Home Novel Cinta SPLIT PLAYGIRL
SPLIT PLAYGIRL
thira jono
21/10/2021 03:30:24
32,518
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

ELNARA menggelabah bila mata kasarnya tidak dapat melihat susuk tubuh Anggun di dalam kamarnya. Keadaan bilik yang berselerak juga membuatkan hati Elnara berdebar-debar. Bebola mata dilayar memandang sekeliling. Baju dari dalam almari semua berkusai tidak bersusun. Tisu basah juga bertaburan di lantai. Tergeleng-geleng kepala melihat keadaan kamar tidur Anggun.

“Aku rasa aku dah tahu, siapa yang keluar.” Dia mengetap bibir. Nafas berat dilepaskan.

Perlahan-lahan, Elnara melabuh duduk sebentar di atas katil. Dia cuba menenangkan diri supaya dapat mengawal situasi malam ini. Jika Anggun sudah bertukar menjadi Jay, dia memang tidak mampu menjejaki di mana Jay berada. 

Mamat tu suka buat hal. Tak reti nak mendengar kata langsung.

Jay. Digambarkan sebagai seorang lelaki berusia dua puluh tujuh tahun. Doktor Fayyid gelarkannya sebagai ‘pelepasan kemarahan’. Di kala Anggun dalam keadaan sangat marah, Jay akan muncul untuk serap segala kemarahan itu. Dia yang akan melempiaskan segala kemarahan bagi pihak Anggun.

“Aduhai, Anggun. Habislah kalau mamat tu dah keluar. Confirm nanti badan kau luka-luka, muka kau bengkak-bengkak bila balik rumah.” Elnara gelisah. Setiap kali Jay munculkan diri, dialah manusia yang paling menggelabah. 


“WHAT?” Doktor Fayyid tergamam dari dalam talian. Jay sering keluar di waktu malam. Lelaki itu pun pening kepala.

“Anggun ni memang suka marah-marah waktu malam ke? Saya perasankan yang si Jay tu asyik keluar waktu malam. Awak dengan dia main tarik-tarik rambut ke, sampai si Jay boleh keluar?” 

Doktor Fayyid membebel panjang. Pening kepalanya mahu memikirkan hal Anggun di waktu malam. 

“Mana ada doktor. Tadi lepas je saya cerita dekat dia pasal si Anggerik, terus dia naik atas dan tak keluar bilik. Saya ingatkan dia sambung tidur, rupanya …” nafas berat dilepaskan. Elnara menghentikan bicara di pertengahan ayat.

“Aduhai, kalau Jay keluar confirm saya jadi mangsa.” Doktor Fayyid mendengus. Memikirkan keadaan diri yang sentiasa menjadi sasaran Jay untuk melempias kemarahan.

“Mangsa apa pula ni?” Kening Elnara bertaut rapat. Kurang mengerti.

“Jay tu suka pukul saya secara tiba-tiba. Benci sangat dia dekat saya.” Doktor Fayyid sempat bercerita. Elnara melopong bibir seolah-olah lelaki itu depan mata.

Tak sangka pula rupanya doktor sering menjadi mangsa.

“Kalau Jay pukul doktor, apa kata doktor pukul je dia balik. Mamat rimau tu memang suka menyusahkan orang.” 

Elnara memberi cadangan spontan. Dia pula yang sakit hati. Ada tawa halus yang kedengaran dari dalam talian. Hati Doktor Fayyid tercuit sedikit.

“Kalaulah si Jay tu sasa, dah lama saya debik dia balik kalau dia pukul saya. Masalahnya, dia pukul saya guna badan Anggun.”

Itulah yang payah. Doktor Fayyid sentiasa tidak sampai hati menyakiti tubuh Anggun walaupun dia berubah personaliti. Sang jejaka tetap menghormati Anggun sebagai seorang wanita walaupun ketika karakternya bertukar agresif.

“Hurm, ia tak ia juga. Aduhai, bertabahlah wahai doktor. Cekalkan hatimu sang musafir dunia.” 

Elnara tahan gelak. Dia tidak tahu mahu kasihan ataupun mahu ketawa bila mengenangkan nasib Doktor Fayyid.

Hahaha, kawan hilang pun sempat awak nak buat lawak eh?” meledak tawa mendengar butir ayat yang melucukan.

“Eh, saya buat lawak ke doktor? Tak sedar pula.” Elnara pula yang merona merah bila Doktor Fayyid terhibur dengan kata-katanya. Wajahnya berubah riak selenga.

Lawak juga aku ni rupanya.

“Kita nak buat apa ni doktor? Saya risaukan Anggun.” Minda terkenangkan Anggun semula. Selagi Anggun tak pulang, selagi itu jantung tak akan bertenang. Siap-siap boleh terkeluar jantung ni kalau berdebar sangat.

“Tunggu jelah sampai Anggun balik.” Lelaki itu melirik pasrah.

“Eeh, doktor ni macam tak kenal pula si Jay tu. Kalau dia dah keluar, dia bukan senang-senang nak tidur. Kalau dia tu keluar, dia boleh merosakkan alam semesta. Saya nak elak si Anggun tu terlibat dengan kes jenayah tau? Jadi kita perlu pastikan Jay tidur semula.” Elnara berleter panjang lebar.

Bertahun-tahun dia cuba mengawal dan memahami situasi Anggun di rumah. Dan sepanjang waktu itulah dia sudah melihat pelbagai telatah lucu dan kepayahan yang muncul setiap kali Anggun berubah personaliti.

Dalam banyak-banyak personaliti yang pernah muncul depannya, personaliti Jay yang sering membuatkan darahnya tersirap hingga ke tengkorak kepala. 

Ergh, Jay asyik nak cari pasal dengan aku je. 

Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Doktor Fayyid, Jay merupakan seorang ketua gangstar yang mengganas. Dia tidak takutkan apa saja kesusahan yang berlaku dalam hidupnya. Jay tidak akan mendengar kata sesiapa untuk teruskan hidup. 

“Betul juga. Hurm, kalau macam tu awak buat solat hajat banyak-banyak supaya hati Jay tu dilembutkan untuk pulang ke rumah.”

Elnara hanya tayang wajah kosong. 


JAY pandang Ah tong di depan mata. Pandangan yang mencerlung tajam membuatkan orang-orang suruhan Ah Tong melangkah beberapa tapak ke belakang. Walaupun tubuh di depan mereka seorang gadis, tetapi tenaganya mengalahkan naga. Ah Tong juga sedikit gusar bila Jay masuk ke dalam kawasannya. Namun, lelaki tua itu perlu hadap Jay untuk memastikan Jay dan orang-orangnya tidak mengganggu gugat kerja mereka lagi.

Tangannya pernah patah kerana dipukul. Giginya juga patah dek terkena tumbukan maut Jay.

“Hei, apek tua. Kau memang tak serik-serik ke nak buat hal?”  cerlungan Jay semakin menikam.

“Ini pengkid banyak gangstar. Hari-hari mau cari gaduh sama I.” 

Tangan Ah Tong laju mencengkam bahu Jay sambil muncul pistol dihalakan tepat pada dahi. Jay hanya mengukir senyum sinis.

“Bukan anak jantanlah acu pistol. Kalau berani, one by one macam biasa. Kalau kau hebat, kau letak pistol kat tepi.” Jay membalas di celahan tawa. Kayu masih dipegang kuat. Menunggu masa untuk diayunkan kepada lawan.

Ah Tong bungkam.

Rasa tercabar kelakiannya bila Jay kata begitu. Segera dia campakkan pistol ke tepi. Orang bawahan Ah Tong juga turut mengikuti tingkah bos besar mereka. Melihat semua pistol sudah tidak ada di tangan pihak lawan, dia terus menolak Ah Tong sehinggakan lelaki tua itu tersorong jauh.

“Aku tak akan cari pasal kalau engkau tak cari pasal!” Bibirnya terketap-ketap menjawab. Sepantas kilat, dia menyepak muka Ah Tong tanpa belas kasihan.

Orang tua keparat seperti Ah Tong tidak perlu dihormati. Dia banyak membawa kesengsaraan kepada setiap penduduk di kawasan perumahan itu.

Melihat Jay selamba menyakiti tubuh Ah Tong, segera kuncu kuncu si tua itu mengambil dan acu semula sepucuk pistol ke arah Jay. Tindakan mereka membuatkan orang-orang bawahan Jay turut bertindak.

Tanpa berlengah, Jay berlari sepantas kilat untuk menarik Ah Tong agar berada dalam dakapannya. Terpusing tiga ratus enam puluh darjah tubuh Ah Tong bila terasa seluruh tulang-tulangnya dicengkam kuat menggunakan badan Jay. Ada jeritan kecil kedengaran.

“Kalau korang tembak aku, bos korang akan mampus dulu. Amacam? Berani?” suaranya berbaur ugutan. 

Jay sentiasa bijak memikirkan strategi untuk menumpaskan pihak lawan.

Aiyoyo, jangan tembak. Simpan itu pistol, jangan bunuh I. Ini pengkid bikin jantung I gugur saja ma.” 

Ah Tong menggelabah. 

Musuh seperti Jay sentiasa menggerunkan jiwa. Sukar Ah Tong mahu mengalahkan Jay. Terlalu banyak agenda tersembunyi yang dia cipta sehinggakan Ah Tong tidak mampu membaca helahnya.

“Berapa kali aku nak cakap, yang aku bukan pengkid! Aku lelaki dan nama aku Jay.” Rasa tidak puas hati terselit. Dia benar-benar tidak suka bila gelaran pengkid.

“Aiya … okeylah you lelaki.” Ah Tong mengalah. Malas mahu melawan Jay yang sudah lekatkan jari jemari pada tubuhnya.

“Apa you orang dapat kalau jaga itu kawasan? You orang tak perlu sibuklah marah-marah I bila minta duit perlindungan dekat itu tempat.” 

Lidah Ah Tong tergagap-gagap bila dia dapat merasakan tangan Jay menjalar ke lehernya. 

“Apa aku dapat? Hurm, kejap aku fikir.” Suaranya mendatar di celahan tawa.

“You tak dapat apa-apa ma. You jadi bodoh sebab sibuk backup itu peniaga.” 

Sinis si tua. Terjongket kening Jay bila dikutuk begitu. Dia hanya diam tetapi tangannya bekerja untuk menyakiti tubuh lelaki degil tak faham bahasa itu.

“Ini macam ke gangstar? Sibuk mau jaga kebajikan orang. Dari you jadi gangstar, lebih baik you jadi budak baik saja bantu orang susah.” Walaupun lehernya dicengkam kuat, Ah Tong tetap menyindir dalam kata-katanya. Langsung tidak mahu mengalah.

Lu apek, kalau mau cari makan lu jangan sibuk mau aniaya orang. Kalau you aniaya peniaga dekat ini tempat, aku akan pastikan lu makan pakai kaki.” Dengan kata-kata itu, cengkaman bertukar cekikan. Jay mencekik sehinggakan Ah Tong terasa sukar mahu bernafas.

Erkkk … 

Bunyi nafas Ah Tong yang tersekat-sekat membuatkan Jay puas. Ah Tong merayu minta diri dilepaskan. Makin lelaki itu merayu, semakin menggila Jay mencekik. 

Pin pon … Pin pon … Nino nino …

Siren bunyi kedengaran. Beberapa buah kereta polis merempuh laju masuk ke kawasan Ah Tong. Melihat kereta polis berada depan mata, masing-masing berlari sepantas kilat menyelamatkan diri. 

“Ah, bodoh! Kacau daun betullah. Aku belum sempat lagi nak belasah orang tua tu cukup-cukup.” 



Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh thira jono