Anggerik berlari laju dan merangkul erat tubuh Doktor Fayyid. Kepala bersandar pada dada lelaki itu.

Astaghfirullahalazim …

Doktor Fayyid sudah berzikir panjang. Hati dan perasaan dia yang berdebar-debar bila dipeluk erat begitu.

Aduhai, budak ni dah buat hal!

“Jom kita keluar nak tak? Hari ni Anggerik nak makan dengan doktor, lepas tu kita pergi makan aiskrim dekat taman.” Segera Doktor Fayyid menolak tubuh Anggerik agar berjauhan dari tubuhnya. Tidak betah mahu berlaga tubuh dengan si gadis.

Kalau si Anggerik selalu buat perangai begitu, silap hari bulan Doktor Fayyid boleh terjatuh hati dengan Anggun.

“Keluar? doktor malas nak keluar,” jawapan ringkas dari Doktor Fayyid membuatkan riak wajah Anggerik bertukar rentak.

Asalkan berjumpa, pasti Anggerik akan mengajaknya keluar. 

“Awak ni kelakarlah Anggerik. Awak kata umur awak tiga belas tahun, tapi awak bersungguh-sungguh nak mengurat saya.” 

Doktor Fayyid sudah memainkan peranan untuk mencuri perhatian Anggerik. Dia menyilang tangan pada dada. Kemudian, bebola menari-nari ke ruang mata Anggerik sambil senyuman manis terukir mekar.

“Saya rasa doktor ni cinta pertama saya, sebab itulah saya nak mengurat doktor.” Sebelah mata dikenyit memandang Doktor Fayyid. Tangan pula sempat mencuit hidung si jejaka.

Sekali lagi, Doktor Fayyid tersentak. Dia akan merasa gemuruh setiap kali perwatakan Anggerik munculkan diri.

Sejak dua tahun yang lalu, dia perasankan personaliti Anggerik akan keluar ketika bersamanya. Kerana hal itu, dia tidak membenarkan Anggun memandang ke dalam matanya ketika menerima rawatan. 

Sungguhpun dia dapat mengawal situasi bersama Anggerik, dia masih ragu-ragu dengan kesimpulannya sendiri. Jadi, dia tiada jawapan pasti untuk mengesahkan bahawa dialah punca Anggerik munculkan diri.

“Saya ni dah tua Anggerik. Umur saya dah tiga puluh tahun. Awak sanggup ke nak kahwin dengan lelaki tua macam saya?” Doktor Fayyid berseloroh, sengaja mahu menguji.

“Kalau macam itu doktor kahwinlah dengan Anggun. Lepas dah kahwin dengan dia, doktor tidurkan dia biar saya yang selalu ada dengan doktor.” Selamba Anggerik memberi cadangan. 

“Awak kata umur awak tiga belas tahun, jadi awak tak boleh kahwin dengan saya,” kata Doktor Fayyid perlahan. Riak wajah Anggerik berubah masam. 

“Kan saya cakap, Anggun yang kahwin dengan doktor bukannya saya. Faham tak?” kaki dihentak beberapa kali. Bibir memuncung macam cencorot.

“Saya tak faham dan saya tak mahu faham kalau awak sibuk nak ajak saya kahwin.” Sengaja Doktor Fayyid menyakat Anggerik.

Jika berhadapan dengan Anggerik, dia perlu bijak melayani Anggerik sepenuh hati. Kerana Anggerik sejenis perwatakan yang mampu mendengar kata jika dilayan sebaik mungkin

“Anggerik nak jadi makwe doktor lepas dah habis sekolah nanti. Okey tak apa, sekarang ni kita main kahwin-kahwin dulu.” 

Anggerik angkat dua belah tangan lantas diletakkan pada dua belah pipi Doktor Fayyid.

Ya Allah, dia ajak main kahwin-kahwin pula.

“Anggerik, jangan buat macam ni. Tak manislah!” tegas Doktor Fayyid makin tidak selesa.

“Sebelum ni okey je kita bergurau picit pipi dekat tepi sungai.” Mendengar perkataan itu terluncur dari bibir Anggerik, automatik Doktor Fayyid membatu.

Ya, sungai itu. 


MAKANLAH aiskrim tu cepat. Nanti cair pula kalau awak makan lambat-lambat,” 

Doktor Fayyid melabuh duduk di sebelah Anggerik. Akhirnya dia keluar juga bersama Anggerik setelah dipaksa. Mahu tidak mahu, sebagai doktor yang merawat Anggun, dia perlu juga menuruti perintah dari setiap personaliti yang ada.

“Sekarang pukul berapa ya doktor?” Anggerik menarik pergelangan tangan Doktor Fayyid untuk memerhatikan jarum jam.

“Nak dekat pukul lima petang. Kenapa tanya?” soalnya laju. Anggerik di sebelah sudah tersenyum sipu seperti memikirkan sesuatu.

“Anggerik nak pergi taman layang-layang boleh tak? Teringin nak pergi taman layang-layang dengan lelaki yang Anggerik suka.” 

Badan Anggerik meliuk lentuk gaya ulat bulu. Kemudian, Anggerik mendongak wajah lebih tinggi agar bebas memerhatikan wajah lelaki pujaannya. 

“Saya bukan lelaki yang awak suka. Saya ni doktor yang merawat Anggun,” katanya bernada tegas. Anggerik menelan liur pekat.

“Jangan sebut nama Anggun boleh tak? Saya tak suka,” laung Anggerik kuat-kuat tanda memprotes. 

Doktor Fayyid hanya tersenyum melayani sikap Anggerik yang kadang-kadang mampu menghiburkan hati. Cara dia melayan Anggerik seperti dia melayan kanak-kanak yang dahaga perhatian.

“Tak payahlah pergi taman layang-layang. Doktor malas nak berlama-lama dekat luar.” Cantasnya menolak pelawaan Anggerik.

Buang masa aje ke taman layang-layang.

“Doktor ni suka buat Anggerik sedih.” Anggerik menunduk wajah memandang tanah. 

“Baguslah kalau Anggerik sedih. Biar doktor jumpa Ayu pula, sekurang-kurangnya dia baik sikit pada awak.”

“Doktor …” Anggerik menyandar kepala di bahu Doktor Fayyid yang duduk menegak. Rengekan kecilnya menjengkelkan.

“Awak janganlah lentok macam ni dekat luar. Nanti orang ingat awak ni girlfriend doktor.” 

Mata belingas memandang segenap ruang. Hati tidak berhenti-henti beristighfar agar diberi kekuatan yang hebat untuk melayani kerenah Anggerik.

Sejujurnya, Doktor Fayyid semakin tidak selesa bila dia perasankan seorang lelaki sedari tadi perhatikan tingkah mereka. 

“Nak juga.” Makin dihalang, semakin rapat tubuhnya dengan Doktor Fayyid. Tangannya selamba disilangkan pada pergelangan Doktor Fayyid. Tidak sempat menepis, Anggerik sudah menggenggam tangan itu lebih erat.

Anggerik, don’t touch me.”

“Anggerik nak touch juga.” Dia berdegil. 

Aigooo. Cepatlah keluar dari badan Anggun! Teriaknya dalam hati.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh thira jono