Home Novel Cinta SPLIT PLAYGIRL
SPLIT PLAYGIRL
thira jono
21/10/2021 03:30:24
32,445
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

“YA ALLAH, pakaian apa yang Anggun pakai ni? Makin lama makin peliklah pakaian dia tu. Ni kalau Ustaz Junayd nampak Ayu pakai baju macam ni, mesti dia mengucap panjang. Kenapalah pakai rantai sampai terkeluar-keluar dari tudung.” 

Segera Ustazah Ayu menggeleng kepala sambil tangan masih menyentuh stereng kereta.  Rantai yang tergantung di leher terus ditanggalkan. Rimas.

Dia tidak selesa dengan penggayaan yang terhias di tubuh Anggun. Rasa macam nak koyakkan aje baju blouse dan skirt labuh yang tersarung. 

Dah kenapa pakai skirt ropol-ropol. Tudung pun berlilit sana dan sini.

Ustazah Ayu merasakan tudung yang dipakai langsung tak mengikut syariat islam. Siap pakai subang belah luar lagi. 

“Hei, Anggun ni. Kalau nak berhias pun jangan sampai tabarruj.” Bibir mencebik. 

“Jam dah pukul berapa ni?” ekor mata melingas merenung jam di tangan. Bibir membulat besar.

“Alamak … dah nak masuk waktu asar. Kejap lagi ada kelas agama dekat surau.” 

Tangan menekup bibir. Ustazah Ayu pantas meluncur pacuan empat rodanya untuk pulang ke rumah. Dia perlu segera bertukar pakaian dan ke surau sebelum kelas bersama Ustaz Junayd tamat pada petang ini.

“Anggun ni selalu tak keluarkan Ayu. Kalau dia keluarkan Ayu, mesti Ayu boleh jumpa Ustaz Junayd hari-hari.” 

Sambil fokus dalam pemanduannya, wanita yang dibayangi sekitar awal 30-an itu sempat membebel sendiri. Sedikit terkilan bila Anggun jarang munculkan personalitinya di dunia realiti. Sudah lama dia berada dalam tubuh si gadis, tetapi dia jarang sekali muncul. Tidak seperti Jay dan Anggerik yang sering munculkan diri.


“ASSALAMUALAIKUM, Anggun.” Baru saja melangkah masuk ke dalam surau, satu suara menegur Ustazah Ayu bernada ceria berbaur teruja. Walaupun suara itu memanggil namanya dengan panggilan Anggun, hati tetap berbunga.

‘Ustaz Junayd.’ 

Berdebar-debar hati bila dia perasankan suara itu yang menegurnya. Segera Ustazah Ayu mengerling sekilas pada wajah tersebut. Dia tidak mahu terlalu lama merenung wajah yang mampu memasungkan sepasang mata.

Pandangan mata perlu di jaga. 

Lelaki kelahiran Uzbekistan itu sering membuatkan jiwa Ustazah Ayu berdetak hebat tatkala bersua.

Kawal emosi Ayu. Jangan jadi gedik macam Amanda. Tak baik … 

“Lama awak tak menyinggah ke surau. Awak sibuk ke? Kelas agama pun lama tak pergi.” Lelaki itu bertanya. Dia melebarkan senyuman. Ustazah Ayu angguk kepala. Tersipu-sipu malu.

“Saya sibuk sikit ustaz.” Anggukan bertukar ucapan.

“Oh, patutlah tak datang ke sini. Haritu saya nampak ada seseorang ni sebiji macam awak, tapi saya nak tegur segan pula.” 

Ustaz Junayd bercerita. Mindanya terkenangkan seseorang yang dilihat ketika dia membeli barang di waktu malam.

Gaya figura yang dilihat dua minggu lepas agak kasar dan jalan terkangkang tidak serupa perempuan. Namun dia tidak dapat kata pasti, sama ada figura itu seorang perempuan ataupun lelaki. Kerana, melihat dari bentuk badan, insan itu seorang perempuan. Akan tetapi, melihat gaya berpakaian dan berjalan, gayanya seperti seorang lelaki. 

Siap bawa kayu lagi macam nak tetak orang.

“Oh, kenapa ustaz tak tegur?” 

Ustazah Ayu menjongket kening. Sengaja dia bertanya lanjut ingin tahu. Ustaz Junayd meletak jari di atas dagu. Berfikir sejenak.

“Saya rasa dia tu pelanduk dua serupa kut. Sebab dia pakai hoodie. Pakai seluar pendek pula tu paras lutut.” Balasnya lagi. 

Dia memang langsung tidak terfikir yang dilihat itu, Ustazah Ayu.

Mendengar jawapan itu meniti dari bibir si jejaka, hati Ustazah Ayu berdegup kencang. Rasa nak terkeluar segala jantung dan hempedu mendengar kenyataan itu.

Jay …

‘Ya Allah, kalau dah berseluar pendek tu mesti mamat kaki pukul tu. Haih, buat malu Ayu je bila ustaz dah nampak aurat Ayu!’ spontan, dia menepuk dahi. Malu teramat.

“Ustaz jumpa orang tu waktu bila?” soalan masih meniti di bibir. Inginkan kepastian bahawa gadis yang dilihat itu benar-benar Jay.

“Waktu malam, dalam jam dua belas macam tu. Dia jalan dekat lorong rumah kedai tu sambil bawa kayu. Macam Tailong KL gangstar dah saya tengok. Hehehe,” balasnya diiringi senyuman janggal. 

Ustazah Ayu berasa sebal. Wajah ditunduk ke bawah menahan perasaan segan yang mencanak-canak masuk ke dalam jiwa.

“Kenapa ni Anggun? Tiba-tiba nampak awak macam gelisah je?” Ustaz Junayd perasankan wajah itu tidak selesa berbual dengannya.

“Saaa saya …” terpinga-pinga. Dia tak pandai sembunyikan perasaan hampanya. 

“Are you okey?” bertanya nada prihatin. Dia yakin, gadis itu tak okey.

“Alamak, ustaz. Sebenarnya saya sakit perutlah. Kelas mula pukul lima petang, kan? Nanti saya datang dewan ya lepas ke tandas.” 

Ustazah Ayu mencari alasan selamat untuk menghindari diri buat seketika. Sengaja dia mengusap perut kononnya mahu ke tandas. 

Tanpa membuang masa, bingkas Ustazah Ayu berlari meninggalkan Ustaz Junayd.


USTAZAH AYU berjalan perlahan keluar dari tandas. Sedari tadi dia menenangkan diri supaya Anggun tidak munculkan diri. Sekarang ini dia bersua Ustaz Junayd, dia tidak boleh tidur semula. 

 Kalau dia buat hal, bermakna dia melepaskan peluang untuk bertemu lelaki itu.

“Jangan sakit hati dengan mamat buas tu wahai Ayu. Sabar, istighfar.” Cuba menenangkan diri. 

Ustazah Ayu menggesa senyuman semata-mata mahu menghilangkan perasaan marah yang mahu muncul dalam hati.

“Anggun … Rindunya Mak Leha dekat kamu. Dah tiga nak dekat bulan kamu tak menyinggah ke sini. Sibuk sangat ke?” seorang wanita tua bertubuh genit menegurnya sambil tangan meraup dua belah pipi itu. Biji mata membulat besar mendengar perkataan tiga bulan.

‘Dah tiga bulan rupanya Ayu tak keluar. Anggun tu robot ke? Kenapa selama tiga bulan dia tak rasa takut? Aneh betul si mak singa tu.’ Ustazah Ayu mengomel dalam hati. 

Patutlah dia merasa rindu dengan dunia luar. Rupanya sudah tiga bulan terperap dalam tubuh Anggun.

"Ayu pun rindukan Mak Leha juga." Tubuh Mak Leha dirangkul erat.

"Ayu? Eh, nama kamu ni siapa sebenarnya? asyik bahasakan diri Ayu je." Rangkulan dileraikan. Mak Leha tayang wajah pelik. 

"Maksud saya, Anggun." Terpinga-pinga dia membetulkan ayat. 

Adeih, susah juga nak berlakon jadi Anggun.

"Mak Leha ni pelik dah bila kamu asyik bahasakan diri Ayu." 

"Seee sebenarnya family saya panggil saya Ayu." Ustazah Ayu simpulkan senyuman. Sembunyikan perasaan gementar.

Mak Leha ni banyak tanya pula.

"Tapi nama kamu bukannya Ayu." Lanjut Mak Leha. Melihat wanita itu bertanya banyak, dia jadi tak selesa.

"Mak Leha ada jumpa Ustaz Junayd tak tadi?" sengaja Ustazah Ayu menukar topik perbualan.

"Ada juga bertembung dengan dia tadi." Ringkas jawapan Mak Leha. 

“Haaa, kamu nak tahu sesuatu tak?" sambil tangan menepuk bahu Ustazah Ayu, dia menimbulkan persoalan di akhir bicara. 

"Tahu apa?" Kening berkerut panjang. Bibir Mak Leha mendekati telinganya. Wanita itu tersenyum.

"Sepanjang waktu kamu tak ada dekat sini, Mak Leha perasan Ustaz Jonet tu asyik sebut pasal kamu aje dalam kelas.” Jelas Mak Leha bernada bisik.

Ustazah Ayu sudah tersenyum lebar. Tak sangka pula jejaka idaman terkenangkannya dalam diam.

Wah, perkembangan terbaik.

“Eh, Mak Leha ni. Ada-ada saja.” Ustazah Ayu mengawal perasaan berdebar-debar depan wanita separuh abad itu. Tidak perlu rasanya dia terlihat sangat bahagia. Takut nanti jatuh zina hati.

“Betul Anggun. Haritu pun dia ada tanya nombor telefon Anggun untuk dihubungi, tapi Mak Leha pun tak tahu nombor Anggun.”

Mak Leha tersipu-sipu senyum bila bercerita. Rasa bahagia mengenangkan anak muda bernama Junayd atau lebih kerap dipanggil Jonet.

“Oh, Mak Leha ambillah nombor saya. Nanti kalau saya tak ada dekat sini, Mak Leha bagi je nombor saya dekat dia. Mari sini telefon Mak Leha, saya save kan nombor saya.” Segera wanita itu menghulurkan telefon yang dikeluarkan dari dalam beg telekung.

Setelah menyalin nombor ke dalam telefon bimbit Mak Leha, dia mengembalikannya semula.

“Wah, kalau dah past nombor telefon ni mesti hubungan makin ke depan. Mana tahu berjodohan,” usik Mak Leha lagi. Makin tersipu senyum sampai ke telinga. 

Beria-ia sungguh Mak Leha ni. Hati Ustazah Ayu merasa sedikit kecewa. 

Kalaulah Anggun tak bertunang, sudah tentu Ustaz Jonet boleh menjadi milik mereka berenam.

“Saya ni tak layak untuk Ustaz Jonet. Dia baik dan soleh.” Ustazah Ayu sentiasa merendah dia. Merasakan kehadiran Ustaz Junayd hanya bakal menjadi bayangan buat selamanya.

Uhuk … 

Bayang, mekar di dalam jiwaku … bersebelahan tanganku, tak mungkin aku terlupa.

Mereka tak mungkin bersama. Hakikat sebenar, tubuhnya sudah bertunang dengan seorang lelaki.

“Anggun pun baik dan muslimah sejati yang berakhlak mulia.” Terasa kembang kuncup hidung Ustazah Ayu bila dipuji begitu.

Lama tak keluar dari dunia Anggun, terasa kekok pula nak menghadap pujian dari Jemaah surau.

“Segala pujian tu untuk Allah, bukannya saya.” Bahu Mak Leha diusap lembut. Tidak mahu terlalu selesa dengan segala pujian dari manusia. Kerana ia bukan milik dia selamanya.

“Ketepi … ketepi. Almari berat.” 

Terkejut ustazah Ayu bila ada dua jejaka meluru masuk ke dalam surau sambil mengangkat almari bersaiz besar dan panjang.

Astaghfirullahalazim … 

Terpusing tiga ratus enam puluh darjah tubuhnya bila terasa bahunya dirempuh sehinggakan tulang bahu berbunyi.

Argh … 

Kepalanya sedikit berlaga dengan almari itu. Ada dentuman kecil kedengaran. 

“Ya Allah, sakitnya.” Dia terduduk di lantai. 

Berdenyut-denyut bahagian kepalanya. Pandangan mata pula berpinar-pinar.

“Anggun …” Mak Leha menggelabah. Dia duduk mencangkung untuk melihat keadaan Ustazah Ayu.

“Ambil telefon ni, cari nama Elnara. Call dia.”

Sempat Ustazah Ayu berpesan. Itu jugalah pesanan Anggun kepadanya setiap kali merasa pening kepala. Takut-takut, tubuh bertukar menjadi Jay. Itu paling dirisaukan. 

Ustazah Ayu tidak mahu membebankan Anggun dengan pelbagai masalah. Dia perlu faham akan situasi Anggun.

Dia perlu segera pergi dari situ sebelum …


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh thira jono