Home Novel Cinta SPLIT PLAYGIRL
SPLIT PLAYGIRL
thira jono
21/10/2021 03:30:24
32,534
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

ELNARA termangu sendiri menunggu Anggun bangkit dari tidurnya sejak semalam. Lama juga dia terlena sehinggakan Elnara celik semula pun dia tidak tersedar lagi.

“Nasiblah Ustazah Ayu yang keluar. Tak adalah pening sangat kepala nak handle. Dia tu bijak sikit, kalau tahu nak jadi orang lain cepat-cepat call aku. Kalau personaliti kau yang lain? Harapan. Ikut kepala sendiri je tak mahu mengalah.” 

Elnara mengomel sendiri sambil mendongak dagu di atas katil. Perlahan-lahan, kepala Anggun diusap lembut. 

Setiap kali menatap wajah rakannya itu, hati merasa empati.

Sudah beberapa tahun dia perlu menghadap penyakit Anggun yang tidak semua manusia miliki. Kecelaruan dialami sekurang-kurangnya dua peratus dari populasi dunia. Kebanyakannya wanita yang lebih terkesan berbanding lelaki.

Sungguh, dia perlu memahami Anggun sepenuh hati. Dia juga perlu memastikan teman baiknya sentiasa hadap segala situasi dengan baik walaupun ia terkadang perit.

Dring …

Telefon bimbit Anggun di sebelah bergetar. Elnara yang terkejut. Segera dia memerhatikan skrin telefon untuk di jawab.

“Alamak, Habib.” Bibir melirik perlahan nama itu. Elnara buntu.

Dia nak jawab apa kalau Habib bertanyakan hal tunangnya? Tak akan nak beritahu yang semalam Anggun pengsan? Aduhai…

Beberapa detik berlalu, akhirnya Elnara menekan butang hijau untuk menjawab. Nafas ditarik perlahan sebelum lekatkan telefon di telinga.

“Waalaikumussalam, Habib. Kenapa call pagi-pagi ni.” Elnara menggigit bibir ketika menjawab panggilan. 

Dia rasa gementar kerana sedikit aneh bila Habib menghubungi Anggun selepas subuh.

“Haaa, ni Nar ke?”

“Ya, kenapa call.” Elnara menjawab ringkas.

“Aku tak sedap hatilah. Dari semalam Anggun tak jawab panggilan aku. Lepas je dia tergesa-gesa nak balik tu, dia langsung tak inform aku apa-apa.” Kedengaran suara Habib di hujung talian benar-benar risaukan tunangnya. 

“Dia tergesa-gesa nak balik? Kenapa pula?” soal Elnara, pelik. Suasana senyap seketika seperti Habib sedang memikirkan sesuatu.

“Aik, bukan ke dia cakap ada hal urgent dengan kau.” Kening terjongket tinggi. Elnara telan liur sendiri bila Habib kata begitu.

Aduhai, aku salah tanya soalan. Sengal betullah kau ni Elnara. Dasar otak udang.

“Ohhh … haaa betullah tu.” Tergagap-gagap. Nasiblah Habib tiada depan matanya. Tak adalah dia rasa terlalu gemuruh.

“Apa yang berlaku sebenarnya? Betul ke hal urgent yang dia maksudkan tu ada kaitan dengan kau?” Habib sedikit ragu. Dia merasakan Elnara sedang menipu.

Pasti mereka sembunyikan sesuatu darinya.

“Hal perempuan. Tak payah sibuklah wahai Habibullah.” Laju Elnara menjawab walaupun suara sudah bergetar.

“Dia tu kekasih hati aku, mestilah aku perlu sibuk.” Bentak Habib membalas. Jika hal itu melibatkan Anggun, dia sentiasa merasa gelisah selagi tidak temui jawapan sebenar.

“Hal perempuan, tak payah sibuk.” Elnara sudah mendapat rentak untuk mencari alasan.

“Beritahulah hal apa. Please…” Elnara mengherot senyum ke tepi. Berasa lega kerana minda dapat mencari jawapan secara spontan.

“Aduhai, mamat dagu runcing ni. Kalau aku beritahu, aku pula yang segan.” Elnara menggetus. Sengaja buat ayat menduga.

“Tak ada apa yang nak disegankan. Cepatlah Nar, beritahu jelah hal apa. Kitakan kawan?” suaranya mendesak. Elnara mencebik bibir.

“Aku senggugutlah, lepastu aku suruh dia belikan tuala wanita untuk aku sebab aku tak boleh nak bangun.” Laung Elnara senafas. Habib di hujung talian tercengang. Terdiam dia, tetapi hanya sesaat.

“Itu je? Hal tu urgent sangat ke sampai kau perlu ganggu date kita orang?” Habib membebel geram. Kalau itulah alasan Elnara, memang dia rasa nak humban Elnara dalam loji kumbahan.

“Oi, hal senggugut perempuan jangan dibuat main. Boleh keluar tanduk merah dekat kepala kalau dah sakit sangat,” omel Elnara. 

Rasa panas pula telinga bila Habib seolah-olah mahu mengatakan hal itu hanya perkara remeh.

“Hurm, yalah.”  

“Dah, jangan kacau. Tunang kau tengah tidur tu, telefon dia tertinggal kat ruang tamu.” Kalau boleh dia mahu segera matikan talian. Malas nak mencari alasan lain untuk diberikan kepada Habib.

“Engkau yang period, dia pula yang tak bangun ke?” Habib menyoal lagi. Kali ini, soalannya membuatkan Elnara mengeluh panjang.

“Oi … tak akan aku nak bagitahu kau, yang dia pun period.” Dia pula yang terasa malu bila Habib tunjuk perangai busybody nya. Terletus tawa kecil di bibir Habib.

Eeh, dia yang tanya soalan pelik dia pula yang bantai gelak. Geram aku!

“Aku nak jumpa dia petang nanti dekat rumah. Kau jangan beritahu dia eh aku nak datang. Saja nak buat surprise.”

Habib memberi pesanan terakhir sebelum mematikan talian. 

Hmmm, yolah.”


SEDAR saja dari tidur yang lena, Anggun terus bangkit dari pembaringan. Bibir membulat besar. Elnara yang masih setia menunggu, mengukir senyum melihat pandangan mata Anggun dilayarkan kepadanya.

“Alhamdulillah kau dah sedar. Lama juga kau tidur sampai langit pun dah ada matahari. Mimpi terbang dekat awan ke sampai bangun lewat sangat?” 

Elnara berceloteh di celahan tawa sambil dia berdiri gaya berterbangan di awan. Anggun ukir senyum nipis bila si kawan buat perangai sengal depannya. 

Macam-macam hallah Elnara ni.

“Eh, Ayu ke yang keluar?” melihat dirinya memakai jubah, stoking dan bersarung lengan, Anggun sudah tahu siapa yang keluar. Elnara mengangguk laju.

“Ya, dia yang keluar. Dia jugalah yang buatkan kerja aku tertangguh semalam.” Elnara mencemik.

“Lama dah dia tak keluar, kenapa tiba-tiba dia keluar eh?” sisi kepala digaru. 

Mindanya berfikir sejenak tentang hal semalam. 

Oh ya, mesti dia keluar waktu aku menggelabah depan orang tua tak sedar diri tu. Boleh pula dia bercerita hal cucuk langit depan Habib. Nasib tak kantoi pasal Amanda.

“Eeeh, manalah aku tahu kenapa dia keluar. Aku ni tukang ambil kau je dekat surau.” Mata menjuling ke atas. 

Elnara sudah biasa menjadi mangsa untuk mengambil Anggun di mana sahaja dia berada jika tubuhnya kembali kepada personaliti asal ataupun pengsan secara tiba-tiba.

Demi sahabatnya, Elnara sanggup lakukan apa saja. Lagi pula dia bersimpati mendalami kisah hidup Anggun sejak mereka menjadi rakan serumah hampir lima tahun lepas.

“Kenapa pula kau kena ambil aku dekat sana?” soalnya nada tergesa-gesa.

Itulah rutin Anggun setiap kali personaliti bergandanya keluar. Dia perlu bertanya tentang diri sendiri. Kadang, dia perlu berteka-teki sendirian.

Letih? Memang letih hidup begitu. Setiap hari, dia perlu menghadap teka-teki yang kadang-kadang tiada jawapan.

“Cuba kau sentuh kepala kau tu. Ada benjol,” beritahu Elnara menuding jari pada kepala Anggun. Segera Anggun menyentuh bahagian kepalanya. Bibir melopong sedikit.

"Kepala kau tu berbenjol macam kepala Nobita kena ketuk dengan Giant dah." Selorohnya bersahaja.

“Aduhai, apalah yang si Ustazah Ayu ni langgar sampai kepala aku ada benjolan bukit ni.” Baru terasa sakit bila benjolan itu disentuh.

“Mak cik dekat surau tu beritahu yang kepala kau terhantuk dekat bucu almari waktu dorang nak bawa masuk almari dalam surau.” Elnara memberi penjelasan. 

Mujurlah ada orang yang memberitahu perihal ustazah kepadanya. Kalau tidak, Elnara sendiri tidak tahu apa yang berlaku.

“Hurm, patutlah badan aku sakit-sakit.” Disentuh pula bahagian tubuh yang terasa sengal-sengal.

“Bukan kau dah biasa ke sakit-sakit badan sebab si samseng jalanan tu?” Elnara bersuara mengusik. Kening dijongket tinggi. 

“Fuh, kalau si Jay yang keluar lagi pening kepala aku.” Kepala digeleng laju. Anggun memang tak sanggup nak hadap kalau si Jay keluar. Lebih-lebih lagi kalau dia keluar di waktu malam. 

Kerjanya asyik nak pukul orang aje. 

Kadang-kadang muka bengkak, tubuhnya juga terluka disebabkan perangai Jay.

“Kenapa dia suka sangat pergi surau tu eh? Asalkan keluar je mesti pergi surau.” 

Sejenak, Elnara berfikir. Timbul tanda tanya dalam hati.

“Dia tu ustazah, mestilah dia nak mengabdikan diri dalam rumah Allah.”

“Memanglah dia nak mengabdikan diri dekat rumah Allah, tapi tak pelik ke dia tu asyik pergi ke surau hujung taman sebelah. Dekat kawasan rumah kita pun ada taman, kan? boleh je dia imarahkan surau dekat kawasan kita.” 

Elnara membalas dengan renungan pelik.

Setiap kali Ustazah Ayu munculkan diri, itulah yang difikirkan.

Sudah beberapa kali dia perasankan yang personaliti Ustazah Ayu rajin ke surau di taman sebelah. Lebih baik pergi surau di taman perumahan sendiri dari sibuk ke taman perumahan seberang jalan.

Pasti ada niat tersembunyi dia ke sana. Jeng …

“Haaa, dia datang surau taman sebelah mesti nak mengurat Ustaz Jonet dalam diam.” Elnara berseloroh laju. Dia menuduh Ustazah Ayu yang bukan-bukan.

“Eeh, kau ni. Kalau si Ayu nak mengurat ustaz tu, lebih baik dia intai-intai deko je ustaz tu dekat rumah. Rumah ustaz tu sederet jalan rumah kita ni je.” Anggun menepuk dahi. Elnara mengecilkan biji mata penuh curiga. Dia curiga dengan tingkah Ustazah Ayu.

“Hurm, kalau ustazah tu caras Ustaz Jonet tu, siap dia.” Sempat Elnara serkap jarang. 

Tangan sudah kepal penumbuk, seolah-olah memberi amaran kepada personaliti berganda Anggun bernama Ustazah Ayu.

“Eeh, kau tak payah nak siap sangat eh? Ustazah Ayu tu dekat dalam tubuh aku.” Anggun mencuit pinggang Elnara dalam tawa halus.

Telatah Elnara tidak pernah menghampakan.



Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh thira jono