Home Novel Cinta HERO UNTUKNYA
HERO UNTUKNYA
TASHA SAIN
10/4/2015 00:36:28
20,616
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4, BAB 5

                                                                             4

Fia  merenung kad jemputan perkahwinan yang kini berada pada pegangannya. Baru tadi, kad jemputan perkahwinan ini sampai ke rumah. Cantik. Berwarna putih keemasan. Fia membaca nama yang terukir dengan warna keemasan. Muhammad Hazim b. Ghafar. Nama yang terukir itu. Fia kenal pemilik nama ini. Abang sulung kepada tunangnya. Fia menggelarnya Along memandangkan seiisi keluarganya juga menggelarnya begitu. Dia juga yang menyuruh Fia untuk menggelarnya begitu memandangkan gadis itu bakal menjadi sebahagian daripada mereka.

Telefon bimbit yang berdering di atas meja mematikan lamunannya. Melihat nama yang tertera pada telefon bimbit tersebut, Fia mengukir senyuman.

“Assalamualaikum Umi!” Fia ramah menyambut panggilan darinya. Umi juga kedengaran ramah di hujung talian menjawab salamnya.

“Dah sampai kad jemputan Along?”

“Dah Umi. Baru tadi. Umi apa khabar? Sihat?” Fia bertanyakan khabar umi walaupun dia sering menghubunginya tiga kali seminggu. Kadang kala Fia sendiri yang akan menghubunginya sebagai menghargai kehadirannya dalam hidupnya.

“Alhamdulillah. Sihat! Fia macam mana? Sibuk kerja?”

Fia tertawa mendengar soalan umi. Sebagai seorang pembuat kek di sebuah kedai kek, tugasnya tidaklah sibuk mana. “Tak Umi. Biasa-biasa saja. Belum musim kan. Relaks sikitlah”

“Baguslah tu. Jangan asyik kerja. Nanti sakit,” nasihat umi. Mendengar bicaranya, Fia teringat akan arwah ibunya. Lembut sepertinya.

“Mak ngah sihat?” Umi bertanyakan keadaan mak ngah pula.

“Mak ngah tak berapa sihat. Batuk. Sekejap lagi Fia nak bawa mak ngah pergi klinik. Dah berapa hari ni tak sembuh lagi”. Fia bercerita pula tentang keadaan mak ngah.

“Nak umi datang ke sana?” Jelas risau dalam nadanya. Sungguh wanita ini terlalu baik pada Fia dan mak ngah. Kerana itulah, mak ngah begitu menyenangi wanita yang dia panggil Umi ini.

Tetapi, Fia terpaksa menolak kehadirannya ke sini memandangkan dia sibuk dengan persiapan perkahwinan Along. “Tak apa Umi. Sikit je. Insya Allah, lepas makan ubat nanti, mak ngah okeylah tu”.

“Umi risau”.

“Umi, jangan risau. Yang Umi patut risau sekarang ni, Along. Kesian Along nanti. Lagipun, KL ke Melaka, bukanlah dekat sangat. Membazir masa nanti”

Umi terdiam di hujung talian. Nampaknya, dia mungkin sedang mencernakan alasannya menolak kehadirannya ke rumah ini.

“Betul tak nak Umi datang?”

Fia tertawa kecil. Umi masih belum mahu mengalah. “Serius Umi”

“Tak apalah kalau macam tu! Tapi, kalau dah teruk sangat, make sure cakap dengan Umi”, arahnya.

Fia tersenyum menang walaupun dia tidak melihatnya. “Promise!”

“Persiapan macam mana Umi?” soalnya. Sebelum menerima panggilan daripadanya, Fia ada berniat ingin bertanyakan persiapan majlis tersebut. Sekurang-kurangnya, Fia perlu mengambil tahu malah perlu membantu apa-apa yang patut.

“Alhamdulillah. Ramai sedara yang datang tolong. Ni, Along suruh Fia datang. Jadi kendarat!” usik Umi.

Fia tertawa. Hubungan Fia dengan Along memang begitu. Biarpun dia bukan abang kandungnya, keramahannya membuatkan Fia senang bersama dengannya. Mereka sering mengusik antara satu sama lain apabila Fia bertandang ke rumah umi.

“Umi kirim salam dengan Along. Cakap dengan dia, satu minit seringgit!”

Fia dengar Umi tertawa di sana. Fia turut tertawa.

“Tak adalah Umi. Fia tak kisah pun. Hari Sabtu nanti Fia datang”

Dia terdiam di hujung talian. “Kalau datang hari Jumaat boleh? Umi nak kenalkan sedara Umi dengan Fia. Hari Sabtu nanti tak sempat”, pintanya. Mata Fia tertancap pada kad jemputan yang berada di tangan. Oh patutlah, hari Sabtu nanti di pihak perempuan.

Belas Fia mendengar nada suaranya. Fia berfikir sejenak. Bolehkah? Dengan mak ngah yang kurang sihat, tak mengapakah Fia meninggalkannya sendiri?

“Nanti Fia tanya mak ngah dulu. Rasanya boleh”. Fia memberi harapan. Kasihan dirinya yang seakan berharap.

“Umi suruh Along jemput!” cadang Umi yang kedengarannya teruja.

Dahinya berkerut. Tak kan bakal pengantin disuruh untuk memandu ke Melaka. Bagaimana jika ada apa-apa yang tejadi. Serba salah Fia nanti.

“Umi tak perlu risau. Nanti, Fia datang sendiri. Sedara Fia ada. Boleh hantar”

Umi mengeluh. Fia pula yang serba salah dengan keluhannya. Lepas satu-satu permintaannya yang terpaksa Fia tolak. ‘Maafkan Fia Umi’.

“Betul tak nak Along ambil?” Seperti tadi, Umi masih ingin memenangkan cadangannya.

Sebagai seorang jurutera, Fia faham yang Along banyak tugasnya. Fia tidak mahu menyusahkan dirinya. “Positif”, ujarnya.

Fia dengar Umi mengeluh lagi. Fia cuma mengukir senyuman seakan memujuk dirinya agar tidak kecewa dengan keputusannya itu. Setelah bertukar salam, Fia mematikan talian.

Mengingati kebaikan Umi, fikirannya menerawang mengingati Haziq. Menurut Along, perangai Haziq persis Umi. Fia cuma berharap, dia yang tidak pernah Fia jumpa hingga ke hari ini adalah insan yang seperti gambaran Along kepadanya. Sebagaimana Fia menyenangi Umi, begitu jugalah dia harapkan daripada umi.

Umi, teman baik mak ngah itu Fia temui di rumah mak ngah. Saat dia bertandang di teratak ini, umi menyatakan dia berkenan dengan Fia yang kelihatan lembut pada matanya. Lalu, kepada mak ngah disuarakan permintaannya untuk berbesan dengan mak ngah. Tugas mak ngah pula menyuarakan isi hati umi kepada dirinya. Fia tidak terus bersetuju memandangkan ikatan ini bukanlah boleh dipaksa-paksa.

Mak ngah memujuknya untuk menghubungkan silaturrahim dengan Umi. Lalu, apabila Fia berkelapangan, teratak Umi yang berada di Shah Alam akan Fia singgah setiap kali bertandang ke ibu kota. Dari situ, hubungan mereka mulai rapat.

Umi menganggapnya persis puterinya sendiri. Fia turut menyenangi ahli keluarganya yang lain. Cuma yang satu itu, Haziq. Mereka tidak pernah bersua muka memandangkan dia kini sedang bermastautin di US dan bekerja sebagai akauntan di salah sebuah bank di situ. Berbicara melalui corong telefon juga tidak.

Ketika fikiran ini mengimbas kenangan pertama kali bertemu dengan Umi Sarah, mak ngah meminta izin untuk melangkah masuk. Fia menjemputnya duduk di birai katil. Dia mengambil tempat di sebelah anak saudaranya.

“Mak ngah ada terdengar tadi”, ujarnya. Fia tersengih. Rasanya, tidak perlulah Fia bercerita panjang lagi.

“Pergilah…Mak ngah izinkan!” ucapnya lagi. Fia sudah serba salah. Bimbang dengan kesihatan mak ngah. Bibirnya juga pucat.

Fia mengeluh melihat wajahnya itu.”Siapa nak jaga mak ngah nanti?”

Mak ngah tertawa kecil. “Itu pulak yang kamu risaukan. Tahulah mak ngah jaga diri. Bukannya lama pun.Tiga hari saja. Tak kisahlah”, pujuk mak ngah.

Fia mencapai jemarinya. “Nanti Fia rindu, macam mana”, rajuknya.

Mak ngah melukunya kepalanya. Fia mengaduh kesakitan walaupun tidak sebenarnya. “Dah nak kahwin pun masih nak bermanja”

Fia terdiam dengan bicaranya. Kahwin? Entahlah, Fia tidak berani memikirkan hal tersebut walaupun Fiakini sedang menghitung hari. Awal tahun hadapan, dengan izin Allah, majlis itu akan berlangsung. Kata Umi, dia ingin sekali Fia disatukan dengan puteranya satu pelamin bersama Along. Mana mungkin Fia berbuat demikian memandangkan perkahwinan tidak boleh terburu-buru. Perlu ada perancangan yang teliti.

“Macam mana Fia nak pergi rumah Sarah tu?” soal mak ngah kepada Fia yang masih diam.

Fia tersenyum. “Mak ngah janganlah risau. KL tu dah macam rumah kedua!”

Sekali lagi mak ngah melukunya kepalanya. “Apa mak ngah ni, sakitlah”

“Sesat nanti baru tahu!”

“Taklah! Fia naik bas. Nak sesat apanya” Fia sendiri sebenarnya tidak pasti lagi laluan ke rumah Umi Sarah memandangkan setiap kali Fia bertandang ke rumahnya pasti ada pemandu yang datang menjemputnya dari Melaka ini.


Fia meminta izin dari Kak Yati, pemilik bakeri untuk pulang awal pada hari ini. Jam 1.30 tengah hari, Fia dibenarkan untuk ke rumah. Ucapan terima kasih dihulur kepada Kak Yati.

Dalam langkah ke pondok bas yang berdekatan, fikirannya merangka perjalanan ke rumah Umi Sarah. Kerana tidak mahu sampai ke rumah Umi pada waktu malam, Fia perlu mengambil tiket pada jam 3.00 hingga 5.00 petang. Perjalanan dari Melaka ke TBS akan mengambil masa lebih kurang dua jam jika tiada kesesakkan lalu lintas. Gitu gini dengan LRT dan KTM lebih kurang 2 jam juga. Sempatlah kot.

Fia menerima panggilan telefon dari Umi lagi. Nampaknya, Umi memang tidak sabar ingin bertemu dengannya. Riuh mulutnya bercerita tentang sedara mara yang sudah berkampung di rumahnya. Meskipun tidak Fia kenali nama-nama insan yang dikatakannya Fia tetap terhibur dengan bicaranya.

Setelah menunaikan solat Zohor pada tengah hari Jumaat itu, Fia bersalaman dengan mak ngah di muka pintu. Meminta doanya agar Fia selamat sampai betul-betul di hadapan pintu rumah Umi. Mak ngah tertawa. Ada-ada saja Fia ni! Ujarnya.

“Kata kat Umi, walau terpaksa merangkak pun, mak ngah datang hari Ahad nanti”

Geli hatinya dengan bicara mak ngah. Hiperbola betul mak ngah Fia ni!

Fia tahu tentang perancangan mak ngah untuk menghadiri majlis perkahwinan Along. Anak sulung mak ngah yang dia panggil Kak Jasmin akan membawa mak ngah ke rumah Umi. Insya Allah mereka akan bertemu nanti.

Teksi menanti di halaman rumah untuk ke Melaka Sentral. Doanya, perjalanan ini dipermudahkan dan dilindungi dari segala macam bahaya. Mak ngah melambai tatkala teksi sudah ingin bergerak pergi. Lambaian dibalas dengan senyuman. Moga mak ngah juga dipelihara Allah sepanjang ketiadaannya di sisinya.

Fia mundar-mandir di TBS. Mencari kalau-kalau ada sesuatu yang boleh dibawa sebagai buah tangan. Lupa pula dia ingin membelinya di Melaka. Malu juga kalau bertandang ke rumah Umi tanpa membawa apa-apa. Sekrrang-kurangnya ada buah-buahan sebagai buah tangan. Fia berdiri di haddapan kedai yang menjual pelbagai cenderamata. Comel-comel belaka.

“I’ll pay for it”, tegur seseorang dari belakang yang dia rasakan begitu hampir dengannya. Lantas, Fia berpaling. Terkejut beruk Fia apabila Along di situ. Entah bagaimana rupa Fia ketika itu.

“Along!”

Dia tertawa melihat reaksinya. Entah apa yang lawaknya hingga dia tertawa besar seperti itu. Keningnya sudah berkerut. Mungkin wajahnya ketika terkejut tadi menggelikan hati Along.

“Janganlah ketawa macam tu. Orang pandang nanti!” tegurnya apabila tawanya masih tidak henti. Fia lihat ada yang sedang memandang ke arah mereka.

“Okey..okey. Along tak ketawa lagi!” tawanya masih bersisa.

Fia meletakkan semula tas tangan tersebut di tempat asalnya. Tak perlu rasanya untuknya membeli sedangkan dia masih belum memerlukannya.

“Uncle Long, stop it. It’s shameful” tegur kanak-kanak di sebelahnya. Fia berpaling dengan lagak terkejut lagi. Tidak sedar pula di sebelah Along ada kanak-kanak perempuan yang memerhatikan mereka.

“Okay…Okay...”

Barangkali Along malu ditegur anak saudaranya itu.

“Apa Along buat kat sini?” soal Fia kepada Along. Tidak menyangka akan bertemunya di sini. Fia memandang anak kecil yang sedang berpeluk tubuh di hadapannya dan merenungnya tanpa kelip. Comel. Sepertinya dia berdarah kacukan.

Along perasan Fia memandang anak buahnya. Dia menggosok ubun-ubun anak itu.

“It’s hurt!” anak itu menolak tangan Along agar kepalanya tidak terus digosok Along. Along ketawa lalu meneruskan gosokannya. Amaran anak itu tidak diendahkan.

“Umi suruh jemput menantunya yang keras kepala!” sindir Along.

Fia tertawa kecil. Umi memang tidak mahu mengalah. “Along ni, tek eloklah suruh orang berdarah manis ni jalan jauh-jauh”

Along tersenyum. “Melaka dengan Shah Alam bukan jauh mana pun. Sekangkang monyet je”.

“ Tak elok Along, rosakkan peribahasa Melayu.”

Sekali lagi bicara Fia disambut tawa olehnya. Along memang begitu. Senang tersenyum dan senang juga tertawa. Fia menyenangi insan di hadapannya ini.

Anak kecil itu masih lagi memandang Fia dengan pandangan yang tajam. Risau pula Fia dibuatnya. ‘Ada apa-apa ke pada muka aku?’ Fia cuba mencipta perbualan dengan kanak-kanak ini.

“Siapa nama ni?” Fia bercangkung di hadapannya supaya dia tidak perlu mendongak memandangnya. Pada firasatnya, usia kanak-kanak itu baru enam tahun.

“Gina, aunty asked your name”, tegur Along apabila anak kecil itu tidak mahu menjawab.

Setelah agak lama dia membisu, mulutnya digerakkan. “She’s not that pretty!”

Fia menggaru kepala. Itukah jawapan dari soalannya? ‘Budak ni! Mana dia belajar mengutuk orang depan-depan’.

“Gina!” Along meninggikan suaranya terhadap Gina. Dia juga perasan yang bicara Gina agak kurang sopan.

Fia tidak mahu keadaan menjadi keruh sementelah wajah Gina dia lihat seakan ingin menangis ditegur Along seperti itu.

“Tak apa Along. Tak sampai hati pun. Kena sipi-sipi kat jantung”. Fia tertawa dengan lawaknya sendiri. Cuba menjernihkan keadaan. Along memandangnya.

“Budak-budak tak boleh dimanjakan. Hilang bahasa dia nanti”. Wah, Along dah boleh dapat title abah mithali ni.

“Gina, minta maaf pada aunty. Tak elok cakap macam tu”, tegur Along lagi. Entah kenapa, Fia rasakan yang dia tidak perlu bertengkar kerana itu. Namun, Fia perhatikan sahaja tingkah anak kecil di hadapannya ini. Kalau-kalau lembut hatinya untuk meminta maaf.

“In your dream!” jeritnya.

Fia ternganga mendengar bicara anak ini. Along sudah dilihat mengetap bibirnya. Gina melarikan diri agar tidak dimarahi Along.

“Along, kita kena kejar dia! Hilang dia nanti!” Fia mengekori langkah Gina. Pantas Along mendahuluinya mengejar Gina.

Anak itu sekelip mata dalam pelukan Along. Gina meronta-ronta minta dilepaskan. Along memujuk. Walaupun Fia tidak tahu butir bicaranya, tetapi, dia pasti yang Along sudah berjaya memujuk Gina. Buktinya, anak itu senyap memeluk leher Along. Fia tertawa. Kanak-kanak memang begitu. Mujur Along pandai memujuk.

Along bersama Gina menghampirinya. “Fia nak makan? Food court ke? KFC?”

Fia menggeleng. Tidak perlu rasanya. Makanan tengah harinya juga masih belum habis dicernakan. Dia masih kenyang.

“Niatnya tadi nak cari buah tangan. Buah pun tak ada kat sini”.

“Tak payahlah susah-susah. Fia dah datang pun cukup baik”

Fia mengeluh. “Tak boleh macam tu. Saya yang tak sedap nanti”

“Kat rumah tu, dah macam pesta makanan! Membazir nanti”

Fia memuncung. Along masih dengan pendapatnya yang Fia tidak perlu bersusah payah membelikan buah tangan. Fia mengalah. ‘Kalau dah macam, tak mengapalah’.

Along berjalan mendahuluinya untuk ke eskeletor. Alang-alang dah berada di TBS, tak salah rasanya membelikan kek di kiosk yang berada d depan mata ini. “Along, singgah baskin robin sekejap!”

Fia lihat Along sudah menggeleng. Fia tersenyum menang. Sekurang-kurangnya niat ingin membawa buah tangan dapat ditunaikan.

Along meletakkan Gina di tempat duduk penumpang bahagian belakang. Kanak-kanak itu mencuka dan berpeluk tubuh. Tertawa Fia melihatnya. Dari tadi, moodanak kecil itu tidak berubah. Hairan juga dia melihatnya. Entah apa yang dimarahkan agaknya. Along memasangkan tali pinggang keledar buat Gina. Sempat dia berpesan agar Gina tidak menanggalkannya. Tiada jawapan dari bibir comel Gina.

Fia pula mengambil tempat di sebelah Along apabila Along mengarahkan Fia berbuat demikian. Kek yang dibelinya tadi,Fia letakkan di pangkuannya. Along mengambil tempat di tempat duduk pemandu. Menutup pintunya dan menghidupkan enjin.

“Angah tak dapat balik”, ujar Along perlahan ketika mengundurkan keretanya. Fia menarik nafas lega. Biarlah dia tidak balik, dia sendiri tidak tahu bersediakah dia ingin bersua dengannya memandangkan ini kali pertama kami bertemu.

“Along sedih?” Fia cuba menduga perasaannya. Siapa-siapa pun akan berharap, sanak saudaranya akan bersama-sama meraikan hari yang bahagia dalam hidupnya. Fia juga begitu. Orang yang penting seperti mak ngah perlu ada.

“Sedih juga. Along harap sangat dia dapat balik! Along pun bukannya selalu kahwin”

“Ai… Lain macam je ayat Along ni!” Fia mengusiknya. Belum melafazkan akad nikah sudah berfikir untuk menambah cawangan yang lain. Lelaki…Lelaki.

Along ketawa besar dengan usikannya. “Apa salahnya?”

“Marah Kak Jun nanti”. Mengingati Kak Jun yang bakal menjadi isteri kepada jurutera muda ini, Fia tersenyum sendiri.

Kak Jun yang Fia kenali memang peramah orangnya. Dia bekerja sebagai seorang doktor di salah sebuah hospital swasta di Selangor ini. Menelusuri kisah cinta mereka, Along yang bertindak lebih untuk mengayat Kak Jun. Usahanya tidak sia-sia apabila cintanya bersambut.

Harrier bergerak keluar dari perkarangan TBS. Tiada kata lagi setelah Fia menyuarakan pendapatnya tentang Kak Jun.

“Fia tak pernah jumpa Angah kan?” Along menyoal setelah agak lama keadaan sepi.

Fia menggeleng. Dia hanya pernah melihat fotonya sahaja.

“Fia tak takut, kalau apa yang Fia tahu bukan apa yang realiti?”

Dahinya berkerut. “Maksudnya?”

“Along risau, Angah yang Along kenal bukan Angah yang dulu”. Along yang dilihat dari sisi seperti berubah serius.

Tiada kata yang terluah dari bibirnya. Dia tidak tahu apa yang ingin dikatakan. Bagaimana ingin mengharapkan dia menjadi seseorang yang dulu sedangkan dia tidak pernah mengenalinya?

                                                                            5

Halaman banglo rumah Dato’ Ghafar dipenuhi khemah. Fia mengukir senyuman. Indahnya perasaan ini. Rumah ini meriah tidak seperti biasa. Along meminta Fia turun di hadapan pintu pagar rumah kerana dia ingin meletakkan Harriernya di garaj kereta. Fia menurut.

“Fia, masuk dulu. Salam dengan mak cik. Nanti Along escort!” Along tersengih nakal.

Fia turutkan sahaja. Ternyata sebaik sahaja turun dari Harrier tersebut, Fia perasan ramai yang sedang memandangnya. Fia tersengih. Patutlah Along nak escortnya. Entah kenapa, tatkala perasan dirinya menjadi tumpuan, dia hanya berdiri terpacak di situ. Dia menggaru kelapa. Memikirkan apa yang patut dibuat.

“Fia!” tegur Dato’ Ghafar dari arah hadapan. Leganya perasaan ini apabila Fia ditegur oleh orang yang dia kenal.

“Abah!” Cukup dengan menyahut panggilannya sahaja tanpa menghulurkan tangan untuk bersalaman. Fia tahu ada batas-batas pergaulan yang perlu dijaga sebelum melayakkan Fia untuk menyentuh tangannya.

Abah tersenyum lebar lalu menjemputnya untuk melangkah masuk. Mengajaknya untuk ke khemah sebelum masuk ke rumah. Mereka melangkah beriringan ke arah meja bulat yang dipenuhi lelaki—lelaki sebaya usia abah. Fia memaniskan wajahnya.

“Ni, menantunya ya?”

Belum sempat abah memperkenalkan Fia kepada saudaranya itu, mereka ditegur.

Fia menggeleng. Abah menjawabnya bagi pihaknya.

“Ni, tunang si Angah. Menantu kedua saya!” Ada nada bangga yang Fia kesan daripada bicara abah. Sungguh dirinya terharu. Dia dilayan tidak seperti orang asing.

“Asal mana? Pandai Angah cari isteri!”

Fia sudah tersipu malu mendengar pujian daripada seorang lagi pak cik yang duduk di situ. Hakikatnya, bukan Haziq yang mencarinya, tetapi semua ini diatur umi dengan izin Allah.

“Saya orang Melaka”

“Tak jauhlah…Senang ulang-alik!”sampuk yang lain pula.

Fia cuma ketawa kecil. Sejujurnya, dia agak kekok dengan pertemuan seperti ini. Memandangkan dia akan bertemu mereka dengan lebih kerap akan datang, maka dia layankan sahaja.

“Pak cik semua jangan kacau Fia. Nanti, Angah jealous!” Bicara seseorang dari belakang membuatkan pak cik-pak cik di hadapannya ini terburai tawa mereka. Abah turut terhibur dengan usikan itu.

Wajah Fia terasa panasnya. Malu.

Along menghampiri mereka dengan mendukung Gina. Gina memaut leher Along dengan erat. Mengalihkan pandangannya tatkala Fia memandangnya.

‘Kenapa dengan dia ya?’

Gina kemudiannya bertukar tangan kepada abah apabila abah meminta Gina untuk didukung. Membandingkan abah dengan Along, mereka punyai persamaan yang sangat ketara. Insya Allah melihat gaya Along, dia mampu menjadi ayah yang baik suatu hari nanti.

Along mendahuluinya menghampiri mak-cik-mak cik yang memerhatikan mereka dari tadi. Fia mengukir senyuman semanis mungkin. Senyuman berbalas. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan mereka sebagai tanda hormatnya terhadap mereka.

“Comel budaknya!” puji seorang mak cik.

Fia tersengih.

Along turut mengukir senyuman. “Yang itu mak long sebelah abah”.

Fia mengangguk. “Apa khabar mak long!”

“Alhamdulillah. Patutlah si Angah sayang sangat, comel rupanya!” usiknya. Usikan itu mendorong tawa mak cik-mak cik yang berada di situ.

Simple orangnya,” tegur seseorang lagi yang cukup membuatkan mak cik-mak cik yang duduk di bawah khemah itu terdiam.

Fia mengukir senyuman tawar. Tegurannya membuatkan Fia terfikir simple sangat ke blousedengan jeans yang dikenakannya ini? Simple mungkin untuk orang berada seperti yang menegur tadi.

Along menggaru kepala. Serba salah mungkin mendengar mak ciknya mengkritik Fia seperti itu. Along terbatuk kecil. Fia memandangnya. Along mengajaknya untuk masuk ke dalam rumah. Fia mengangguk bersetuju dengan cadangan Along. Melarikan diri ketika ini mungkin lebih baik.

“Fia jangan kecil hati dengan apa yang Mak Uda cakap tu. Dia memang lain sikit”

Fia tertawa kecil. Melihat pakaian yang sedang dipakainya dengan gelang yang memenuhi pergelangan tangannya, Fia pasti dia bukan calang-calang. Mendengar intonasi suaranya juga, Fia yakin dia kurang menyenangi kehadirannya.

“Tak apalah Along! Betul apa yang dia cakap. Simple sangat Fia ni! Mak ngah pun tegur tadi”. Fia merendah diri. Tidak mahu Along terasa dengan kritikan mak udanya padanya. Lagipun, Along tidak bersalah terhadapnya.

“Pada Along, simplelagi okey”. Along memberikan pendapatnya. Fia menyaingi langkahnya. Fia tergelak.

“Sajalah tu nak sedapkan hati orang”.

“Orang kata natural beauty! Along rasa kalau Angah tengok Fia pun, dia suka”.

“Dah lah Along. Asyik nak promoteHaziq.”

Giliran Along pula menghamburkan tawa. Entah apa yang lawaknya, Fia tidak tahu.

Umi berlari mendapatkannya tatkala Fia ingin melangkah masuk ke dalam rumahnya. Tubuhnya dipeluk erat mengalahkan setahun tidak berjumpa. Fia tersenyum sahaja dengan reaksi umi. Sayangnya dia pada Fia seakan seorang ibu.

“Umi, dah lah tu. Lemas Fia nanti”, usik along. Serentak itu pelukannya yang kejap dileraikan.

Jealous lah tu, umi tak peluk!” usik umi pula. Menggeleng Fia melihat anak beranak ni mengusik antara satu sama lain.

“Mana ada jealous!”

“Along dah besar. Dah nak kahwin dah pun! Tak payah kena peluk lagi!” umi giat menyakat.

“Fia pun dah besar. Dah jadi tunang orang!” Along masih tidak berpuas hati.

Umi mengeluh. “Malulah, kalau Jun tengok!”

“Umi!”

Fia menghamburkan tawa melihat gelagat dua-dua insan yang berada di hadapannya ini. Bahagianya mereka. ‘Semoga kebahagiaan ini kekal untuk mereka’.

“Dah, layan Along sampai esok tak habis!” umi sudah malas. Perhatiannya kini tumpah kepada Fia.

“Ni satu lagi! Kata sedara yang hantar. Mana sedaranya? Konduktor bus?”

Terkejut Fia dengan moodumi yang berubah tiba-tiba dengannya. Umi berubah menjadi tegas. Along sudah menghamburkan tawanya. Melihat wajahnya yang terperanjat.

“Memang umi. Marahkan aje!”

Fia tersengih. “Pak cik tu yang rela hati nak hantar Fia. Tapi, sampai TBS aje lah!”

Umi mencubit lengannya. Namun, dengan cubitan yang Fia rasakan tidak sakit. Fia mengaduh, kononnya sakit. Along pula masih setia mentertawakannya.

“Umi jangan marah! Nanti cepat tua!” usiknya lagi. Umi memeluknya lalu menggosok-gosok badannya.

Fia membalas pelukan umi. Tenang rasanya. Seakan ada rasa sayang yang meresap dalam diri ini terhadap dirinya.

“Alhamdulillah. Sampai juga anak umi. Risau umi dibuatnya”

Along memeluk tubuh. Memerhatikan sketsa antara mereka dengan senyuman.

“Umi, sampai bila nak berpeluk! Semua orang tengok!” usik Along apabila menyedari agak lama kami berada dalam keadaan itu.

Umi melepaskan pelukannya. Menatap wajahnya. “Kita masuk. Makan. Umi dah siapkan nasi”.

Umi membawa Fia ke bilik Haziq. Kata umi, rumahnya sudah tiada bilik kosong. Hanya bilik Haziq sahaja yang tidak berpenghuni. Tidak sedap pula rasanya apabila terpaksa menyusahkan umi seperti ini.

Kata Along pula, dia tidak kisah tidur di ruang tamu, jika Fia mahu menumpang biliknya. Tetapi, Fia terpaksa menolak. Padanya, bakal pengantin seperti Along perlu mendapat tidur yang selesa agar kelihatan segar esok. Lagipun, mana mungkin tidur di bilik yang telah dihias indah untuk bakal pengantin. Tidak manis rasanya.

“Umi minta maaf terpaksa menyusahkan Fia”, ujar umi ketika mereka melangkah masuk ke dalam bilik ini. Fia pula yang berasa serba salah kerana menyusahkan umi dan keluarganya.

Fia teruja dengan konsep yang diketengahkan oleh Haziq di dalam kamarnya. Ruangnya luas kelihatan moden dan indah. Kata Umi, Haziq sendiri yang menghias kamarnya. Selama ketiadaannya di rumah ini, umi cuma akan membersihkan dan menukar cadar yang berhabuk.

Bola mata Fia meliar memandang beberapa potret yang tergantung pada dinding berwarna putih itu. Potret keluarga ketika Haziq dalam usia kanak-kanak menjadi perhatiannya. Umi yang sedang menepuk-nepuk bantal memandangnya lalu berdiri di sebelahnya.

“Siapa?” Jari telunjuknya menunjuk ke arah wanita yang sedang duduk sambil memangnya bayi kecil di sebelah abah. Yang pasti, wanita itu bukan Umi . Umi tersenyum.

“Itu, ibu kandung Hazim, Haziq dan Hazrin”

Fia memandang wajah Umi seakan tidak percaya dengan apa yang baru dia dengar sebentar tadi. Bagaimana begitu? Fia pasti kemesraan yang Fia lihat antara Umi dengan Along dan Usu cukup menggambarkan anak beranak. Wajah juga ada irasnya.

“Umi minta maaf tak beritahu Fia lebih awal”, ujar umi perlahan apabila melihat Fia terdiam di situ.

Fia menggeleng. Tidak perlu rasanya untuk umi meminta kemaafan daripadanya. Siapa Fia untuk masuk campur dalam urusan keluarganya. Cumanya, dia terdiam. Tidak mampu untuk berkata apabila mendengar kenyataan itu kerana apa yang dilihat seakan bukan yang sebenarnya.

“Fia marah?”

Fia mengukir senyuman nipis. Mana mungkin dia marah dengan apa yang baru diketahui ini. Dia bukan sesiapa.

“Kenapa Fia nak marah? Fia cuma…terkejut”

Tergambar rasa bersalah umi kerana tidak memberitahu lebih awal. Pada Fia, itu hak masing-masing. Kehidupan silam mereka, bukan urusannya. Apa yang pasti, Fia tahu mereka bahagia dengan adanya umi di sisi. Fia juga turut gembira.Tanpa Umi, dia mungkin tidak mengenali Abah, Along dan Usu malah mengikat tali pertunangan dengan Haziq. Mereka insan yang baik-baik.

“Wafa meninggal dunia akibat kanser lepas Usu lahir”. Umi memimpinnya untuk duduk di birai katil. Fia pasti ada banyak benda yang ingin umi kongsikan kepadanya.

“Umi pada masa tu, cuma cikgu pada Along dan Angah”

Fia mengangguk faham. Menjadi guru peribadi ini memungkinkan anak-anak dididik akan menjadi lebih rapat. Apatah lagi, apabila mereka kehilangan orang yang tersayang. Pastinya, mereka dahagakan kasih seorang ibu.

“Allah bukakan pintu hati Abah untuk terima umi sebagai isteri”. Bicara umi terhenti seketika.

“Pernikahan kami, bukan atas dasar cinta. Kerana anak-anak yang masih kecil, Abah buat keputusan untuk menikah dengan umi. Usu tu, setiap hari nak ibu dia”. Ada tawa di hujung bicara umi.

“Alhamdulillah, Allah buka pintu hati umi untuk terima abah sebagai suami yang baru”

Dahi Fia berkerut dengan kata-kata umi. “Suami yang baru?”

“Satu lagi kejutan untuk Fia. Umi pernah berkahwin. Tapi, jodoh kami tak panjang”.

Fia mengangguk faham. Tak mengapalah. Yang penting, umi gembira.

“Umi, apa yang dah berlalu. Biarlah. Saya yakin, kehidupan yang sekarang akan lebih memihak pada umi”.

Umi tersenyum mendengar nasihat darinya. Sekurang-kurangnya Fia berjaya mengubah moodsedih Umi kepada yang lebih tenang. Umi bangkit dari duduk. Fia ikut sama.

“Umi keluar dulu. Fia rehatlah. Maghrib nanti, kita Jemaah.”

Fia menyambut baik arahan Umi. Tubuhnya juga terasa sedikit lesu walaupun dia tidak berbuat apa-apa. Mungkin kerana penat duduk. ‘Duduk pun penat. Susah betul aku ni!’

Setelah umi keluar dari bilik, pandangannya meliar memandang sekeliling bilik ini. Rak buku yang dipenuhi buku menarik perhatiannya. Rajinnya Haziq membaca. Pantas sahaja dia mampu menjadi seorang yang berjaya. Tiba-tiba, Fia malu sendiri.

‘Layakkah, aku dengannya?’

Fia berjalan menghampiri dinding. Ada beberapa sijil yang dibingkaikan tersangkut di situ. Fia membaca tulisan yang tercatat pada sijil itu.

“Hebat! Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Peringkat Negeri Selangor tahun 2005”

Fia terdiam. “2005? Tahun yang sama aku ambil SPM! Sebaya?”

Fia mengutuk dirinya sendiri. Usia tunangnya juga tidak Fia ketahui. Dia menggeleng menyedari kekhilafan diri ini. Otaknya tiba-tiba berfikir seketika. Mampukah membina bahtera perkahwinan dengan segala apa tentang dirinya pun tidak diketahui?

Membaca pencapaiannya mengingatkan Fia kepada Ziyad. Entah kenapa, tiba-tiba mengingati Ziyad setelah lama tidak mendengar khabar berita tentangnya. Bezanya, Ziyad mendapat anugerah SPM peringkat kebangsaan. Hebatnya mereka! Dan, Fia tersepit antara mereka berdua. Fia mengeluh seketika. Adakah ini takdir?

Fia mengukir senyuman nipis kepada umi yang sedang mengaul sesuatu dengan tangan. Along yang duduk di hadapan umi mempersilakan Fia untuk duduk sama. Fia mengambil tempat di sebelah umi. Fia lihat Umi menggunakan sarung tangan plastik.

“Umi nak letak inai kat jari Along”, jawab Umi apabila Fia bertanya namun, masih tekun dengan kerjanya.

“Umi tak reti sangat sebenarnya. Tapi, Umi nak buat juga untuk anak sulung Umi ni”

Fia tersenyum. Itulah perasaan seorang ibu. Fiayakin, umi ingin memberikan yang terbaik buat putera-puteranya ketika hari bersejarah mereka.

“Umi, tak payah letak, tak boleh ke? Macam perempuanlah!” rungut Along namun, dia tetap menghulurkan jemarinya untuk diinai oleh Umi apabila umi memaksa. Fia tertawa kecil mendengar rungutan Along. Macam budak-budak.

“Tak baik Along. Ni, orang kata adat. Lagipun, bukannya semua jari. Tiga jari je” ujar Umi. Along kalah dengan kata-kata Umi lalu meredhakan jari-jemarinya dimerahkan. Fia pula menjadi pemerhati meneliti langkah-langkah Umi ingin memerahkan jari Along.

“Umi, lepas ni, buat Fia pula!” kata Along memandang Fia. Fiaterkebil-kebil. Tak perlu rasanya. Macam Fia pula yang melebih-lebih. Lagipun, dia tak biasa.

“Tak nak Umi!” kata Fia apabila Umi memandangnya setelah selesai membaluti jari-jemari Along. Umi tersengih.

“Tak lama lagi, Fia pulak. Apa kata, ambil pengalaman hari ni!” giat Umi.

Fia menolak tangan umi apabila umi ingin memegang pergelangan tangannya. Along pula sudah tertawa besar. Bengang betul Fia melihatnya. Ini semua cadangan gila Along.

Gina menghampiri mereka lalu duduk di pangnyaan Along. Perhatian Umi kini teralih.

“Atuk. Gina want it too”. Gina menyuakan jari jemari comelnya untuk diinai oleh umi. Along dan Umi tertawa melihat gelagat Gina. Fia juga begitu. Namun begitu, Fia kelegaan.

“Tak boleh. Ni, untuk orang besar. Gina kecil lagi” kata umi memujuk. Mendengar kata-kata umi, Gina sudah menarik muncung. Berpeluk tubuh lalu Along menghadiahkan kucupan pada ubun-ubun Gina.

“Gina budak baik. Kena dengar cakap Atuk”, ujar Along lembut. Serta-merta rajuk anak kecil itu hilang. Dia tertawa menampakkan gigi yang baru tumbuh dua batang. Fia menggeleng.

‘Budak-budak sekarang ni, dah pandai. Cair dengan pujukan orang yang berlainan jantina’.

Umi juga tertawa. “Pandai betul budak ni. Dengan umi, asyiklah merajuk. Dengan Along, Angah baik pulak dia”

“Haziq pun?”

Umi mengiakan. “Mana nak berenggang dengan Angah bila dia balik!.Angah pun layankan ajelah…” cerita umi.

Mendengar kata-kata Umi, Fia semakin kagum dengan insan yang dipanggil Angah ini. Setakat ini, Fia dicanangkan dengan kebaikan diri Haziq sahaja. Moga-moga, dirinya seperti yang berada dalam gambarannya.

“Umi, tadi Angah call Along!” kata Along. Mungkin setelah isu Haziq dibangkitkan, baru Along teringat tentang panggilan telefon yang diterimanya.

“Apa katanya? Kenapa tak cakap dengan umi?”

Just wished me to live happily ever after. Dia pun nak cepat tadi. Ada hal!”

Fia mendengar keluhan dari umi. “Tak kanlah tak boleh minta cuti. Bukannya siapa pun, abang sendiri yang nak kahwin”.

Along cuba memujuk. “Umi ni, tak apalah Angah tak ada. Ni, Fia ada”

Fia tersenyum mengangguk. Cuba memujuk Umi lalu Umi tersenyum nipis sebagai membalas senyumannya itu. Matanya mula beralih pada jemarinya yang berada di bahunya.

“Jari,"ujar Umi.

Keningnya berkerut. Nampaknya, umi masih tidak lupa tentang niatnya ingin menginaikannya . Mungkin rajuknya tadi, sengaja ingin mengenakannya. Fia mengeluh. Tak apalah, layan sajalah. Fia tidak mahu Umi berkecil hati dengannya.

Dia menghulurkan jemarinya untuk diinai oleh Umi. Dia lihat umi sudah tersenyum menang. Along pula sedang berusaha menahan tawanya.

“Ketawalah Along. Ketawalah puas-puas”, ujarnya kepada Along. Gina hanya menjadi pemerhati. Sesekali, dia yang berada di pangkuan Along akan mendongak bagi melihat wajah pak ciknya itu. Sebal Fia melihat Along. Kalau Gina tidak berada di situ, pastilah bantal yang dekat dengannya ini sudah dilempar pada wajah Along. Padan muka.

“Kan comel tu!” ujar Umi seakan berpuas hati melihat hasil kerjanya apabila selesai membalut setiap jari ini dengan kain yang telah dipotong kecil. Kelakar pula melihat jari jemarinya yang berbalut ini.

Fia berfikir seketika. Untungnya jadi Umi, semua orang akan berusaha menyedapkan hatinya. Termasuklah Fia sendiri walaupun belum sah menjadi menantunya
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh TASHA SAIN