Home Novel Cinta HERO UNTUKNYA
HERO UNTUKNYA
TASHA SAIN
10/4/2015 00:36:28
20,601
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 27
                                                                      27

Sakit kepala menyerang secara tiba-tiba. Peningnya hinggakan ketika Fia berdiri pun, terasa ingin melayang-layang. Mungkin kejadian semalam tanpa disedari telah menyebabkan Fia stress sendiri. Itu yang pening semacam hari ini.

Mereka bertolak pulang agak lewat juga semalam. Tubuhnya mungkin juga kepenatan biarpun hanya menjadi penumpang di tempat duduk belakang.

Ibu mengetuk pintu bilik kerana ingin mempelawa Fia bersarapan bersama. Dengan kepala yang berat ini, Fia rasa dia tidak mampu menelan apa-apapun makanan kerana pasti akan terluah semula nanti.

Dia tidak mahu menolak perlawaan ibu. Ibu pasti akan bertanya jika Fia sakit. Setelah itu, Tariq akan dibebankan kerana terpaksa menghantarnya ke klinik pula. Lebih baik Fia turutkan sahaja. Pandai-pandailah cover line kalau terasa nak keluar semula makanan yang baru dikunyah nanti.

“Pucat ibu tengok ni. Sakit ke?” Ibu memegang lengan Fia sebelum meletakkan tangannya pada dahi Fia pula.

Tersentuh Fia dengan keprihatinan ibu yang tidak berbelah bahagi. Fia tidak mahu ibu risau. Dia menggeleng sahaja.

“Fia okey. Sihat! Mungkin sebab penat berjalan semalam. Insya Allah lepas ni, okey.” Dia berlari setempat di hadapan ibu bagi membuktikan yang dia tidak apa-apa. Nak tumbang Fia kerana berbuat begini.

Ibu tertawa kecil dengan gayanya. “Fia bolehkan minta MC?”

Dah isu MC pula yang ditimbulkan ibu. Fia pantas menggeleng. “Bukan tak boleh ibu! Bakeri tempat Fia kerja cuma dua orang pekerja sahaja buat masa ni. Sorang lagi, dah berhenti. Kak Yati tengah cari pengganti.” Fia menerangkan perkara sebenar.

Memang itu alasan sebenar untuk Fia pergi kerja hari ini. Tentang Tariq tadi, cuma fikirannya sahaja.

“Kalau sakit, macam mana nak buat roti?”

Fia tersenyum kepada ibu. “Ibu jangan risau. Kalau Fia sakit, Fia ganti dengan kawan Fia. Lagipun, Fia kena tolong basuh-basuh benda dekat bakeri tu.”

Ibu menggeleng mendengar penerangan Fia. Maafkan Fia ibu terpaksa menolak satu persatu kata-kata ibu. Dah tanggungjawab Fia, ada amanah yang perlu ditunaikan.

“Tak apalah kalau macam tu. Tapi, kalau dah sakit tu, pergi klinik. Callibu, nanti ibu jemput,” tegas arahan ibu kepada Fia menyebabkan dia mengukir senyuman lebar.

Terima kasih ibu kerana mendengar. Fia peluk erat lengan ibu ketika berjalan beriringan menuju ke tingkat bawah. Tariq sudah menanti di meja makan.

Mereka berbalas senyuman. “Saya hantar?”

Fia memandang ibu seakan meminta jawapan kepada terhadap soalan Tariq tadi. Fia lihat ibu mengangguk meminta Fia bersetuju.

“Terima kasih…”, ucapnya setelah itu sebelum dia menyendukkan bihun goreng ke dalam pinggan dan diserahkan kepada Fia selepas dia menyedukkan ibu.

Masih ada lagi ke, anak yang taat sepertinya? Hati Fia sejuk sendiri dengan kerukunan keluarga ini.



Nadia, peminat setia Nina awal-awal lagi sudah menjaja cerita tentang pertunangan wanita itu. Surat khabar Metro yang berada di atas meja dibaca satu-persatu butirannya.

Accountant kat US.”

Fia tersenyum mendengar kagumnya Nadia terhadap tunang Nina. Andailah Nadia tahu, nak ke dia mengkagumi Haziq yang tidak berapa nak berbudi bahasa itu?

Handsome!”

Telunjuk Nadia menunjukkan wajah Haziq yang berdiri bersebelahan dengan Nina.

“Memang macam pinang dibelah dua!”

Fia yang sedang mengelap meja di sebelah meja yang diduduki Nadia hanya menadah telinga. Biarlah Nadia tidak tahu. Kecoh pula jadinya nanti.

“Kau tak nak tengok ke? Handsome orangnya ni!”

“Dah tengok dah…” malas nak melayan jika topik perbualan adalah Haziq dan tunangnya. Nanti, bocor rahsia, padah pula yang menanti.

“Diaorang kenal waktu Nina buat pengambaran kat US lah!” riuh lagi mulut Nadia. Tetapi, itu info baru yang Fia terima daripada Nadia.

Fia tidak mahu mencelah tentang itu. “Daripada Nadia sibuk bercerita pasal Nina, lebih baik Nadia tolong saya buat doh!”

“Alah sekejaplah….Tiga minit sahaja, lepas ni aku sambung kerja balik!” mata Nadia masih tidak lepas membaca butiran tentang Nina yang tertulis pada surat khabar tersebut.

Belum pun sudah kerja mengelap meja, Fia mendengar Nadia seakan mengeluh. “Macam mana agaknya, jodoh kita?”

Fia tertawa. Apabila membaca tentang orang ini, mulalah nak membandingkan diri sendiri.

“Dah sampai seru ke?” sengaja mengusik Nadia. Usik mengusik antara satu sama lain akan mengeratkan hubungan. Jadi tak salah rasanya berkongsi.

“Entahlah! Malas nak cakap! Kau bolehlah, dah ada orang yang nak!” Fia pula yang diusik Nadia.

Fia tertawa kecil. “Mana ada!”

“Eleh… sudah gaharu cendana pula! Siapa nama dia,Z..Zi…Ziyad?”

“Nadia ni, mana ada!” Tengoklah, Nadia yang tak tahu apa-apapun sudah tahu yang Ziyad suka dengan aku. Ini semua angkara lelaki itu!

“Fia, tak elok lambat-lambatkan. Dah sampai jodoh, kahwin ajelah. Untung apa, kahwin. Ada yang sayang pada kita…Yang uruskan perbelanjaan kita. Tak payah keluar duit. Nafkah lagi….Mewah apa orang yang berkahwin!”

Fia menggeleng sahaja mendengar kata-kata Nadia. Nadia cuma berfikir tentang material sahaja. Kerana itu, hujahnya cuma berkenaan harta. Andailah ia semudah itu, sudah lama dia terima sahaja Ziyad yang seakan hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong itu.



Fia disapa tatkala dia ingin mengunci pintu bakeri oleh suara insan yang tidak asing padanya. Mengeluh Fia mendengar sapaan itu.

‘Akhirnya, lepas seminggu dia balik jugak! Kenapa tak terus stay sahaja kat Jepun tu!’ hati Fia membentak tanpa menoleh.

Fia berpaling selepas menyimpan kunci pintu bakeri. Hari ini dan esok, dia insan yang bertanggungjawab memastikan bakeri ini beroperasi seperti biasa kerana Kak Yati tiada selama tiga hari.

“Dah balik?” pendek sahaja soalan Fia kepada Ziyad.

Lelaki itu tersenyum lebar mengangguk. “I wish to bring you there!”

“Tak payahlah, tak ingin pun!” malas nak melayannya. Nak riak lah tu, dah pergi negara orang.

“After we get married!”

Kata-kata Fia tidak diendahkan Ziyad. Susah cakap dengan orang yang keras kepala ni. Dia akan terus bercakap sampai satu tahap Fia rasa nak bagi penampar sahaja biar senyap.

“Dah lama tunggu?”

Ziyad menggeleng. “Aku rush balik Melaka, nak jumpa kau. Turun aje dari airport terus pecut balik Melaka!”

Fia menggeleng sahaja.

“Sungguh! Aku nak bawa kau ke satu tempat lepas ni!”

Dahi Fia berkerut. ‘Nal bawa ke Jepun ke?’ “ Ke mana? Kenapa nak pergi sana?”

“Pejabat agama”, ada tawa halus di belakang ayat Ziyad memerhatikan reaksi dgadis di hadapannya.

Fia mendengus. Makan kasut dia ni nanti! Boleh pula aku dipermainkan seperti itu. Nak kena dia ni!

“Kan aku dah cakap, lepas balik Jepun aku nak masuk meminang,” Ziyad mula bertukar serius apabila Fia mempamerkan reaksi jengkel terhadap cadangan itu. ‘Tahu tak, tekak aku kembang sekarang ni?’

Kecik besar, kecik besar sahaja Fia pandang Ziyad sekarang ni. Hish! Mengenangkan mereka berada di tempat awamlah dia menjaga sedikit perbuatannya. Jika tidak, kaki Ziyad sudah disepak!

“Cakap sekali lagi, saya tak akan jumpa dengan awak lagi lepas ni!” Dia perlu tegas menyatakan pendirian. Fia tak nak menerima apa-apa lamaran sekarang lepas apa yang berlaku.

“Habis tu, janji kita?” Ziyad menagih janji pula dengan wajah yang tidak bersalah.

“Bila masanya,kita pernah berjanji? Saya tak pernah kata yang saya setuju nak terima lamaran awak kan?”

“Ada dulu. Waktu sekolah!”

Dah kena sampuk badi hantu Jepun ke dia ni? Tiba-tiba berperangai seperti budak tak cukup umur. Hish, ni yang malas nak melayan. Makin lama, makin lemak pula!

“Saya kata, awak cakap lagi pasal benda ni, saya tak akan jumpa awak lagi!” Fia mengugut lagi sekali. Penat sebenarnya melayan orang yang tak reti bahasa seperti Ziyad.

Dia mengeluh sebelum mengalah. “Okay…Okay…I’m not going to talk about it….”

Fia tersenyum bangga kerana mampu mendiamkan Ziyad yang bising ini.

Mereka melangkah beriringan ke arah kereta yang tersadai di hadapan bakeri. Belum sempat Fia membolos masuk ke dalam kereta, Ziyad pantas menahan.

“I’ll buy you dinner or anything else you need.” Mungkin dia ingin berusaha memujuk kerana Fia tidak melayannya lagi.

Fia menggeleng. “Tak nak, tak selera!”

“Aiskrim?”

“Saya bukan budak kecil yang boleh diaiskrim-aiskrimkan!”

Ziyad tertawa mendengar kata-kata itu. Fia tidak pula begitu kerana tiada apa yang perlu ditertawakan.

“Jemput masuk…” Ziyad membuka pintu kereta lalu menjemput Fia masuk. Langsung perbuatannya tidak mengundang senyum bagi gadis itu meskipun Ziyad tersengih lebar.

Dia kemudian bergerak ke tempat duduk pemandu lalu mereka memulakan perjalanan. Apa sahaja yang dikatakannya di dalam kereta juga tidak Fia pedulikan.

“Tariq ada mengurat tak?”

“Apahal awak ni? Tariq bukan orang macam tu lah!” Melenting Fia apabila disoal begitu memecahkan mogok bisu yang dilancarkan sejak masuk dalam kereta.

Ziyad mendengus. “Bila cakap pasal Tariq baru nak buka mulut,” sinis bicara itu. Fia diamkan sahaja diriku.

Ziyad mengetuk stereng keretanya. Entah serius atau main-main “Nak kena Tariq ni!”

Memang jelas Fia cuba memback-up Tariq daripada tuduhan Ziyad. Tidak mahu melayannya lagi, Fia memandang ke luar. Tiba-tiba ada satu perasaan takut yang datang dalam diri. Apa yang akan terjadi kepadanya setelah ini. Sampai bila harus begini?



Ibu rancak berbual dengan Ziyad. Sesekali perbualan mereka diselangi tawa. Walaupun Fia berada di situ, namun fikirannya seakan terbang. Dia tidak mampu mencerna cerita Ziyad tentang orang Jepunnya.

Sedang fikiran ini melayang, Fia tidak sedar yang dia menjadi topik perbualan mereka pula.

“Kau sakit Fia? Sakit kat mana? Nak pergi klinik?” cemas suara Ziyad bertanya.

Fia yang tersedar diri menjadi topik perbualan, lantas terpandangkan ibu yang turut memandangnya. “Klinik?” Fia pula menyoal Ziyad. Dia tidak tahu apa yang mereka bualkan sebelum ini, namun perkataan klinik sahaja yang masuk dalam otaknya.

“Ibu dah suruh minta MC, tapi Fia tak nak,” adu ibu lagi. Jelas riak risau pada wajah Ziyad apabila ibu membangkitkan isu tak sihat pagi tadi.

“Pergi klinik nak?” soal Ziyad.

Fia memandangnya. Menggeleng. “Tak payah risaulah. Pagi tadi aje, rasa berat sikit.”

“Patutlah angin semacam aje hari ni!” usik Ziyad lagi.

Fia buat tak peduli sahaja usikan itu. Dia memandang ibu. Mengenangkan yang belum solat asar lagi, tak apa rasanya meminta izin untuk meninggalkan mereka berbual berdua. “Fia naik dulu ibu.”

Ibu tersenyum mengangguk. “Penat nampak Fia ni. Pergilah naik. Tidur. Nanti, ibu ambil ubat.”

Fia bangkit dari duduk, lalu mencapai beg tangan yang berada di sebelah. Memang, dia sudah tidak larat lagi untuk menjadi pendengar kepada perbualan mereka. Memang rasa nak tidur sahaja sekarang ini.

Ziyad turut bangkit. Fia memandang lelaki itu aneh. Ibu juga. “Kenapa?”

“Nak teman kau!”

‘Aku hempuk jugak dia ni! Tak malu apa, depan ibu pun boleh bergurau macam ni’ “Saya nak solatlah!” Fia seakan menghantar isyarat jangan main-main dengannya.

Fia dengar tawa kecil dari ibu. ‘Ah! Stress aku dengan dia ni lah!’ Apabila ada Ziyad adalah stress! Memang tidak sekali pun menyenangkan.



Lega sikit kepala yang berat ini setelah Fia letakkan di atas bantal selepas solat tadi. Rambut yang kusut masai akibat berbaring tadi, dirapikan sebelum mengenakan tudungnya semula. Apapun, dia perlu membantu sedikit sebanyak di dapur. Melihat Kak Mas menyajikan minum petang pun berfaedah juga daripada tidur waktu Asar ni. Islam tidak menggalakkan umatnya tidur ketika Asar. Banyak mudarat dari yang baik.

Angin sepoi bahasa yang meniup masuk melalui sliding door membuatkan Fia tertarik untuk keluar sebentar menikmati angin petang. Cuaca yang begitu baik sayang disiakan. Mungkin, ini kali terakhir Fia berada di sini. Selepas ini, tidak tahu jika dia masih berpeluang untuk melawat ibu lagi.

Sliding door Fia kuak dari dalam. Angin yang lebih kuat menyerbu masuk hinggakan tudungnya beralun. Alhamdulillah, dia masih berpeluang merasai nikmatnya kehidupan. Nikmat udara yang tanpanya, tiada hidupan yang boleh terus hidup. Cukuplah beberapa saat.

Awan berarak perlahan ketika Fia melihat ke atas. Senyuman nipis diukir sebelum Fia seakan mendengar suara orang sedang bercakap-cakap.

Angin yang berpuput lembut tidak berjaya mematikan niatnya mencari gerangan yang bersuara. Fia pandang ke bawah.

Ziyad rupanya! Lelaki sedang berbual dengan Tariq. Entah apa yang mereka bualkan, tetapi nampak macam serius. Fia lihat Tariq terangguk-angguk mendengar apa yang dikatakan Ziyad.

‘Entah apa lagi lah tu? Jangan dijaja cerita memburukkan aku sudah!’

Fia beristighfar sendiri apabila sedar yang dia sudah bersangka buruk kepada Ziyad sedangkan Fia tidak tahu apa yang mereka bualkan. Mungkin sahaja Ziyad sedang mencanang cerita tentang Jepun yang telah diceritakan kepada ibu tadi. Kenapalah aku suka bersangka buruk pada dia?

Tidak mahu mereka perasan yang Fia memerhatikan, dia lantas melangkah masuk semula ke dalam bilik. Sliding door Fia tutup rapat. Petang-petang begini, biasa juga ada nyamuk.

Dia merapikan diri dahulu sebelum turun ke bawah. Malu kalau sememeh sahaja di rumah orang.

Ibu menarik tangan Fia untuk duduk bersama di wakaf belakang rumah. Katanya, dia ingin berbual dengan Fia di situ. Siapalah Fia untuk menolak permintaan kecil itu. Sambil berjalan fikiran menerawang. Rasanya, Ziyad dan Tariq berbual berhampiran wakaf itu. Malunya aku!

Benar telahan itu apabila kedua mereka memandang mereka yang sedang berpimpinan tangan ke wakaf tempat mereka berbual. Segan betul dia hinggakan wajah ini ditundukkan sahaja.

“Mas kata, sekejap lagi dia bawakan pisang goreng. Boleh kita makan sama-sama”, teruja benar suara ibu mencadangkan itu. Fia tersenyum. ‘Mungkin ibu gembira kerana rumah yang sunyi hari ini riuh sedikit. Seperti kami anak-anak ibu yang baru pulang dari overseagayanya’.

“Bagus jugak tu, ibu. Boleh kita berbual-bual sambil makan pisang goreng!” Ziyad juga kedengaran teruja. Tariq dilihat mengukir senyuman lebar. Mungkin dia juga berkongsi rasa dengan ibu.

Mereka duduk dengan membentuk bulatan di wakaf tersebut sambil bersila. Fia mengambil tempat di sebelah kanan ibu manakala Tariq pula di sebelah kiri. Ziyad? Apa lagi, mulalah nak menggatal mengambil tempat di sebelah Fia.

Fia menahannya dari duduk. “Ops…Tak boleh! Kak Mas duduk sini!” Fia tak mahu duduk di sebelahnya.

Ziyad mendengus. “Kak Mas tak cakap pun nak duduk sini!”

“Tak boleh…Tak bolehlah! Orang dah copkan untuk Kak Mas!”

“Memang ada cop Kak Mas kat sini?”

Lagak mereka yang seakan budak kecil itu ditertawakan Tariq dan ibu. “Macam budak-budak!” tegur ibu.

Menyedari kekhilafannya yang seakan tidak matang, Fia menarik tangan. Mengalah. Terus bergaduh, nampak sangat macam budak tak cukup umur.

Fia tahu Ziyad sedang meraikan kejayaannya. Namun, dia buat tidak peduli sahaja.

“Fia nakal tak ibu, seminggu ni?” mata Ziyad melirik ke arah Fia.

Tariq yang berada di hadapan Fia dilihat sedang menyembunyikan tawanya apabila ibu disoal begitu.

Ibu pula memandang Ziyad. “Nakal? Adalah sikit!” Sekadar untuk mengusik. Lengan ibu Fia peluk erat lalu dilentokkan kepala pada bahu ibu.

‘Rindu ibu!’

Tiada kata lain yang keluar lagi dari mulut Ziyad. Mereka terdiam sebelum kesunyian dipecahkan Tariq.

“Ad, kata kau kerja esok. Tak apa ke, nak drive malam ni?”

Soalan Tariq membuatkan perhatian mereka dan ibu beralih kepada Ziyad.

Soalan Tariq membuatkan perhatian Fia dan ibu beralih kepada Ziyad pula. Ingin mendengar jawapan kepada soalan Tariq. Kalau sekarang masih ber ‘lepak’, bila pula masanya nak beredar? Lewatlah sampai ke KL nanti.

“Kau risaukan aku ke?”

Tariq menepuk bahu Ziyad pula. “Mana tak risaunya, sahabat dunia akhirat!”

Fia tersenyum mendengar perbualan dua sahabat ini.

“Relakslah! Dalam plane tu, kerja aku tidur je. Sampaikan terlentok-lentok atas bahu orang. Tu yang segar semacam ni.” Ziyad menunjukkan ototnya seraya megundang tawa mereka semua.

“Ziyad tak balik jumpa ayah?” soal ibu pula dengan tawa yang masih bersisa. Bicara ibu membuatkan mereka senyap. Senyuman Ziyad juga hilang tiba-tiba. Fia memandangnya dari sisi yang sedang meneguk teh.

Jelas kalutnya apabila ibu mengutarakan soalan tentang bapa Ziyad. Dato’ Zainuddin. Mungkin ibu tidak tahu kemelut Ziyad dan bapanya itu.

Dia meletakkan cawan tehnya semula. Senyuman nipis terukir pada wajah Ziyad. “Ada balik. Alhamdulillah, papa sihat.”

Matanya melirik kepada Fia. Gadis itu mengalihkan pandangan ke bawah. Dia tahu yang Fia tahu tentang itu, tetapi, Fia tidak mahu campur urusan keluarganya.

Beberapa saat kemudian, Kak Mas datang dengan menatang dulang. Dari sini, mereka sudah boleh menghidu aroma pisang goreng. Fia lantas bangkit sebelum turun mengenakan sandal dan membantu Kak Mas yang kelihatan seakan tidak cukup tangan.

Pinggan pisang goreng Fia letakkan di hadapan ibu dan satu lagi di hadapan Ziyad. Fia lihat lelaki itu sudah tidak sabar.

“Kak Mas duduk sebelah saya ya”, ujar Fia kepada Kak Mas yang sedang meletakkan sambal kicap.

Dia mengangguk lalu tersenyum. Mereka naik ke wakaf itu bersama-sama. Terhalang Fia daripada terus melihat Ziyad apabila Kak Mas mengambil tempat antara mereka.

“Gembira betul ibu dapat kumpul macam ni. Meriah rasanya!” ujar ibu dengan nada gembira.

Tariq lihat mengukir senyuman lebar ibunya tersenyum. “Kesian ibu, abang ada kat rumah pun macam tak ada!”

“Ha tau pun! Sibuk sangat buat kerja! Mana ada masa nak temankan ibu!”

“Minta maaf ibu!”

Mereka seakan sedang menonton sketsa keluarga di sini. Sebelum makan, Tariq mengetuai bacaan doa sebagai mensyukuri rezeki yang mereka terima. Alhamdulillah. Seronok dapat merasai pengalaman sebegini. Minum petang bersama.

“Ibu, Tariq ni memang workaholic. Even masa zaman sekolah dulu! Pukul tiga empat pagi dah bangun. Solat tahajjud, then belajar. Azan subuh kalau tak dia yang bang, Hakim…” Ziyad menceritakan perihal Tariq di hadapan empunya badan ketika mereka sama-sama mengunyah.

“Kau intip aku?” Tariq menyampuk pula apabila Ziyad bercerita tentang itu. Merah padam wajah cerahnya.

Ziyad rancak mengunyah. Fia, ibu dan Kak Mas lebih senang menjadi pemerhati dan mendengar cerita dua sahabat ini.

“Huish, mana boleh biar pesaing aku berjaya. Aku pun kenalah tiru apa yang kau buat. Kalau kalah pun, kalah tipis!” Ziyad tertawa.

Fia tersengih sendiri. Teringat dia ketika zaman sekolah dahulu. Memang mereka pesaing. Tetapi, mereka bersaing secara sihat. Merentas desa, sukan sekolah, dan apa-apa acara melibatkan pertandingan, jika ada Tariq adalah Ziyad sekali. Walaupun untuk tulisan khat yang tidak digemari Ziyad.

“Sebab tu, kau ngantuk dalam kelas?”

“Kau pun apa kurangnya. Aku tengok menguap je bila sampai tengah hari. Tapi, aku salute kau…”

“Kenapa?” tanya Tariq sambil mencapai sekeping lagi pisang goreng.

“Kau berjaya tahan ngantuk kau tu. Aku kat belakang, dah syahid dah!”

Mereka tertawa mendengar cerita Ziyad. Jangan cakap dia, Fia juga insan yang selalu gugur di medan ilmu apabila membuka buku. ‘ Janganlah ada anak-anakku satu hari nanti, kuat tidur seperti aku’.

“Alhamdulillah. Semua kawan aku berjaya. Masing-masing dah bekerja. Aku bersyukur pada Allah. Kalau ada yang tercicir rasanya macam tak bermakna saja kejayaan ni…”

Mendengar kata-kata Tariq, Fia malu sendiri. Berjayakah dia yang bekerja sebagai ‘kuli’di bakeri Kak Yati? Fia tundukkan sahaja wajahnya ketika mengunyah.

“Aku pun, patut ucap terima kasih pada kau. Kalau aku tak jealous dengan kau dulu, aku tak jadi macam ni. Aku bersyukur diberi hidayah untuk bergantung kepada Allah. Seronok rupanya, berdoa dan bertawakkal lepas berusaha…”

Kata-kata Ziyad menyebabkan Fia mengangkat wajahnya. Itu Ziyad ke? Matang pula dia apabila bertutur seperti itu. Kena sampuk badi Jepun ke?

Tariq mengangguk. “Memang seronok. Rasa macam nak kembali zaman sekolah semula.Tapi, apa yang dah berlalu dah menjadi sejarah pun. Kita sebagai manusia, perlu teruskan hidup. Hargai hari-hari yang mendatang dengan iman dan amal soleh…”

Kagumnya Fia mendengar bicara dari kedua-dua lelaki yang pernah bersekolah sama dengannya. Dia sendiri, tidak mampu untuk menyusun ayat seperti itu. Mungkin selepas ini, Fia perlu lebih banyak membaca. Bangsa membaca bangsa berjaya!

“Itulah Tariq! Tak sah kalau bercakap tak berisi”, puji Ziyad.

Fia lihat ada segaris senyuman seorang ibu untuk anaknya. Ibu kelihatan sungguh bahagia. Siapa sahaja tak bahagia, anak yang dilahirkan menjadi anak yang berguna demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

Mereka tertawa bersama-sama ketika menikmati pisang goreng, air tangan Kak Mas. Mengimbas zaman sekolah mereka. Ibu juga tidak lokek berkongsi sejarah zaman mudanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh TASHA SAIN